Ikuti Blog ini

Kandungan MEMORANDUM kepada DYMM AGONG

YDP Pas Pchg dan Tim. Pengarah 2 Jab. Amal Selangor



Muslimat Pas Puchong

Jab. Amal Pchg dan Shah Alam




Memorandum
Isu Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air di Selangor Darul Ehsan

Kepada:
Duli Yang Maha Mulia
Tuanku Al-Wathiqu Billah Al-Sultan Mizan Zainal Abidin
Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah
Yang Dipertuan Agong, Malaysia

Daripada:
Rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Kerajaan Negeri
Selangor Darul Ehsan

2010

Dengan nama Allah s.w.t., Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., pesuruh Allah s.w.t. yang sangat mencintai dan menggesa umatnya berlaku adil.

Assalamu'alaikum w.b.t.

Ampun Tuanku beribu ampun, sembah rakyat harap diampun.

Dengan keinsafan bahawa kehidupan asasi manusia cukup bergantung dengan akses kepada air yang bersih pada kadar harga munasabah,

Dengan kesedaran perkembangan kos sara hidup rakyat kian meningkat berbanding pendapatan,

Dengan ketegasan menentang penyelewengan, salah guna kuasa dan kepura-puraan,

Dengan iltizam menegakkan sebuah kepimpinan yang prihatin, telus, bertanggungjawab, cekap, dan menghormati semangat dan amalan Persekutuan;

Maka dengan ini kami, Rakyat dan Kerajaan Negeri Selangor, berkumpul marafak sembah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk menyampaikan suara hati kami terhadap isu Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air di Selangor Darul Ehsan.

Ampun Tuanku beribu ampun, sembah rakyat harap diampun.

1) Mengembalikan Hak Air kepada Rakyat

Kami, mewakili 150,000 rakyat Selangor yang telah menurunkan tandatangan sebagai tanda sokongan kepada Memorandum ini dan juga keseluruhan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mendapatkan perkhidmatan air yang sama, menuntut keadilan untuk diri kami membetulkan kesalahan dalam penswastaan Industri Perkhidmatan Air yang telah dibuat, sehingga menyebabkan kualiti dan perkhidmatan air yang teruk serta peningkatan tarif air pada kadar yang tidak munasabah. Justeru, kami menuntut kualiti air dan Perkhidmatan Air yang bersih pada kadar yang munasabah, dengan mengambil kira rakyat miskin serta mereka yang berpendapatan rendah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Kami merafak sembah memohon Tuanku menitahkan agar Hak Air ini dikembalikan kepada rakyat melalui pengambil-alihan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

2) Mematuhi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006)

Kami merafak sembah memohon Tuanku mendokong semangat dan matlamat Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang telah menjelaskan keperluan Industri Perkhidmatan Air ini distrukturkan semula secara holistik dan diuruskan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Sesungguhnya, Akta ini telah dirangka dan diluluskan dengan tujuan membetulkan kesalahan yang dibuat semasa menswastakan Industri Perkhidmatan Air sebelumnya. Kami merafak sembah memohon Tuanku mengingatkan Kerajaan Persekutuan agar tidak berdolak-dalik tentang keputusan ini.

3) Menghak-upayakan Rakyat

Perjanjian konsesi yang ditandatangani pada tahun 2004 antara Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (“SYABAS”), Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor mengandungi sejumlah persoalan yang jelas menunjukkan SYABAS tidak pedulikan kebajikan rakyat seperti kenaikan tarif air pada kadar yang tinggi (37% pada tahun 2009, dan 25%, 20%, 10% serta 5% pada 2012, 2015, 2018 dan 2021). Perjanjian ini seharusnya dirundingi dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana mereka adalah penerima kesan utama daripadanya. Kami merafak sembah memohon Tuanku menghak-upaya rakyat dengan memastikan bahawa sebarang perjanjian baru yang mahu dibuat perlulah dirunding dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sebelum dimuktamadkan.

4. Mengembalikan Kuasa Kerajaan Negeri

Perkhidmatan air yang telah dimasukkan dalam Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan 1957 memberikan kuasa bersama Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan dalam hal berkaitan. Kami mendesak Kerajaan Persekutuan untuk menghormati semangat Persekutuan ini dan kuasa yang dimiliki oleh Kerajaan negeri dalam isu berkaitan perkhidmatan air ini, dan jangan berdolak-dalik menentang Kerajaan Negeri Selangor. Kami merafak sembah memohon Tuanku untuk mengembalikan kuasa Kerajaan Negeri Selangor dalam hal ini.

5) Menghapuskan Kronisme

Telah menjadi persepsi umum bahawa Kerajaan Persekutuan mengambil sikap menyebelahi sektor swasta, dalam kes ini syarikat tertentu, yang boleh disabitkan dengan amalan kronisme. Telah terbukti bahawa usaha membolehkan syarikat-syarikat penerima konsesi ini mendapat sejumlah keuntungan tertentu, mereka dibenarkan untuk menaikkan kadar tarif yang tinggi dengan pemberian jaminan pinjaman Kerajaan Persekutuan yang bermaksud rakyatlah menjadi pembayarnya. Rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini perlu membayar kadar harga air yang tinggi, dan pembayar cukai Malaysia perlu menjamin risiko perniagaan SYABAS. Kami merafak sembah memohon Tuanku mengingatkan janji Kerajaan Persekutuan untuk segera menghapuskan kronisme.

Dengan mandat diberikan rakyat, Kerajaan Negeri Selangor bertekad untuk memastikan nasib mereka terbela. Dengan pengambil-alihan Industri Perkhidmatan Air ini, Kerajaan Negeri Selangor berjanji untuk mengusahakannya dengan cara terbaik untuk manfaat semua.

Sekianlah penjelasan daripada Kerajaan Negeri Selangor dan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bersama mendoakan dan menyokong tindakan penting ini.

Menjadi harapan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk melihat ia diambil perhatian serius oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Rakyat menjunjung kasih atas perhatian yang diberikan.

Sekian, terima kasih.

Daulat Tuanku.
5 Disember 2010.

Air: Rakyat rayu sokongan Agong




KUALA LUMPUR, 5 Dis: Kerajaan negeri Selangor hari ini berjaya menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung isu pengambilalihan industri air oleh Kerajaan Selangor dari syarikat konsesi yang telah tertangguh lebih dua tahun lalu.

Penyerahan dibuat Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan beberapa anggota exco kerajaan negeri kepada Pegawai Akhbar Istana Negara, Khairi Abdul Rahman yang menerimanya bagi pihak Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara kira-kira jam 2.30 petang ini.

Memorandum tersebut antara lain memohon Yang di-Pertuan Agong agar menitahkan agar hak air ini dikembalikan kepada rakyat melalui pengambil-alihan oleh kerajaan negeri Selangor.

Kerajaan negeri juga mahu Tuanku mengingatkan Kerajaan Persekutuan agar tidak berdolak-dalik untuk mematuhi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006) menjelaskan keperluan Industri Perkhidmatan Air ini distrukturkan semula secara holistik dan diuruskan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Memorandum itu juga turut ditandatangani 150,000 rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mahu hak pengurusan air dikembalikan semula kepada kerajaan negeri.

Terdahulu berucap kepada 15, 000 peserta himpunan di Masjid Negara, Khalid menyatakan himpunan hari ini adalah suara rakyat negeri yang membantah kenaikan harga air oleh Syabas.

Rakyat Selangor, tegasnya menentang penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan kepura-puraan pihak berkenaan dalam isu air.

Kerajaan negeri jelasnya mengambil pendirian menentang kaenaikan tarif air oleh Syabas kerana menyedari kos sara hidup rakyat yang meningkat berbanding pendapatan yang diperolehi mereka.

Ianya juga bagi menjelaskan kepada rakyat bahawa kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor prihatin dan bertanggungjawab terhadap kesusahan rakyat.

“Dengan ini kami rakyat dan kerajaan negeri Selangor berkumpul merakfak sembah kepada Duli Tuanku untuk menyampaikan rasa hati kami terhadap isu penswastaan semula air di Selangor,” ujarnya ketika berucap di perkarangan Masjid Negara, sebentar tadi.

Lebih 150,000 tanda tangan rakyat negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berjaya dikumpul dan akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Kerajaan negeri juga katanya mahu Tuanku menyokong semangat Akta Industri Air 2006 yang menyatakan hak air perlu diserahkan kepada kerajaan negeri.

Perjanjian konsesi 2004 antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan Syabas juga katanya perlu dilihat semula ekoran Syabas didakwa tidak mempedulikan kesusahan rakyat.

Beliau juga mendakwa pengurusan air Selangor wajar diserahkan kepada kerajaan negeri bagi menghapuskan kronisme.

"Persepsi rakyat, kerajaan dilihat lebih mengutamakan syarikat swasta akibat amalan kronisma demi kepentingan pihak tertentu.

"Dalam masa sama rakyat disusahkan," katanya.

Dalam pada itu, Khalid juga kesal dengan pihak polis yang tidak menunaikan janji untuk membenarkan perhimpunan secara aman diadakan sehingga berlaku tangkapan melebihi 50 orang.

“Saya berharap dan mengesa pihak polis melepaskan mereka tanpa syarat,” katanya dalam satu kenyataan petang ini. -Hrkh

Demo Air Berjaya, Memo Berjaya Diserahkan dan 50 ditahan..



MB Selangor serah Istana Negara memo, polis guna gas pemedih lerai perarakan

Peserta himpunan protes air berarak dari kawasan Masjid Negara ke arah Istana Negara. — Gambar oleh Jack Ooi

KUALA LUMPUR, 5 Dis — Perarakan himpunan aman protes isu air Selangor berakhir dengan pertembungan antara para peserta dan polis, tetapi Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menyerahkan memorandum kepada Istana Negara dengan kawalan pasukan keselamatan.

Khalid menyerahkan memorandum sebagaimana dirancang kepada Istana Negara untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sekitar 2.30 petang tadi.

Kumpulan Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) juga menyerahkan mereka kepada Istana Negara dengan polis hanya membenarkan dua kereta menuju ke Istana Negara dari kawasan Stadium Merdeka-Dewan Perhimpunan Cina di Jalan Maharajalela.

Terdahulu polis menghalang perarakan sekitar 15,000 penyokong kumpulan protes air Selangor daripada meneruskan hasrat mereka menuju ke Istana Negara.

Kumpulan itu yang meninggalkan kawasan Masjid Negara sekitar 1.50 tengah hari, ditahan selepas bergerak sejauh 200m.

Ekoran tindakan polis itu, kumpulan itu merempuh sekatan polis di kawasan bangunan KTMB dan menyebabkan anggota FRU melepaskan gas pemedih mata.

Tinjauan mendapati pasukan FRU melepaskan gas dan air pemedih mata terus-menerus selama setengah jam apabila peserta terus mahu berarak ke arah Istana Negara.

Anggota polis menahan salah seorang peserta himpunan protes air di kawasan bangunan KTMB. — Gambar oleh Jack Ooi

Pasukan polis mengenakan sekatan lalu lintas sejak pagi tadi di beberapa kawasan di Lembah Klang bagi menghalang kehadiran penyokong kedua-dua kumpulan GAPS dan protes air Selangor.

Anggota FRU terus melepaskan gas pemedih mata ke atas penyokong protes air berhampiran stesen kereta api lama dekat Masjid Negara. Sekurang-kurangnya 10 tembakan dilepaskan sehingga 2.05 petang tadi.

Pihak polis memberi kata dua kepada peserta perarakan agar bersurai secara aman dan jika tidak akan menggunakan kekerasan untuk menyuraikan mereka.

Ketika kumpulan itu tidak berganjak dengan pendirian mereka, FRU terus melepaskan tembakan gas pemedih mata.

Sekitar pukul 2.30 petang, FRU terus melepaskan air pemedih mata, menyebabkan sebahagian besar peserta melarikan diri ke arah Masjid Negara.

Mesej menerusi Twitter oleh seorang pegawai Pejabat Menteri Besar Selangor menyebut Khalid telah menyerahkan memorandum bersama 250,000 tandatangan kepada Istana Negara sekitar 2.30 petang.

Bagaimanapun menurut Exco Kerajaan Negeri Selangor Teresa Kok, polis telah menghalang rombongan delegasi daripada merakamkan sesi penyerahan memorandum.

Selepas Menteri Besar Selangor menyerahkan memorandum polis mula mengambil tindakan terhadap peserta himpunan dan sehingga 3 petang tadi, kira-kira 50 orang ditahan.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad dilihat mengadakan perbincangan dengan polis agar membebaskan peserta-peserta yang ditahan. -TMI

Peserta bantah kenaikan air kena gas



KUALA LUMPUR, 5 Dis: Kira-kira 15,000 orang yang menyertai perhimpunan aman membantah kenaikan harga air oleh Syabas di pekarangan Masjid Negara terpaksa berpecah kerana disuraikan dengan semburan air dan gas oleh pasukan polis.

Ini ekoran pihak polis menghalang semua laluan menunju ke Istana Negara.

Mereka yang berkumpul sejak sebelum waktu Zohor pada mulanya berada dalam suasana tenang sementara menunggu ketibaan pemimpin Kerajaan Selangor untuk menyerahkan memorandum membantah kenaikan tarif itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid berkesempatan menyampaikan ucapan yang sebahagiannya adalah daripada kandungan memorandum itu kepada orang ramai.

Pihak polis membenarkan rombongan beliau dengan tiga buah kereta ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum berkenaan.

Sebaik sahaja anggota rombongan meninggalkan kawasan Masjid Negara, pihak polis mulai menyurai peserta himpunan aman itu termasuk menggunakan gas pemedih mata dan semburan air daripada jentera water cannon. -Hrkh

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyampaikan ucapan.

Sebahagian peserta himpunan aman membantah kenaikan harga air oleh Syabas di perkarangan Masjid Negara.

AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu turut menyertai rakyat menolak penswastaan air.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Mohd Salleh turun bersama rakyat menyatakan bantahan.

Rakyat dari pelbagai lapisan yang menyertai bantahan kenaikan harga air oleh Syabas.

Pasukan polis membuat halangan.

Jentera water cannon menyebur air dan melepasjan gas pemedih mata kepada peserta himpunan aman.

Perak bakal muflis, hutang naik 500%

IPOH, : Negeri Perak bakal muflis sekiranya hutang yang menggunung sejak 10 tahun lalu tidak dilangsaikan segera, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Remis, Nga Kor Ming.

Beliau berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir semasa membentangkan Bajet 2011 memberitahu ledakan hutang kerajaan negeri semakin hari semakin menggunung di mana pada 1999 sebanyak RM182 juta tetapi 2010 kini mencecah paras RM903 juta.

Tambahnya, hutang tersebut telah meningkat lebih kurang 500 peratus.

“Fakta di depan mata yang tidak dapat dinafikan adalah, kini hutang negeri Perak telah melebihi segala simpanan kerajaan negeri dalam kumpulan wang bersatu kerajaan,” ujarnya ketika membahaskan bajet negeri 2011 pada persidangan Dun, semalam.

Dengan kata lain, beliau yang juga Setiausaha DAP negeri berkata, sekiranya tidak dijelaskan segera hutang tersebut negeri Perak akan muflis.

“Jika tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah...tepuk dada, tanya iman, jika bersalah, sila bertaubat,” ujarnya sinis.

Sebaran: Demo Bantah Penswastaan Air Selangor hari ini...

http://4.bp.blogspot.com/_snvxpmtrq20/TPWoQJrgEwI/AAAAAAAAHFU/i0eUZrFwGGg/s320/BANTAH-KENAIKAN-AIR.jpg

Jangan lupa turun untuk menentang kapitalis laknat!
Pakai Baju Warna Merah
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .