Ikuti Blog ini

Laporan Polis Sahabat Arwah Aminulrashid

Pengadu menyatakan:-

Pada 26/04/2010 jam lebih kurang 12:00 pagi saya keluar menaiki kereta kawan saya bernama AMINUL RASHID BIN HAMZAH pergi ke sek 7 Shah Alam kedai mamak Ali Corner untuk berjumpa dengan kawan saya bernama Mohd Basir yang mengalami masalah motor pancit.

Semasa hendak pergi ke tempat kawan saya, kami telah tergesel dengan sebuah kereta nombor pendaftar dan jenis kereta tersebut tidak ingat menyebabkan AMINUL RASHID menjadi takut dan melarikan diri untuk balik ke rumah di Sek 11 Shah Alam.

Selepas keluar dari kedai mamak, kami dikejar oleh beberapa buah m/sikal no. tidak ingat kemungkinan kawan-kawan kepada kereta yang kami gesel tadi.

Sampai berhampiran Bulatan Kayangan di Sek 12 Shah Alam, salah sebuah m/sikal tadi hendak memotong kereta kami tetapi terlanggar bahagian belakang kereta menyebabkan penunggang m/sikal terjatuh.

Oleh kerana terlalu takut, AMINUL RASHID memandu kereta dengan laju dan memotong sebuah kereta Polis MPV menyebabkan kereta polis tersebut mengejar kami.

AMINUL RASHID menjadi bertambah takut dan membawa kereta dengan laju tanpa menghiraukan keselamatan kami dan juga orang awam.

Kereta polis terus mengejar kami sehingga ke Stesyen Minyak Caltex Sek 11 dan saya terdengar tembakan bertubi-tubi mengenai tayar belakang kereta menyebabkan kereta yang dipandu AMINRUL RASHID terhoyong-hayang dan tergelincir dan masih dapat dikawal.

Dan semasa saya terdengar tembakan kali terakhir terkena pada kepala AMIRUL RASHID menyebabkan beliau jatuh diatas riba saya dan saya nampak bahagian belakang kepala AMINUL RASHID berlubang dan berdarah.

Kereta kemudiannya tidak dapat dikawal lalu terlanggar tembok rumah orang lalu berhenti.

Saya keluar dari kereta untuk menyerah diri saya dan salah seorang daripada anggota Polis menendang saya dan belakang dan kemudiannya Polis yang lain terus terus memukul dan memijak saya beramai-ramai.

Saya meronta-ronta dan dapat melarikan diri daripada anggota Polis tersebut lalu balik kerumah.

Saya mendapat cedera di tangan kanan, kaki dan sakit kepala.

Tujuan saya buat laporan adalah untuk menceritakan semula perkara sebenar yang berlaku ke atas diri saya dan kawan saya yang...


Kalau cakap ada polis jahat mengalahkan babi gila, marah... tapi... argh... korang pikir la sendiri... ni ajaran APCO ke..?

Bahtera Nabi Nuh ditemui



HONG KONG - Sekumpulan penjelajah China dan Turki kelmarin mendakwa mereka mungkin telah menemui bahtera Nabi Nuh pada ketinggian 4,000 meter di sebuah lereng curam di Gunung Ararat, timur Turki.

Jurucakap pasukan berkenaan memberitahu, beberapa binaan kayu yang mereka temui di lokasi itu didapati berusia 4,800 tahun berdasarkan ujian penentuan tarikh karbon iaitu sama usianya dengan zaman banjir besar pada era Nabi Nuh.

"Penemuan ini bukan mengesahkan 100 peratus bahawa ia bahtera Nabi Nuh tetapi kami yakin ia 99.9 peratus adalah bahtera itu," kata seorang anggota pasukan penjelajah, Yeung Wing-cheung.

Menurutnya, binaan kayu itu dibahagikan kepada beberapa petak, sebahagiannya memiliki rasuk kayu yang dipercayai digunakan untuk menempatkan sejumlah haiwan dalam bahtera itu.

kosmo

PAS sokong calon DAP di Sibu

Quantcast


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan tahniah dan menyokong pencalonan Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng bagi pilihan raya kecil Parlimen Sibu 16 Mei nanti. Wong yang juga Adun Bukit Asek merupakan pilihan terbaik untuk Pakatan menambahkan kerusi Parlimen di Sarawak.

Pada masa ini Pakatan hanya mempunyai seorang ahli parlimen sahaja dari Sarawak iaitu YB Chong Chieng Jen bagi Parlimen Bandar Kuching. Walaupun Wong tewas kepada mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew yang menang dengan majoriti 3,549 namun DAP mempunyai pengundi tegar hampir 16000 orang di situ.

Sokongan rakyat mula meningkat sejak DAP mencipta kejutan pada tahun 1982 dengan memenangi kerusi Bandar Sibu melalui Ling Soe Ming, yang mengalahkan Tan Sri Dr Wong Soon Kai yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak ketika itu.

Rekod lama ini tidak boleh dipandang sepi kerana statistik sokongan masyarakat Cina akhir-akhir ini lebih condong kepada Pakatan seperti yang ditunjukan dalam PRK Hulu Selangor baru-baru ini.

Tidak mustahil Sibu yang dihuni 60 peratus pengundi Cina akan memberikan kemenangan kepada Pakatan bagi mengukuhkan suara masyarakat Sarawak yang tertindas sejak sekian lama.

Dengan tidak memandang rendah pengaruh wakil SUPP bagi BN, Robert Lau Hui Yew Pakatan akan berusaha memenangi baki 40 peratus pengundi di Sibu yang terdiri dari 20 peratus Melayu-Melanau, Iban 18 peratus, 1.1 peratus Orang Hulu dan 0.9 peratus lain-lain. PAS melihat bahawa pengundi bukan Cina ini juga sebagai aset penting bagi memastikan Pakatan mampu merampas kerusi itu dengan lebih selesa.

PAS akan mengerakan jentera pakar dari Semenanjung tanahair untuk bersama-sama jentera di Borneo bagi mengempur BN di Sibu. PAS akan terus membiarkan BN bagai ayam berak kapur melihat begitu positifnya kerjasama jentera Pakatan yang kini lebih kuat dengan penyertaan Parti Nasional Sarawak (SNAP) menjelang PRK Sibu nanti.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Kenyataan Akhbar YB Nasir Berhubung Soalan Bidang Kuasa Sultan

Oleh:
YB. MOHD NASIR BIN MUSTAFA
ADUN KUBANG ROTAN

Saya bertanyakan empat soalan lisan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah baru-baru ini, di mana dua daripadanya menjadi kontroversi berpunca dari bantahan yang dibuat oleh Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Mahadzir Khalid.

Dua soalan tersebut ialah:
Sejauh manakah bidang kuasa KDYMM Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini dihormati oleh kerajaan Pusat?

Setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan kerajaan negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam, nyatakan perkara tidak boleh tersebut?

Setengah-setengah soalan ditanya bukan bertujuan untuk mendapatkan penjelasan hanya kerana penyoal tidak tahu. Secara ikhlas dan berterus terang, saya mahu pihak yang menjawab menjelaskan perkara sebenar yang berlaku. Itulah hakikatnya yang saya lakukan.

Penjelasan terhadap soalan (a):

Dalam soalan (a) saya mahu dijelaskan, apakah Kerajaan Pusat sebenarnya tidak menghormati bidang kuasa KDYMM Sultan Kedah sebagai ketua agama Islam. Sebagai contoh, Kerajaan Pusat melalui JAKIM telah memanggil imam-imam seluruh negeri Kedah di SP Inn pada 4 April 2010 hari Ahad di rasmikan oleh YB. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj Baharom (B) Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari Kerajaan Pusat.

Soalan ini timbul kerana kekeliruan saya terhadap tahap campur tangan Kerajaan Pusat terhadap pentadbiran Agama Islam di negeri Kedah. Bahkan bagi saya campur tangan pihak Kerajaan Pusat boleh mengelirukan pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Kedah (JAIK) berhubung bidang kuasa pentadbiran agama peringkat negeri dan Kerajaan Pusat.

Penjelasan terhadap soalan (b):

Dalam soalan (b) saya mahu memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat tidak pernah dengan sesuka hati dan sewenang-wenangnya mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawai masjid hanya kerana sebab politik kepartian, seperti tuduhan yang dibuat oleh ADUN Bakar Bata, Dato’ Ahmad Bashah Md Hanipah baru-baru ini.

ADUN Bakar Bata dalam laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 6 April 2010 bertajuk ‘Pegawai Masjid Dipaksa Bersara’ telah menghasut pegawai-pegawai masjid tertentu supaya tidak mengisi borang M4 seperti yang diminta oleh Pejabat Agama Daerah Kota Setar. Tindakan ini terang-terangan telah mencampuri bidang kuasa KDYMM Sultan.

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat sedar bahawa pentadbiran agama adalah di bawah bidang kuasa Sultan, sebab itu mengambil sikap tidak campur tangan.
Dengan itu tuduhan bahawa pelantikan dan pemecatan imam adalah kerana ‘arahan politik’ Kerajaan Negeri adalah tidak benar dan berniat jahat.


Kedua-dua soalan tidak mempertikaikan kuasa Sultan

Sama ada secara tersurat atau tersirat, soalan saya langsung tidak mempertikaikan bidang kuasa Sultan seperti yang dilaporkan oleh media arus perdana. Apatah lagi kata-kata yang bermaksud menghina Sultan.

Saya yakin semua pihak yang waras jika membaca atau mendengar soalan lisan ini bersetuju bahawa tidak wujud walau sepatah perkataan yang mempertikai kuasa KDYMM Sultan, kecuali pihak pembangkang (BN) dan media-media tertentu yang dikuasai mereka. Mereka cuba mengalih dan menyembunyikan isu sebenar perihal campur tangan mereka dalam pentadbiran agama Islam negeri Kedah.

BN membantah untuk menutup tindakan mereka tidak hormat bidang kuasa Sultan

Pertikaian Ketua Pembangkang terhadap soalan dalam Sidang DUN bukan kerana saya ‘mempertikaikan kuasa Sultan’ tetapi kerana menyedari bahawa hasil dari soalan ini akan mendedahkan tindakan-tindakan mereka selama ini yang mencampuri dan tidak menghormati bidang kuasa KDYMM Sultan.

Oleh itu, mereka telah berhempas pulas untuk memastikan soalan saya tidak dijawab dengan harapan tertutuplah salahlaku mereka yang cuba saya bongkarkan.
Penjelasan Terhadap Kenyataan PKDK

Desakan oleh YDP Persatuan Kerabat Diraja Kedah supaya saya memohon ampun kepada KDYMM Sultan tidak timbul kerana:

YDP PKDK mungkin tidak meneliti soalan lisan saya sehingga mengeluarkan kenyataan menuduh bahawa soalan saya menghina Tuanku Sultan.

Salah faham ini berlaku mungkin kerana YDP PKDK tidak berada di dalam persidangan Dewan dan hanya membaca serta mendengar melalui laporan media.

Berdasarkan laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 28 April 2010 desakan yang sama dibuat oleh Ketua Pemuda BN Kedah, Encik Badrul Hisham Hashim menambahkan keyakinan saya bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh PKDK telah dipengaruhi oleh unsur-unsur politik kepartian.

Kesimpulannya, saya mengharapkan semua pihak bertenang dan tidak terperangkap politik murahan pihak pembangkang (BN) yang sudah ketandusan isu.

LIHAT VIDEO DI BAWAH


Bertarikh 27 April 2010

diposkan oleh : Haji Zulkifli Yahya

SPRM Dibidas Tutup Kes Rasuah RM10 juta Tee Kiat

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mempersoal tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilihat cuba melindungi Datuk Seri Ong Tee Keat dari dikaitkan dengan skandal rasuah Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Beliau berkata tindakan itu jelek berikutan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Dimensi Sdn. Bhd, Datuk Seri Tiong King Sing sudah menyerahkan segala bukti berkaitan, malah hal itu dinyatakan pada sidang Parlimen.

“Dia (Tiong) telah memberi beberapa bukti yang mengatakan duit itudiberi kepada orang pertengahan dan ada orang nampak wang itu diberi kepada Tee Keat. Saya terkejut dengan kenyataan SPRM,” katanya kepada TV Selangor, hari ini.

SPRM membuat pengumuman semalam yang mereka menutup kes siasatan terhadap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat yang didakwa menerima 10 juta daripada Tiong .

Tee Keat kemudian mengesahkan beliau menerima surat makluman pada 22 April lalu yang mengatakan SPRM tiada bukti yang dapat mengaitkan beliau dengan dakwaan itu.

Tahun lalu, SPRM memanggil Tee Keat untuk disoal siasat berhubung skandal PKFZ atas dakwaan beliau menerima RM10 juta daripada Tiong untuk aktiviti MCA.

Ketika itu, Tee Keat adalah Presiden MCA manakala Kuala Dimensi adalah kontraktor utama bagi pembinaan PKFZ. -TVS


SPRM tutup kes Tee Keat terima RM10 juta

PUTRAJAYA, 27 April — Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat (gambar) berkata siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap beliau kerana didakwa menerima RM10 juta daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd Datuk Seri Tiong King Sing, telah ditutup dan tiada siasatan lanjut.

Katanya perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh SPRM dalam surat yang diterimanya pada 22 April lalu yang menyatakan bahawa tiada bukti yang dapat mengaitkan beliau dengan dakwaan berkenaan.

“Kes ini saya dimaklumkan bahawa ianya telah tamat siasatan dan tidak akan dilanjutkan siasatannya. Tiada sebarang bukti yang membuktikan tuduhan-tuduhan liar itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen “Red Means Stop” anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya bersama Sun Media Corporation Sdn Bhd di sini hari ini.

Tahun lepas, SPRM memanggil Ong untuk disoal siasat berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan dakwaan kononnya beliau menerima RM10 juta daripada Tiong untuk aktiviti MCA. Ketika itu Ong adalah Presiden MCA manakala Kuala Dimensi adalah kontraktor utama bagi pembinaan PKFZ.

“Kini telah pun jelas senario sebenarnya, walaupun jawapan ini saya terima agak lewat sedangkan saya sedia maklum kes ini telahpun tamat siasatannya agak awal sebelum ini.

“Tanpa atas apa sebab, saya baru dapat maklum balas atau jawapan pada 22 April lalu,” katanya.

Ditanya sama ada beliau kecewa lewat menerima surat jawapan daripada SPRM, Ong berkata: “Sepanjang hayat kita ini, cukup banyak kekecewaan, rintihan itu ada, kecewa jangan.

“Kalau inilah yang berlaku yang menimpa kita, kita kena juga berdepan dengannya dengan penuh ketabahan.” — Bernama

MAKIN NAIK GAJI, MAKIN MENJADI




Kenapa polis tembak kanak-kanak ini? Tak ada alternatif lain ke yang boleh dibuat..macam tangkap atau ambil no.kereta ke..lagipun mangsa adalah remaja sahaja..bukannya orang dewasa...ada beberapa keraguan dalam kes ini :

1. Mangsa tidak guna senjata lawan polis..kenapa mangsa dibunuh sedangkan ikut laporan polis oleh saksi utama, di dalam kereta tidak ada walau sebilah senjata seperti yang didakwa polis.

2. Saksi utama dipukul oleh 4 pegawai polis yang bunuh mangsa..pastu dilepaskan saksi itu kononnya mangsa penjenayah besar dan polis tiada pilihan selain menembak mangsa.

3. Kenapa polis menembak mangsa di kepala dari belakang sedangkan kereta yang mereka naiki tersebut tidak dapat dipandu dengan laju akibat tayar bocor.

4.polis hanya boleh menembak apabila nyawa mereka sendiri terancam atau apabila nyawa orang awam terancam dan mangsa langsung tidak bersenjata.

5. Mangsa dibunuh atas kesalahan samun ke? Adakah mangsa sebelum itu menyamun??????Tak ada kan..janganlah main syak je..mangsa lari kerana tiada lesen memandu..ini diakui oleh saksi utama dan juga keterengan keluarganya..polis tak boleh tipu.

tunhisyamuddin.blogspot.com

Zaid kemuka petisyen, saman Utusan



PETALING JAYA, 28 April: Calon Pakatan Rakyat daripada PKR dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim akan mengemukakan petisyen membantah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pilihan raya itu.

Beliau juga akan mengemukakan saman terhadap akhbar Utusan Malaysia kerana memfitnahnya sebagai kaki botol.

Zaid menyatakan demikian pada sidang media di kediamannya di Tropicana Golf and Country Resort, di sini, sebentar tadi. - Hrkh

Nelayan Sindir Slogan Presiden Umno?

SSelepas logan Presiden Umno, Najib Razak dikaitkan dengan ‘One Israel’, kini slogan itu terus diragui malah mendapat sindiran daripada nelayan di negeri Sarawak.

Kejadian itu dikesan berlaku di perkampungan Telaga Air, di Kuching, Sarawak apabila nelayan di kawasan itu menaikkan papan tanda dengan kata-kata berikut;

‘Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan, pembangunan harus dilaksanakan, kemahuan rakyat hendaklah ditunaikan.

Jambatan kami jangan dirobohkan, kehendak rakyat harus diperbaiki, tanpa rakyat tiada kerajaan,’.

Difahamkan, papan tanda itu dinaikan bagi menuntut kerajaan negeri segera membina jeti yang sesuai untuk kegunaan nelayan di kampung tersebut.

Mengulas isu itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS negeri Sarawak, Abdul Azeez Mohamad, berkata, kutukan daripada nelayan di perkampung itu merupakan bukti jelas bahawa slogan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib meminggirkan rakyat miskin di negeri itu.

“Slogan 1Malaysia hanyalah slogan politik untuk menyelamatkan bahtera Umno dan Barisan Nasional yang hampir tenggelam,” katanya ketika dihubungi erapakatan.com.

Beliau turut memberi contoh bagaimana slogan itu hanya mementingkan kroni BN sebagaimana yang berlaku dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Beladin sebelum ini.

Menurutnya, bantuan subsidi untuk nelayan di kawasan itu bersifat terpilih dan hanya diberi kepada mereka yang menyokong Barisan Nasional.

Mengulas isu sama, mantan Ketua Polis Daerah Baram, Voon Lee Shan menuntut agar pihak berkenaan segera menyelesaikan masalah nelayan tersebut kerana ia jelas merupakan suara dan rintihan rakyat di perkampungan itu yang memerlukan pembelaan.

“Walapun sekadar tuntutan jeti untuk nelayan, kerajaan BN jangan sesekali mendiskriminasi dan menzalimi nelayan kerana itu adalah hak nelayan dan mereka berhak menuntut apa yang sepatutnya mereka terima,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat di negeri itu terutamanya rakyat marhen agar segera bangkit untuk menuntut hak mereka yang selama ini dipinggirkann oleh kerajaan BN.

Difahamkan, terdapat kira-kira 170 bot kecil dan hampir 30 bot besar nelayan yang menggunakan beberapa jeti termasuklah jeti tradisi sedia ada yang usang di perkampungan itu. -erapakatan / GB

Kenyataan Ibrahim Ali berunsur hasutan




MCA menyelar presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali kerana mengeluarkan kenyataan yang didakwanya berunsur "perkauman menebal" yang telah menyinggung perasaan kaum Cina.

Naib Presiden MCA Gan Ping Sieu berkata kenyataan ahli Parlimen Pasir Mas itu, yang menggesa kerajaan menangguhkan kelulusan peruntukan dan projek kepada kaum Cina - yang Ibrahim anggap sebagai "tidak berterima kasih" dan "tidak menghargai" - amat dikesali.

"Kenyataan itu juga berunsur hasutan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ibrahim membuat kenyataan itu semalam berikutan keputusan pilihan raya kecil bagi parlimen Hulu Selangor Ahad lalu, yang menunjukkan sokongan kaum Cina terhadap BN semakin berkurangan.

Bagaimanapun, Gan menegaskan satu daripada sebab utama BN kehilangan keyakinan kaum Cina adalan berpunca daripada kerjasama sebenar atau tanggapan terhadap kerjasama erat pemimpin BN dengan organisasi "perkauman menebal".

Beliau juga mendakwa kenyataan berunsur perkauman oleh beberapa pemimpin BN yang dilaporkan secara meluas oleh media, turut memberi kesan dalam pilihan raya kecil itu.

Gan berkata jika BN mahu mendapatkan lebih banyak sokongan daripada pengundi bukan Melayu, ia perlu terlebih dahulu menjauhkan diri dengan pertubuhan seperti PERKASA yang cenderung meluahkan kenyataan berunsur perkauman.

Jika tidak, katanya, BN menghadapi risiko kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu dalam pilihan raya umum k-13 akan datang.

"Saya bangga menjadi wakil rakyat yang datang dengan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat. Sebarang kenyataan supaya rakyat berterima kasih dan menghargai merupakan pencabulan terhadap amanah dan keyakinan yang diberikan rakyat.

"Mana-mana ahli politik yang membuat kenyataan berunsur perkauman dalam komuniti mereka sendiri akhirnya akan diketepikan oleh rakyat. Saya pasti jika Ibrahim Ali bertanding sebagai calon di kawasan bukan Melayu, beliau tidak akan mampu dapat 10 peratus pun daripada undi," katanya.

- Bernama
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .