Ikuti Blog ini

Saya tak minta jadi PM - Presiden PAS

KOTA BHARU: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa Islam mengajar beliau agar tidak meminta-minta jawatan.

Justeru, beliau mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak berhasrat menjadi Perdana Menteri selepas Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih Putrajaya.

Beliau berkata, fokus utama PAS dan Pakatan Rakyat adalah untuk menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13, bukan menentukan siapa yang layak menjadi Perdana Menteri.

"Saya sebagai pemimpin yang diajar dalam Islam tak boleh minta jadi pemimpin dan memimpin ini satu amanah yang berat, yang besar tanggungjawabnya.

"Apa yang penting kita nak ke Putrajaya. Siapa Perdana Menteri ialah mereka yang dipilih rakyat, yang layak, yang dapat menyatukan dan menegakkan keadilan untuk rakyat.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya sanggup jadi nelayan balik. Seboleh-bolehnya saya ingin menjadi khadam rakyat," kata beliau pada sidang media di Muktamar Tahunan PAS Kali ke-58 di Putik hari ini.

Beliau juga berkata, PAS merupakan sebuah parti yang mengamalkan demokrasi apabila memberi ruang kepada perwakilan menyuarakan pandangan dan kritikan.

"Demokrasi dalam PAS, kita membenarkan orang bercakap dalam muktamar dan kita akan gulung dan jawab. Ada yang wajar, ada yang tak wajarlah. Ada batasnya.

"Apa lagi sekarang ini zaman terbuka, bukan sahaja yang lidah panjang tapi tangan panjang tulis macam-macam pandangan dia dalam blog dansebagainya dan orang ambil pandagannya," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali memberitahu, pembahagian kerusi antara PAS dan Pakatan Rakyat sudah selesai 90 peratus.

"Pembahagian kerusi dengan Pakatan Rakyat lebih 90 peratus selesai tapi kita tak boleh sebut lagi kerusi-kerusi tersebut," katanya sambil menambah, terdapat wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) akan bertanding. -Hrkh

Himpunan Kebangkitan Rakyat Di Kota Bharu








Himpunan Kebangkitan Rakyat siri II menyaksikan limpahan manusia di Stadium Sultan Mohammad Ke IV, jauh mengatasi kehadiran peminat taksub Red Warriors memenuhi gelanggang sukan itu ketika Kelantan merangkak mendaki juara Piala Malaysia kali kedua.
Gimik berlainan disaksikan pada perhimpunan itu dengan menyaksikan empat wakil NGO muncul dengan agenda masing-masing. Lynas diwakili Clement Chin yang tampil membawa pengharapan supaya kilang nadir bumi di Kuantan gagal menjadi kenyataan.
Kata beliau pihak anti Lynas telah berusaha bermacam-macam cara sehingga membawa ke Mahkamah Rayuan, namun gagal.
“Oleh itu langkah akhir kita akan pastikan kapal yang bakal membawa nadir bumi dari Australia ke Kuantan nanti tidak dapat mendaratkan bahan radio aktif tersebut. Ini semata-mata menyelamatkan generasi anak cucu kita,” katanya, yang kadang-kadang tersekat dengan kelancaran berbahasa Melayu.
Beliau juga mengharap sokongan padu rakyat Malaysia bagi memperjuangkan kehijauan lestari di Malaysia.
Manakala 80 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dinamakan Solidariti Hijau tampil dengan diwakili Pengerusnya, Zulkifli Omar mengajak rakyat bebas daripada pencemaran bagi mengelakkan ia memudaratkan rakyat pada masa akan datang.
“Kita hendaklah menyingkirkan kerajaan yang ada hari ini kerana terus membiarkan pencemaran persekitaran berlaku dalam negara,” katana.
Lim Kit Siang pula tampil mengajak rakyat menukar kerajaan yang ada sekarang kerana sudah dipenuhi dengan pelbagai penyakit terutamanya rasuah yang semakin tidak terkawal.
Katanya, indeks rasuah meletakkan Malaysia semakin merudum di mana pada tahun ini berada pada kedudukan ke-60.
Himpunan Kebangkitan Rakyat juga dikejutkan dengan kehadiran Presiden Seketariat Kebajikan Rangkaian Bekas Anggota Tentera Malaysia (KERABAT), Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar menyerah lebih 700 borang bekas-bekas tentera menyertai PAS.Hrkh

PAS tidak pernah lari dari perjuangan asal - Syura Ulamak


KOTA BHARU: Majlis Syura Ulamak PAS menyeru seluruh ahli, pendokong dan penyokong PAS agar jangan melayan fitnah-fitnah yang ditaburkan oleh musuh-musuh PAS yang kononya PAS telah terpesong dari perjuangannya.

Menurut Timbalan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Dr Haron Din, musuh tahu bahawa PAS masih di atas keasliannya, akan tetapi sengaja manabur fitnah itu tanpa mereka menyedari bahawa sebenarnya mereka mengiktiraf PAS adalah parti yang memperjuangkan Islam yang sebenar.

Di waktu yang sama katanya, mereka berkenaan seperti tidak menyedari bahawa itu adalah taktik dan strategi musuh PAS untuk menyelamatkan diri mereka daripada ditolak rakyat dengan menggunakan individu-individu tertentu untuk mencalarkan PAS demi menjaga kepentingan mereka yang amat tergugat.

"Majlis Syura Ulama sebulat suara membuat penekanan dan perakuan rasmi bahawa PAS adalah PAS dahulu, perjuangannya tidak lari dari perjuangan asal.

"Arah tuju PAS dahulu dan PAS sekarang adalah sama. PAS masih utuh dan masih tetap atas perjuangan asalnya tanpa sedikit pun menyeleweng dari apa yang tercatat di dalam perlembagaan Fasal 5(1)," katanya kepada Harakah dan Harakahdaily hari ini.

Perakuan itu juga ujarnya aalah hasil Mesyuarat Majlis Syura Ulamak yang bersidang di JKR10 di sini malam tadi dengan mengambil kira dua ucapan dasar Presiden PAS di dua muktamar iaitu di Taman Melewar pada 2011 dan di Putik semalam.

Terdahulu, dalam perbahasan ucapan dasar Presiden PAS, perwakilan Ulama Hairun Nizam (kanan) berkata, dasar tahaluf siasi yang diputuskan Ulama ia wajib dipatuhi oleh semua ahli demi keutuhan dan kemantapan organisasi.

"Liku-liku politik yang telah ditempuhi oleh baginda rasulullah sendiri yang patut kita beri perhatian ketika membuat keputusan-keputusan tahaluf siasi," katanya.

Malah katanya, kepimpinan Ulama mahukan bukan kemenangan untuk menjatuhkan BN semata-mata tetapi mahukan kemenangan untuk agama Islam.

"Kita perlu meletakkan kemenangan menjadi hak Allah. Jangan menyorokan Islam seketika untuk mendapat kemenangan dengan meletakkan hukum syarak di nombor dua tiga dan seterusnya, sebaliknya meletakkan hukum syarak itu yang paling utama," katanya.

Beliau turut memberi peringatan kepada pucuk pimpinan PAS agar menolak calon yang melobi diri sendiri untuk menjadi calon dalam PRU akan datang.

"Mohon kepimpinan untuk lihat sebarang tindakan yang melobi diri sendiri menjadi calon, minta calon ini tidak dijadikan calon PRU nanti," jelasnya.   Hrkh

"Orang Minat Agama Mesti Memilih PAS" - Bekas Pengarah JAIM



Bekas pengarah JAIS dan JAIM sertai PAS

Kota Bharu: Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Sultan Mohamad ke IV malam ini menyaksikan seorang lagi pegawai tinggi kerajaan menyertai PAS.

Bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) Datuk Mohd Nahwari Hashim, menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Penyerahan itu disaksikan lebih 30,000 hadirin yang hadir dalam himpunan itu malam ini.

Mohd Nahrawi juga sebelum ini pernah menyandang jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Selain itu beliau juga pernah berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri di bahagian perkhidmatan awam.

Beliau yang ditemui Harakahdaily berkata, kemasukannya ke dalam PAS didorong kesedaran kuat bahawa parti itu benar-benar ikhlas memperjuangkan Islam yang sebenar.

"Saya dah lama nak menyertai PAS, dan hari ini secara rasmi saya menyertainya.

"Saya minat agama, dan tak boleh lari dah. Orang minat kepada agama mesti memilih PAS," katanya.

Baginya, PAS satu-satunya parti yang mampu memartabatkan Islam di negara ini selepas banyak kerosakan dilakukan pemerintah sekarang.

Oleh kerana itu katanya, PAS menjadi pilihannya.

Menurutnya kemasukannya ke dalam PAS diharap mampu menyumbang sesuatu ke arah membina negara yang lebih baik.


30 ribu berhimpun di Stadium Sultan Muhamad


KOTA BHARU: Stadium Sultan Mohamad Kota Bharu mulai penuh dengan para penyokong Pakatan Rakyat yang menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat.

Himpunan anjuran Pakatan Rakyat ini adalah siri kedua selepas himpunan di Senawang, Seremban awal bulan ini.

Himpunan kali ini diadakan serentak dengan Muktamar tahunan PAS ke 58 yang diadakan di sini.

Dianggarkan pada ketika ini sudah lebih 30,000 berada di padang stadium dan kawasan tempat duduk sementara ribuan lagi sedang masuk ke dalam stadium.

Kebangkitan malam ini juga bakal sekali lagi menyaksikan sejarah dicipta di stadium penuh keramat ini apabila beberapa tokoh besar juga turut hadir.

Antara pemimpin besar Pakatan Rakyat yang dijangka akan memberi ucapan termasuk Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Suasana dalam stadium ketika ini dipenuhi dengan empat warna kebangkitan rakyat iaitu oren, merah, hijau dan kuning.

Oren mewakili gerakan menyelamatkan Felda oleh Persatuan Anak Peneroka Felda kebangsaan (Anak), merah mewakili perjuangan NGO 'R' menuntut hak bayaran royalti dan pendaratan minyak dan gas di Kelantan, hijau mewakili gerakan menyelamatkan alam sekitar dan anti-Lynas dan kuning mewakili perjuangan Bersih yang menuntut pilihan raya adil dan bersih.

Selain daripada warna dari pakaian yang dipakai, setiap hadirin juga turut diagihkan bendera mewakili keempat-empat warna tersebut.

Malam ini juga kesemua wakil-wakil NGO tersebut diberi peluang berucap memberikan penerangan berhubung perkembangan terkini isu-isu yang diperjuangan mereka.

Perhimpunan malam ini juga dibuat bersempena berlangsungnya Muktamar PAS kali ke-58 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) yang bermula hari ini hingga Ahad nanti.

Perhimpunan bermula sejak petang tadi apabila pelbagai acara hiburan dan ringan diadakan di perkarangan stadium dan di sekitar bandar Kota Bharu.

Perarakan bermotor NgO 'R' mengelilingi stadium kira-kira jam 3 petang.

Selepas itu persembahan kesenian diadakan di situ termasuklah tarian singa dan lain-lain permainan tradisi.







Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .