Ikuti Blog ini

Kerajaan Selangor tiada kompromi dalam isu rasuah - Khalid

Kerajaan negeri Selangor memandang serius beberapa dakwaan kejadian salahguna kuasa dan rasuah yang melibatkan pejabat Menteri Besar dan anak syarikat negeri seperti yang dilaporkan akhbar arus perdana.

Bagaimanapun, sebagai sebuah kerajaan yang telus, adil dan bertanggungjawab, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dengan gejala rasuah.

Malah, kerajaan negeri menyeru Badan Pencegah Rasuah (BPR) membuat penyiasatan yang telus dan adil, di samping bersedia memberi kerjasama kepada BPR, tegas Menteri Besar, Tan Sri Dato' Khalid Ibrahim melalui sekretariat akhbarnya, kepada Harakahdaily, hari ini.

Khalid turut mengucapkan terima kasih kepada mana-mana pihak yang tampil memberikan laporan berhubung isu salahguna kuasa dan rasuah.

Sementara itu, Khalid memberi jaminan bahawa segala siasatan yang dilakukan pejabat Menteri Besar dan BPR yang melibatkan bekas pegawai kanannya, Yahya Sahri akan dibuat secara telus dan adil.

Khalid yang juga Pengerusi Perhubungan KeADILan Selangor mengucapkan penghargaan kepada Yahya atas sumbangan beliau terhadap parti dan diberi peranan dalam parti.

Sebelum itu, dalam mesyuarat perhubungan negeri bersama semua ketua bahagian parti yang diadakan kelmarin, semua ketua bahagian menyatakan sokongan penuh kepada Khalid dalam menjalankan agenda kerajaan negeri bagi merakyatkan ekonomi Selangor.

Tiada campur tangan Anwar dalam lantikan KDEB - Ahmad Rusli

Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) sebuah entiti perniagaan yang merupakan anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor.

Sebagai sebuah entiti perniagaan KDEB bertanggungjawab penuh kepada pemegang saham dan menguruskan urusan perniagaan sebaik mungkin demi tanggungjawab terhadap pemegang saham.

Kewujudan jawatan sebagai penasihat kepada Presiden mana�mana syarikat bukan satu yang asing dan begitu jugalah kepada Presiden KDEB, kata satu kenyataan badan itu hari ini.

Kenyataan itu dibuat oleh Penasihat Khas Presiden KDEB, Ahmad Rusli Ibrahim.

Sejak September 2004, sebaik sahaja selepas dilantik menerajui KDEB, cabaran Dato� Karim Munisar selaku Presiden KDEB cukup besar, katanya.

Sasaran presiden baru pada ketika itu ialah menaikkan daya saing dan produktiviti KDEB dan entiti di bawahnya yang sememang dalam keadaan tidak memberansangkan, katanya.

Akaun syarikat dan pelaburan syarikat perlu disusun untuk itu telah dilantik penasihat kewangan kepada Presiden KDEB untuk menyusun semula perancangan strategik berkaitan kewangan, katanya.

Selain itu demi mendepani perbagai masalah berkaitan undang� undang maka penasihat undang undang korporat kepada Presiden KDEB juga telah dilantik, ujarnya.

"Ternyata tindakan dan pemilihan penasihat yang betul telah membantu Presiden KDEB memacu syarikat sehingga KDEB dan entiti di bawahnya khususnya.

"Kumpulan Peransang Selangor Berhad dan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad telah berjaya menjadi entiti perniagaan yang berdaya saing dan disegani semula," kata kenyataan itu.

Dunia perniagaan perlu bergerak seiring dan berubah segera sebagai respon terhadap persekitaran untuk mengekalkan daya saing, katanya.

"Seiring dengan perubahan dan meneliti impak PRU 12 maka beberapa perubahan perlu dilakukan. Seperti KDEB perlu memainkan peranan besar dalam membantu memenuhi tanggungjawab terhadap pemegang saham utama iaitu kerajaan negeri yang telah berjanji untuk memberikan air percuma kepada rakyat Selangor," ujarnya.

Maka sudah tentu Presiden KDEB memerlukan satu penasihat khas untuk meneliti ke arah merialisasikan perkara ini, katanya.

