Ikuti Blog ini

Kejayaan Mesyuarat PAFA,Mencerminkan Kematangan Ahli Majlis dan Presiden.

Mesyuarat Ahli Majlis PAFA yang dipegerusikan oleh YB Haji Muhammad Nizar selaku presiden PAFA bermula jam 2.15 petang tadi diadakan di Bilik Mesyuarat PAFA.Tetapi oleh kerana Bekas Presiden Kelab Penyokong Perak Sdr. Jamil Osman yang telah dipecat pada bulan november yang lalu tiba-tiba hadir dan menyuarakan ketidakpuasan hati beliau diatas pemecatan tersebut menyebabkan mesyuarat tergendala seketika.

Presiden menerangkan bahawa Sdr. Jamil banyak mengeluarkan kenyataan yang menentang Presiden dan sering mendesak YB Haji Nizar agar melepaskan jawatan,oleh kerana beliau sudah tidak sehaluan lagi dengan PAFA maka terpaksalah pemecatan dilakukan untuk kebaikan pengurusan Bolasepak Perak.

Desas-desus akan diadakan usul untuk memecat YB Nizar dan mengadakan EGM,langsung tiada kedengaran dan dibangkitkan.Suasana mesra dikalangan Ahli Majlis memutuskan bahawa tidak akan ada campurtangan politik dalam bolasepak perak,segala hutang dan kebajikan pemain akan dijaga dengan penuh amanah.

Sebidang tanah kepunyaan PAFA yang hampir 10 tahun tidak dimajukan,akan mula diusahakan oleh PAFA agar segala hasilnya dapat membantu kewangan PAFA pada masa akan datang.

Untuk menguatkan lagi komitmen dikalangan Ahli Majlis maka mesyuarat PAFA akan diadakan sebulan sekali.YB Haji Nizar menyatakan bahawa Presiden FAM memberikan kepercayaan yang sepenuhnya kepada beliau agar dapat membangunkan Bolasepak Perak tanpa ada campurtangan politik dan sentiasa menjaga keperluan dan kebajikan pemain.

Dengan segala perancangan dan keputusan yang telah diambil dalam mesyuarat itu,serta sokongan yang akan diberikan oleh Kerajaan Negeri,maka kesimpulannya,pihak BN kini sudah mengakui bahawa PAFA yang diketuai oleh Presidennya YB Haji Nizar mampu mentadbir Bolasepak Perak dengan baik..Syabas Yeoppp....

Pecah tembelang - BN disaman RM546 juta.


BN pula disaman RM546 juta kes kontrak

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan sebuah syarikat papan iklan dan BN memfailkan tujuh dokumen termasuk senarai isu yang akan dibicarakan berkaitan kes saman RM546 juta syarikat itu terhadap BN.

Syarikat Pentas Permata Sdn Bhd (PPSB) dan BN diperintahkan memfailkan antara lain ikatan dokumen yang dipersetujui kedua-dua pihak dan yang tidak dipersetujui, senarai saksi terlibat dan ikatan kes plaintif dan defendan.

Timbalan Pendaftar, Nur Yusliana Yusoff membuat arahan itu dalam kamarnya selepas kes itu disebut di hadapannya bagi pengurusan kes.

Peguam BN, Datuk Mohd Hafarizam Harun, memberitahu pemberita bahawa Nur Yusliana menetapkan 26 Jan untuk pengurusan kes akhir saman itu bagi menentukan tarikh perbicaraan.

Pada 7 Dis 2007, PPSB menfailkan saman terhadap BN kerana menamatkan perjanjian bertarikh 5 Jan 2006, untuk membekalkan dan mendirikan papan iklan luaran bagi BN untuk mempromosikan BN semasa pilihan raya umum.

Syarikat itu yang dilantik sebagai ejen untuk mendirikan papan iklan bagi BN, menamakan BN melalui pegawai amnya Datuk Yaakob Mohammad, sebagai defendan.

PPSB, dalam pernyataan tuntutannya, mendakwa mengikut perjanjian, BN berhak menamatkan perjanjian itu pada bila-bila masa dalam tempoh enam bulan daripada perjanjian itu ditandatangani tetapi BN telah mengeluarkan notis itu selepas enam bulan perjanjian ditandatangani.

Akibat itu, syarikat itu mendakwa telah mengalami kehilangan keuntungan sebanyak RM546,552,800 termasuk kos mendirikan papan-papan luaran, pendapatan tahun pertama dan kedua dan jumlah pendapatan sepanjang 10 tahun.

Syarikat itu mendakwa BN juga gagal untuk bekerjasama bagi memperoleh lokasi strategik dan menyokong permohonan syarikat itu untuk mendirikan papan-papan luaran itu.

Syarikat itu menuntut ganti rugi khas sebanyak RM546,552,800, ganti rugi am, kos, faedah dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

BN dalam pernyataan pembelaan mendakwa penamatan perjanjian itu adalah sah kerana PPSB gagal menunjukkan sebarang hasil daripada tugas yang sepatutnya dijalankan mengikut perjanjian itu.

BN mendakwa syarikat itu tidak pernah memintanya bagi menyokong permohonan syarikat itu untuk mendirikan papan luaran itu dan BN juga tidak bertanggungjawab untuk memperoleh lokasi strategik bagi membina papan luaran itu.

Ia berkata tindakan syarikat itu memfailkan saman terhadap BN adalah salah kerana yang sepatutnya disaman adalah pegawai amnya. BERNAMA

Ust. Azizan minta rakyat tegur kesilapan kerajaan negeri.

ALOR SETAR, 8 Dis: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Razak meminta rakyat negeri itu menegur dan memberitahu tindakan silap dan boleh dianggap zalim yang dilakukan kerajaan negeri.

Berucap pada himpunan bulanan bersama kakitangan kerajaan negeri di Wisma Darul Aman semalam beliau memberitahu, kerjasama rakyat itu sangat perlu bagi memudahkan kerajaan negeri bertindak segera bagi membetulkan segala kesilapan demi kesejahteraan rakyat negeri itu.

"Saya mintak semua rakyat tolong tunjuk di mana kerajaan sekarang buat zalim supaya kita dapat baiki.

"Kita mengaku tak semua kita buat adil, kita tak mahu nak jawab depan Tuhan," katanya ketika berucap dihadapan kakitangan dan pegawai kerajaan negeri semalam.

Pada perhimpunan tersebut beliau turut mengingatkan kesemua kakitangan kerajaan negeri cermat dalam menunaikan tanggungjawab pentadbiran agar tidak menzalimi rakyat.

Beliau tidak menolak kemungkinan, kerajaan negeri tidak terlepas dari melakukan perkara tersebut dalam urusan pentadbiran.

"Kita ni pegawai kerajaan. Saya menteri besar, ni ketua jabatan dan exco, kadang-kadang kita buat perkara zalim kat orang, sengaja dan tidak sengaja.

"Saya tekan sangat jangan buat zalim pada orang," katanya .

Lebih lebih lagi katanya, doa orang dizalimi langsung tidak terhijab dan akan dimakbulkan Allah.

Sehubungan itu semua kakitangan di semua peringkat ujarnya perlu berhati-hati agar tidak terjerumus dalam melakukan tindakan yang boleh disifatkan sebagai zalim.

Nik Aziz melawat tempat kejadian kemalangan KB MALL




KOTA BHARU, 8 Dis: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, meluangkan masa kira-kira 25 minit di tempat kemalangan yang meragut dua nyawa dan satu parah dalam kejadian kereta terjunam dari parkir di KB Mall kelmarin.

Beliau yang diiringi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan diberi taklimat oleh kakitangan Pasaraya New Pasiffic berhubung kejadian yang telah berlaku.

Turut meninjau perkembangan itu, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah, Meja (B) Md AnizamAbdul Rahman, Yang Dipertua MPKB, Haji Ahmad Mahmood, serta para pegawai kanan MPKB-BRI.

Ketika memberitahu pemberita selepas itu beliau berkata, kejadian berkenaan sesuatu yang diluar jangka dan tidak tidak terfikir oleh sesiapapun.

“Benda ni (kejadian itu) berlaku payah nak fikir, semuanya kuasa Allah, bagaimana kemalangan boleh berlaku dengan merempuh dinding yang begitu tebal, kemudian merempuh pula orang di bawah,”ujarnya.

Sementara itu, mesyurat khas yang berlangsung 11.15 pagi tadi memutuskan pasaraya berkenaan boleh beroperasi sebagaimana biasa bermula pukul 2.00 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata ianya diambil kira selepas mesyuarat memutuskan struktur bangunan berkenaan masih dalam keadaan baik.

“Bukan itu sahaja, pembinaannya juga tidak menyalahi peraturan MPKB-BRI seperti dengan mencampuri bahan-bahan yang tidak baik sehingga menjejaskan struktur bangunan,”ujarnya.

Bagaimanapun, menurutnya pihak Bomba dan Penyelamat meminta factor keselamatan sentiasa diambil kira bagi memastikan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Pada kejadian yang berlaku petang 6 Disember lalu, dua pelajar perempuan sebuah kolej kejururawatan Masterskill Cawangan Kota Bharu maut, manakala seorang lagi parah dan seorang lagi cedera ringan dihempap sebuah kereta yang terjunam dari tempat parkir tingkat atas.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Siti Nor Amira Samsuddin, 19 dan Siti Nor Diana Azman, 18, manakala mangsa yang cedera parah ialah Rashidah Ahmad Latfi, 24, juga pelajar kolej yang sama.

Pemandu kereta terbabit, Nor Ain Said, 19, hanya mengelami cedera ringan setelah kereta jenis Ford Laser TX3 yang dipandu mangsa dikatakan rosak di Tingkat 3 parkir itu, tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh dinding lubang angin pasar raya itu.

Sumber: Harakahdaily
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .