Ikuti Blog ini

Lebih 1,000 berseminar tentukan halatuju PAS




KUALA LUMPUR, 7 Nov: Lebih 1,000 pemimpin PAS dari seluruh negara berhimpun di Dewan Datuk Fadzil Noor, Taman Melewar hari ini bagi menyertai seminar memperkasakan parti Islam itu.

Mereka akan mendengar Ucap Utama Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang bakal membicarakan halatuju PAS dan usaha parti itu untuk mempertingkatkan lagi komitmennya dengan Pakatan Rakyat.

Seminar ini diadakan ekoran tulisan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mempertikaikan beberapa pendekatan pimpinan utama PAS sehingga mencadangkan agar diadakan muktamar khas untuk memilih semula mereka.

Nik Aziz akan memberikan ucapan penutup di seminar yang bakal menentukan sikap para pemimpin PAS di semua peringkat itu.

Di tengah-tengah seminar, semua peserta akan mendengar pandangan secara langsung dari orang yang mencetuskan konflik ini iaitu Profesor Dr Abdul Aziz Bari.

Beliau akan bersama dengan seorang lagi pengulas politik, Dr Abu Hassan Hasbullah yang dijangka akan juga memberikan pandangan-pandangan panas dari luar PAS.

Kedua-duanya akan disertai sama oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS yang sedang mendisiplinkan para pimpinan dan ahli PAS.

Apakah yang akan diucapkan Abdul Hadi dan apakah serangan baru Abdul Aziz Bari dan Abu Hassan Hasbulah bakal menjadi tumpuan hari ini.

Para pemerhati akan melihat apa pula reaksi para pemimpin PAS dari semua peringkat terhadap kenyataan-kenyataan mereka bertiga.

"Ini adalah satu lambang keterbukaan PAS dan PAS mahu ianya diselesaikan secara terbuka dan telus. Sebab itu kita bukakan semua peringkat seminar ini kepada pemerhati dan wartawan," kata Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS.

"Saya yakin, PAS perlu menyelesaikan apapun masalahnya secara berorganisasi dan bukan menyapu segala masalah ke bawah permaidani," ulas Dr Mujahid Yusof, pemegang PhD yang kajiannya adalah tentang organisasi PAS.


Seminar ini adalah yang pertama dibuat oleh PAS untuk membincangkan secara berdepan selepas konflik yang berlaku sejak pilihan raya 2008 lalu tidak selesai dengan tuntas.

Ia sentiasa timbul walaupun cuba diselesaikan dengan cara tradisional iaitu melalui perbincangan secara tertutup dan melalui kenyataan akhbar.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .