Ikuti Blog ini
Anwar: S'wak jalan baru ke Putrajaya ,Ahad, November 30, 2008 at 30.11.08,
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyusun strategi baru - menggegarkan Sarawak sebagai langkah baru menuju Putrajaya dalam merealisasikan 'projek 16 September' menukar kerajaan persekutuan.
Katanya, beliau akan ke Sarawak pada pertengahan bulan depan dan mengarahkan semua pimpinan PKR bergilir-gilir untuk ke sana setiap minggu untuk meraih keyakinan masyarakat di sana menjelang pilihanraya negeri, selewat-lewatnya dijangka diadakan 2010.
"Langkah pertama, gegarkan Sarawak. Sarawak barisan hadapan kita sekarang," kata penasihat PKR dalam ceramah khas malam tadi bersempena kongres nasional kelima partinya selama dua hari di Shah Alam mulai semalam.
"Selesai 14 haribulan saya ke Miri, saya akan minta menteri besar, ahli-ahli parlimen bergilir, tiap-tiap minggu mesti ada rombongan ahli Yang Berhormat dari Semenanjung yang turun ke Sarawak.
"Tanpa kecuali, semua mesti tetapkan jadual dan ikut disiplin parti."
Kempen terbaru mantan timbalan perdana menteri itu dilancarkan di hadapan beberapa ribu hadirin yang memenuhi Stadium Malawati, yang ternanti-nanti kupasan terbaru berhubung isu pertukaran kerajaan, asalnya diura-urakan 16 September lepas.
Langkah PKR itu diumumkan susulan penerimaan baik 12,000 penduduk Sarawak yang dilaporkan menyertai parti itu dua minggu lalu.
Anwar berkata, tarikh 16 September itu, merupakan sasaran ke arah membina satu kekuatan bagi menubuhkan kerajaan baru bersama dengan Pakatan Rakyat.
Menurutnya, mengambil alih kerajaan bukan perkara mudah dan menasihatkan agar rakyat bersabar menunggu masanya.
"Ini isu yang tidak mudah diungkap dan dilakar dengan kata-kata kerana ada sebab, ada hal yang saya tidak dapat sebutkan.
"Orang yang bersetuju, menunggu waktu untuk menyeberang, syaratnya tidak didedahkan sehingga mereka bersedia. Jadi, cakap salah, tidak cakap pun salah.
"Cakap salah, tidak cakap salah, jadi semua serba salah," katanya dengan gaya bernyanyi dan disambut dengan gelak ketawa para penyokongnya.
Sehubungan itu, Anwar berharap orang ramai bersabar walaupun beliau mengakui terdapat ahli-ahli PKR dan rakyat yang ragu-ragu dan tertanya-tanya bilakah beliau akan membentuk kerajaan baru dan berada di Putrajaya.
"Jika Allah mentakdirkan kita menang, kita menang.
"Saya yakin, insya Allah (ke Putrajaya) sebagaimana saya yakin (dapat menang lima negeri) sebelum 8 Mac," tambah Anwar.
Beberapa hari sebelum pilihanraya umum ke-12, beliau membuat kejutan dalam ceramahnya di Singapura apabila mendedahkan lima negeri akan jatuh ke tangan gabungan pembangkang.
Kenyataannya itu tidak diterima dengan mudah, termasuk oleh jentera kempen PKR sendiri waktu itu. Bagaimanapun keputusan akhirnya menyerlahkan ketepatan ramalan Anwar.
Tambahnya, keyakinannya untuk mengambil alih kerajaan pusat digerakkan juga oleh penerimaan ramai terhadap Pakatan Rakyat dalam pilihanraya itu dan juga kemenangan beliau di Permatang Pauh, Ogos lepas.
Menjelaskan kegagalannya merebut kekuasaan pada September lepas, Anwar menyalahkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang enggan berunding untuk membincangkan isu penyerahan kuasa.
Permintaan Pakatan Rakyat untuk mengadakan satu sidang khas tergempar Dewan Rakyat untuk membentangkan undi tidak percaya terhadap perdana menteri juga telah ditolak, tambahnya.
Dalam ceramah itu juga Anwar menyatakan beliau tidak berasa bimbang tentang ketandusan kepemimpinan dalam parti itu untuk meneruskan kesinambungan perjuangan PKR.
Ini kerana, tambahnya, parti itu mempunyai pemimpin-pemimpin muda yang berkelayakan untuk menentukan arah perjalanan parti itu walaupun tanpanya.
Ketua pembangkang itu menjelaskan, PKR akan mengadakan kongres khas untuk merancang penjanaan kekuatan parti pada Februari depan.
Beliau juga menegaskan kesediaan PKR mempertimbangkan desakan sayap Wanitanya yang menuntut penglibatan 30 peratus peranan wanita dalam membuat keputusan dan jawatan utama dalam parti.
Kerusi Parlimen Kuala Terengganu milik PAS - Azmin , at 30.11.08,
SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedia memberi laluan kepada PAS untuk meletakkan calonnya bagi menghadapi pilihan raya kecil Kuala Terenggganu.
Naib Presiden PKR, Azmin Ali berkata, pimpinan tertinggi PKR dalam mesyuaratnya semalam menetapkan sedia memberi peluang kepada rakannya dalam pakatan pembangkang itu.
“Malam kelmarin, PKR adakan mesyuarat khas. Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) mengambil ketetapan kerusi (Parlimen ) ini (Kuala Terengganu) secara tradisinya milik teman kita, PAS, ” katanya di Kongres Nasional Tahunan PKR di sini.
Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong kerana penyandangnya sebelum ini iaitu Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismailmeninggal dunia secara mengejut di Institut Aminuddin Baki, Genting Highland kira-kira pukul 6.30 petang, Jumaat lalu.
Azmin juga berkata, walau apa jua keputusan yang diputuskan barisan kepimpinan Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, PAS dan DAP, mereka akan sentiasa berpegang teguh kepada pendirian itu dan akan turun padang memberikan sokongan pada pilihan raya kecil brekenaan nanti.
Dalam pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, Allahyarham Razali yang mewakili Barisan Nasional (BN) memperoleh 32,562 undi menewaskan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu (31,562 undi) dan calon Bebas,Maimon Yusof, 89, (685 undi).
Ahli Parlimen Gombak itu juga berkata, Pakatan Rakyat akan memberikan tentangan hebat bagi memastikan kerusi Parlimen Kuala Terengganu itu menjadi milik mereka.
“Dulu, Mat Sabu pun kalah dengan majoriti kecil, itu pun sebab ada seorang makcik (Maimon) yang kacau.
“Tapi tak apa, makcik itu pada malam ini sudah setuju akan sokong Pakatan Rakyat pada pilihanraya kecil itu nanti…tapi makcik mana saya tak tahu,” katanya.
Dalam pada itu, Azmin juga berkata, Pakatan Rakyat bersedia menghadapi BN jika pilihan raya kecil juga berlaku di Pensiangan, sabah.
“Insya Allah, kalau BN kalah, sekali lagi kita akan turun berkampung di Pensiangan untuk rampas satu lagi kerusi bagi Pakatan Rakyat,” katanya.
M.Kayveas, Parti Progresif Rakyat Akan Keluar BN Jika Akta Zalim ISA Itu Tidak Dipinda !! , at 30.11.08,
[Nampaknya berita ini pasti memanaskan telinga para pemimpin UMNO dan kerajaan yang lain. Mereka kini ditentang dari segenap arah oleh parti kompnonen mereka. Jika dilihat senario semasa kini UMNO ditentang oleh PPP dan Gerakan menerusi isu ISA, dan terkini ditentang pula oleh MCA menerusi isu ketuanan Melayu. Walhal kedua-dua isu itu dimulakan dan dimainkan oleh mereka sendiri. Inilah padahnya bila buat tindakan tanpa usul periksa. Akhirnya apa yang dicanang-canangkan bukan sahaja ditolak oleh rakyat malah kroni sendiri].
Guan Eng tidak nafi penyertaan Arif Shah ke PKR , at 30.11.08,
SHAH ALAM: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak menafikan khabar angin yang mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah (gambar) menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau bagaimanapun turut tidak mengesahkan sejauh mana kebenaran khabar angin yang mula tersebar itu yang kononnya penyertaan Arif ke PKR kerana kecewa dengan penyokong Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang.
"Kami dalam Pakatan Rakyat menerima sesiapa sahaja yang ingin masuk menyertai kami yang menyokong prinsip yang kami perjuangkan.
"Saya pun tidak tahu dari mana laporan ini datang," katanya dalam sidang media selepas menghadri Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, hari ini.
Menurut Lim lagi Pakatan Rakyat sebagai sebuah parti demokratik mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menyertai mana-mana komponen Pakatan Rakyat sama ada DAP, PKR mahupun PAS.
Tambah beliau lagi, sesiapa sahaja yang menyertai Pakatan Rakyat seharusnya sedar mengenai matlamat yang diperjuangkan berdasarkan prinsip keadilan sejagat.
Ditanya sama ada wujudnya usaha daripada pihaknya untuk membawa Arif yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) menentang Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh yang lalu menyertai Pakatan Rakyat, beliau enggan mengulas lanjut.
Mengulas mengenai kehadiran bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim ke Pulau Pinang Jumaat lalu, Lim berkata perkara itu tidak memberi sebarang pengertian mengenai pendirian politik Zaid.
"Saya menghargai kehadiran Zaid bukan sahaja ke Kongres PKR malah ke Jamuan Makan Malam Raksaksa di Pulau Pinang.
"Ini menunjukkan beliau berkongsi wawasan yang sama dengan Pakatan Rakyat untuk wujudkan sebuah negara yang adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama," katanya.
Sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melaporkan, Arif Shah berada dalam keadaan dilema sama ada ingin terus kekal bersama Umno atau menyertai Pakatan Rakyat.
Arif Shah yang merupakan satu-satunya ADUN yang berjaya mengekalkan kerusi cawangannya untuk penggal kedua di bahagian Permatang Pauh berkata, beliau sedang serius mempertimbangkan kedudukan politikynya itu berikutan apa yang disifatkannya sebagai penyalahgunaan kuasa yang teruk dalam kepimpinan Umno Permatang Pauh yang diketuai Datuk Abdul Jalil Abdul Majid.
KEWAJIPAN MENGUNDI MENGIKUT HUKUM SYARA’ , at 30.11.08,
OLEH DATO' HAJI HARUN TAIB
Jom kita pakat lobi untuk Mat Sabu , at 30.11.08,
Bila dah meninggal wakil rakyat dan belum cukup tempoh matang tempoh maka SPR kena la buat pilihanraya dalam masa 60 hari selepas dimaklumkan.
Ada yang kata pilihanraya kecik akan dibuat dalam masa cuti sekolah ni jugak. Tak kira laa bila pun, walaupun bukan masa cuti sekolah, dah saheh laa jem pekan Kuala Terengganu. Melimpah ruah laa rezeki peniaga kat sana. Tokey² hotel termasuk rumah tumpangan dah mula senyum sampai ke telinga.
Siasahdaily awai-awai lagi dah lobi Datuk Wan Mutalib Embong untuk calon PR. Selain tu disebut jugak nama Datuk Mustafa Ali. Yang aku heran pasai apa tak sebut pun nama Bang Mat Sabu. Kalau pun tak suka dia jadi calon, patutnya sebut laa nama dia kurang² pun sebagai calon yang kalah sebelum ni.
Aku cukup tak puaih hati pasai pada aku takdak calon lain yang lebih sesuai selain dari Tuan Hj Mohamad bin Sabu, Naib Presiden PAS. Seorang bekas ahli parlimen pembangkang yang cukup berkesan dan cukup istiqamah memperjuangkan demokrasi.
Walaupun dia kalah pilihanraya umum dulu, tapi kalah sikit jaa, 628 undi, Makcik Maimun pun dapat 685 undi. Pada pendapat aku peluang Bang Mat menang sangat cerah, walaupun ramai calon macam makcik Maimun masuk calon.
Hujjah aku yang pertama. Antara sebab Bang Mat kalah dulu pasai ada saraf kuat dok main kata orang kuat mencarut macam Bang Mat tak sesuai jadi calon PAS. Ramai jugak yang termakan sampai ada khabar angin mengatakan yang petugas PAS pun ada yang tak bagi undi kat Bang Mat.
Tapi rasanya depa dah sedar kesilapan depa. Walaupun mungkin bagi depa mulut Bang Mat capui tapi banding dengan isu minyak naik, jadi kecik sangat, tak padan sangat depa buat lagu tu dulu. Tambah pulak yang banyak tak bagi undi dulu tu katanya budak-budak muda, penuh emosi.
Hujjah aku yang kedua. Semua kepakaran PAS akan tertumpu kat sana. Tambah pulak sebelum ni orang Kuala Terengganu belum pernah tengok orang India kerja keras kempen calon PAS. Kali ni Hindraf Pt Buntar tengah cari sponser dua biji bas, belanja lain depa tanggung sendiri.
Hujjah aku yang ketiga. Orang Umnoi Terengganu perang saudara tak habih lagi. Kem Deris Jusuh lawan kem Mat Said. Banyak jugak undi orang Umnoi akan dapat kat Bang Mat sebagai undi protes. Tambah pulak tengah musim merasuah. Depa ramai-ramai pi sana bukan nak bagi tolong rasuah untuk pilihanraya tapi akan sibuk bagi rasuah untuk pemilihan. Senang, tak payah susah² nak turun bahagian².
Hujjah aku yang keempat. Semenjak dua menjak harga minyak naik turun ni, ramai orang Umnoi yang belah bawah bengang dengan pemimpin depa. Depa cukup terasa bila harga barang melambung pasai harga minyak naik mencanak baru ni. Aku rasa gelombang tu hebat jugak kat Kuala Terengganu. Depa dok harap Bang Mat Sabu belasah pemimpin Umnoi kat Parlimen.
Hujjah aku yang kelima. PAS sendiri akan pastikan dengan apa cara sekali pun untuk menang. Tambah lagi untuk PAS Terengganu. Aku tak boleh bayang laa kalau letak Bang Mat pun kalah jugak. Depa akan jaja kat tv tiap-tiap malam, "Berlagak sangat PAS ni, konon hebat, awat kalah??" Masa tu jugak tak kira tinggi mana pun 'junjung', 'kaduk' mesti panjat punya.
Oleh itu, aku mengajak semua bloggers yang bersimpati dengan Pakatan Rakyat, terutama BloggersNetwork@Perak bersama² semua BloggersNetwork@negeri-negeri lain yang dalam proses penubuhan supaya melobi untuk Bang Mat Sabu.
Segala pertengkaran, segala perbezaan pendapat dan segala rasa tidak puas hati. Marilah kita bersatu hati, berganding bahu, bersama² melobi bersungguh² supaya Tuan Haji Mohamad bin Sabu dipilih sebagai calon Pakatan Rakyat untuk pilihanraya kecil P036 - Parlimen Kuala Terengganu
Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu – Umno Sukar Menentukan Calon , at 30.11.08,
Kuala Terengganu – Petunjuk berkaitan calon-calon yang akan bertanding untuk Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu mungkin akan diketahui awal minggu hadapan.
Secara rasmi, PAS Terengganu belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan PRK Kuala Terengganu.
Manakala pihak lawan UMNO, menurut Ketua Penerangannya Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, parti itu dijangka akan membincangkan agenda PRK Kuala Terengganu pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang akan diadakan pada Rabu ini (3hb).
Namun mesyuarat tersebut mungkin tidak dapat memutuskan calon yang akan bertanding sebagaimana kenyataan beliau yang di petik The Star Online.
Ia adalah kerana menurut Mohammad UMNO juga akan turun ke Kuala Terengganu untuk membuat tinjauan bagi menentukan calon.
“UMNO akan turun ke Kuala Terengganu secepat mungkin untuk melihat apa yang harus dibuat dan tindakan yang akan diambil bagi persiapan memastikan kerusi tersebut dikekalkan oleh Barisan Nasional,”kata beliau di Putrajaya semalam.
Mengulas kenyataan Mohammad, Ahli Jawatankuasa PAS Terengganu Haji Hanafiah Mat@Ramli berkata tindakan Umno pusat untuk turun ke Kuala Terengganu adalah kerana parti itu dalam keadaan tertekan dan sukar untuk menentukan calon.
Beliau yang juga Ketua Lajnah Perpaduan Nasional Negeri Terengganu berkata masalah perpecahan Umno Terengganu masih belum selesai.
“Pihak yang menyokong Pengerusi UMNO Terengganu, Dato’ Ahmad Said, mahukan calon (PRK Kuala Terengganu) dari kalangan mereka,
“manakala pihak yang menyokong bekas Pengerusi, Dato’ Seri Idris Jusoh juga mahukan calon dari kalangan mereka,”kata Hanafiah.
Dalam perkembangan yang sama, Hanafiah berkata PAS Terengganu mungkin akan turut membincangkan perkara berkaitan PRK Kuala Terengganu pada mesyuarat ‘rutin’ Perhubungan PAS Negeri Terengganu yang dijadualkan pada 6hb depan.
Perkara itu turut disahkan oleh seorang lagi Jawatankuasa PAS Terengganu, Ustaz Mohd Pauzi Muda yang dihubungi semalam.
“Oleh kerana perkara ini (PRK Kuala Terengganu) baru timbul, mungkin akan dibincangkan,”kata Mohd Pauzi.