Timbalan pengerusi Umno Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir mengakui bahawa hubungan kakaknya Datuk Marina dengan penganjur perhimpunan BERSIH 3.0 memberi kesan kepada kepentingan politiknya.

“Seperti mana bapa (Tun) sebut hubungannya dengan gerakan BERSIH sedikit sebanyak beri kesan kepada saya sebagai ahli keluarga yang terlibat politik,” katanya, seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir yang berharap supaya Marina tidak terlalu rapat dengan BERSIH 2.0 atau gerakan anti-kerajaan kerana akan menjejaskan masa depan politiknya, seperti disiarkan laman video Mobtv pada 28 Jun lalu.

Dalam kenyataan itu, Mahathir menyatakan harapan supaya Marina sedar bahawa sokongan berkenaan "tidak elok untuk kerajaan pemerintah."

"Beliau juga perlu bersifat sensitif terhadap abangnya (Mukhriz) yang akan bertanding pilihan raya nanti.
"Mungkin sebab dia tidak ada matlamat, jadi dia buat apa yang dia rasa saja.

"Saya tidak bersetuju dengan apa yang dilakukannya, tapi sekarang kita tidak lagi boleh mengarahkan anak kita 'jangan begitu, jangan begini'. Mereka boleh fikir sendiri," katanya seperti dipetik dalam laporan akhbar hari ini.

Mahathir yang juga penaung kumpulan pro-Melayu PERKASA sebelum ini bergeser dengan Marina yang menyokong hak asasi kumpulan lesbian, gay dan trasgender (LGBT) berhubung penganjuran program Seksualiti Merdeka 2011. -M'kini