Ikuti Blog ini

Haron Din kagum Mursyidul Am PAS terima Anugerah Nobel Asia



Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din melahirkan rasa kagum atas penganugerahan hadiah nobel keamanan kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat oleh Gusi Peace Price Foundation. Iklan

"Saya berasa amat terharu kerana penghargaan ini datang pada waktu dan saat umat Islam di Malaysia dan Asia melihat suatu perkembangan baru umat Islam di rantau ini yang mula meniti kejayaan khasnya bagi pejuang Islam di Malaysia," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

"Sememangnya wajar tokoh itu diberi penghargaan, namun saya sangat yakin bahawa tuan guru tidak pernah mengharapkan anugerah itu kerana beliau lebih menghargai anugerah daripada Allah yang telah meletakkan beliau sebagai pejuang Islam yang beristiqamah, dedikasi dan komited dengan perjuangannya," katanya lagi.

Kejayaan tersebut ujarnya tidak dapat dipisahkan dengan sumbangan besar ulama' tersohor itu yang banyak menghasilkan karya, buku, mengajar, memberi pandangan yang kesahihannya menuju ke arah pembinaan ummah berteraskan Islam.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa selain anugerah yang diberikan Allah kepada manusia, bagi umat Islam terlalu kurang mendapat anugerah daripada manusia khususnya bagi mereka yang gigih memperjuangkan agama Allah.

"Bagi orang Islam, anugerah teragung adalah apabila dapat bertemu dengan Allah kelak.
"Namun teramat kurang dunia memberikan penghargaan kepada pejuang-pejuang Islam dan karyawan ulung dan tersohor," ujarnya lagi.

Beliau menganggapTuan Guru Nik Aziz memiliki pandangan yang membina, pendirian yang amat tegas, kata-kata yang didengari, dipatuhi pengikut serta amat digeruni musuh.
"Ketajaman penanya serta keberkesanan ideaya menjadi fokus utama penilai-penilai yang hendak menilai siapa tuan guru.
"Beliau seorang ulama' besar dan seorang ahli politik yang amat disegani, mempunyai visi dan misi yang jauh memandang ke hadapan, tok guru terus konsisten mengajak rakyat mendaulatkan Islam," katanya lagi.

Tuan Guru Nik Aziz dijangka akan menerima Anugerah Keamanan Nobel versi Asia, Anugerah Keamanan Gusi pada November ini di Manila, Filipina.
Anugerah keamanan Gusi ini diadakan setiap tahun oleh Gusi Peace Price Foundation dan difahamkan 10 hingga 15 tokoh akan dipilih untuk menerima anugerah yayasan itu.

Menurut sumber, anugerah ini akan disampaikan oleh Ketua Yayasan Gusi, Barry Gusi, di ibu pejabatnya yang terletak di Manila.
Barry Gusi dalam satu ulasannya mengenai penganugerahan itu berkata, Menteri Besar Kelantan itu merupakan tokoh kedua dari Malaysia yang memenangi anugerah ini.

Untuk tahun ini, seramai 1,490 tokoh dicalonkan di seluruh dunia sebagai penerima anugerah tersebut.
Anugerah ini boleh dikatakan sebagai anugerah Keamanan Nobel versi Asia, menurut Barry Gusi./

Dr. M gesa ahli Umno paksa Abdullah undur segera


KUALA LUMPUR: Dalam kritikan terbaru terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad "mengaku bersalah kerana" memilih penggantinya itu, tetapi menegaskan, kini yang salah meneruskan kepimpinan beliau adalah "ahli-ahli Umno sendiri."

"Setelah mengetahui kekalahan teruk yang menimpa Umno dan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Abdullah, Umno masih kekalkan kepimpinannya, yang bertanggungjawab dan salah ialah ahli dan pemimpin-pemimpin Umno sendiri," katanya.

"Saya terima saya bersalah kerana memilih Abdullah sebagai pengganti saya. Sekarang saya menyesal kerana saya tidak sangka "Mr Clean" tidak begitu clean," kata beliau menerusi tulisan terbaru dalam blognya hari ini.

Dr. Mahathir yang telah banyak kali mengkritik dan mengecam cara Abdullah mengepalai kerajaan dan Umno sejak lebih tiga tahun lalu berkata: "Saya percaya ahli Umno dan pemimpin-pemimpin Umno di semua peringkat yang marah saya tentu tidak ingin membuat kesalahan yang sama."

Bagaimanapun tegas beliau, hari ini yang berkuasa menggantikan Abdullah hanyalah ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO.

Dr. Mahathir memutuskan untuk keluar Umno pada 19 Mei lalu atas alasan tidak mahu berada dalam parti yang dipimpin oleh Abdullah dan sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya.

Tambah beliau, ahli-ahli Umno tidak harus menunggu sehingga pilihan raya umum ke-13 untuk mengalahkan BN dan Umno supaya Abdullah berundur.

"Yang salah bukan BN atau Umno. Yang salah ialah Abdullah. Jika ahli Umno hendak melihat Umno dan BN dipulih semula, paksalah Abdullah letak jawatan sekarang.
"Jangan calon (mencalonkan) Abdullah di peringkat cawangan atau bahagian.
"Jika kerana cawangan dan bahagian mengizinkan Abdullah terus menjadi Presiden Umno, yang salah ialah ahli Umno sendiri," katanya lagi.

Ahli-ahli Umno, menurut beliau, akan bertanggungjawab terhadap kehancuran Umno dan malapetaka yang akan timpa orang Melayu dan negara Malaysia. Yang akan hancur bersama ialah parti-parti komponen BN.

Kata Dr. Mahathir, setiap kali beliau mengkritik Abdullah sebagai Perdana Menteri ada sahaja orang yang secara sinis berkata "awak yang lantik dia".
"Ya, saya mengaku salah. Saya mengaku yang saya lantik Abdullah sebagai pengganti saya.
"Tetapi ahli Umno juga pilih Abdullah," katanya.

Sambil memberikan latar belakang Abdullah sejak pemilihan 1987 dengan panjang lebar, Dr. Mahathir memberitahu "saya jelaskan latar belakang pemilihan Abdullah sebagai Perdana Menteri bukan kerana hendak bersihkan diri saya."

"Saya rela dihukum jika saya salah," kata beliau yang menyerahkan kuasa pada Oktober 2003.
"Yang penting bagi saya ialah apabila kita lakukan sesuatu yang salah, menuding jari tidak mendatangkan apa-apa faedah.
"Yang penting ialah kita cuba betulkan keadaan. Dalam perkara ini pendapat saya ialah Abdullah perlu letak jawatan dengan sendirinya atau dia disingkir," katanya.

Kata bekas Presiden Umno itu, jika Abdullah benar-benar menyayangi Umno, beliau harus rela korban dirinya untuk penggantinya berpeluang memulihkan Umno.

"Alasannya yang dia ingin awasi pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan tidak boleh diterima kerana sesungguhnya kehadirannya adalah sebab Umno dan Barisan Nasional jadi lemah," katanya.

Konsert Inul dibatalkan - Alhamdulillah



Konsert “Ratu Gelek Indonesia” Inul yang dijadualkan pada 27 Julai 2008 ini telah dibatalkan. Pihak Pemuda Wilayah telah menghubungi syarikat IMS Prima Sdn Bhd, yang menguruskan konsert berkenaan. Pegawai syarikat berkenaan yang enggan memberitahu namanya, memberitahu bahawa konsert tersebut telah dibatalkan.

Konsert tersebut dibatalkan kerana tidak mendapat permit daripada pihak DBKL ekoran ramai yang membantah dan tidak bersetuju dengan konsert tersebut, termasuk bantahan oleh Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. Selain itu ia dikhuatiri akan menimbulkan kekacauan dan gangguan awam.

Pada 23 Julai 2007 yang lepas, rombongan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan yang diketuai oleh Sdr Kamaruzaman telah menghantar memorandum bantahan kepada konsert Inul. Memorandum tersebut telah diterima oleh pegawai khas Datuk Bandar Wilayah Persekutuan.

Sejurus selepas itu Kamaruzaman mengumumkan Pemuda Wilayah akan turun ke Stadium Bukit Jalil bagi mengedarkan 10 000 risalah bagi memberi mesej kesedaran kepada orang ramai.

Saudara Kamaruzaman yang dihubungi tadi melahirkan rasa gembira dengan berita pembatalan konsert ini. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berharap agar konsert-konsert seperti ini, tidak lagi dibenarkan kerana ia akan mendatangkan kesan yang sangat buruk kepada negara kita.

Penyelenggaran Kereta Exco RM 1.1 juta, AMK buat laporan polis


Kuala Terengganu - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu memohon agar suatu siasatan segera dilakukan oleh pihak polis keatas kos ‘terlampau’ penyelenggaraan kereta
Proton Perdana V6 eksekutif yang digunakan oleh exco kerajaan negeri Terengganu.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua AMK Terengganu, Mohd Fariz Musa dalam laporan polis yang dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu jam 3.02 petang hari ini.

Beliau berkata berdasarkan laporan akhbar kelmarin, Menteri Besar Terengganu menyatakan kos penyenggaraan Proton Perdana V6 Eksekutif bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh selama lima tahun bermula 2004 hingga 2008 berjumlah RM235,123.08.

Menurut beliau ia adalah satu jumlah yang amat banyak, membelanjakan wang rakyat dan wang kerajaan negeri Terengganu.

”Walaupun telah dibetulkan (oleh SUK) menjadi RM131,449.83, ia masih satu jumlah yang amat besar,
”dalam keadaan rakyat terbeban dengan isu kenaikan harga minyak sekarang, ia adalah keterlaluan,
”perlu dijelaskan secara terperinci,”katanya kepada media selepas membuat laporan polis.

Beliau yang juga Timbalan Ketua AMK Malaysia berkata walaupun BPR telah melakukan penyiasatan, tetapi ia belum berbaloi (belum ada tindakan apa-apa).

Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri Terengganu, Dato’ Mokhtar Nong menyatakan berdasarkan rekod perbelanjaan menyelenggara kereta rasmi Idris yang menggunakan nombor pendaftaran TS 12, sebanyak RM2,303.48 dibelanjakan pada 2004; RM18,378.76 (2005); RM33,261.37 (2006); RM49,582.81 pada tahun lalu dan RM27,923.41 tahun ini.

”Manakala Perbelanjaan keseluruhan penyelenggaraan 16 kereta digunakan Exco serta pegawai tinggi kerajaan negeri dalam tempoh empat tahun berjumlah RM1,071,668.82,"ujar Mokhtar semalam

Sehubungan dengan itu, Fariz berharap Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya bersikap telus dan profesional serta menyiasat perkara tersebut hingga ke akar umbi.

"Jangan sampai ikan bilis tertangkap, ikan jerung (pula) terlepas,"tambahnya.

Turut menemani beliau adalah Timbalannya AMK Terengganu, Muzafeq Affyulzalfuzam Mohamad dan dua exco AMK Terengganu yang lain.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .