Ikuti Blog ini

MENAKJUBKAN!! SERAMBI MEKAH DI BAWAH LIM GUAN ENG

Pulau Pinang secara tradisinya memang diperintah oleh pemimpin Cina sejak dahulu lagi dan ianya begitu lama di bawah Parti Gerakan. Selepas Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu, tradisi ini berterusan di mana pemimpin kaum Cina terus memimpin P.Pinang cuma bezanya pemimpin ini bukan dari parti komponen BN. Parti DAP yang telah lama bertapak di P.Pinang akhirnya berjaya merampas kerusi Ketua Menteri P.Pinang dari Parti Gerakan di bawah pimpinan Koh Tsu Koon. Lim Guan Eng yang dikenali sebagai pejuang rakyat tidak mengira bangsa dan agama diberi kepercayaan oleh rakyat P.Pinang untuk menerajui kerajaan Negeri P.Pinang.

Tampuk pemerintahan negeri di bawah Lim Guan Eng sememangnya dialu-alukan oleh rakyat pelbagai kaum di Pulau Mutiara itu. Kecuali UMNO, majoriti rakyat di P.Pinang termasuk dari MCA, Gerakan dan juga parti di dalam gabungan Pakatan Rakyat percaya dan yakin Lim Guan Eng mampu memberi perubahan besar kepada rakyat di P.Pinang. Apabila Lim Guan Eng mula merangka dasar dan arah tuju pentadbiran di P.Pinang, UMNO tidak berhenti-henti cuba mengelirukan masyarakat khususnya Melayu di P.Pinang dengan menjaja pelbagai cerita dan tuduhan untuk memburukkan imej Lim Guan Eng. Kini, UMNO cuba untuk menjadi hero Melayu di P.Pinang setelah sekian lama menjadi `budak suruhan' dan Pak Turut di bawah pemerintahan Gerakan sebelum ini.

Lim Guan Eng seorang pemimpin muda yang berwawasan dan mempunyai nilai keperibadian yang baik cuba mengguna pakai kaedah pemerintahan yang bersih serta telus dengan menjadikan pemerintahan Umar Abdul Aziz sebagai model dan idolanya. Tidak hairanlah beliau sering kali menyeru masyarakat P.Pinang agar merealisasikan konsep `Amar Makruf Nahi Mungkar'. Slogan ini bukan retorik semata-mata kerana beliau kini telah mula sedikit demi sedikit berusaha melaksanakannya. Pencapaian beliau semenjak mula menduduki kerusi Ketua Menteri P.Pinang amat menakjubkan dan dilihat lebih ke hadapan dari lain-lain negeri di bawah Pakatan Rakyat. Kerisauan masyarakat Islam di P.Pinang sebelum ini telah mula terhakis apabila Lim Guan Eng turut prihatin dengan permasalahan umat Islam di P.Pinang. Langkah pertama mula beliau dilantik sebagai Ketua Menteri, kawasan pertama yang beliau lawati adalah kawasan majoriti penduduk Melayu dan Islam. Beliau turut mengumumkan kenaikan elaun Guru KAFA di P.Pinang.

Baru-baru ini paling menakjubkan apabila sebuah daerah di P.Pinang iaitu kawasan Penanti telah dirancang untuk dibangunkan sebagai `Serambi Mekah' di P.Pinang. Mungkin tidak ramai yang percaya di bawah pemimpin Cina akan wujud satu daerah yang bercirikan Islam. Keprihatinan Lim Guan Eng terhadap masyarakat Melayu dan Islam di P.Pinang menyebabkan UMNO P.Pinang tidak mampu berdiri gagah sebagai pejuang Melayu Islam. Sebagai jalan keluar untuk menutup kelemahan mereka, UMNO P.Pinang terpaksa memainkan isu-isu perkauman dan ketuanan Melayu. Malang sekali, propaganda mereka ternyata gagal lebih-lebih lagi pemimpin-pemimpin Melayu Islam di dalam Pakatan Rakyat yang terdiri dari PAS dan PKR saling bekerjasama dan mempertahankan bentuk pentadbiran Lim Guan Eng.

Saya percaya sekiranya Lim Guan Eng berterusan sedemikian, maka impian UMNO/BN untuk menawan kembali P.Pinang agak sukar dicapai. Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama memberikan sepenuh kerjasama dan buah fikiran yang berguna kepada kepimpinan P.Pinang sekarang. Kita harus bersyukur kesemua parti di dalam Pakatan Rakyat kini telah diberi kepercayaan oleh rakyat memerintah beberapa negeri. Meskipun masih terlalu muda dan awal untuk menilai keseluruhan pentadbiran negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat, namun kita telah mula dapat melihat betapa Pakatan Rakyat mampu untuk mentadbir dan menguruskan negeri masing-masing jauh lebih baik dari UMNO/BN.

Mudah-mudahan ketelusan dan keadilan kepada rakyat yang dipraktikkan oleh Lim Guan Eng akan dapat dijadikan contoh dan teladan kepada semua kerajaan negeri. Di samping itu, ketelusan dan keadilan yang dilaksanakan di bawah kerajaan negeri Pakatan Rakyat ini akan mampu dijadikan panduan oleh seluruh rakyat Malaysia untuk memilih pemimpin-pemimpin mereka di masa-masa akan datang.

MERDEKA RAKYAT NEGARA PERKASA


DUN Ladang Kekal Bersama PAS

http://buletinonline.net/images/berita11/thokempen.jpg
(Imbas kembali.....Dato' Tengku Hassan berucap semasa kempen pilihanraya lalu)


Kuala Terengganu - DUN Ladang kekal bersama PAS apabila Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini, menolak petisyen pilihan raya oleh UMNO Terengganu.

Ia adalah berikutan kegagalan pempetisyen membuktikan dakwaannya bahawa kerani Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melaksanakan tugas dalam mengendalikan kertas undi pos,
Kuala Terengganu

Keputusan dibacakan oleh Hakim Datuk Ramly Ali yang menolak permohonan UMNO Terengganu untuk membuat pemeriksaan rapi dan pengiraan semula undi pos bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang.

"Setelah menimbang semua keterangan, pempetisyen gagal membuktikan petisyen (yang memohon pemeriksaan rapi dan pengiraan undi pos). Dengan ini petisyen (UMNO Terengganu) ditolak," katanya.

Pada 28 April lepas, UMNO Terengganu memfailkan petisyen memohon pemeriksaan semula dilakukan terhadap 127 undi pos bagi DUN Ladang yang ditolak SPR pada hari pengundian 8 Mac lepas.

Petisyen tersebut dikemukakan oleh Ketua UMNO Cawangan Lorong Kemunting, Mahari Endut yang menamakan tiga pihak iaitu Pegawai Pengurusan Pilihan Raya bagi Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Md Razali Kassim, SPR dan Anggota Dewan Undangan Negeri Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar sebagai responden.

Mahari diwakili oleh barisan peguam diketuai Datuk Muhammad Shafee Abdullah manakala Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Mohd Said mewakili SPR dan Tengku Hassan pula diwakili peguam Dato’ Wan Abdul Muttalib Embong.

Pada pilihan raya umum ke-12 8 Mac lepas, calon PAS Dato’ Tengku Hassan Omar mengalahkan Bekas Exco Terengganu, Dato’ Wan Hisham yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti.

Bernama memetik kata Wan Abdul Muttalib berkata mahkamah menolak petisyen yang dikemukakan oleh UMNO Terengganu kerana tiada keterangan daripada saksi-saksi pempetisyen yang boleh membatalkan kemenangan Tengku Hassan itu.

Beliau berkata mahkamah mendapati kerani-kerani SPR telah melaksanakan tugas dengan sempurna serta mengikut undang-undang dalam mengendalikan kertas undi pos berkenaan.

Sementara itu, Dato’ Tengku Hassan berkata sejak daripada awal, beliau sudah menjangka untuk memenangi kes itu.

Sehubungan itu, beliau berkata tugasnya kini adalah untuk memberi sepenuh perhatian dalam memberikan khidmat kepada pengundi di DUN Ladang.





Tindakan polis di ceramah Badar al-Qubra biadap

BUTTERWORTH, 22 Sept -Tindakan polis menangkap dan mendesak agar ceramah memperingati Badar Al-Qubra' anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang di Dewan Putra Merdeka, Butterworth dihentikan semalam dianggap satu kebiadapan yang tidak boleh dimaafkan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Hafiz Noordin dalam kenyataannya menyifatkan tindakan itu juga mengambarkan polis masih mengamalkan sikap 'kuno' dan tidak profesional berhadapan dengan situasi berkenaan.

"Dewan Pemuda PAS Negeri kecam tindakan polis menangkap Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan, Sanusi Mohd Junid dan mengarahkan ceramah dihentikan serta-merta dengan alasan tiada permit dikeluarkan sebaliknya menyuruh ia diadakan di dalam dewan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), " ujarnya kesal.

ImagePolis sepatutnya, memberitahu hal itu sejak permohonan permit dibuat bukan mengkhabarkan pada hari Jumaat baru lalu supaya dewan digunakan untuk tujuan itu.

Sedangkan katanya, Dewan Pemuda sudah memaklumkan dalam permohonan permit bersama pelan lakaran penggunaan padang dengan bayaran sewaan RM1,000.

"Kami terpaksa jalankan juga program semalam kerana ikut permit yang diminta padang itu menjadi hak kami kerana menyewa daripada MPSP. Lagipun ia tidak langsung mengganggu jalan raya tambahan Pasukan Unit Amal bersedia menjaga keselamatan sekiranya faktor itu dibimbangi, " tegasnya.

Image





Tambahnya, sikap itu jelas mengambarkan, polis masih melaksanakan tugas untuk Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam keadaan Umno tengah nazak dan sekiranya ada anggota atasan yang bertanggungjawab semalam beliau harus tanggalkan uniform dan masuk Umno bergiat dalam arena politik tanahair secara sihat.

"Arahan polis menyuruh penggunaan dewan MPSP semalam tidak masuk akal kerana mana boleh sekelip mata ditukar begitu sahaja sebab ia melibatkan borang permohonan lain lebih-lebih lagi hari Sabtu dan Ahad cuti umum,"katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Yusni Mat Piah pula menyifatkan, kejadian semalam merupakan peristiwa pertama setelah bertukaran porfolio Menteri Pertahanan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi daripada timbalanya, Dato' Seri Najib Tun Razak.

ImageSemasa kejadian semalam, pasukan keselamatan seolah ingin menimbulkan suasana tegang dengan bertindak menghalang Ustaz Hafiz daripada teruskan ceramahnya yang baru bermula lima minit.

"Keadaan boleh tegang lagi sekiranya Unit Amal tidak mengawal keadaan apabila menghalang kemasukan secara beramai-ramai pasukan polis termasuk Polis Bantuan yang berbaris di hadapan pentas. Mereka juga menghalau semua hadirin yang duduk di atas padang, " kata beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Permatang Pauh.

ImageBukan itu sahaja malahan menangkap seorang ahli yang cuba mengawal P.A System daripada di rampas oleh polis juga satu tindakan yang tidak beradab.



Menjawab pertanyaan adakah Dewan Pemuda PAS Negeri lemah menghadapi senario itu beliau menambah, tidak sama sekali bahkan berjanji akan mengadakan ceramah yang lebih besar di tapak penubuhan PAS sejak 1951 itu.

Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu yang sampai pada pukul 9.45 malam cuma dibenarkan berucap setengah jam sahaja setelah polis berbincang dengan urusetia program.

Sementara itu, Sanusi yang ditahan di Balai Polis Butterworth akhirnya di bebaskan pada jam 2.30 pagi dengan jaminan polis.


Pilihan Rakyat Malaysia.





Semarak Ramadhan bersama Ust Kamal Shaari

Ipoh : Semarak Ramadhan di Dataran MBI cukup meriah dan menceriakan dengan kehadiran hampir mencecah 1000 orang.


Ustaz Kamal Shaari, penceramah jemputan pada malam yang kelima itu telah berjaya mencuit hati para hadirin melalui penyampaiannya yang bersahaja menjadikan suasana malam tersebut sangat menghiburkan di mana para hadirin nampak segar dan segala penat berpuasa disiang hari langsung tidak terasa.

Beliau telah mengupas tentang kalimah ‘Rahmah’ yang mengandungi pengertian yang sangat besar kerana kalimah tersebut membawa kasih sayang Allah.

“Allah tunjukkan buktinya kepada kita betapa Allah sayangkan kita dengan menurunkan al-Quran dan juga Rasul sebagai pembimbing jalan ummat manusia,” kata Ustaz Kamal lagi.

“Dengan adanya al-Quran dan al-Mutaharriq , hidup manusia terpimpin ke arah jalan yang benar dan dapat menghindari jalan yang dimurkai Allah,” jelasnya lagi.

Ada yang berpendapat bahawa Islam ini menyusahkan sahaja kerana terlalu banyak `pantang-larangnya’ tidak boleh buat itu dan ini.

Menurut Ustaz Kamal, sebenarnya yang menyusahkan itu bukan Islam, tetapi orang Islam yang tidak faham tentang agamanya sendiri. Bagi mereka yang belajar dan memahami Islam tentunya tiada masalah untuk mengamalkan Islam.

“Puasa umpamanya, tidak menyusahkan kita. Kalau kita sakit , kita tidak perlu berpuasa,” katanya.

Seterusnya beliau mencuit hati para hadhirin apabila membandingkan dengan kondisi di hospital di mana para pesakit dipaksa untuk berpuasa!

Beliau turut menceritakan pengalamannya dengan seorang anak muda yang mengaku tidak berpuasa kepadanya lalu beliau mengajukan soalan. Alkisahnya seperti berikut :

"Kamu sempat bersahurkah tadi?” Tanya Ustaz.

"Sempat, Ustaz; tapi saya tersilap pasang niat,” jawab anak muda tersebut.

Ustaz Kamal berasa pelik mendengar alasan si anak muda tersebut.Mana mungkin dia tersalah niat pulak bila bangun untuk bersahur malam buta begitu, bisik hatinya.

"Mana mungkin ada orang berniat sahaja aku nak bernikah sewaktu bersahur itu?” Cuit Ustaz menyebabkan para hadhirin tergelak macam nak pecah perut.

Lalu Ustaz Kamal bertanya lagi kepadanya, ” Bagaimana adik berniat?”

"Sahaja aku berpuasa Ramadhan ini hari, kerana Allahu Ta’ala,” jawap pemuda tersebut.

"Betul lah tu, dimana silapnya? ” tanya Ust Kamal dengan rasa kehairanan.

"Sepatutnya saya kena sebut 'hari ini’ dan bukan 'ini hari’ ; Ustaz,” anak muda itu menjelaskan tentang kesilapan tatabahasa yang digunanya itu.

Macam mana orang ramai dapat menahan dari ketawa? Berdekah-dekah mereka ketawa mendengar celoteh Ustaz Kamal.

”Tuan-tuan semua seronoklah ketawa malam ini, tapi saya ketika itu terpaksa menahan dari rasa nak ketawa sebab hendak jaga hati dan perasaan anak muda tersebut...”




Sumbangan Fakir Miskin,PAS Turut Bantu Bukan Islam

PULAU PINANG - Dua individu India yang mewakili Kelab Penyokong PAS antara 302 orang penerima sumbangan Aidilfitri daripada Lajnah Ekonomi PAS Negeri Pulau Pinang yang diadakan di pekarangan Masjid Jamek Kubang Semang.

Pengerusinya, Zulkifly Mohd Lazim semasa ditemui selepas penyampaian sumbangan berkenaan berkata, kali ini lajnah bukan tertumpu pada sumbangan untuk fakir miskin sehaja malahan kepada aktivis PAS di setiap cawangan dan Kelab Penyokong PAS.

Beliau berharap ianya menjadi turutan kepada mana-mana program seumpama ini di tahun-tahun akan datang sama ada peringkat kawasan dan cawangan.

"Selalunya kita hanya bagi sumbangan kepada fakir miskin tetapi kali ini kita buat kelainan iaitu sampaikan juga pada aktivis PAS dan wakil Kelab Penyokong PAS yang dikira memberi sumbangan fikiran dan tenaga menjayakan mesej PAS selama ini, " ujarnya.

Tanpa penglibatan aktif mereka tambah beliau, PAS tidak ke mana kerana jentera parti bermula dari bawah bukan di peringkat atasan.

Peringkat atasan hanya pembuat dasar dan polisi manakala di peringkat akar umbi merupakan pengerak atau penjana kejayaan sesuatu organisasi maka jasa mereka harus dihargai.

Adanya Kelab Penyokong PAS juga ujar Zulkifly, memberi manafaat yang cukup berkesan pada PAS keseluruhanya kerana mereka boleh mendekati kaum mereka sendiri tanpa rasa takut bagi tujuan menyampaikan maklumat PAS.

"Dulu PAS memang sukar untuk memecah tembok masyarakat bukan Islam dalam usaha dakwahnya tetapi kini agak mudah sebab wujudnya Kelab Penyokong PAS yang diterajui oleh Dr Mujahid Yusuf Rawa di peringkat PAS Pusat, " katanya.

Kesemua sumbangan fakir miskin diberikan barangan keperluan seharian dan sekampit beras manakala aktivis PAS dihadiahkan sehelai kain pelekat.

Turut memberi sumbangan pada majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairudin dan Pengerusi Masjid Jamek Kubang Semang, Ustaz Suhaimi Harun.




PAS Komited Jadikan NS Negeri Kebajikan

PAS Negeri Sembilan komited menjadikan Negeri Sembilan sebuah negeri kebajikan selaras dengan saranan Presiden PAS Dato Seri Hj Abdul Hadi Awang untuk menjadikan Malaysia sebuah negara kebajikan. Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan , Sdr Zulkefly Mohamad Omar dalam jelajah menghulurkan bantuan kepada keluarga yang memerlukan di sekitar Panchor , Ulu Beranang dan beberapa kawasan di DUN Lenggeng.

Siri jelajah rumah ke rumah menjejaki fakir miskin dan keluarga yang memerlukan ini adalah sebahagian dari Program Sekampit Beras Setiap Keluarga Setiap Bulan yang dilancarkan oleh PAS Negeri Sembilan beberapa bulan yang lalu. Menurut Zulkefly lagi program jelajah ini diperhebatkan lagi pada bulan Ramadhan ini , dan adalah merupakan program berterusan sepanjang tahun.
Zulkefly juga menegaskan bahawa semua ketua-ketua cawangan PAS termasuk wakil rakyat tunggal PAS di DUN Paroi telah digesa agar menjejaki keluarga miskin di setiap ceruk kampung dan kawasan perumahan , kerana terdapat beberapa laporan yang telah diterima bahawa ada keluarga yang benar-benar susah tidak mendapat bantuan kemungkinan mereka ini terlepas pandang oleh Penghulu , Ketua Kampung , Wakil Rakyat , Pegawai Kebajikan atau Pegawai Baitul Mal di kawasan mereka.

Walaupun negara kita telah mencapai kemerdekaan 51 tahun yang lalu, dan sekarang rakyat menikmati pelbagai kemudahan antaranya bekalan elektrik , namun semua ini tidak bermakna jika rakyat tidak mampu membayar bil elektrik , tambah beliau lagi. Hakikat ini didedahkan oleh Saudara Hassan Tamby selaku Pembantu Khas ADUN Paroi yang mengatakan bahawa baru-baru ini terdapat beberapa keluarga yang datang mengadu nasib di Pusat Khidmat DUN Paroi yang bekalan elektrik telah dipotong kerana tidak mampu untuk membayarnya memandangkan gaji mereka yang rendah.

Program membantu keluarga yang memerlukan dari rumah ke rumah ini telah disemarakkan lagi dengan kehadiran rombongan Dewan Muslimat PAS Pusat yang menghulurkan bantuan sumbangan pada 21 September 2008 yang lalu di Seremban. Program Singgah Iftar Dewan Muslimat PAS Pusat yang diketuai oleh Saudari Aiman Athirah Al Jundi selaku Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat adalah sebahagian program jelajah seluruh Malaysia untuk menjejaki dan membantu fakir miskin yang keciciran.

Mengulas lanjut Zulkefly menegaskan PAS Negeri Sembilan amat prihatin akan nasib rakyat di negeri ini yang semakin terhimpit akibat kenaikan harga barangan dan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan dan saingan yang banyak dalam perniagaan. Apa yang penting ialah membantu mereka yang memerlukan ini dari segi keperluan asas. PAS Negeri Sembilan berhasrat agar negeri ini sifar murid yang keciciran di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. PAS Negeri Sembilan juga berhasrat setiap isi rumah di negeri ini tidak keputusan makanan asasi iaitu beras , disamping bekalan tenaga samada air yang bersih dan bekalan elektrik. Apabila keperluan asas rakyat negeri ini dapat dipastikan maka kita mengharapkan masalah keciciran pelajar , kekurangan zat makanan , gejala sosial , masalah jenayah akan dapat dikurangkan dengan drastik.

Zulkefly menegaskan lagi program ini tidak akan berjaya tanpa sokongan ahli dan orang ramai , baik dari segi bantuan tenaga , kewangan dan setidak-tidaknya doa. Mereka yang ingin menghulurkan bantuan untuk keluarga yang memerlukan di Negeri Sembilan bolehlah menghubungi Setiausaha Kerja PAS N.Sembilan Sdr Suhairi 019-2998345 atau Setiausaha Badan Perhubungan PAS N.Sembilan Sdr Shamsul 019-6532973. Ini adalah kerana senarai keluarga yang memerlukan bantuan ini semakin bertambah hari demi hari apabila mereka turun padang.



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .