Ikuti Blog ini

MB Perak terharu sambutan Muktamar PAS


IPOH, 15 Ogos - Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohd Nizar Jalaludin melahirkan rasa terharu dengan kedatangan terlalu ramai perwakilan, pemerhati dan dari luar negara di majlis perasmian muktamar PAS.

"Saya berharap muktamar ini bukan yang terakhir di Perak dan ia akan diadakan pada lain kali," ujar beliau.

Dengan adanya muktamar PAS di Perak kali ini, ianya boleh merapatkan lagi hubungan jentera dan ahli-ahli PAS Perak dengan perwakilan dari negeri-negeri lain.

Image"Dengan adanya muktamar yang julng-julung kali di adakan di negeri Perak, orang ramai dapat mengenali PAS dengan lebih dekat dan ini boleh meniup semangat kepada jentera parti PAS Perak" kata beliau.

Menyentuh kepada hubungan PAS Perak dengan Pakatan Rakyat di Perak, beliau memberitahu bahawa hubungan mereka adalah rapat sekali dan tidak timbul sebarang masalah dalam urusan pentadbiran negeri.

"Saya berharap orang ramai di Perak tidak termakan dengan laporan dalam beberapa akhbar yang mengatakan hubungan barisan pimpinan negeri mempunyai masalah dalam urusan pentadbiran," kata beliau lagi.

Lebih 5,000 penuhi Stadium Indera Mulia dengar ucapan dasar



IPOH, 15 Ogos - Muktamar PAS kali ke-54 yang memasuki hari ketiga memperlihatkan seramai 5,000 hadirin berbondong-bondong datang dari seluruh pelusuk negara.
Tetamu-tetamu yang mewakili rakan-rakan Pakatan Rakyat seperti Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah bersama penasihat parti itu, Dato' Seri Anwar Ibrahim selain Pengerusi DAP, Dato' Ngeh Khoo Ham turut kelihatan.

Ketibaan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada jam 8.35 pagi ini diiring kira-kira 20 buah motor berkuasa tinggi bagi menghadiri majlis perasmian muktamar yang diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh di sini.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat yang juga diiring dengan 20 buah motor berkuasa tinggi pula tiba kira-kira 10 minit kemudian.

Sementara itu, di luar perkarangan stadium sebelum majlis perasmian bermula, upacara tabik hormat Unit Amal yang diketuai oleh Khairul Aini berlangsung.
Lintas hormat Unit Amal yang bermula pada jam 8.50 pagi itu dimulakan dengan lagu Al-Amal. Kekuatan tentera merah yang berjumlah 150 orang itu diperiksa oleh Ustaz Hadi sambil diiringi dengan lagu Semarak Perjuangan nyanyian kumpulan Shoutul Amal.

Majlis perasmian muktamar kali ini yang bertemakan 'PAS untuk Semua' dimulakan dengan nyanyian lagu rasmi PAS dan diikuti ucapan aluan daripada pengerusi tetap majlis perasmian, Abu Kasim Abdullah.

Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dari Surah Al-A'raf ayat 156 hingga 160 dialunkan oleh Johan Qari Tilawah Antarabangsa 2004, Radzi Kamarul Hailan.
Seterusnya, Presiden PAS menyampaikan ucapan dasar dengan tema 'PAS untuk Semua' dan merasmikan muktamar kali ini kira-kira jam 10 pagi.

Diikuti pula pada jam 11.15pagi, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz dijemput untuk melancarkan buku yang bertajuk'Kemuncup dalam Perjuangan'.

Akhbar milik parti, Harakah dua kali seminggu kemudiannya telah dilancarkan oleh Ustaz Hadi yang diiringi Pegerusi Harakah, Dato' Mustafa Ali yang bermula 15 Ogos 2008 bersamaan 13 Sya'aban 1427H. Vespa c70 dipandu oleh Abd Manaf Dahalan sambil membawa beberapa naskah akhbar Harakah menjadi gimik pelancaran akhbar ini.

Ustaz Hadi yang diiringi Setiausaha Agung PAS, Dato'Kamaruddin Jaffar dan Dato' Mustafa Ali menyampaikan satu naskah Harakah kepada setiap pesuruhjaya tinggi setiap negeri.

Montaj bagi Harakah dua kali seminggu juga ditayangkan kepada hadirin yang hadir.
Dua wakil gerakan Islam iaitu Timbalan Presiden AK Parti Turki,Prof Dr Man Kutrunus dan wakil Gerakan Islam Myanmar, Haji Abd Ghaffur berbesar hati menyampaikan cenderahati kepada Presiden PAS sebagai tanda persahabatan.

Majlis perasmian pagi itu diakhiri dengan bacaan do'a yang dipimpin oleh Ketua Dewan Ulama', Mohd Daud Iraqi. Muktamar bersambung jam 3 petang ini.

Harakah dua kali seminggu dilancarkan penuh simbolik



IPOH, 15 Ogos - Dalam usaha meningkatkan penyebaran maklumat kepada ahli dan orang awam mengenai PAS dan isu semasa, akhbar rasmi parti, Harakah dilancarkan secara rasminya, di Muktamar PAS Pusat, pagi ini.

Pelancaran Harakah sempena keluaran sulung bagi dua kali seminggu ini dilancarkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan penuh simbolik.

Para hadirin kelihatan agak teruja dan bangun dari tempat duduk masing-masing apabila mendengar bunyi enjin motosikal memasuki dewan yang menempatkan kira-kira 5,000 perwakilan dan pemerhati.

Penunggang motosikal tersebut, Abdul Manaf Dahalan, yang juga merupakan pengedar Harakah paling lama di Perak, diiringi petugas Unit Amal kemudiannya terus menuju ke pentas utama.

Ketika itu, laungan takbir dan tepukan mengiringi motosikal yang terus menuju ke pentas utama. Para jurugambar dari pelbagai agensi sibuk merakamkan detik-detik pelancaran akhbar rasmi parti itu.

Sejurus watikah rasmi dibacakan Pengerusi Harakah, Dato' Mustafa Ali, Harakah keluaran 15 Ogos diserahkan kepada semua Pesuruhjaya PAS Negeri, bermula dari Kelantan yang diwakili Dato' Takiyudin Hassan dan diakhiri oleh Pesuruhjaya Sabah, Mohamad Abdullah.

Sementara itu, Mustafa menyerahkan cenderahati kepada Ustaz Abdul Hadi.
Sejurus selepas pelancaran tersebut, satu tayangan multimedia khas berkenaan Harakah ditayangkan kepada para hadirin.

Anwar hargai komitmen PAS perkukuh Pakatan Rakyat



IPOH, 15 Ogos - Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau amat menghargai komitmen PAS untuk terus bersama dan memperkukuhkan Pakatan Rakyat sebagaimana yang dinyatakan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya sebentar tadi.

Ucapan Dasar Presiden PAS bertajuk 'PAS Untuk Semua' disampaikan beliau bersempena Muktamar Tahunan PAS kali ke 54 di Stadium Indera Mulia, dekat sini.

"Ustaz Hadi menyampaikan ucapan yang bernas," kata Anwar yang pertama kali hadir ke Muktamar PAS, dalam respons eksklusifnya kepada Harakahdaily sejurus selepas Muktamar ditangguhkan tengahari tadi.

Anwar bersama isterinya, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden KeADILan, mengucapkan terima kasih kepada seluruh kepimpinan PAS yang mengundang beliau untuk hadir ke Muktamar PAS.

Menurut beliau, segala teguran dan pandangan perwakilan PAS semalam, beserta dengan ucapan Dasar Presiden PAS sebenarnya membuka ruang yang lebih kepada banyak perbincangan untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

"Saya menyanjung tinggi komitmen yang diberikan Ustaz Hadi bahawa PAS akan terus kekal dalam Pakatan Rakyat.

"Saya juga berterima kasih dan menghargai sokongan PAS, khususnya Tuan Guru Nik Aziz, untuk membantu saya di Permatang Pauh, kerjasama ini amat saya alu-alukan," katanya.

Tegas Anwar, beliau akan memastikan kerjasama di kalangan parti dalam Pakatan Rakyat akan terus diperkukuhkan walaupun terdapat beberapa teguran daripada beberapa pihak.

"Apa yang penting kita, pemimpin dan ahli Pakatan Rakyat, mesti mengelakkan dan mengetepikan manipulasi media yang senantiasa mahu memecahkanbelahkan perpaduan kita," ujarnya.

SELAMAT BERMUKTAMAR

Muktamar PAS kali ke-54 bermula penuh ceria



IPOH, 15 Ogos - Muktamar PAS kali ke-54 membuka tirainya dengan kehadiran perwakilan dan pemerhati sejak awal pagi lagi. Kawasan sekitar Stadium Indera Mulia mulai sesak sejak jam 7 pagi.

Tidak kurang juga pemerhati yang bermalam di tempat parking dan dalam kenderaan di perkarangan stadium.
Kedai-kedai yang terdapat di sekitar stadium memulakan perniagaan mereka sejak awal pagi lagi. Malah, orang ramai sudah berbaris untuk mengisi alas perut sebelum menghadiri perasmian muktamar.

Tetamu asing dari kedutaan juga tiba awal sejak jam 8 pagi. Kemeriahan mulai terasa apabila perwakilan dan pemerhati mulai tiba dan berbodong-bodong memasuki pintu sebelah kiri stadium.

Unit Amal pula membuat persiapan perbarisan sebelum ketibaan Presiden, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin mulai tiba jam 8.15 pagi. Manakala Presiden, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang tiba jam 8.30 pagi.

Muktamar ini juga disiarkan secara langsung melalui laman web pastv.com dan beberapa lagi laman-laman web lain.

Stadium Indera Mulia yang mana sebelum ini hanya meriah dengan acara sukan kali ini dipenuhi perwakilan PAS bagi membahas agenda perjuangan gerakan Islam di negara ini.

Muktamar PAS realisasi prinsip politik Islam - Nik Aziz



IPOH, 15 Ogos - Lagu PAS buat pertama kali dalam sejarah bergema di Stadium Indera Mulia,Ipoh yang mana sebelum ini hanya riuh rendah dengan acara sukan.

Sejak malam semalam stadium tersebut sudah bertukar fungsi buat seketika, bagi memberi ruang kepada perwakilan memikirkan jalan terbaik bagi memartabatkan gerakan Islam di negara ini.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, PAS bermuktamar untuk merealisasikan satu prinsip politik Islam yang penting iaitu syura.

Katanya, prinsip syura menyedarkan kita kepada hakikat bahawa seluruh perjalanan makhluk ciptaan Allah adalah tertakluk kepada peraturan yang ditetap-Nya.

"Sekiranya peraturan ini diikuti dengan baik dan penuh rela hati maka kehidupan manusia akan menjadi aman dan sejahtera.

"Keyakinan kepada prinsip asas ini menyebabkan PAS memasuki gelanggang pilihan raya dengan penuh ketertiban, kesabaran, keyakinan dan pergantungan kepada Allah.

"Pengalaman Kelantan mengendalikan pilihan raya dan pentadbiran negeri membenarkan hakikat ini," katanya pada buku acara muktamar.

Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang pula berkata, muktamar PAS kali ke-54 sangat penting dan bermakna ketika saat PAS berada di tahap kekuatan yang paling tinggi dalam sejarahnya.

Katanya pada pilihan raya baru-baru ini, hasil iltizam dan kerja kuat kita, Allah Taala telah mengizinkan kemenangan besar.

Menurutnya, kemenangan besar itu merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dan dilaksanakan dengan penuh cermat atas nama Islam.

"Akidah merupakan asas utama perjuangan kita dan yakinlah ia merupakan satu rahsia kekuatan Islam sepanjang zaman," katanya pada kata-kata aluan pada buku Muktamar PAS kali ke-54 di sini, hari.

Perarakan masuk ke dalam dewan muktamar dimulakan Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din kira-kira jam 8.55 pagi kemudian diikuti Ahli jawatankuasa PAS Pusat lain.

Tetamu kehormatan yang kelihatan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Seri Wan Azizah Wan Ismail; Pengerusi DAP Perak, Dato' Khor dan tokoh gerakan Islam luar negara termasuk dari Jordan, Dr Hamman Said dan Amir Hussien (Pakistan).
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .