ULASAN MUKTAMAR
Muktamar
tahunan Pas kali ke 58 yang berlangsung di Pusat Tarbiyah Islamiyah
(Putik) di Kelantan selama tiga hari telah pun melabuhkan tirai lewat
petang ini dengan sempurna seadanya. Selama empat hari tiga malam ahli,
penyokong Pas dan pemerhati berkampung di Kota Bharu Kelantan. Muktamar
bermula dengan sidang oleh ketiga-tiga dewan yang merupakan sayap kepada
Pas, Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat pada 14 November
hingga 15 Novermber.
Muktamar penuh bermula pada 16 November dengan dihadiri oleh hampir
2,000 perwakilan dan 4,000 para pemerhati dari seluruh negara. Turut
sama hadir dimajlis perasmian ialah Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan
Ismail, Naib Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw dan lain-lain jemputan
kenamaan.
Menambahkan kemeriahan dan 'kesumringahan' muktamar
itu juga ialah himpunan rakyat yang diadakan pada sebelah malam 16
November bertempat di Stadium Sultan Mohamad Ke IV. Kehadiran lebih
40,000 dengan menampilkan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat termasuk
Anwar Ibrahim memberi petanda sihat yang Pas dan Pakatan Rakyat kian
mendapat sambutan.
Saya tidak hadir ke muktamar kali ini dan
mengikuti menerusi internet dari jauh. Ramai menduga muktamar kali
menjadi perhatian umum memandangkan ia adalah muktamar terakhir sebelum
pilihan raya umum yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Orang
ramai khasnya dari kalangan ahli dan pendokong Pas dan Pakatan Rakyat
mahu menyaksikan apakah aura yang ada dalam muktamar berkenaan. Pihak
musuh pula menanti untuk mengkritik muktamar itu seboleh-bolehnya.
Sekiranya maktamar itu lembab dan kurang bermaya maka ia akan digunakan
untuk memperlecehkan Pas. Ia akan dijadikan isu kononnya orang Melayu
sudah minggat dari Pas. Ada seorang kawan saya yang sinis dan sudah
terpesong akidah dengan Pas memberi gambar muktamar Pas kali ini kurang
bermaya?
Entah dari sudut mana diperhatikannya. Kalau perhatian
itu untuk memberi muka dan satu laporan buat Umno Kelantan ternyata ia
adalah satu kesilapan. Mungkin apa yang saya hendak sebut ini perkara
kecil saja, tetapi ia salah hakikat. Tanpa sesiapa sedar muktamar itu
juga turut diperhati oleh dua rakan saya bergelar sastera dan penyair
hebat di Kelantan. Sebelum ini mereka tidak pernah menjejak kaki ke
halaman Pas. Manakala dari segi realiti sebenarnya pemandangan kawan
saya itu (yang mengatakan muktamar kali ini kurang bermaya) sudah kurang
jelas akibat mungkin dibaham kencing manis sampai 25
mmHg ke atas.
Sesuatu yang dicari dan mahu disaksikan dari muktamar itu, ialah sejauh
mana kesediaan ahli Pas dalam menghadapi pilihan raya. Mahu melihat
sehebat manakah ahli dan penyokong Pas menitiskan peluh untuk memastikan
UBN gugur. Justeru ianya mengharap pandangan dan juga idea-idea yang
dilontar untuk diguna pakai oleh semua pihak dalam pilihan raya nanti.
Bagaimana pun berlainan pula dengan pihak musuh mereka menanti muktamar
itu dengan harapan dapat mencuri sesuatu isu bagi mengocak Pas dan
meretakkan kepaduan Pakatan Rakyat. Ada beberapa isu yang diharap
dibahas di dalam muktamar itu kemudian akan dikutip menjadi isu sampah,
seperti kenyataan Nurul Izzah mengenai kebebasan beragama, isu hudud,
isu pemecatan Hasan Akidah dan kenyataan-kenyataan 'sumbang berduit'
oleh bekas timbalan presiden Pas. Namun isu-isu itu nampaknya tidak
terjamah dan terhidu oleh perwakilan muktamar. Tidak ada seorang pun
daripada hampir 2,000 yang menjadi perwakilan simpati kepada Hasan
Akidah dan juga bekas timbalan presiden Pas. Nampaknya para muktamirin
tidak termakan hasutan dan terkena lesetan cenua pangan.
Alhamdulilah nampak
para perwakilan muktamar khasnya mereka yang mengambil bahagian dalam
perbahasan semuanya matang, dan dapat menghidu apa yang diingini oleh
musuh. Perwakilan nampaknya membuat
home work dan dapat membaca
mesej presiden. Perwakilan lebih merasakan persediaan untuk menghadapi
pilihan raya dengan tidak menimbulkan soal-soal furu' lebih penting dari
membincang isu untuk menumbangkan kerajaan UBN yang merupakan isu
pokok.
Di sidang mutamar baik dari ketiga dewan dan sidang muktamar penuh
tidak ada apa yang menjadi kontroversi dan dapat dicuri oleh pihak musuh
khasnya media PB. Semuanya berjalan dengan lendik dan nampak para
perwakilan waspada.
Sidang dewan Pemuda yang sangat-sangat
diharapkan dapat memberi sesuatu cetusan untuk meretakkan hubungan
dengan Pakatan ternyata tidak menjadi. Ada pihak tertentu dan media
tertentu mengharapkan sesuatu kejutan berlaku dalam sidang dewan pemuda.
Namun malang harapan itu tidak menjadi kenyataan. Bayangan mereka
sebelum muktamar menjadi jauh panggang dari api.
Semua isu-isu
yang dibahas atau diperkatakan di dalam Pemuda adalah isu yang bersifat
untuk memperbaiki dan memperkuatkan dewan berkenaan dan juga Pas
keseluruhannya. Begitu juga dengan sidang dewan muslimat. Muslimat juga
berhati-hati dalam melontarkan idea dan juga mengkritik pihak lawan.
Muslimat tidak mudah dicokek pinggang dan latah dengan mengeluarkan
kata-kata penuh emosi yang boleh memberi bahan kepada media. Syabas dan
tahniah untuk kedua sidang berkenaan kerana dapat mengharmonikan sidang
dan memanfaatkan sidang selama sehari itu demi kepentingan parti.
Kalau pun boleh dianggap kontroveri sedikit ialah dalam sidang dewan
ulamak menyentuh hudud. Namun kalau difahami betul-betul apa ditegaskan
ketua dewan ulamak Harun Taib mengenai hudud ialah satu kewajiban.
Sentuhan itu masih relevan. Satu pengesahan bahawa Pas masih belum
melencong atau tergelecah ril seperti tanggapan orang-orang yang kecewa
kini berada di luar Pas.
Namun dalam masa sama dewan ulamak meng
endorcekan
bahawa Pas masih bersih dan masih sihat. Pas masih Pas seperti mana
termaktub dalam perlembagaan dan tidak berubah. Dewan ulamak membuka
mata mereka yang termasuk habuk yang nampak Pas sudah menyeleweng
setelah mereka mulai merasai enak makan di hotel lima bintang dan tahu
mengandar duit dari komisyen 3% daripada kontrak diluluskan semasa
mereka berkedudukan dalam kerajaan Pakatan Rakyat.
Begitu juga
dengan sidang dalam muktamar penuh selama tiga hari bermula 16 hingga 18
November. Tidak ada perwakilan yang degil atau pun menimbulkan apa-apa
keributan. Nampaknya semua perwakilan
sporting memahami mesej
dan juga semangat muktamar kali ini. Boleh dikatakan kesemua pembahas
memahami dan menjaga tata adab masing-masing. Apakah ini wujud selepas
tiadanya beberapa pengacau dalam Pas yang bersifat parasit sebelum ini?
Mungkin!
Adapun kritikan kecil atau isu mengenai golongan
profesional yang cuba hendak mengubah dasar dan prisnip Pas, itu hanya
imaginasi atau naluri pembahas yang mungkin termakan teh tarik golongan
oportunis. Ia bersifat peringatan dari pembahas itu mungkin kerana
beluam sedar hakikat yang berlaku di dalam Pas. Mungkin pembahas itu
masih merasakan dia berdiri dalam muktamar semasa dua atau tiga tahun
lepas atau pun obses yang dia lebih Islamik?
Namun isu masih
wujud konon golongan profesional itu dijelaskan dengan tuntas oleh
timbalan presiden Mohamad Sabu dan ketiga-tiga Naib Presiden Pas,
Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar dan Husam Musa. Penjelasan itu diterima
apabila tidak ada lagi ungkitan selepas itu.
Saya merumuskan,
muktamar Pas kali ke-58 ini adalah muktamar terbaik dan penuh bermutu
yang jarang dapat disaksikan sebelum ini. Misalnya kemunculan empat
muslimat yang mengambil bahagian dalam perbahasan, Siti Zailah Yusuf,
Atirah Al Jundi, Cikgu Mala dan wakil dari Temerloh menyerlahkan akan
kehebatan dan kepetahan muslimat Pas. Bukan saja daya cakap, tetapi daya
fikir mereka juga hebat, bersemangat dan penuh komitmen.
Entah mengapa tatkala mendengar keempat muslimat itu berbahas
tiba-tiba ingatan saya melayang kepada arwah Dr Lo' Lo' Ghazali yang
telah pergi meninggalkan kita semua. Tercetus di hati saya apakah mereka
adalah pokok-pokok yang dibajai oleh Dr Lo' Lo' sebelum ini? Al fatihah
untuk serikadi Pas yang hilang di mata namun masih kejap di hati,
Allahyarham Dr Lo' Lo'.
Bila berbicara mengenai muktamar kali
ini pujian tertinggi tentulah untuk presiden Pas, Tuan Guru Abdul Hadi
Awang. Entah kenapa kali ini kehebatan Abdul Hadi terserlah. Paling
menonjol ialah isi ucapannya yang padat dan bernas. Seperti saya katakan
sebelum ini, isi ucapan Abdul Hadi kali ini sangat berilmu dan
sekaligus menjadi matan-matan yang akan menjelaskan sikap, pendirian dan
iltizam Pas untuk menang dalam pilihan raya.
Pandangan yang
dilontarkan berlandaskan sejarah, sirah, al-Qur'an, al-Hadith. Bukan
tidak pernah digunakan sumbr-sumber itu sebelum ini, tetapi kali ini ia
mempunyai jiwa dan roh yang berpadu apabila ia dikombinasikan dengan
penyampaian yang menarik. Ikhlas saya katakan ucapan Abdul Hadi kali ini
menjadikan saya ralik, terhibur dan mempunyai azam yang tinggi.
Kali ini saya tidak mengantuk dan merasakan ucapannya seperti khutbah
di masjid. Ia adalah ucapan penuh bersemangat dan bertanggungjawab
laksana di medan perang yang mana pendengarnya sedang siapa dengan
segala macam senjata untuk meraduk musuh, hanya menunggu peliut perang
dari presiden itu saja. Saya tertanya-tanya dari mana Abdul Hadi
memperolehi kelebihan sebegitu kali ini.
Beliau yang sebelum
ini agak kaku dan kekok untuk berdepan dengan media massa yang meminta
ulasan dan jawaban spontan, nampaknya menjadi sangat yakin. Tenguk
jawaban beliau berhubung cadangan beliau dilantik menjadi Perdana
Menteri. Kesudiannya hanya sanggup menjadi khadam adalah jawaban yang
tepat dalam situsi sebegitu. Kemudian jawaban dan huraian lanjut ke atas
pertanyaan itu disimpul dengan 'kemah kemin' semasa ucapan penangguhan
yang berbunyi; "cita-cita saya ialah mahu lihat Islam menang, lepas itu
kalau saya mati pun tidak apa."
Itulah luahan rasa dari
sanubari seorang bernama Tok Guru. Kebendaan bukan cita-cita, pangkat
bukan menjadi buruan, tetapi keredhaaan Allah dan kejayaan Islam yang
ditagih dan diharapkan. Apa yang ditunjukkan Abdul Hadi sepanjang
muktamar ini adalah satu keistimewaan dan keluarbiasaan yang beliau
perolehi. Apakah semua kelebihan itu dipacu oleh sebuah keyakinan
(khsyafah) yang Islam akan menang sedikit masa nanti?
- http://msomelayu.blogspot.com/