"Pada April 2008 saya telah dinamakan sebagai Penasihat Khas kepada Presiden KDEB.

"Maka kenyataan yang menyatakan saya sebagai Penasihat KDEB ialah fitnah dan tidak berasas. Saya merupakan kakitangan KDEB yang bertanggungjawab terus kepada Presiden KDEB.

"Saya tidak punya kuasa eksekutif dan bukan ahli lembaga pengarah mana�mana syarikat dibawah KDEB. Selain saya seorang penasihat Ekonomi juga telah dinamakan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada KDEB," katanya.

Ahmad Rusli menjelaskan bahawa bidang tugasannya ialah untuk mengukuhkan dan membina hubungan dan jaringan kerja baik antara pemegang saham, pengursan sumber, pelabur juga sektor korporat dan awam.

"Saya juga diberi amanah untuk memerhatikan dan menasihati Presiden KDEB perubahan strategik khususnya untuk Kumpulan Peransang Selangor Berhad dan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad.

Dengan pengalaman dan hubungan baik dengan pelbagai pihak di dalam dan luar negara khususnya Timur Tengah Ahmad Rusli berkata beliau juga diamanahkan untuk menasihatkan Presiden KDEB mengenai peluang pelaburan baru dan mempertingkatkan keuntungan pelaburan sedia ada.

"Lantikan saya dalam KDEB ini adalah tanpa pengetahuan Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Kemasukan saya demi mempertingkatkan keuntungan syarikat dan memastikan KDEB akan terus menyumbang seiring dengan aspirasi kerajaan negeri di bawah Pimpinan Parti Keadilan Rakyat," katanya.

"Namun setelah desas desus fitnah dan manipulasi jahat ini timbul dan saja juga telah berbincang secara mendalam dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim saya telah mengemukakan surat perletakkan jawatan pada 25 Jun 2008, 3 petang kepada Presiden KDEB," ujarnya.

Polis mula tahan peserta himpunan di Sogo




KUALA LUMPUR, 28 Jun (Hrkh) - Pihak berkuasa polis bertindak menahan enam peserta himpunan aman membantah kenaikan harga minyak anjuran Geram yang berarak dari pelbagai lokasi sekitar Kuala Lumpur ke pusat membeli belah Sogo. ImageKeadaan kini semakin kecoh apabila polis dan FRU bertindak menghalang perarakan aman tersebut yang kini sedang melewati jalan raya di hadapan Sogo.

Mereka yang ditahan adalah kelompok himpunan yang berarak dari berbagai lokasi yang mula berarak sejak jam 3.00 petang tadi.

Mereka yang ditahan ialah Presiden Ikrar, Mustafa Mansor; Setiausa AMK Pusat, Zulfiqar Ali Arifin; Setiausaha Ikrar, Muhammad Hidhir Khalid; Setiausaha AMK Batu, Norsharizal Abd Razak; ahli Anwar Ibrahim Club (AIC), Mohd Herman Muhammad; dan 'Bob' juga ahli AIC. Mereka kini dibawa ke Balai Polis Tun HS Lee untuk disoalsiasat. Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin turut berada di hadapan balai polis berkenaan.

Polis kini sedang sibuk menghalang pergerakan himpunan tersebut dimana lima trak FRU dengan kekuatan 50 orang polis ditugaskan bagi mengawal sekitar tempat himpunan aman tersebut.

Jurugambar Harakah, Wan Zahari Wan Salleh turut disoal siasat oleh seorang Pegawai Cawangan Khas (SB) berhubung gambar-gambar yang dirakamkan Wan Zahari.

ImagePihak SB tersebut meminta Wan Zahari agar menunjukkan gambar-gambar yang diambilnya.

Peserta himpunan kini mula mengarahkan pergerakan ke Balai Polis berhampiran bagi memberi sokongan kepada mereka yang ditahan.

Geram mengadakan himpunan hari ini dalam siri kempen Perhimpunan Sejuta Rakyat pada 6 Julai nanti.

Program ini adalah permulaan bagi himpunan 6 Julai ini dengan kali ini ia dilakukan dengan program berjalan secara aman (Peace Walk).

Program anjuran Gerakan Rakyat Anti Manipulasi Minyak (Geramm) itu akan disertai oleh generasi muda yang terdiri daripada AMK KeADILan, Pemuda PAS dan Pemuda DAP.

ImageSelain itu kumpulan NGO yang diterajui golongan muda seperti Karisma, PKPIM, Youth For Change, Dema dan Gamis menyertai program yang bertujuan membantah kenaikan harga minyak.

Perarakan tersebut bermula serentak di empat titik pertemuan iaitu di Ampang Park, Bukit Bintang, Puduraya dan PWTC menuju ke pusat membeli belah Sogo.

Hampir semua peserta memakai baju berwarna merah.

Kempat-empat tempat pertemuan ini disertai minima 50 orang anak muda yang bergabung dalam Geramm yang mengepalai himpunan ini.

Mengulas tindakan kasar pihak polis terhadap peserta himpunan itu, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad berkata, polis tiada berbincang langsung dengan peserta.

ImageUjarnya, tindakan yang dibuat polis secara tiba-tiba ini amat mengecwakan malah melambangkan betapa pasukan polis tidak menghormati hak rakyat untuk berhimpun.

Beliau juga kesal kerana himpunan baru sahaja bermula, namun polis menyekat dengan cara yang tidak bertamadun.

Begitupun beliau menyeru rakyat agar turun beramai-ramai pada 6 Julai ini bagi menunjukkan rasa marah terhadap tindakan kerajaan menaikkan harga minyak tersebut./wann _

Yahya akui tiada akaun kedua pungut derma untuk KeADILan


Isu penyaluran wang syarikat korporat menyumbang kepada akaun Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) sempena majlis perayaan 100 hari Pakatan Rakyat lebih rumit dengan pengakuan bekas pegawai tugas-tugas khas menteri besar Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri semalam.

Yahya dalam satu ulasannya mengenai isu itu menjelaskan bahawa akaun kedua untuk memungut derma kepada KeADILan 'tidak wujud'.

Tidak ada surat-menyurat daripada pejabat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meminta syarikat korporat menyumbang wang untuk majlis perayaan 100 hari pentadbiran Pakatan Rakyat di negeri itu.

Tidak ada akaun kedua yang dibuka untuk tujuan itu, tiada transaksi dan tidak ada pungutan wang," katanya lagi.

Isnin lalu Yahya telah meletakkan jawatan pegawai tugas-tugas khas dan Setiausaha Perhubungan KeADILan Selangor.

"Kenyataan menteri besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim), Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hassan Ali dan (bekas pemimpin kanan KeADILan) Ezam Mohd Nor) tidak benar," katanya dalam satu laporan akhbar.

Beliau diminta mengulas dakwaan Pesuruhjaya PAS itu bahawa partinya tidak diberitahu mengenai pungutan wang daripada syarikat swasta untuk menjayakan majlis sambutan tersebut, 20 Jun lalu.

Sementara kelmarin, Ezam mendakwa Pejabat Menteri Besar Selangor telah membuat surat dan menghantarnya kepada banyak syarikat supaya memasukkan wang ke dalam akaun milik individu.

Berhubung kenyataan itu Yahya berkata, majlis sambutan 100 hari itu diuruskan oleh kerajaan negeri dan bukannya oleh Pakatan Rakyat.

Tambahnya, urusan kewangan untuk program tersebut juga tanggungjawab kerajaan negeri.

"Memang pada peringkat awal, Pakatan Rakyat mahu menganjurkan program tersebut tetapi ia dibatalkan dan diberikan kepada kerajaan negeri.

"Apabila ia dianjurkan oleh kerajaan negeri, secara automatik pembabitan parti tidak perlu lagi," ujarnya.

Beliau dilaporkan mengakui mengirim surat atas nama KeADILan dan menggunakan satu akaun tetapi tiada derma dimasukkan ke akaun tersebut.

Menteri Besar Selangor dalam satu kenyataannya baru-baru ini mengesahkan sejumlah kutipan 'yang tidak perlu' telah dimasukkan ke akaun KeADILan, sepatutnya untuk kerajaan negeri.

Khalid berkata demikian selepas mengumumkan penggantungan tugas Yahya sebagai pegawai kanan di pejabatnya selama dua bulan.

Namun dalam reaksi Yahya mengenai isu itu, Yahya bagaimanapun berkata bekas ketuanya itu tidak merujuknya sebelum membuat kenyataan tersebut dan beliau tidak pernah diberikan peluang menjelaskannya.

Pemuda PAS dan AMK Sabah lancar bantahan kenaikan harga minyak

Dewan Pemuda PAS dan Angkatan Muda KeADILan (AMK) Sabah melancarkan Gerakan Rakyat Anti Manipulasi Minyak (GERAMM) bagi memprotes kenaikan harga minyak yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.

Ketua Pemuda PAS Sabah, Anuar Ali berkata, setakat ini PAS dan AMK Sabah telah melancarkan dua lokasi kempen iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Cina Kian Kok dan sempena Sukaneka Pusat Asuhan Tunas Islam Kawasan Pantai Barat pada 21 dan 22 Jun lalu.

Beliau menambah, kempen bantahan kenaikan harga minyak berakhir pada 31 Jun dan masyarakat menerima baik kempen yang dilancarkan dengan menurunkan tandatangan tanpa mempersoal tindak tanduk penganjur.

Reaksi positif dan sokongan masyarakat terhadap kempen yang dilancarkan menambah semangat penganjur untuk berkerja keras mengutip bantahan.

Tambahnya, rata-rata tandatangan yang diturunkan tidak berpuas hati bukan sahaja kerana kenaikan harga minyak dan mendesak kerajaan menurunkan harga bahan bakar tersebut malah, mereka juga tidak berpuas hati dengan pemerintahan Dato Seri Abdullah Ahmad Badwi yang kurang bijak mentadbir negara.

"kita akan pastikan desakan rakyat yang di buat di seluruh negara mampu memberi tekanan kepada PM sama ada menurunkan harga bahan bakar tersebut atau mendesak beliau turun dari pimpinan negara", katanya ketika ditemui di pejabat Pemuda semalam.

Sehingga kini hampir 2,000 orang telah menurunkan tandatangan bantahan tersebut dan di jangkakan seramai 10,000 orang akan mendatanganinya sehingga akhir bulan ini.

Berkait isu minyak, rakyat Sabah juga menyatakan rasa terkilan dengan kerajaan disebabkan oleh pembahagiaan royalti minyak yang tidak adil terhadap negeri ini dan mahu kerajaan menaikkan royalti minyak rakyat Sabah selaku negeri pengeluar minyak, kata Anuar.

"Tidak logik sebuah negeri ( Sabah ) yang kaya dengan hasil bumi, tetapi rakyatnya hidup susah di negeri sendiri".

Sehubungan itu, Ketua Pemuda PAS Sabah, rakyat Sabah yang belum menurunkan tandatangan protes dapat berkerjasama di setiap kawasan kempen yang dilancarkan.

Larangan media, perang mulut Nazri-BNBBC masih berterusan

Perang mulut antara Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz, berhubung isu menghalang petugas media memasuki lobi Parlimen Selasa lalu, terus berlarutan.

Selepas melabelkan BNBBC seperti kebudak-budakan, Rabu lalu, Nazri semalam mencabar pula kelab itu supaya mencadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, memecat beliau sebagai menteri.

"Jika mereka tidak mahu berbuat demikian Isnin ini, jangan banyak cakap. Kalau tidak tahu peraturan, duduk diam-diam," tegasnya dalam satu laporan media semalam.

Nazri membuat cabaran itu ketika mengulas kenyataan Pengerusi BNBBC, Datuk Seri Tiong King Sing, kelmarin, yang membidas beliau kerana mengkritik kelab itu mengambil keputusan sendiri membuka pita menghalang petugas media memasuki lobi Parlimen.

Tindakan yang dilihat mengingkari keputusan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, itu dibuat oleh BNBBC kerana mereka tidak bersetuju dengan peraturan yang menyusahkan petugas media.

Rabu lalu, Nazri yang kecewa dengan tindakan BNBBC itu, menganggap perbuatan berkenaan seperti kebudak-budakan dan contoh buruk kerana keputusan membuka atau menutup kawasan lobi daripada petugas media belum diputuskan Speaker.

Tiong bagaimanapun membalas kritikan Mohamed Nazri yang disifatkannya sebagai melampau dan BNBCC dilaporkan akan mengadakan mesyuarat Isnin ini bagi membincangkan tindakan yang akan diambil berikutan kenyataan menteri berkenaan.

Isu itu bermula pagi Selasa lalu apabila wartawan yang bertugas membuat liputan persidangan Dewan Rakyat terkejut dengan kewujudan pita halangan yang menghalang mereka memasuki Lobi Parlimen dengan alasan tidak mahu melihat kawasan berkenaan 'bercelaru'.

Bagaimanapun, arahan itu ditarik balik semula keesokan harinya berikutan bantahan pelbagai pihak, terutama wakil media.

Mohamed Nazri yang mempertahankan kenyataannya terhadap BNBBC menjelaskan kelab itu tidak pernah menemuinya untuk membincangkan isu berkenaan.

"Mereka sebaliknya bertindak melulu tanpa berjumpa saya sebagai Menteri yang menjaga hal ehwal Parlimen, untuk mendapatkan penjelasan. Mereka perlu ingat ini Parlimen, kita tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya.

"Kalau tidak puas hati, bawa isu itu ke dalam Dewan Rakyat dan bukannya bertindak seperti itu. Bagaimana sebuah kelab yang dilantik oleh Perdana Menteri lebih tinggi kuasa daripada Speaker," katanya.

Mohamed Nazri juga kesal dengan tindakan Ting yang dianggap seperti 'kacang lupakan kulit' kerana beliau sendiri yang mencadangkan Ahli Parlimen Bintulu itu mengetuai BNBBC.

Hentikan penyiksaan, bebaskan semua tahanan ISA - Wan Azizah



Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Datin Seri Dr Wan Azizah dalam satu perutusan sempena sambutan 'Hari Menentang Penyeksaan Sedunia pada 26 Jun lalu menyery mana-mana pihak menghentikan penyeksaan atau penderaan yang kian giat berlaku di seluruh dunia.

"Kami dari Pakatan Rakyat mengambil kesempatan ini untuk menyeru agar segala penyeksaan dan penderaan yang berlaku di seluruh pelusuk dunia, baik disebabkan oleh perang mahupun hasil daripada pentadbiran kuku besi rejim pemerintah sendiri, ditamatkan segera atas prinsip kemanusiaan dan keadilan sosial," kata Wan Azizah.

Setakat 26 Jun lalu hanya 142 buah negara mengiktiraf Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Tidak Berperikemanusiaan, ujarnya.

Namun kata Wan Azizah, paling dikesali Malaysia adalah salah sebuah negara yang tidak mengiktiraf konvensyen tersebut.

"Adakah Kerajaan Malaysia tidak bersedia mengiktiraf konvensyen yang sudahpun diterima oleh negara-negara ASEAN lain seperti Cambodia, Indonesia dan Filipina?

"Hakikatnya, cadangan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) ditolak dan penderaan dalam tahanan terus berlaku.

"Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih dikekalkan dan menyaksikan penyeksaan terbaru ke atas Sanjeev Kumar di Kem Kamunting dalam penahanan 60 hari pada Mac tahun ini," katanya.

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah berkali-kali mengemukakan usul serta pertanyaan berkenaan ISA dalam sidang parlimen lepas, katanya.

Namun semua ini telah ditolak oleh Dewan Rakyat, antaranya termasuk pertanyaan beliau sendiri berkenaan tahanan pemimpin Hindraf dan 20 tahanan yang mencapai enam tahun, ujar Wan Azizah.

"Kami akan meneruskan segala usaha untuk mendesak Kerajaan membebaskan semua tahanan dan memansuhkan ISA yang mencabuli hak asasi manusia dan melanggari prinsip demokrasi.

"Akhirnya saya menyeru agar semua lapisan masyarakat yang cintakan keadilan sosial dan kemanusiaan untuk hadir program Malam Himpunan Rakyat Anti ISA yang akan diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam pada Sabtu ini (28 Jun)," katanya.

Bersihkan nama isteri TPM dengan dakwa Raja Petra? - Mohamad Sabu


Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu menggesa pihak berkuasa mendakwa pengendali laman web Malaysia-today, Raja Petra Kamaruddin kerana membuat tuduhan yang serius terhadap isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata, tuduhan Raja Petra dalam akuan bersumpahnya terhadap kes pembunuhan Altantuyaa Shaariibuu itu sesuatu yang amat serius dan memburukkan nama TPM, Dato' Seri Najib Tun Razak dan isteri.

"Dakwaan itu sangat serius, kerajaan perlu segera mendakwa Raja Petra bagi membersihkan nama Timbalan Perdana Menteri dan isterinya daripada dakwaan terlibat di dalam kes pembunuhan Altantuya," ujarnya ketika berceramah bersempena Program Pelancaran dana Kebajikan Muslimat dekat Temerloh malam tadi.

Pada 25 Jun lalu, Najib telah menafikan dakwaan dalam akuan bersumpah Raja Petra berhubung pembabitannya dan isteri, Rosmah Mansor dalam pembunuhan warga Mongolia itu.

Najib ketika mengadakan sidang medianya di Parlimen menafikan bahawa isterinya itu terbabit dalam pembunuhan Altantuya

Begitupun ujar Najib, Rosmah telah dipanggil memberi kenyataan kepada polis ekoran dakwaan terbaru dalam akuan bersumpah Raja Petra itu.

Najib mendakwa apa yang ditulis oleh Raja Petra adalah satu pembohongan semata-mata sambil menyifatkan ia sebagai satu tindakan terdesak untuk mencemarkan imej politik beliau.

Sebelum ini, pengendali laman web Malaysia-today.net itu dalam akuan bersumpahnya pada 18 Jun lalu, mendakwa isteri Timbalan Perdana Menteri bersama dua lagi berada di tempat kejadian sebelum wanita Mongolia itu diletupkan.

Najib dan isterinya beberapa kali menafikan pembabitan mereka dengan kes ini, yang masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sehari sebelum penafian Najib itu, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pula membuat kenyataan menafikan ada menerima laporan bertulis daripada perisikan tentera mengenai mereka yang terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya.

"Memang saya concern (dengan dakwaan penulis Malaysia-Today Raja Petra Kamarudin). Perbuatan Raja Petra itu tidak boleh diterima. Sebab apa yang dia nyatakan itu adalah sesuatu yang tidak betul.

"Terutamanya dalam surat itu (akuan berkanun Raja Petra) disebut yang saya dah diberi satu laporan mengenainya dari pihak perisikan tentera.

"Itu tak betul," katanya Abdullah dalam satu sidang medianya di Parlimen 24 Jun lalu.

Sementara itu Naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, polis telah merakamkan kenyataannya berhubung dakwaan terbaru Raja Petra itu.

Menurut Khairy, beliau telah memberitahu polis bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang laporan perisikan tentera dari perdana menteri atau mana-mana pihak.

Dalam akuan berkanunnya, Raja Petra mendakwa laporan tersebut telah diserahkan kepada Khairy untuk disimpan dengan selamat.

Khairy berkata, beliau juga telah memberitahu polis bahawa akuan berkanun itu, kandungannya dan tuduhan terhadap beliau, dibuat dengan niat yang jahat.

Beliau yang juga ahli Parlimen Rembau memberitahu demikian dalam satu sidang akhbar di lobi Parlimen 25 Jun lalu.

Khairy berkata, beliau memberi kenyataan tersebut selama kira-kira sejam di Putrajaya.

Katanya, beliau akan berbincang dengan peguamnya sama ada akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis sensasi dan pengendali blog Malaysia Today.

Khairy berkata, beliau tidak tahu apakah motif Raja Petra tetapi menegaskan bahawa dakwaan itu dibuat berasaskan sumber-sumber dan khabar angin.

Katanya, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali dan ia telah mencemarkan kredibiliti beliau.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .