Ikuti Blog ini

RAJAWALI

Khir Toyo jangan cakap besar

PUTRAJAYA, 25 Julai: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo sewajarnya menutup mulut mengenai isu pasir kerana semakin besar beliau bercakap semakin teruk bau busuk yang dikeluarkan.

Timbalan Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Selangor, Suhaimi Shafie berkata, sewajarnya pemimpin Umno itu bergabung tenaga dengan Kerajaan Negeri Selangor bagi sama-sama berusaha membanteras isu pasir yang telah lama berlaku di negeri itu.

Sebaliknya, tegas beliau, dengan isu pasir ini pula terdedah pergolakan yang sedang berlaku dalam Umno Selangor khususnya antara Khir dan Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar ekoran wujud dua agenda berbeza meskipun isunya adalah sama iaitu pasir.

Bagaimana hendak sembunyikan pertelingkahan sesama mereka kerana masing-masing dengan pendekatan berbeza bercakap tentang isu serupa iaitu pasir dengan seorang gemar melawat tapak lombong pasir dan seorang lagi menggunakan helikopter meninjau keadaan, sinisnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan di dalam sidang akhbar yang diadakan di sebuah hotel di sini semalam selepas lawatan ke tapak lombong di Mukim 12, Kuala Langat yang disertai sekitar 40 wakil pelbagai media di negara ini yang dibawakan oleh syarikat milik Kerajaan Selangor bagi menguruskan pengeluaran pasir, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Suhaimi yang juga Adun Seri Muda baharu sahaja dua bulan dilantik sebagai salah seorang pengarah dalam KSSB menegaskan, beliau akan mengeluarkan semua salahlaku Khir dan rakan-rakannya secara bersiri jika pemimpin Umno Selangor itu masih lagi dengan sikapnya yang menjadikan Kerajaan Pakatan Rakyat yang mengambilalih pentadbiran kerajaan negeri sebagai kambing hitam.

"Jika Khir masih terus bersuara dan terus menolak kami sehingga ke dinding, kami akan dedahkan satu persatu salahlaku mereka yang sebenarnya kami tidak mahu berbuat demikian tetapi jika keadaan memaksa, kami akan melakukannya.

"Kenapa pula hendak jadikan Kerajaan Selangor di bawah PR ini sebagai kambing hitam di dalam usaha mereka bertembung sesama mereka, sedangkan isu berkaitan pasir ini sudah berpuluh tahun berlaku, di mana mereka selama ini?

"Isu pasir ini telah dipolitikkan. Mereka cuba mengalihkan pandangan rakyat dari kelemahan mereka selama ini kepada membesarkan isu pasir ini namun apa yang kelihatannya pergaduhan sesama mereka masih tidak dapat disembunyikan lagi," tegasnya.

Suhaimi juga mempersoalkan sikap Khir yang beria-ia sangat bercakap tentang isu pasir sedangkan perkara sama tidak dapat diselesaikan ketika beliau menjadi menteri besar sebelum tsunami politik melanda negara pada 8 Mac 2008 sedangkan PR dapat melakukannya dengan baik sepanjang dua tahun mentadbir.

Tegasnya, jika mereka masih tidak berhenti mempolitikkan isu pasir ini kononnya kerajaan negeri sekarang menyebabkan Selangor menjadi 'lubang', wartawan media akan dibawa ke Bestari Jaya, Kuala Langat yang lebih teruk untuk pendedahan kepada rakyat seluruhnya.
Ismail Hashim



Presiden PAS akan tutup Himpunan Warga Felcra Kebangsaan

13 Syaaban 1431H.
Oleh Mohd Syamil Azhar.

LENGGONG: Kehadiran Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang akan menyampaikan ucapan kemuncak pada majlis penutup Himpunan Warga Felcra Kebangsaan di Changkat Lada, Pasir Salak, Perak 1 Ogos ini dijangka mampu menarik ribuan pendengar.

Program kemuncak itu juga menjadi lebih menarik dengan hadir sama tiga lagi pimpinan PAS Pusat, iaitu Haji Mohamad Sabu, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan Saudara Mazlan Aliman.

Pengarah program, Haji Razman Zakaria (gambar), berkata program dua hari itu diharap dapat menghimpun ribuan warga Felcra dari seluruh negara, terutama Perak memandangkan Perak negeri terbesar kawasan Felcra serta terbanyak peserta.

Katanya, program itu sangat penting bagi semua warga Felcra mendapat pendedahan terhadap pelbagai penyelewengan pihak atasan.

"Sebab itulah kita bawa seorang peguam yang pernah menang kes saman Felda dan seorang peserta Felcra yang menang saman setelah beliau disingkir dari Felcra.

"Mereka akan bentang dua kertas kerja yang penting untuk semua warga Felcra," katanya.

Razman berkata, 2 kertas kerja yang akan dibentangkan akan mendedahkan kepada warga Felcra mengenai hak mereka sebagai peserta dan apa yang sewajarnya mereka dapat serta kemunasabahannya dari segi pembayaran dividen misalnya.

Katanya, selain itu pendedahan mengenai status mereka sebagai peserta serta perjanjian hak pemilikan semula tanah juga perlu didedahkan supaya jelas.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Peneroka Perhubungan PAS Perak, berkata program pada 31 Julai bermula jam 2 petang dan berakhir jam 12 malam, manakala pada 1Ogos bermula jam 8 pagi berakhir jam 12 malam.

Watak Warak Saiful Akhirnya Terbongkar

Oleh Fazli Othman
SHAH ALAM - Dakwaan saksi utama kes Fitnah II, Mohd Saiful Bukhari Azlan terlibat dalam hubungan 'romantik'dengan salah seorang anggota pasukan pendakwa menyerlahkan perwatakan dan peribadi sebenar bekas pembantu Ketua Pembangkang tersebut yang menonjolkan imej baik dan warak sepanjang perbicaraan.

Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin, sikap hipokrit Saiful itu menguatkan lagi teori bahawa beliau sememangnya terlibat dengan konspirasi untuk menyumbat Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam penjara Sungai Buloh bagi mematikan perjuangan Pakatan Rakyat.

"Sebelum ini, kesungguhan pihak pendakwaan dan media memberikan gambaran bahawa Saiful seorang yang kuat sembahyang sehingga 'dahinya hitam' nampaknya tidak benar sekali.

"Dakwaan ini sebenar menunjukkan watak sebenar Saiful yang sebelum ini dikatakan individu yang baik nampaknya menyimpang jauh.

"Selepas ini rakyat akan lebih percaya bahawa tuduhan itu hanya untuk menamatkan karier politik Anwar sekaligus untuk menghancurkan Pakatan Rakyat," kata beliau ketika dihubungi Suara Keadilan.

Pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin semalam mendakwa seorang timbalan pendakwa raya wanita, yang merupakan anggota junior dalam pasukan pendakwaraya, sedang menjalin hubungan sulit dengan Saiful, yang mendakwa dia diliwat oleh Anwar pada Jun 2008.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden menekankan bahawa sebarang keputusan sama ada anggota itu akan kekal dalam pasukannya akan diketahui apabila kes disambung awal bulan depan.

Sementara itu, Mohd Yusof enggan mengulas sama ada sama ada anggota wanita itu akan digugurkan daripada pasukannya atau tidak.

Beliau kemudiannya menafikan dakwaan tersebut dengan alasan tidak tahu menahu berhubung tuduhan itu.

Walau bagaimanapun katanya lagi, beliau akan berbincang dengan pasukannya itu pada 2 Ogos ini sama ada anggota wanita itu akan dikekalkan bersama pasukannya itu.

Pasukan pendakwaan terdiri daripada lapan anggota iaitu Mohd Yusof, Datuk Nordin Hassan, Mohamed Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Noorin Badaruddin, Mira Mirna Musa, Naidatul Athirah Azmad dan Farah Azlina Latif.

Tambahnya, anggota itu hanya dibawa untuk membantu pasukannya bagi menguruskan data dan mengambil nota prosiding kerana seorang pendakwa raya telah meninggalkan pasukan itu.

Pada 19 Julai lalu perbicaraan kes Fitnah II ditangguhkan sehingga 2 Ogos selepas ketua pasukan pembelaan Anwar, Karpal Singh memperolehi cuti sakit selama dua minggu.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Harussani Mufti Islam Bekerja Untuk 'Melayu'!

http://buletinonline.net/images/stories/berita29/khalil222.jpgBerhubung dengan kenyataan Tan Sri Harussani dalan akhbar Sinar Harian edisi Jumaat, 23 July 2010 dengan judul "Siapa pemimpin PAS itu, biar saya sahaja yang tahu", saya suka untuk mengeluarkan beberapa kenyataan seperti berikut :

1. Harussani nampaknya bertegas tidak akan mendedahkan identiti pemimpin PAS yang menemuinya yang didakwanya membincangkan penyatuan orang Melayu. Saya melihat dia terus menyembunyikan sesuatu yang telah diketahui umum termasuk diri saya sendiri dan itulah yang beliau sebutkan dalam pertemuan dengan pelajar Malaysia di Adelaide, yang dilakukan di Islamic Dakwah Centre of South Australia (IDCSA), pada 7.00pm, 9 Jun 2010, dalam kuliah khas TSHZ yang bertajuk “Perpecahan Ummah dan Peranan Kita”. Harussani dalam sembang-sembang dengan pelajar Malaysia dalam lawatan itu dengan jelas menyebut siapakah orang PAS yang bertemu dengannya.

2. Saya sangat hairan dengan Harussani yang menunjukkan sikap baiknya yang beria-ia dengan pendirian yang disifatkannya demi untuk menjaga hubungan baik dan amanah yang diberikan kepadanya sehingga bermati-matian menyembunyikan siapakah pemimpin itu sedangkan didedahkan kepada pelajar Malaysia semasa di Australia. Adakah amanah yang beliau maksudkan hanya di Malaysia dan diluar negara di boleh mengkhianati amanah itu. Hukum mana pula yang dia pakai ? Harus atau Haram ?

3. Selain itu bila ditanya mengenai kenyataan saya bahawa tujuan sebenar pertemuan dia dengan individu terbabit adalah membincangkan soal perniagaan dan bukannya penyatuan Melayu beliau mengatakan " kalau Khalil kata saya bohong tentang tujuan sebenar perjumpaan itu, beritahu saya siapa pemimpin PAS yang Khalil maksudkan, Ramai orang berjumpa saya".

Dengan jelas sekali lagi Harussani melepaskan tanggung jawabnya dengan berdolak dalih. Saya cuma berhasrat untuk menegaskan sekali lagi bahawa tujuan pertemuan individu terbabit adalah untuk tujuan perniagaan dan tidak sama sekali untuk penyatuan Melayu. Bukan hasrat saya untuk mendedahkan nama terbabit.

Tambahan pula apa manfaatnya penyatuan assobiayah Melayu yang langsung tidak ada kaitan dengan saya sebagai seorang bukan Melayu.

4. Kerana itu kalau dia mendakwa hanya bekerja dan menjalankan tanggung jawab sebagai seorang Islam, kenapakah dia beria-ia sangat untuk penyatuan Melayu, bukannya penyatuan Islam ?

5. Dengan itu saya mendesak Harussani untuk menunjukkan kematangannya dengan tidak berolak-dalih demi untuk mempertahankan pejuangan assobiyah UMNO yang sempit itu. Kenapakah saya pula diminta untuk memberitahu siapa yang jumpa dia sedangkan dia sudah umumkan di Australia dan dia yang lebih tahu dari saya.

DRS. KHALIL IDHAM LIM
ADUN Titi Serong.

Masih Ada Musuh Dalam Selimut

Umno Tetap Untung Disebalik Pelawaan terhadap PAS – Aziz Bari

Semuanya bermula dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin yang menyatakan kesediaan Umno bekerjasama dengan PAS, sehingga membawa polemik politik ini berterusan dicanang di media-media massa.

Umno membuka ‘dasar buka pintu’, namun sehingga kini tiada nada positif diberi malah pemimpin tertingginya Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat awal-awal lagi sudah menutup pintu tersebut.

Menurut ahli akademik Prof Dr Abdul Aziz Bari, ‘pelawaan’ Umno itu hanya untuk memecahkan PAS daripada rakan seangkatan dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Tidak syak lagi ini adalah helah politik Umno. Mereka tahu jika PAS termakan pujukan, PAS akan maut kerana kerusi yang dimenangi dengan sokongan bukan Melayu. Begitu juga negeri seperti di Kedah.

"PAS tewas di Terengganu dan Perlis sebab negeri itu negeri Melayu dan PAS tidak boleh bersaing dengan Umno. Ertinya Umno menggunakan PAS untuk memecahkan Pakatan Rakyat kerana PR bergantung kepada PAS. Ini mekanisma yang Umno lihat," katanya kepada Free Malaysia Today.

Menurut beliau, Umno sentiasa mendapat keuntungan daripada polemik politik ini, sedangkan PAS masih terkial-kial kerana mempunyai ‘musuh dalam selimut’.

Umno dilihat bijak dengan memainkan isu tersebut agar dapat memesongkan perhatian rakyat daripada isu ekonomi, rasuah yang sentiasa dibangkitkan Pakatan.

"Kerjasama ini sukar terjadi kerana tokoh utama iaitu Nik Aziz menentang keras. Dari perspektif Umno isu ini menguntungkan mereka kerana sekali lagi mereka dapat mengganggu permainan dengan isu yang tidak relevan ini.

"Isu ini dapat memesongkan perhatian rakyat dari isu lain seperti ekonomi,rasuah dan lain-lain yang penting buat Pakatan. Sebab itu yang untung – baik ia menjadi atau sebaliknya – ialah Umno.

Apa pun kesudahannya Umno sudah untung; PAS terkial-kial kerana di dalam kelambunya ada musuh dalam selimut," katanya yang juga pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa.

Setuju dengan Khalid

Malah beliau turut bersetuju dengan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad agar pemimpin yang menemui Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dipecat dalam parti.

"Saya fikir adalah bodoh kalau PAS ikut cakap Umno dan saya setuju dengan Khalid Samad yang mahukan pemimpin menemui Mufti Harussani ini dipecat.

"Pemimpin berkenaan jelas membelakangkan parti dan mementingkan diri sendiri. Kita lihat mereka yang dikaitkan dengan kerajaan perpaduan agak resah, mungkin mereka yang makan cili,"
katanya.

Harussani yang menawarkan diri sebagai pengantara baru-baru ini mendedahkan terdapat pemimpin PAS dan Umno menemuinya bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti bermusuh itu.

Namun masih tiada penjelasan lanjut diberi Harussani menyebabkan timbul banyak spekulasi di dalam kem PAS sendiri.

‘Kerjasama dapat kurangkan perbezaan dua parti’

Sementara itu, menurut Presiden Transparency International (Malaysia), Tan Sri Ramon Navaratnam setuju sekiranya tujuan kerjasama itu adalah untuk memperbaiki perpaduan masyarakat di negara ini.

Sambil merujuk kepada PAS-Umno, menurutnya melalui kerjasama yang akan terjalin itu dapat mengurangkan jurang perbezaan antara dua parti terbabit.

"Semua kerjasama antara parti politik adalah sesuatu yang baik, tetapi ia mesti bertujuan untuk meningkatkan perpaduan sedia ada. Harap ia bukan helah politik.

"Jika semua berminat masyarakat tanpa kira agama dan bangsa turut bersetuju kerana ia mengingatkan tentang Malaysia. Ini sekaligus dapat mengurangkan jurang perbezaan antara dua parti yang bertelagah," katanya.

Namun beliau memberi peringatan agar kerjasama itu bukanlah berkisarkan Melayu dan Islam semata-mata kerana ia bakal memberi implikasi kepada parti lain serta konsep Barisan Nasional.

"Mereka tidak boleh bersatu…ini Umno perlu jaga, jika berkongsi pendapat tidak mengapa. Tetapi bukan bersatu.

"Jika penyatuan ini berlaku, parti komponen lain seperti MIC,MCA, serta parti di Sabah dan Sarawak turut melakukan perkara yang sama.

Maka konsep BN akan hilang….," katanya memberi nasihat. -FMT

Kenyataan Hassan: Harussani wajar mohon maaf

KUALA LUMPUR, 25 Julai: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menuntut Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria memohon maaf secara terbuka kepada PAS dan seluruh orang Melayu Islam berikutan penjelasan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali yang menunjukkan mufti itu mwngeluarkan kenyataan yang mengelirukan.

Sambil menyifatkan Harussani melakukan pembohongan yang memalukan, Mahfuz berkata, pengakuan Dr Hassan yang menjelaskan bahawa pertemuannya dengan Harussani tidak ada agenda khusus membincangkan penyatuan Umno dan PAS sekaligus mendedahkan kedudukan dan peranan Harussani sebagai alat dan pencacai Umno.

"Kenyataan Dr Hassan jelas mendedahkan penyelewengan fakta seorang mufti seperti Harussani. Kekeliruan yang ditimbulkan Harussani serta kesediaan beliau menjadi pencacai Umno sangat memalukan ulama khususnya para mufti yang ada di Malaysia.

"Harussani sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Mufti Perak kerana beliau pernah menyatakan, sebagai mufti beliau tidak membuat kenyataan yang mengelirukan itu, sedangkan pendedahan Dr Hassan memperjelaskan apa yang dikatakan Harussani adalah tidak benar," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga menggesa Harussani tidak membiarkan dirinya terus menjadi pecacai Umno yang sedang tenat dan nazak.

Menurut Mahfuz, berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Dr Hassan, amat jelas bahawa pertemuan tersebut langsung tidak menyentuh soal kerjasama PAS dan Umno.

"Pertemuan tersebut sempena mesyuarat kebangsaan hal ehwal Islam. Dr Hassan juga menyatakan beliau tidak pernah dimandatkan oleh PAS untuk membincangkan dengan Harussani isu kerjasama PAS dan Umno," kata Mahfuz. -Hrkh

Berita lanjut di sini

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .