Ikuti Blog ini

Banjir: Terengganu makin pulih

PEKARANGAN Masjid Hadhari di bandar Jerteh digenangi air ketika tinjauan semalam. Masjid Hadhari yang terletak di pinggir Sungai Jerteh kelihatan seolah-olah terapung-apung apabila banjir menenggelamkan hampir 60 peratus kawasan sekelilingnya akibat limpahan air Sungai Jerteh. Banjir yang melanda negeri Terengganu kali ini menyebabkan daerah Besut antara daerah yang paling teruk terjejas dengan bilangan mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan mencecah seramai 1,371 orang daripada seramai 347 keluarga.

KUALA TERENGGANU: Keadaan banjir di Terengganu semakin pulih, terutama di Hulu Terengganu apabila semua pusat pemindahan banjir di daerah itu ditutup hari ini.

Kesemua baki sembilan orang mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Hulu Terengganu dibenar pulang ke rumah masing-masing malam tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata sehingga pukul 9 pagi ini seramai 292 orang masih berada di pusat pemindahan di tiga daerah di negeri ini.

Seramai 124 orang berada di pusat pemindahan di Besut, 143 orang di Marang dan 25 orang di Setiu, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau bekata, jumlah mangsa banjir di daerah Marang dijangka bertambah berikutan hujan lebat sejak pukul 2 pagi hingga 6 pagi ini dan pihaknya sedang mengumpul maklumat terkini mengenai jumlah mereka yang dipindahkan di daerah itu.

Paras air sungai Marang di Pengkalan Berangan kini berada pada paras waspada iaitu 12.73 meter manakala sungai Setiu di Kampung Bukit mencatat 12.13 meter iaitu melepasi paras, katanya.

Jalan-jalan yang masih ditutup ialah jalan Jertih-Hulu Besut, Jalan Pengkalan Berangan-Pulau Kerengga, Jalan Sungai Tong-Pelong, Jalan Matang-Telemong dan Jalan Permaisuri-Hulu Seladang kerana ditenggelami air sedalam antara 0.45 meter dan 1.5 meter.

Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang juga ditutup kepada semua kenderaan kerana Jambatan Temala rosak, kata jurucakap itu.




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .