Ikuti Blog ini

SELEPAS AKHBAR KINI SASARANNYA MUNGIN BLOG DAN WEBSITE


Image Hosted by ImageShack.us

KDN tubuh jawatankuasa pantau berita palsu - Hishammuddin

PUTRAJAYA 9 Julai – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menubuhkan jawatankuasa untuk merangka strategi komunikasi kerajaan selain menangani berita palsu yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, jawatankuasa itu turut dianggotai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz; dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri adalah sebagai urusetianya.

"Selama ini kerajaan tidak mengambil tindakan undang-undang yang tegas, tetapi kali ini kerajaan berpendapat, jika pembohongan dan berita palsu ini dibiarkan berterusan, pihak tidak bertanggungjawab ini akan menganggap tindakan mereka betul dan rakyat akan terus tertipu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, pada mesyuarat pertama jawatankuasa itu tiga hari lepas, dua ketetapan telah diambil iaitu mewujudkan satu pasukan bertindak tahap tinggi dan mengadakan mesyuarat jawatankuasa itu sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan.

Mesyuarat pertama jawatankuasa itu, yang turut dihadiri Nazri dan Rais, membincangkan juga pindaan undang-undang, latihan untuk pegawai penyiasat, layanan terhadap saksi dan definisi “berita palsu”. – Bernama

Sapa bakal mangsa KDN tu?
sudah tentulah para blogger penyampai suara rakyat.

AKU AKAN BERBLOG SAMPAI KE TAIPAN KEYBOARD TERAKHIR MELAWAN UMNO/BARISAN NASIONAL LAKNATULLAH YANG ZALIM..

Cikgu Bard ditahan polis

REMBAU, 9 Julai: Ahli Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali dengan nama cikgu Bard, ditahan pihak polis dan kini dibawa ke ibu pejabat daerah Seremban.

Difahamkan, beliau yang juga Pengerusi PKR Cabang Rembau ditahan sekumpulan 15 anggota polis ketika baru sahaja hendak mempengerusikan mesyuarat PKR Cabang Rembau di Pejabat PKR Negeri Sembilan di Jalan Rahang, jam 9 malam ini.

Sumber memberitahu, beberapa anggota polis telah hadir sejak awal di perkarangan pejabat tersebut.

Penahanan Cikgu Bard belum diketahui puncanya.

Kini beliau sedang diambil keterangan di IPD Seremban dan beberapa penyokong PKR turut berada di balai polis. -Hrkh

Bersih serah memo kepada SPR



KUALA LUMPUR, 9 Julai: Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) hari ini tetap menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) meskipun gagal bertemu dengan pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Menurut Setiausaha Bersih, Faisal Mustaffa, memorandum mengandungi lima tuntutan itu hanya diserahkan kepada Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said setelah permintaan untuk mengadakan pertemuan dan dialog dengan Abdul Aziz tidak diterima.

"Tidak ada pertemuan pun di antara kami dengan Pengerusi SPR. Alasan yang diberikan, beliau ada urusan lain dan tidak ada sebab yang menggesa beliau untuk bertemu kami. Tetapi kami telah pun menyerahkan memorandum kepada pegawainya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Bersih bagaimanapun katanya, akan terus untuk memohon untuk mengadakan sesi dialog dengan SPR untuk berbincang mengenai tuntutan-tuntutan yang masih belum mendapat perhatian pihak SPR.

"Kita memang memerlukan satu pertemuan dengan pihak SPR bagi mereka menjawab segala tuntutan Bersih dan selepas ini kita akan memohon lagi untuk bertemu SPR," katanya.

Mengulas lanjut mengenai memorandum yang diserahkan itu, Faisal memberitahu, perkara utama yang ditekankan adalah mengenai persempadanan semula pilihan raya yang masih tidak diketahui umum.

Sehubungan itu, Bersih katanya, memerlukan penjelasan daripada SPR kerana melihat pesempadanan semula yang dilakukan sebelum ini tidak dilakukan mengikut prosedur yang betul.

"Yang paling penting ialah mengenai persempadanan semula pilihan raya, yang banyak tidak diketahui secara umum. Kita juga berkerjasama dengan Merdeka Center mengadakan 'pilot study' berkenaan pesepadanan itu, dan ingin dapatkan penjelasan daripada SPR yang mana persempadanan SPR tidak dilakukan mengikut lunas-lunas yang betul. Kita juga ada proposal bagaimana sepatutnya persempadan ini harus dilakukan," katanya.

Selain itu, Bersih meneruskan empat tuntutan sebelum ini yang belum dilaksanakan iaitu penggunan dakwat kekal, akses kepada media secara adil, penghapusan undi pos dan pembersihan daftar pemilih.

"Ia juga termasuk demokrasi pelbagai parti dan juga pentadbiran pilihan raya itu sendiri," katanya.

Bersih juga mengambil serius mengenai kekangan yang dihadapi SPR kononnya mereka tidak ada kuasa untuk melakukan reformasi dalam proses pilihan raya.

"Isu yang penting kekangan atau alasan yang diberi SPR ialah undang-undang tidak membenarkan mereka untuk melaksanakan reformasi begini. Tapi kita sudah jelaskan dalam memorandum bahawa SPR mengikut perlembagaan mempunyai kuasa untuk mengusulkan pindaan kepada akta berhubung pilihan raya," jelasnya.

Turut hadir di pejabat SPR tadi ialah Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan, ahli-ahli jawatankuasa induknya, Maria Chin Abdullah dan Wong Chin Huat. -Hrkh

PAS Terengganu Yakin Memerintah Selepas PRU13



PAS negeri Terengganu akan memperkasakan ahli dan para petugasnya

dengan latihan melalui sebuah institusi yang dikenali dengan nama Akademi Latihan Kepimpinan dan Petugas Pilihanraya atau singkatannya, ALIM.

Pengarahnya, Haji Hanafiah Mat berkata suatu kursus untuk semua tenaga-tenaga kerja parti, petugas-petugas di semua peringkat, daripada peringkat atasan, pertengahan hinggalah ke peringkat akar umbi akan mula dianjurkan pada 24 Julai depan.

"Kalau kita tengok dalam mana-mana organisasi, tenaga kerja dan sumber manusia yang merupakan suatu benda yang penting, la (adalah) untuk memastikan sesuatu kejayaan itu menjadi suatu kejayaan (realiti).

"Jadi berasaskan kepada sistem pengurusan yang strategik maka kami di peringkat negeri Terengganu akan mengadakan suatu kursus untuk semua tenaga-tenaga kerja parti,"katanya dalam satu sidang media yang diadakan disini petang semalam.

Menurutnya, latihan tersebut merupakan persiapan terakhir PAS bagi menghadapi pilihanraya umum yang ke-13 akan datang.

Katanya, model ALIM adalah berdasarkan Akademi Latihan Kepimpinan (AKEP) yang telah dilaksanakan dengan berkesan menjelang pilihanraya umum ke-12 lalu.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu berkata, AKEP telah berjaya meningkatkan penguasaan PAS seratus peratus dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

"Kalau dalam pilihanraya yang ke-12 dahulu kami mengadakan kursus kepimpinan yang kami kenali sebagai AKEP, di mana kami berjaya menambahkan 4 kerusi, daripada 4, kita tambah jadi 8,"ujarnya.

Oleh itu, katanya, dengan pelancaran ALIM kali ini, PAS Terengganu yakin dapat melonjakkan kemenangan daripada 8 kerusi DUN kepada 16, atau 17 dan sekaligus, dapat mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri Terengganu.

Menurutnya lagi, ALIM akan melahirkan pekerja-pekerja PAS yang mahir disamping mewujudkan budaya kerja organisasi yang lebih professional serta membina kesedaran kepada semua petugas.

Tenaga pakar dari pelbagai bidang, katanya, akan didatangkan dari Kuala Lumpur selain fasilitator tempatan.

"Kami mempunyai pakar-pakar dalam pelbagai bidang yang telah kami ambil daripada kawan-kawan kita daripada KL, dan mereka ini sudah bersedia untuk menjadi fasilitator,"jelasnya.

Bekas calon PAS bagi DUN Chukai itu juga menerangkan, untuk kali yang pertama ALIM akan menganjurkan kursus latihan kepada 150 orang jurulatih (TOT), yang kemudiannya akan bertindak sebagai tenaga melatih jentera dibawah.

Antara Modul yang akan menjadi pengisian ALIM adalah Pengurusan Parti, Kepimpinan, Pilihanraya, Penerangan setrta Pengurusan dan Pentadbiran Kerajaan negeri.

"(Kalau) dulu, AKEP lebih kepada pilihanraya sahaja, satu modul daripada lima (dalam ALIM), tapi kali ni kita perluas, ada kepimpinan, kerajaan, penerangan dan pengurusan parti (serta Pengurusan dan Pentadbiran Kerajaan), ALIM ni kita lebih memberi tumpuan bahawa kita akan memerintah pada pilihanraya ke-13,"katanya lagi.

Justeru, katanya, ALIM akan memastikan semua ahli dan petugas PAS yang kini sebagai sebuah 'kerajaan menunggu' sudah bersiap sedia untuk mengambil alih pemerintahan negeri Terengganu. -BO
Berahim Katak nak jadi hakim ke..kata suara keadilan pemfitnah dan ancam keselamatan negara. Tak gantung Suara Perkose pun dah kira mujur. Sebab akhbar tu penuh dengan hasutan perkauman.

Woooi Berahim, hentikan bersuara seperti katak panggil hujan. Baik pergi campur kariah di Taman Melawati, KL tempat ko tinggal berpuluh-puluh tahun dahulu. Ini tidak, masjid jarang ko masuk dan hanya nampak time sembahyang raya je. Ini bukan fitnah, ini realiti sendiri. Tanyalah kariah di masjid hidayah lama taman melawati, yang hanya 100-200 meter dari rumah si katak ini.

Rentikanlah terpekik terlolong macam orang sasau. Nak masuk paper je kerjanya. Baik pergi solat berjemaah dengan rukun tetangga. Dapat pahala. Ini tidak, asyik memfitnah je kerjanya. Mungkin ini habit spesis melompat kot..

Suara Keadilan ancam keselamatan negara - Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR 8 Julai - Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mendakwa Suara Keadilan mengancam keselamatan negara ekoran penerbitan artikel bertajuk Felda Bangkrap yang dikeluarkan oleh lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak polis supaya segera menyiasat akhbar milik PKR itu kerana kenyataan yang dikeluarkan itu bukan sahaja berbentuk fitnah dan pembohongan malah, bertujuan menyerang kewibawaan institusi bumiputera seperti Felda di negara ini.

"Kenyataan Suara Keadilan itu perlu dilihat daripada sudut keselamatan kerana dakwaan yang dibuat merupakan penipuan besar bertujuan menjejaskan kepercayaan peneroka terhadap kredibiliti Felda.

"Tindakan mengeluarkan artikel itu juga dilihat sebagai kecenderungan pihak tertentu untuk menyerang institusi yang ada kaitan dengan orang Melayu dan membina kebencian rakyat terhadap Felda," katanya kepada Utusan Malaysia di lobi Parlimen hari ini.

Suara Keadilan pada keluaran bertarikh 22 hingga 26 Jun lalu telah menyiarkan berita utama muka depan bertajuk Felda Bangkrap dan empat lagi artikel dalam keluaran sama.

Ekoran itu, kerajaan telah memutuskan untuk menyaman Suara Keadilan sebanyak RM200 juta.

Mengulas lanjut, Ibrahim juga menggesa polis supaya menyiasat Ketua Pengarang Suara Keadilan iaitu bagaimana artikel itu boleh dikeluarkan dan siapa di belakangnya yang mahu artikel itu dikeluarkan.

"Ini kerana, mungkin ada perancang daripada pihak luar untuk menimbulkan ancaman kepada negara di sebalik pengeluaran artikel berbentuk fitnah tersebut.

"Malangnya terdapat gangguan politik dan kemasukan anasir tertentu ke dalam warga Felda untuk menggagalkan usaha murni kerajaan dalam merencanakan pembangunan Felda," katanya.

Menurutnya, tindakan menyaman Suara Keadilan sebanyak RM200 juta wajar kerana artikel itu adalah fitnah tetapi apa yang penting kerajaan terlebih dahulu perlu melihat dakwaan itu daripada aspek keselamatan negara.

"Saman berapa lama nak selesai. Mungkin ambil masa sehingga 10 ke 20 tahun. Jadi, langkah terbaik kerajaan perlu melihat daripada sudut keselamatan negara dan menyiasat pihak-pihak tertentu di sebalik penerbitan artikel itu," katanya.
Posted by Hisyamuddin Che Ali

Majlis Fatwa Kebangsaan perlu membuat perisytiharan Siapa sebenarnya sesat



ALOR SETAR - Jika Pas parti ajaran sesat, Majlis Fatwa Kebangsaan perlu membuat perisytiharan mengenai perkara itu, kata Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar.

Bagaimanapun sehingga kini, katanya, tiada fatwa yang seperti itu sekali gus membuktikan tuduhan orang yang mengatakan parti itu sesat, yang sebenarnya sesat.

"Takkan kerana kita berjuang nak menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kerusi Parlimen, berebut dengan mereka, kita dianggap sesat," katanya.

Mahfuz berkata, jika fatwa parti sesat benar-benar dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan, UMNO juga boleh dianggap sesat kerana kedua-duanya adalah parti politik yang sama-sama nak menang kerusi dalam pilihan raya.

Mahfuz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang melabelkan Pas sebagai 'parti ajaran sesat' ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kulaijaya, minggu lalu.

Mahfuz berharap orang ramai dapat menilai sendiri kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pemimpin politik seperti Mohd Shafie.

“Sekiranya beliau mem- punyai hujah yang logik terhadap kenyataan yang dibuat, Pas sedia berdebat secara ilmiah agar kedua-dua pihak mendapat manfaat daripada perdebatan itu.

“Akan tetapi, sekiranya kenyataan negatif itu dibuat hanya bersandarkan hujah Pas lebih pentingkan perjuangan merampas kerusi DUN dan Parlimen dari tangan BN, beliau tidak cukup bijak untuk jadi pemimpin,”katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Baling yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kedah, Taib Azamuddin Md Taib berkata, kenyataan Mohd Shafie keterlaluan dan suatu penghinaan.

“Saya tidak kisah sekiranya kita bercanggah pandangan politik tetapi kenyataan itu melibatkan agama, tuduhan ajaran sesat adalah sangat berat dan berkaitan dengan akidah. Siapa dia mahu orang lain seperti itu, lainlah jika ada buat rujukan kepada Majlis Fatwa atau sebagainya,” katanya.

Taib berkata, tuduhan Mohd Shafie itu juga menunjukkan kecetekan ilmu politik beliau, yang hanya pandai membuat tuduhan liar.

“Jika Mohd Shafie ahli politik yang profesional, dia perlu tarik balik kenyataan itu yang telah menimbulkan kemarahan rakan politik lain. Tidak rugi pun jika beliau buat begitu kerana tindakannya itu tidak akan menjatuhkan imej beliau sebagai tokoh politik UMNO,” katanya.

Menurutnya, keadaan yang tegang ini boleh diredakan sekiranya Mohd Shafie berlembut hati dengan menarik balik kenyataan itu.

“Beliau berani cakap Pas sesat, Pas pun boleh cakap UMNO lebih sesat dan tidak berpegang kepada ajaran Islam. Malah UMNO mengamalkan politik perkauman, tidak perlu saya perjelas, rasanya bukti ada di depan mata,” katanya.

KONSERT MAHABBAH GAZA BERSAMA KUMPULAN NASYID TERKENAL TANAH AIR DI STADIUM MALAWATI SHAH ALAM





KONSERT MAHABBAH GAZA :

TARIKH : 10 Julai 2010 (Sabtu)

MASA : 8:30 malam

TEMPAT : Stadium Malawati, Shah Alam


PERSEMBAHAN KUMPULAN NASYID :

1. Rabbani

2. Raihan

3. InTeam

4. Saujana

5. NowSeeHeart

6. Ummul Qura

ANJURAN : Rabbani Productions (M) Sdn. Bhd.

KDN perlu bertindak adil

KUALA LUMPUR, 9 Julai: Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu bertindak secara adil kepada akhbar milik pembangkang dan jangan menjadi seperti ‘budak bodoh’ apabila berdepan dengan akhbar milik kerajaan.

Justeru, Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat (kanan) menyeru KDN supaya bersikap dan bekerjalah secara profesional, bukan semacam ‘melayu’.

Begitupun, tegasnya, Pemuda PAS menempelak tindakan KDN yang bertindak menghantar surat tunjuk sebab kepada akhbar Harakah yang merupakan lidah rasmi PAS.

Sebelum ini, KDN juga telah menggantung permit Suara Keadilan yang dimiliki oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas alasan Suara Keadilan gagal memberikan jawapan yang memuaskan berhubung artikelnya yang mendakwa Felda bankrap.

Suhaizan berkata, tindakan KDN itu jelas ada agenda tersendiri dan tindak tanduk mereka seolah-olah KDN satu badan yang tidak bebas sepenuhnya dan dibayangi oleh kerajaan memerintah.

Buktinya, kata beliau Suara Perkasa yang dikeluarkan oleh Perkasa yang dipimpin oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali hanya diberikan amaran sahaja sedangkan kenyataan yang dikeluarkan sememangnya berbaur perkauman.

Tambahnya, Suara Perkasa itu sendiri pun tidak melambangkan konsep 1Malaysia yang sibuk dilaungkan oleh Kerajaan Umno BN sekarang ini.

“Kemudiannya jika dilihat pula kepada Utusan Malaysia dan Berita Harian, kenyataan-kenyataan dan artikel-artikel yang dikeluarkan saban hari memfitnah pembangkang dan membohongi rakyat secara terang-terangan akan tetapi selamat dari sebarang tindakan,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, akhbar milik kerajaan itu sentiasa cuba memutar belitkan kenyataan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) dan isu yang dimainkan sememangnya jelas berbaur perkauman.

Beliau mengambil contoh bagaimana Utusan Malaysia memutar belit kenyataan Anwar Ibrahim dalam isu lawatan beliau ke Washington, baru-baru ini.

Begitu juga, katanya dalam isu tanah Melayu di Pulau Pinang, mereka menggambarkan bahawa kerajaan Pulau Pinang yang diterajui oleh Lim Guan Eng bertindak sesuka hati merampas tanah orang Melayu tanpa belas kasihan.

Baginya, akhbar berkenaan cuba menimbulkan isu perkauman daripada isu ini.

“Jadi sudah terang dan jelas Utusan bermain api perkauman tetapi mengapa tiada tindakan diambil?

“Bukankah ini boleh menimbulkan keadaan yang tidak tenteram di antara kaum di negara ini?” soalnya.

Sehubungan itu, Suhaizan mempersoalkan mengapa KDN hanya membisu dalam hal itu.

Bahkan, ujarnya banyak lagi rencana yang kalau hendak diambil kira sememangnya cukup layak KDN bertindak, namun KDN hanya mengambil sikap butakan mata, pekakkan telinga.

Itu, katanya belum lagi dilihat kepada lambakan majalah-majalah separuh bogel dan berbaur lucah serta kurafat yang boleh memesongkan akidah umat Islam dalam negara kita.

Justeru, tegasnya DPPP mencabar agar KDN bertindak ke atas Utusan Malaysia dan Berita Harian yang saban hari mengeluarkan artikel yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam serta membohongi rakyat dengan tuduhan yang tidak berasas sama sekali terhadap pembangkang.

“KDN perlu bertindak secara adil kepada semua. Jangan bertindak hanya kerana akhbar tersebut milik pembangkang namun menjadi seperti ‘budak bodoh’ bila berdepan dengan akhbar milik kerajaan. Bersikap dan bekerjalah secara profesional, bukan semacam ‘melayu’,” katanya lagi. -Hrkh

Desak Polis Siasat Exco Pahang Dirompak Wang Tunai RM300,000




Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail hari ini mempersoalkan aset tunai berjumlah RM300,000 yang dimiliki seorang Exco Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat yang dirompak beberapa hari lalu di rumahnya.

Azan merujuk kepada laporan akhbar The Star pada 6 Julai lalu mengenai tindakan pantas polis menembak mati empat penjenayah dalam kejadian pecah rumah Exco tersebut di Pantai Selamat, Kuantan.

"Dalam berita ini perompak telah melarikan RM300,000 wang tunai dari kediaman beliau dan perkara ini telah menimbulkan banyak persoalan bagaimana seorang Exco kerajaan negeri menyimpan begitu banyak tunai di dalam simpanan kediaman sendiri.

"Hari ini begitu banyak berita berkenaan simpanan tunai yang berkaitan kerajaan beberapa isu kita dengar di Pulau Pinang dan sebagainya yang melibatkan kakitangan kerajaan dan orang yang diberi amanah oleh kerajaan sebagai pentadbir termasuk Exco.

"Kita minta pihak berkuasa menyiasat laporan akhbar ini bagaimana seorang Exco boleh menyimpan begitu banyak tunai di dalam kediamannya yang menjadikan kes ini kes rompakan dengan kesudahan empat orang ditembak mati oleh pihak polis yang juga menimbulkan banyak isu yang mana lima tahun kebelakangan ini banyak kes-kes tembakan yang menyebabkan berlaku kematian kepada suspek atau juga orang-orang yang di anggap penjenayah," ujarnya dalam sidang media di lobi parlimen tengahari tadi.

Katanya, Pakatan Rakyat mendesak satu laporan terperinci berkenaan kejadian itu termasuk tindakan polis melepaskan tembakan kepada suspek terbabit.

"Kita ada statistik yang agak membimbangkan," tambah beliau.

Sementara itu, menurut Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, polis tidak menjelaskan bagaimana penjenayah tersebut ditembak mati.

"Siapakah mereka, apakah perlu desakan dan satu keperluan, untuk membunuh ke empat orang. Saya percaya tidak ada orang yang melarikan diri, tidak ada survivor dalam kejadian ini, ke empat-empatnya semua ditembak mati dan kenapa perlunya membunuh semua," soal beliau.

Tian Chua berkata, selain itu timbul keraguan mengenai empat butir peluru yang telah dicuri dari rumah exco berkenaan.

"Kita rasa pelik, kenapa perlunya perompak curi peluru dan akhirnya dapat dikembalikan. Ini satu cerita yang sangat pelik sekali," ujarnya.

Beliau turut memetik statitik yang telah dijawab secara rasmi oleh Kementerian dalam negeri dewan berhubung kes tembak mati oleh pihak polis, iaitu sembilan kes pada 2005, 16 kes pada 2006, 13 kes pada 2007, 82 kes pada 2008 dan 88 kes pada 2009.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam mendesak polis supaya memberikan penjelasan berhubung isu tersebut memandangkan trend yang serupa berlaku dalam kejadian tembak oleh polis.

"Trend polis dari awal, bila tembak ada parang. Ini cara biasa, lepas tembak ada parang. Saya minta pihak polis beri gambaran jelas trend ini berlaku sudah lama.

Beliau turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan exco berkenaan yang memiliki wang tunai sehingga RM300,000.

"Mana wang ini datang, sepatutnya SPRM siasat wang ini. Bagaimana Exco ada RM300,000. Bukan siasat isu pasir sahaja," tegas beliau. -SK

Berbillion Telah Disonglap Dari Felda Dan Petronas

Bermula Dengan Felda, Petronas Pula Kini Hadapi Gawat Kewangan

Selepas Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengalami kemerosotan rizab tunai yang menjunam sebanyak RM2.37 bilion dalam tempoh lima tahun, kini syarikat petroliam negara, Petronas pula dirundung nasib yang sama akibat penurunan perolehan yang mendadak.

Keadaan ini menjadi lebih gawat berikutan Petronas yang menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan negara, tidak lagi berupaya bersaing dengan syarikat pengeluar minyak dunia.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah mengemukakan usul mengenai perolehan Petronas di Dewan Rakyat tetapi telah ditolak oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia atas alasan usul itu tidak perlu disegerakan.

"Laporan ini membimbangkan, prestasi kewangan dan operasi Petronas memperlihatkan penurunan perolehan 18.1 peratus kepada RM216.4 bilion. Keuntungan pun merosot 23.2 peratus kepada RM40.3 bilion. Keuntungan RM40.3 bilion, tetapi jumlah yang patut diberi kepada kerajaan ialah RM70.9 bilion. Maknanya RM30 bilion sebagai dividen," jelas beliau pada sidang media di parlimen tengahari tadi yang disertai ahli-ahli parlimen KEADILAN.

"Saya bangkitkan ini kerana saya lihat ia bertujuan untuk menampung defisit. Defisit (negara) tanpa sumbangan Petronas mencecah lebih 11 peratus, tanpa sumber minyak. Ia memberikan satu ruang sikap yang tidak bertanggungjawab dari sudut pengurusan ekonomi negara.

"Kedua di negara lain atau syarikat antarabangsa lain, termasuk Shell, BP dan Exxon Mobil semuanya membelanjakan 50 hingga 80 peratus untuk pelaburan carigali baru sedangkan Petronas dengan keadaan kegawatan yang berlaku sekarang hanya mampu membelanjakan 20 hingga 30 peratus sahaja," kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Menurut Anwar dasar Petronas kini telah berubah berikutan campurtangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secara langsung dalam pengurusan Petronas sehingga menyebabkan tahap profesionalisme serta kewibawaan syarikat itu terjejas dan dipertikaikan.

"Kebimbangan kita selain masalah defisit ini ialah Kedudukan dan keupayaan Petronas dalam jangka masa sederhana dan panjang pasti akan terjejas. Saya sediakan analisa menyeluruh berdasarkan kewangan dan prestasi Petronas yang diperjelaskan dengan angka.

"Kebergantungan untuk menangani masalah defisit, dengan hasil minyak 2009 telah mencecah 7.4 peratus defisit, telah masuk paras bahaya. Tanpa hasil minyak defisit ialah 11.7 peratus pada 2008, dan 15.1 peratus untuk 2009.

"Kemudian bayaran Petronas kepada kerajaan kita lihat memang berdasarkan keuntungan Petronas pada 2008 ialah RM67.6 bilion, 2009 RM74 bilion dan 2010 RM57.6 bilion.

"Tetapi yang kita bangkitkan ini juga ialah peratus sumbangan Petronas kepada pendapatan negara. Kita tengok pendapatan bayaran kepada kerajaan maknanya ketergantungan kepada Petronas itu sangat tinggi.

"Untuk 2010 tahun kewangan berakhir 31 Mac, keuntungan 85.6 peratus Petronas diserah semuanya kepada kerajaan. Angka ini mempertikai dalam RMK-10 dan kita melihat angka dan sumbangan Petronas ini sudah lari dari unjuran dan perkiraan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, baru baru ini.

"Penekanan utama saya ialah hilangnya kekuatan Petronas apabila keupayaan Petronas melabur untuk carigali minyak gali baru terbantut. Petronas berbanding syarikat minyak besar menjadi terlalu kecil. Jadi belum selesai isu Felda, timbul krisis Petronas pula," kata beliau lagi. -GB
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .