Ikuti Blog ini

Mesti Baca !!! Ust Azizan Dan Politik Kedah


Berbanding negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat, Kedah dilihat tidak begitu diserang media Umno-BN. Tentulah ia bukan disebabkan kerajaan negeri yang diterajui PAS itu akan diberi laluan mudah untuk melanjutkan tempoh penggal pertama pemerintahannya. Seperti Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, BN tetap mengidam untuk menawan semula negeri Jelapang Padi itu.

Sewaktu Tan Sri Khalid Ibrahim di Selangor diserang bertubi-tubi dan Lim Guan Eng di Pulau Pinang dilanyak habis-habisan, khususnya oleh Utusan Malaysia dan TV3, Dato' Seri Ustaz Azizan Abd Razak di Kedah agak selesa menarik nafas lega. Namun ia tidak bermakna Umno membiarkan negeri yang pernah menyumbangkan dua perdana menteri itu terlepas begitu sahaja.

Ketika kerajaan negeri Perak ditumbangkan melalui pakatan jahat yang dirancang Najib Razak -- tidak sampai setahun selepas memegang amanah rakyat -- Kedah turut dilihat goyah. Usaha membeli wakil rakyat tertentu rancak dijalankan. Pakatan Rakyat memiliki 22 kerusi, dengan PAS menguasai 16, BN (14), DAP (1) dan KeADILan lima wakil (termasuk seorang Adun Bebas yang kemudiannya menyertai parti itu).

Kiraan mudahnya, jika lima Adun Pakatan dapat "dibeli", sepertimana berlaku kepada tiga Adun di Perak, kerajaan negeri pimpinan Ustaz Azizan akan tumbang. Alhamdulillah, situasi genting itu berjaya dilalui dengan baik sekali. Meskipun KeADILan terlepas dua Adunnya (dan dua ahli Parlimennya mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas), hasrat BN untuk merebut Kedah dapat dipatahkan. Kini semua Adun KeADILan merupakan anggota Exco kerajaan negeri!

Sebenarnya asas kekuatan pengaruh PAS di Kedah -- terutama selepas pilihan raya umum 1969 yang menyaksikan ramai tokoh utama Umno negeri itu kalah mengejutkan, seperti Dr Mahathir Mohamad dan Senu Abd Rahman -- hampir seimbang dengan Umno. Meskipun ada ketikanya PAS hanya mempunyai seorang wakil dalam sidang Dun dan langsung tidak mempunyai ahli Parlimen dalam tempoh yang agak lama, namun secara puratanya sokongan pengundi Melayu tidak merosot.

Faktor kemenangan BN lebih ditentukan oleh sokongan pengundi Cina dan India, yang mewakili hampir 30 peratus penduduk Kedah. Semasa era reformasi, yang dizahirkan secara terbuka dalam pilihan raya umum November 1999, lonjakan pengundi Melayu menyokong PAS begitu terasa di Kedah. Hasilnya, Parti Islam itu menang 12 kerusi Dun dan lapan Parlimen; semuanya di kawasan majoriti Melayu. Hanya di Kubang Pasu dan Langkawi, pengundi Melayu masih dilihat terikat dengan Umno, mungkin disebabkan faktor Mahathir.

Melalui proses persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2002, sebagai persiapan Umno untuk mengalahkan PAS dalam PRU11, kaedah gerrymandering diguna pakai secara menjolok mata di Kedah. Formula mudahnya, tambahkan jumlah pengundi bukan Melayu di kawasan Parlimen yang dimenangi PAS. Pengundi Cina, India dan juga Siam dianggap penyelamat BN pada 1999, serta diandaikan akan terus menyokong parti berkenaan dalam pilihan raya berikutnya.

Kerusi Parlimen Pokok Sena (yang diwakili Mahfuz Omar), Baling (Ustaz Taib Azamuddin), Kuala Kedah (Mohamad Sabu) dan Yan (Ustaz Nasharuddin Mat Isa) menjadi tumpuan perancangan licik Umno, yang menguasai sepenuhnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kerusi Dun yang menawarkan jumlah pengundi bukan Melayu agak ramai dimasukkan dalam kawasan Parlimen terbabit, misalnya Gurun di Yan (bertukar nama kepada Jerai) dan Kuala Ketil di Baling.

Terbukti perancangan Umno-SPR itu mencapai target apabila pada 2004, keempat-empat kerusi Parlimen itu berjaya direbut kembali BN.

Bagaimanapun, tanpa perlu menunggu lama, pada 2008, strategi itu memakan diri. Kerusi Dun di sebelah selatan Kedah, yang agak ramai pengundi bukan Melayunya itu, diisytiharkan lebih awal, tumbang satu demi satu.

Mungkin menyedari hakikat kemenangan PAS dan Pakatan di Kedah "agak rapuh" atau beliau sendiri suka memilih pendekatan "low profile", Ustaz Azizan mempunyai kaedah tersendiri dalam mengemudi bahtera kerajaan negeri. Beliau lebih gemar menjauhi pertembungan dan konflik terutama apabila berdepan kerajaan pusat.

Malah hubungan baiknya dengan bekas pemimpin tertinggi Umno, Dr Mahathir, mengundang pelbagai tafsiran, terutama di kalangan aktivis PAS. Di kala bekas Perdana Menteri itu tersisih dalam partinya sendiri, termasuk di negeri kelahirannya, Kedah, bagi pemerhati politik, Ustaz Azizan bijak memanfaatkan ruang dan peluang.

Susulan itu, agak sukar untuk media mendapatkan komentar Dr Mahathir yang agak negatif kepada pentadbiran Ustaz Azizan di Kedah. Bukan itu sahaja, Ustaz Azizan juga dikatakan tidak menjadikan zaman pemerintahan BN sebelum itu sebagai sasaran kritikannya. Bekas Menteri Besar, Dato' Seri Mahdzir Khalid, kini Ketua Pembangkang di Dun, juga "terselamat".

"Umno menunggu tindakan provokatif Ustaz Azizan sebaik menjadi menteri besar, tetapi impian itu tidak kesampaian," kata seorang penganalisis politik semasa, yang dahulunya pernah aktif dalam Pemuda Umno.
"Dia pandai mengatur rentak dan membaca situasi di bawah. Umno gagal mengeksploitasi tindakan pembaharuan yang digerakkan kerajaan PAS di Kedah. Ternyata Ustaz Azizan cukup berhati-hati," tambahnya, sambil menyifatkan kemungkinan ahli PAS sendiri yang tidak berpuas hati dengan Ustaz Azizan.
"Mengapa pula?" tanya saya.

"Yalah ... kalau orang PAS mengharapkan pembaharuan Islamik di Kedah sama seperti perubahan awal di Kelantan dan Terengganu semasa PAS mula memerintah dahulu, tentu mereka akan kecewa. Ustaz Azizan mungkin popular di kalangan rakyat tetapi akan ditafsirkan daripada pelbagai perspektif oleh rakan-rakannya sendiri," ujar rakan saya itu, yang juga seorang blogger.

"Percayalah cakap saya, Umno Kedah tidak akan berjumpa satu isu besar dan kontroversi, yang boleh menggugat dengan mudah kedudukan PAS di Kedah. Lihat saja, dulu dimainkan isu balak, kemudian hilang begitu saja. Sekarang, isu perobohan Madrasah Salihiah, di Kanchut ... lagi mudah dipatahkan dan akhirnya akan menikam Umno balik," tambahnya.

"Hang balik tengok sendirilah, Lutfi. Pelik juga bila Catatan Hujung jarang sentuh perkembangan di Kedah," katanya. Beliau, yang juga anak Kedah seperti saya, menjangkakan isu personaliti calon dan kualiti servis wakil rakyat akan menjadi penentu dalam PRU13.

Saya akui, memang kolum saya tidak pernah menyinggung isu-isu Kedah dari dekat. Semasa malam kemenangan, 8 Mac 2008, saya turut meraikannya di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut. Bagaimanapun, saya hanya sempat sekali mengadakan wawancara khas dengan Ustaz Azizan, hampir empat tahun lalu, pada malam 17 Mei 2008, di rumahnya, di Jalan Sultanah, Alor Setar.

Dalam pertemuan itu, saya cuba menimbulkan beberapa persoalan yang berlegar dalam pemikiran ahli-ahli PAS termasuk berkaitan soal perubahan yang nampak begitu perlahan berjalan di Kedah.

Mengenali wataknya semasa menjadi Pengarah Urusan Harakah dahulu, saya jangkakan Ustaz Azizan akan bingkas menyanggah, tetapi dengan tenang, beliau memberi respons: "Saya lihat begini, ia berkaitan budaya orang Kedah. Budaya yang cukup terbuka, suka bergurau, suka berkawan. Malah ini juga yang berkembang dalam Dun, di antara wakil Umno dan PAS.

"Masa kita jadi pembangkang pun kita baik dengan Umno, Umno juga baik dengan kita. Sekarang kita jadi kerajaan pun kita baik dengan mereka. Saya tak suka kita buat sesuatu yang mengejutkan, biar rakyat menerima realiti ini sebagai satu proses demokrasi. Dalam Islam pun ada, misalnya saya baca buku tentang Fiqh Aulawiyat.

"Saya juga tekankan soal akhlak Islam. Kita tidak ada balas dendam dan akhirnya nescaya kita akan dapat simpati dan sokongan masyarakat. Umno yang lama berkuasa tentu sedih, tapi janganlah dalam kesedihan mereka itu kita tambahkan lagi pedihnya. Kalau perlu kita juga bekerjasama dengan mereka. Saya tahu mereka juga ada yang berpendidikan tinggi dan bersikap terbuka.

"Dulu mereka rasa PAS tak boleh memerintah, sekarang okey, boleh memerintah dengan baik, malah semua pihak lebih senang bekerja. Saya sendiri beri kebebasan kepada pegawai ... Perlembagaan menjamin hak bersuara, hak berpolitik, hak berfikiran."

Keuzuran membataskan saya untuk turun meninjau situasi akar umbi di Kedah. Namun, apabila seorang teman lama, sarjana sains politik terkemuka, membuat penyelidikan tentang perkembangan siasah di sebuah daerah di Kedah, dan melahirkan keyakinannya tentang kemampuan PAS mempertahankan kemenangan, saya teruja untuk melihat sendiri rencah peristiwa menarik di sana.

"PAS perlu cermat memilih calon. Ada wakil rakyat PAS yang tidak peduli masalah masyarakat bawahan. Rakyat marah, kalau calon itu juga bertanding, saya boleh bagi kepastian, PAS akan hilang kerusi," katanya melalui telefon.

Semasa minum limau panas berdekatan Pekan Rabu, jam 2 pagi, 22 Januari lalu, seorang rakan yang pernah belajar bersama saya 30 tahun lalu di Sekolah Teknik Alor Setar, turut mengemukakan isu sama: "Jangan pandang remeh isu-isu longkang tersumbat, jalan tak berturap, sampah bersepah hatta tempoh pendek lampu isyarat hijau. Semuanya boleh beri kesan kepada persepsi pengundi."

Beliau mahukan pentadbiran kerajaan PAS dilihat cekap dan pantas bertindak menangani isu-isu rakyat. "Biar bandar-bandar di negeri-negeri Pakatan lebih bersih dan teratur berbanding negeri BN. Sikap antirasuah pemimpin PAS saya sanjung tinggi, tapi kadang-kadang rakyat awam tidak nampak atau tidak merasai kesannya dalam jangka pendek. Mereka mahu Adun atau Ahli Parlimen yang mesra rakyat, ambil berat masalah orang ramai dan tidak sombong," katanya.

Rakan saya itu turut membawa seorang kawannya, yang banyak bercerita tentang Madrasah Salihiah. Kebetulan dia pernah tinggal berdekatan surau yang kini menjadi pejabat syarikat insuran.

"Dulu saya selalu main dekat kawasan tapak Kompleks Tunku Yaakob, yang terbengkalai lebih 30 tahun lalu itu. Sekarang dah tak ada orang Islam di kawasan itu, ramai yang berpindah. Surau yang ada pun hanyalah bilik solat di pejabat insuran. Satu waktu dulu orang yang gunakan stesen bas di Kanchut ada juga solat di situ, bila bas pindah ke Shahab Perdana, tak ada jemaah lagi. Lagipun, Masjid Zahir pun dekat," ceritanya lancar.

Esoknya, saya "menziarahi" surau kontroversi itu, tidak jauh dari hotel penginapan. Segera saya faham mengapa isu ini tidak akan dapat dimanfaatkan -- walaupun sedikit -- oleh Umno Kedah. "Patutlah orang PAS Kedah dan Ustaz Azizan macam tak risau aja dengan isu surau ini," saya berkata kepada Azamin Amin, wartawan Harakah Kedah. "Sesiapa yang lihat sendiri madrasah ini dan kawasan sekitarnya akan segera faham manipulasi Umno Kedah," tambah saya.

"Siap ... kita pergi rumah Ustaz, pukul 8 pagi," panggilan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Helmi Khalid mengejutkan saya. Beliau merujuk rumah Ustaz Azizan di Markas PAS Jerai. -Hrkh (Oleh : Ahmad Lutfi Othman)

TAWAN PERLIS!!! Dato' Haron Din sah bertanding PRU13

http://3.bp.blogspot.com/-LiJu7Cav04A/TtiDQa-RVUI/AAAAAAAAAHI/Kh_RmvTnanE/s1600/haron_din.gif

KANGAR - Pas Perlis mengesahkan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din akan bertanding pada pilihan raya umum ketiga berturut-turut sekali gus mengetuai Pas negeri itu dalam usaha menawan Perlis dari tangan Barisan Nasional (BN).

Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin berkata, pengesahan itu dibuat bagi menutup desas-desus pelbagai pihak mendakwa Haron Din tidak akan bertanding lagi pada pilihan raya umum (PRU) kali ini disebabkan masalah kesihatan.

Menurutnya, Pas Perlis sudah mengemukakan tawaran bertanding PRU kepada tokoh pengamal perubatan Islam itu sejak setahun lalu dan baru menerima jawapan positif beberapa minggu lalu.

“Haron Din bersedia bertanding buat kali ketiga walaupun dua kali tertewas dalam PRU terdahulu dan Pas bersedia menyerahkan mana-mana kerusi yang dirasakan sesuai untuknya.

“Bagaimanapun, saya yakin beliau akan menawarkan diri untuk bertanding di Parlimen sahaja dan mampu menang pada kali ini berdasarkan sokongan padu ditunjukkan rakyat Perlis,” katanya pada sidang media di Kompleks Pas Perlis semalam.

Hashim berkata, Pas menaruh keyakinan penuh mampu menawan Perlis kali ini berdasarkan trend sokongan padu ditonjolkan rakyat sehingga ramai pihak yang berebut-rebut menyampaikan sumbangan kepada parti bagi persiapan PRU.

Menurutnya, trend itu merupakan sesuatu yang tidak pernah dijangka apabila boleh dikatakan setiap hari ada sahaja yang datang berjumpa dengan pemimpin Pas negeri untuk menyampaikan sumbangan sehingga kadang-kadang mencecah ribuan ringgit.

Hashim turut menyifatkan Pas dan Pakatan Rakyat (PR) kini mendapat jaminan padu rakyat bukan Islam Perlis untuk bersama-sama mereka setelah bosan dengan pentadbiran Kerajaan Negeri sedia ada.

Bongkar!! Sejarah Hubungan Umno - Israel Sejak Zaman Tunku Abdul Rahman


Artikel ini membongkar hubungan Malaysia-Israel sejak zaman Tunku Abdul Rahman, antara Tunku dan Menteri Israel, Moshe Sharett sehinggalah ke komen terbaru Anwar Ibrahim yang segera di tegur oleh kepimpinan PAS. Pada tahun 1956, Tunku Abdul Rahman telah diziarahi oleh menteri hal ehwal Israel yang pertama bernama Moshee Sharett di Kuala Lumpur. Presiden UMNO, Tunku ketika itu mengatakan bahawa ‘kami berbangga sekiranya ada hubungan diplomatic dengan Israel.

"It will be considered an honor for us to have a diplomatic representative from Israel." Pada 26 Ogos 1957, Perdana Menteri Israel David Ben-Gurion menghantar ucapan tahniahnya kepada Tunku di atas kemerdekaan Malaysia dan mengatakan bahawa Israel hendak meletakkan perwakilan Israel di Malaysia.
Israel juga mengundi untuk menerima Malaya di dalam PBB. Pada 23 Disember, perwakilan Malaysia memberitahu delegasi Israel bahawa Malaysia mengiktiraf Israel tetapi tidak bercadang hendak mengadakan hubungan diplomasi dengan Israel.

Pada tahun 1959, delegasi Israel ke Australia, Moshe Yuval melaporkan bahawa dia telah berjumpa Tunku di Australia di mana Tunku memberitahunya bahawa kepimpinan Malaysia (UMNO) mengenali Israel tetapi tidak dapat membuat hubungan diplomasi dengan Israrel berikutan penentangan kuat rakyat Malaysia.

Pada tahun 1961, Tunku menziarahi London dan berjumpa perwakilan Israel bernama Arthur Lurie. Perwakilan Isreal menzahirkan rasa hampa berikutan ketiadaan hubungan diplomatik Malaysia-Isreal manakala Tunku menjawab bahawa sahabat-sahabat dan kumpulan-kumpulan yang pro-Arab khususnya Mesir menentang keras sebarang hubungan dengan Isreal.
Meskipun begitu, Tunku mengalukan hubungan komersil Malaysia-Israel dan mencadangkan penubuhan konsulat Isreal di Singapura. Syarikat Israel, Astraco kemudiannya menubuhkan cawangan di Singapura dan pada tahun 1963, Menteri Hal Ehwal Luar Malaya memberi lessen kepada Astraco untuk menubuhkan cawangan di Kuala Lumpur.

Apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1963, Menteri Hal Ehwal Luar Israel, Golda Meir menghantar telegram kepada Tunku mengucapkan tahniah kepada Tunku.

Antara tahun 1964 sehinggalah tahun 1966, Moshe Yegar, wakil dari Israel telah berjumpa dengan Tunku, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan ramai lagi dalam usaha mengeratkan hubungan Malaysia-Israel. Meskipun begitu, usaha Israel gagal kerana Malaysia akhirnya mengambil pendekatan pro-Arab.
Tambahan lagi, ketika itu Malaysia berdepan dengan ancaman dari Indonesia dan mengharapkan sokongan negara-negara Islam ketika itu. Pada tahun 1968, anak lelaki Tunku, seorang usahawan datang ke Israel bersama usahawan Israel bernama Shaul Eisenberg.
Ketika itu, perwakilan Malaysia meminta Israel menyokong bidaan Malaysia untuk menjadi hos Asia Games 1974. Tunku bersara sebagai PM pada tahun 1971. Justeru, hubungan mesra Presiden UMNO yang pertama dengan Israel menafikan saranan bahawa kepimpinan UMNO sentiasa anti-Israel.

Seterusnya, perlu diakui bahawa selama zaman kepimpinan Tun Mahathir, Malaysia telah mengambil pendekatan anti-Israel yang kuat. Pada tahun 1969, Malaysian menjadi negara Asian yang pertama yang menerima perwakilan Fatah dan menjemput Fatah membuka pejabat di ibu negara Malaysia.
Tetapi, pada tahun 1982 di bawah Mahathir, pengiktirafan diplomatic penuh (full diplomatic recognition) diberikan kepada Palestin. Pada tahun 1986, Tun Mahathir sewaktu di Zimbabwe mengatakan bahawa pembunuhan oleh Nazi gagal mengajar orang Yahudi apa-apa.

Sepanjang pemerintahan Tun Mahathir, Tun Mahathir telah menzahirkan sikap anti-Yahudi yang cukup kuat, berikutan penindasan orang Yahudi ke atas orang Palestin. Tun Mahathir adalah seorang insan berani yang juga bermasalah.
Beliau dianggap sebahagian besar rakyat Malaysia sebagai Bapa Pemodenan Malaysia tetapi beliau juga dianggap sebagai Bapa Fitnah Malaysia di mana budaya memfitnah mula disuburkan di zaman beliau. Pada masa sama, kecaman dan penindasan ke atas mereka yang tidak bersetuju dengan beliau, termasuklah sekatan royalti minyak, sekatan promosi jawatan dan sebagainya cukup subur.
Pada masa yang sama, budaya rasuah dan kronisme cukup subur di zaman beliau di mana Malaysia merosot dari ranking rasuah pada No.23 sehinggalah ke No.60 pada masa ini. Sebagai perbandingan, Singapura berada di ranking no.3. Memalukan. Meskipun begitu, ketegasan Tun Mahathir dalam isu Yahudi dihormati.

Berbeza dengan Tun Mahathir, tokoh seperti Anwar Ibrahim cuba mengambil pendekatan diplomasi win-win situation ala-ala Rais Yatim (dalam isu Batu Putih) dalam isu Israel. Anwar sentiasa cuba manzahirkan dirinya sebagai seorang yang bertimbang rasa dan tidak berat sebelah dalam isu Israrel. Ucapan Anwar bahawa Israel berhak mempertahankan dirinya merupakan ucapan yang betul tetapi tidak bijak dan menjengkilkan.

Sepatutnya, Anwar Ibrahim menunjukkan penentangan yang kuat ke atas kezaliman Israel dan bukan cuba menjaga hati semua pihak. Penentangan ke atas kezaliman Israel bukanlah kerana kita semua anti-Yahudi atau anti-Sematik, tetapi kerana kita menentang kezaliman.

Nabi Musa, Nabi Harun, Nabi Sulaiman dan Nabi-nabi lain pun berasal dari kaum Yahudi dan kita menghormati mereka semua. Penentangan kita ke atas Israel ialah berikutan kezaliman Israel ke atas umat Islam.

Meskipun begitu, sebelum penyokong UMNO bersorak, ingatlah bahawa Presiden UMNO, Najib sendiri yang begitu ghairah menyokong dan menjemput APCO, sebuah syarikat Yahudi untuk terlibat dalam hal ehwal Malaysia terkini. Kenyataan Anwar sedikit tidak bijak tetapi tindakan UMNO menjemput APCO merupakan tindakan jahat yang menghampakan.

Seterusnya, sejahat-jahat Yahudi, mereka tidak menindas kaum sendiri. Ini berbeza dengan UMNO di mana Tok Guru, golongan Melayu PAS dan PKR, malah rakyat Kelantan (yang majoritinya Melayu) menjadi golongan sasaran utama kezaliman UMNO. ~tranungkite

Azhar Idrus - Fenomena Baru Merubah Anak Muda



Satu malam entah macam mana dalam asyik melayari muka buku (Fb) sebelum melelap mata tiba-tiba saya terjumpa dengan you tube Ustaz Azhar Idrus. Saya membukanya dengan tidak sengaja dan mendengar syarahannya mengenai agama. Dialek atau slang Terengganu yang diguna pakai dalam berceramah menjadikan saya mengambil masa untuk mengamatinya kerana ada sesuatu kelainan dan sedikit unik. Sebutannya ada iras-iras pelawak Mat Over.

Dalam minda tertanya-tanya siapakah dia ini?

Tumpuan saya terpaku kepada you tube itu beberapa ketika kerana ada kemesraan cara dia berceramah. Patah-patah ungkapan dan anologi yang dibuat untuk menjelaskan sesuatu mauduk mengenai agama mematikan saya di situ untuk tidak menyentuh skin I-Pad mengalih kepada you tube syarahan ustaz-ustaz yang lain.

Duration video yang ringkas dalam tempoh tiga hingga lima minit meringkaskan kerja kita untuk terus menikmatinya. Selepas satu, satu saya membukanya. Tanpa disedari malam itu Azhar mengheret saya ke jam empat pagi. Hebat... tiada syarahan agama sebegitu yang saya mengikutinya sampai begitu lama, kecuali oleh ustaz atau Kiyai dari Indonesia.

Malam besok sesudah selesai membuat posting akhir - susupan tengah malam - saya mencari klik video beliau. Sambil berbaring - melentang meletakkan I-pad di atas dada mendengar Azhar bersyarah, lagaknya macam mendengar lagu-lagu hindustan lama nyanyian Mohamad Rafi dengan Asha Bosle pula. Dan malam seterusnya saya mengikuti lagi. Memang dia ini ada aura dan ada keunikan tersendiri.

Satu tengahari semasa berkumpul dengan anak-anak terkeluar kisah Ustaz Ashar yang lebih menarik dari apa yang saya rumuskan. Saya cuba menarik perhatian anak-anak supaya membuka you tubenya. Tiba-tiba anak saya memberi tahu lebih mendalam mengenai Azhar dari apa yang saya tahu. Menurut anak saya memang Azhar popular dan you tube dia disaksi oleh anak-anak muda. Rakan-rakannya juga menjadi penagih kepada syarahan ustaz berjanggut hitam lebat itu.

Ah rupanya anak saya sudah jadi peminat kepada Azhar. Kemudian malam-malam seterusnya bila ada senggang waktu saya mengikuti syarahannya.

Maklumat diberikan anak saya itu menjadi saya makin ingin mengetahuinya. Menurut anak perempuan saya Azhar seorang yang meminati bidang fotografi dan dia merupakan ahli jurugambar yang baik dan dia juga ahli muzik. Saya tidak tanya lanjut muzik dalam bidang apa dan apakah dia pernah terlibat dengan gang rockers, atau artis lain yang insaf berpaling dari dunia hiburan komersial + sekular kepada dunia hiburan dakwah. Sebelum ini rasanya saya tidak pernah tenguk gambarnya sedang menyanyi?


Seorang anak buah yang suka menelaah internet memberi tahu, Azhar ini di zaman remajanya adalah ahli kumpulan nyanyian. Pernah menjadi pemain base guiter kepada kumpulan disertai seorang penyanyi yang ketika itu belum terkenal. Selepas itu beliau meninggalkan kumpulan muzik itu dan memasuki pondok di Terengganu selama 12 tahun. Azhar juga pernah bekerja sebagai guru sementara mengajar bahasa Inggeris. Itu cerita anak buah saya.

Mulanya saya pesimis kepada Azhar ini kalau dia benar-benar memang ahli muzik. Sebab sebelum ini sudah ada beberapa artis dan ahli muzik yang menukar pentas kemudian kembali kepada pentas asal. Banyak yang cuba mencari peluang dalam medium politik (Pas) untuk kepentingan dirinya. Dan setelah apa yang diharapkan itu meleset mulalah menjauhi diri dan kembali ke pentas asalnya semula. Atau pun terpaksa melupai niat untuk berdakwah dalam dunia politik kerana tekanan pihak berkuasa.

Pengetahuan dan maklumat yang diberikan oleh anak perempuan saya, serta oleh anak buah itu menjadi saya ingin mengetahui siapa gerangan Azhar. Saya mulai mencari dan tertanya-tanya sendiri. Video syarahan agamanya saya terus dengar dan dengar sambil menggali latar belakang dan idealismenya. Isi dan juga bentuk syarahan seseorang itu akan mengenali kita tentang latar belakang dan matlamatnya.

Justeru bila ada masa senggang saya membuka you tube dan mendengar ceramahnya. Sedikit sebanyak dan perlahan-lahan saya sudah mulai mengenali latar belakangnya. Sudah mulai tahu kenapa dia menjadi kegilaan anak-anak muda. Juga mengetahui apakah yang tertanam di dalam hatinya menerusi lisan ceramah-ceramahnya.

Ustaz Azhar diminatinya kerana ceramah yang disampai secara bersahaja dan penuh dengan jenaka (humour). Inilah menyeronokkan dan disenangi oleh anak-anak muda. Permasalahan agama yang dibawa juga yang ringan dan berlegar dalam diri anak muda seharian, misalnya mengenai permasalahan bertahrah, sembahyang, hukum halal haram dalam bersosial, berpakaian dan sebagainya. Azhar juga berani atau berterus terang dalam menyatakan sesuatu untuk memberi penjelasan. Kerana itu beliau dilihat nampak seperti kurang sopan.

Boleh dikatakan 80 peratus topik yang disentuh membabit golongan muda, tidak kira lelaki dan perempuan. Kelebihan lain dia bersyarah dalam bentuk jenaka. Tidak ada unsur-unsur politik melebih dari ceramahnya, apa lagi mengajak anak-anak muda menyokong mana-mana parti siasah.

Cara dia melayani anak-anak muda dengan menjawab soalan secara langsung juga satu faktor kenapa beliau popular dan disukai orang. Apa dilakukan sesuai dengan keadaan hidup hari ini yang berterus terang dan tidak perlu berkias-kiasan. Hari ini manusia suka ringkas dan direct to the point. Demikian juga bahasa penyampaian mudah difahami dan mengguna bahasa semasa, bahasa SMS dan Fb.

Dalam kata lain Azhar menjiwa anak-anak muda dan tepat kalau beliau digelajar sebagai Ustaz anak-anak muda atau pun Ustaz Fb atau pun Ustaz SMS. Ini satu instrument atau teknik berdakwah secara baru. Beliau juga menyinis dan menyindir tetapi kepedihannya tidak terasa kerana ia dilakukan dalam gelak tawa dan penuh kemanjaan. Tetapi setelah apa dijenakai itu didengari bersendirian barulah dapat merasai bahawa sindiran itu ditembak kepada diri kita atau sesiapa. Jadi di sinilah keinsafan timbul di dalam sanubari pendengar.

Kecenderongan siasah

Mengenai latar belakang atau kecenderongan siasahnya saya tidak dapat menyangka mulanya. Tetapi saya sudah merasakan dia mesti penyokong Pas atau ahli Pas. Logiknya, mana-mana Ustaz yang popular di negara ini, selalunya dia mestilah dari kalangan penyokong Pas. Sebab kebanyakan yang cenderong kepada ceramah agama ialah mereka yang ada kesedaran agama dan dalam hal ini orang Pas ada peminat utamanya. Dalam pemerhatian saya tidak ada ustaz bebas yang popular tetapi tidak ada sangkutan dengan Pas. Apa lagi tidak ada ustaz yang jelas "biru" yang popular?

Ternyata sangkaan saya ini benar apabila dia menghadiri satu program anjuran Dewan Pemuda Pas, berada di pentas bersama pemimpin Pemuda Pas. Dari sini menjelaskan bahawa kecenderongan politiknya ialah Parti Islam Se Malaysia. Seperkara lagi apabila beliau sering kali menyebut atau menjadikan 'JKKK' watak badut dalam kisah-kisah yang disebut dalam ceramahnya menunjukkan dia suka kepada Pas. JKKK adalah sinikal yang cukup melucu dan cukup signifiken.

Satu hari saya jumpa dengan Mustapa Ali Setiausaha Agung Pas dan saya menanyai mengenai Azhar. Katanya Azhar berasal dari Ladang Kuala Terengganu. Dia seorang ustaz biasa saja tetapi kini sudah popular, kata Mustapa. Pihak Pas ada berjumpa dengannya. Tujuan saya berjumpa itu juga untuk memberi tahu Mustapa agar Pas tidak menggunakan aset yang ada kepada Azhar. Maksud saya jangan sesekali meminta dia bertanding dalam pilihan raya sebagai calon Pas. Jangan jadikan dia calon payung terjun untuk membantu Pas. Auranya jangan dicuri.

Jadi bila ada berita mengatakan kemungkinan Azhar akan diminta bertanding atas tikit Pas ia cukup membimbangkan saya. Keputusan itu tidak tepat dan tidak menguntungkan sesiapa sebaliknya akan merugikan anak-anak muda yang dahagakan ilmu dan pengetahuan agama darinya. Saya takut kalau dia bertanding dan menang dia tidak lagi berkesempatan untuk beribadat seperti hari ini.

Jadi saya harap berita itu tidak benar dan Pas Terengganu tidak merosakan reputasi Azhar.

Dan malam tadi saya pertama kali hadir mendengar kuliyyah agama Azhar yang diadakan di masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Shah Alam. Saya memang menyempatkan diri. Awal-awal lagi sudah berjanji dengan sdr Zulaimi Kazin, taukeh Kopi Janda dan juga sdr Zaki Abdul Rahman kawan sekariah dengan saya untuk hadir pada ceramah tersebut.

Sebelum ini saya tidak pernah berkebetulan untuk hadir kuliyyahnya yang diadakan di Hulu Kelang berhampiran kediaman saya di Wangsa Melawati. Ada-ada sahaja perkara menghalang. Jadi malam tadi baru saya berjaya melepaskan niat untuk menyaksikan kuliyyah Azhar. Mahu tenguk sendiri secara live bagaimana Azhar beintraksi dengan pendengar dan peminatnya. Dan juga mahu tenguk sendiri bagaimana sambutannya.

Masya-Allah.. masya-Allah! Saya seakan tidak percaya saya berada di Malaysia. Saya merasakan persis berada di Indonesia. Di Indonesia fenomena begitu adalah biasa. Ceramah dan majlis Kiyai dihadiri ratusan ribu manusia, termasuk juga anak-anak muda rocker dan yang bergeladangan. Lapangan masjid akan penuh dan melimpah hingga ke jalan raya berkilo-kilo meter. Itu di Indonesia. Di sana para ustaz dan Kiyai sudah menjadi macam selebriti yang digilai dan diminati. Ustaz dan Kiyai yang digilai hidup senang lenang dan kaya raya. Saya masih ingat macam mana Allahyarham Zainuddin MZ memenuhi undangan berceramah menggunakan helikopter.

Nah... begitulah apa yang saya rasa. Bahawa Azhar sudah sampai standard dunia - dunia Indonesia. Saya sampai dua jam sebelum Maghrib. Suasana di perkarangan masjid Sultan Sallahuddin Abdul Aziz sudah penuh sesak. Anak muda berderetan masuk macam hendak menuju ke bioskop melihat wayang. Belum pernah saya menyaksikan suasana demikian di Malaysia ini orang berderetan, berjujutan khasnya anak-anak muda lelaki perempuan menuju ke masjid.

Selalu ditenguk anak muda jantan betina keluar rumah sebelum Maghrib berjujutan untuk ke pesta ataupun ke pertandingan fesyen, lagu atau pun anugerah kepada artis dan bintang filem. Tetapi apa yang saya tenguk semalam adalah kelainan, satu fenomena yang sungguh membahagia dan mengharukan jiwa yang insaf.

Semasa mendirikan solat Maghrib sesuatu yang menyentuh hati kecil saya, rasa bahagia dan terharu berkecamukkan di dalam diri. Rasa suka dan cerita membalun lubuk hati. Merasakan diri hina dan kerdil di tengah-tengah jemaah yang berasak dan ramai begitu. Entah kenapa terasa semasa mendirikan solat Maghrib dan Isyak laksana persis berada di masjidil Haram dan masjid Nabawi di Madinah di mana jemaahnya begitu teguh merampatkan saf di antara satu sama lain dengan penuh ukhawah Islamiyah.

Untuk awal saya simpulkan, Azhar kini menjadi satu fenomen di kalangan anak-anak muda yang inginkan maklumat mengenai agama. Iya walaupun masih ada ramai lagi yang belum mengetahui dan mengenalinya serta tertarik kepada syarahannya kalau ada bantuan dari pihak berkuasa dan tidak ada pula dengki dan khianati insya-Allah Azhar akan dapat membawa sesuatu fenomena baru kepada dunia anak muda kita yang mana natijahnya memberi kehebatan kepada negara ini juga.

Jadi biarlah dan berikan kebebasan kepada Azhar untuk menangani dan melayani anak-anak muda semahunya. Biarlah ia basah muka anak-anak muda dengan wuduk dan mengajak mendekati Allah secara popular. Jangan diusik dan jangan didengki kepadanya. Juga jangan ada sesiapa yang cuba hendak menumpang pengaruhnya. Apa yang perlu semua pihak sokong dia.

Ada baiknya kalau kuliyyah seperti semalam yang bersih dari elemen politik dan bukan medium propaganda untuk mana-mana parti disiarkan secara langsung oleh seluruh rangkaian televisyen di negara ini.

Dalam tilikkan saya pendekatan dan kaedah diambil Azhar lebih baik dari kaedah dan pendekatan satu kumpulan yang kononya hendak memulihkan akidah ummah dengan mengadakan majlis Bicara Ummah atau sebagainya tetapi hakikatnya membelasah sebuah parti politik.

Mohd Sayuti Omar

Soalan Pemimpin Ulul Amri Malaysia Kepada Rakyatnya. Jom Tengok!


Ulul Amri? Pemimpin Islam yang disegani? Rakyat pandai menilai


http://a6.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash4/s720x720/402109_10150571827532402_154249112401_8970219_345721426_n.jpg


Ni pulak seorang Pemimpin Islam yang setiap hari dihina dan dikutuk oleh puak Pemimpin Ulul Amri kononya!

Bagaimana Umno memerangkap Dr Hasan Ali


1. Bahang pemecatan Datuk Dr Hasan Ali selaku ahli PAS serta Exco Selangor masih hangat diperbincangkan. Beliau kini sedang giat mengadakan roadshow untuk meraih sokongan di samping usaha mewujudkan front baru yang kononnya mewakili kuasa ketiga.

2. Ramai tidak sedar bahawa Dr Hasan Ali adalah lambang kejayaan Umno dan konco-konco mereka dalam menjalankan perang saraf secara kemas dan tersusun.

3. Apabila Umno/BN tewas di Selangor dan empat negeri yang lain, Umno terutamanya kumpulan gerak saraf mereka mensasarkan Perak dan Selangor untuk dirampas secara undemocratic. Kelantan dan Pulau Pinang agak mustahil bagi mereka memandangkan penguasaan mutlak parti PAS dan DAP. Manakala Kedah agak sukar memandangkan undi PAS melebihi undi Umno di samping dominasi kuat Dato’ Seri Azizan Abdul Razak dalam mentadbir negeri dan menguruskan pakatan tiga parti.

4. Perak telah berjaya dirampas melalui pembelotan 2 wakil PKR dan seorang wakil DAP. Saya difahamkan 2 wakil PKR tersebut diperangkap dengan tuduhan rasuah manakala wakil DAP dilaga-lagakan dengan DAP Negeri akibat beberapa perbezaan pendapat sebelum ini.

5. Di Selangor pula, usaha dimulakan seawal Mac 2008 dengan percubaan menarik wakil rakyat PAS untuk bergabung dengan Umno kononnya atas dasar perpaduan Melayu. Pertemuan secara sulit diadakan namun digagalkan oleh kritikan keras Mursyidul Am dan usaha kumpulan ‘Erdogan’ dalam parti.

6. Pakatan Rakyat menguasai 36 kerusi daripada 56 kerusi DUN Selangor. PKR menguasai 14, DAP 13 manakala PAS 8. Manakala Umno/BN menguasai 20 buah kerusi.

7. Umno/BN memerlukan tambahan 9 kerusi untuk merampas kerajaan. Selepas hampir dua tahun berusaha, kejayaan pertama mereka hanya kunjung tiba apabila ADUN PKR Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah keluar PKR pada 30 Oktober 2009 dan kemudiannya menyertai Umno pada April 2010. Umno bijak menggunakan kelemahan ADUN PKR yang tidak berkualiti untuk diperangkap menyertainya.

8. Kemasukan seorang ADUN belum cukup untuk menumbangkan Pakatan Rakyat di Selangor namun masa yang terlalu suntuk hampir memustahilkan usaha untuk menarik baki 8 ADUN PR menyeberang ke BN. Oleh kerana itu, plan B digunakan iatu sedaya-upaya melamahkan PR agar dalam PRU ke-13 PR gagal membentuk kerajaan di Selangor.

9. Berbalik pada kes Dr Hasan Ali. Usaha memujuk beliau menyertai Umno atau bergabung dengan Umno telah dibuat lama namun gagal. Dr Hasan Ali bukan sembarangan tokoh. Beliau tidak boleh dibeli dengan wang. Kelemahan DHA adalah mudah termakan pujian.

10. Strategi Umno memerangkap DHA amat halus dan tersusun. Beliau dirapati oleh figure-figure Umno yang berlagak lunak dengan perjuangan Islam. Figure-figure ini memakai pelbagai ‘baju’ bukan hanya baju ahli politik. Saban hari DHA akan dihasut, dipuji kononnya perjuangannya membela Islam disokong, dijanjikan sokongan tidak berbelah bahagi. Setelah sekian lama, DHA merasa betapa sokongan terhadap beliau begitu kuat sedangkan ia hanya propaganda licik pihak lawan untuk memusnahkannya.

11. Sebagai Exco Agama, DHA bertanggungjawab terhadap beberapa agensi kerajaan negeri khususnya JAIS. Malangnya, banyak tindakan yang dilakukan oleh JAIS adalah bertujuan memerangkap beliau.

12. Dalam isu tangkapan Dr Asri Zainul Abidin, Pengarah JAIS ketika itu sendiri mengesahkan bahawa JAIS tidak ikut prosedur dalam melakukan penangkapan. Perkara ini didedahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Selangor yang dipengerusikan oleh DHA sendiri. Dan dalam mesyuarat tersebut DHA terpinga-pinga tidak tahu secara terperinci perkara tersebut sedangkan beliau adalah Exco Agama. Sebab itulah, kes penangkapan Dr MAZA kini senyap tanpa sebarang berita.

13. Begitu juga dengan kes serbuan JAIS ke DUMC berkenaan isu Murtad. Serbuan dibuat bukan sangat untuk mempertahankan kesucian aqidah Islam sebaliknya untuk melaga-lagakan DHA dengan komuniti bukan Islam yang didokong kuat oleh PKR dan DAP. Malangnya, taktik jahat ini gagal dibaca oleh DHA menyebabkan beliau bermati-matian memepertahankan tindakan JAIS tersebut.

14. 8 Januari yang lepas adalah kemuncak kesabaran PAS dalam menghadapi ketidak-cerdikan DHA menanggapi isu politik di sekelilingnya.

15. Pemecatan DHA adalah keputusan PAS yang tepat walaupun sedikit terlewat.

16. Tetapi PAS harus sentiasa berjaga-jaga, kalau insan ‘cerdik’ seperti Dr Hasan Ali pun boleh diperangkap maka bagaimana nasib dengan pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli yang lain.

17. Perang saraf masih berjalan sebagaimana dirancang. Siapa mangsa seterusnya? -sumber

Qazaf: Peguam bantah hakim, keluar mahkamah

Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak keluar daripada Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur, hari ini kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Datuk Zohdi Toha.
Ini kerana hakim berkenaan memberi kebenaran kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua lagi untuk mendengar permohonan mengetepikan rayuan Anwar berhubung kes qazaf.

NONEPeguam Kamar Ainiah Kamaruzzaman (kiri) berkata tidak dapat menerima keputusan kerana berpendapat hakim perlu mendengar permohonan kebenaran terlebih dahulu dan memutuskannya sebelum mendengar hujah daripada peguam menteri sebelum mengetepi rayuan tersebut.

Beliau bersama-sama tiga lagi peguam, mengemaskan fail-fail mereka dan bertindak terus keluar daripada mahkamah bersama-sama Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan penyokongnya.

"Kami tidak boleh mengambil bahagian (prosiding), ia terang-terang satu penyalahgunaan kuasa oleh pihak pemohon.

"Jadi kami terpaksa untuk keluar. Kami akan mengambil tindakan susulan iaitu menyemak keputusan kehakiman," kata Kamar Ainiah kepada pemberita di luar mahkamah.

Menurutnya lagi, permohonan kebenaran untuk mendengar permohonan untuk mengetepikan notis rayuan Anwar adalah dipohon sendiri oleh barisan peguam pemohon.

"Sepatutnya perkara itu diselesaikan (terlebih) dahulu, tetapi mahkamah memutuskan mohon kebenaran tidak relevan. Walhal, (ianya) permohonan mereka (untuk) mohon kebenaran," katanya sambil menambah tindakan mereka keluar sebagai tanda menghormati prosedur mahkamah.

Selain Kamar Ainiah, Anwar diwakili Dorina Abdullah, Dr Mohd Rafie Shafie dan Mohamad Burok. Manakala pemohon diwakili tiga peguam iaitu Roslizam Rahim, Abdul Halim Bahari dan Mohd Ridzuan Ramli.

Notis hina mahkamah

Hakim Datuk Zohdi Toha bersama dua lagi hakim rayuan - Datuk Aidi Moktar dan Datuk Hussin Harun - memutuskan demikian selepas meneliti surat cara permohonan dan mendengar hujah kedua-dua pihak selepas mahkamah ditangguhkan selama setengah jam.

Selepas mendengar keputusan tersebut, Kamar Ainiah bangun membantah keputusan itu dan menegaskan akan membuat semakan kehakiman. Kemudian mereka bertindak keluar mahkamah.

Sebelum peguam responden itu keluar mahkamah, Roslizam - ketua barisan peguam pemohon - lantas bangun dan mendakwa tindakan Kamar Ainiah itu dianggapnya menghina mahkamah kerana hakim membenar prosiding diteruskan.

Bahkan Roslizam meminta Kamar Ainiah menarik balik kenyataannya bahawa peguam pemohon "boleh mengambil duit zakat". Bagaimanapun Kamar Ainiah menarik balik kenyataan beliau itu.

Penarikan itu dibuat selepas hakim mahu merekodkan kenyataannya itu sebab ianya dibuatnya dalam mahkamah sambil desakan yang dibuat oleh Roslizam

Ditemui pemberita selepas prosiding, Roslizam berkata pihaknya akan memfailkan notis tunjuk mengikut seksyen 229 Akta Tatacara Mal 1998 dengan sebab tindakan mereka itu didakwa "menghina mahkamah".

"Notis (yang menyatakan bahawa) kenapa mereka tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah," kata Roslizam.

Katanya, responden hari ini membangkitkan isu baru, sedangkan sewaktu peringkat mana-mana pengurusan kes, perkara tersebut tidak dibangkitkan pada waktu tersebut.
Anwar pada 23 April tahun lalu memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur berikutan keputusan mahkamah membenarkan bantahan awal Jamil untuk membatal permohonan Anwar supaya Mohd Saiful Bukhari Azlan didakwa mengikut qazaf.

Anwar pada Ogos tahun lalu juga mengemukakan permohonan di Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur bagi melucutkan peguam yang mewakili Jabatan Hal Ehwal Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam samannya terhadap jabatan itu. -M'kini

PRU13: TG Nik Aziz tolak hasrat TG Hadi

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju dengan keputusan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu berundur daripada bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Abdul Hadi, menurut beliau, seorang manusia yang berbakat untuk memimpin, lebih-lebih lagi dalam perjuangan Islam.

"Penjawat awam ada had masa untuk bersara tapi pimpinan parti tiada had masa, boleh berkhidmat sampai mati," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam pertemuan dengan Sinar Harian di Kuala Terengganu kelmarin, Abdul Hadi membayangkan kemungkinan tidak akan bertanding dalam PRU13, yang dijangka akan diadakan dalam waktu terdekat.

Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada khidmatnya yang disifatkan sudah terlalu lama menyandang jawatan sebagai Yang Berhormat.

“Sudah lebih 30 tahun saya bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) iaitu bermula pada 1982 dan sudah berbelas tahun sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Abdul Hadi berkata, sekiranya tidak bertanding mana-mana kerusi, beliau boleh bergerak ke seluruh negara untuk memantapkan parti. Bagaimanapun, Adun Rhu dan Ahli Parlimen Marang ini menawarkan bertanding satu kerusi sahaja sekiranya dipilih sebagai calon dalam PRU13.

Abdul Hadi mengetuai Pas sejak 2002 dan beliau mempertahankan jawatan presiden tanpa cabaran pada pemilihan Jun lalu.

Gambar : Sekitar Kuliah Maghrib Ust Azhar Idrus Di Masjid Negeri Shah Alam






  












Sumber dan lagi gambar : Facebook Abah Anas

Sambutan hangat Kuliah Maghrib Ust Azhar Idrus di Masjid Negeri Sultan Salahudin Abdul Aziz Syah Shah Alam Selangor.
Difahamkan sekitar 30 ribu hadir di Masjid,sementara lebih kurang 34 ribu lagi menonton secara langsung di internet.

Idris Ahmad: Dr Mahathir Paling Takut Bila Pakatan Berkuasa

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Idris Ahmad berkata bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad adalah antara pemimpin Umno paling takut sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menguasai Pautrajaya.

Katanya, kenyataan-kenyataan Dr Mahathir kebanyakkannya untuk memperleceh kerajaan PR bahawa prestasi Pakatan Rakyat mendukacitakan dan gagal mentadbir negeri-negeri dikuasainya.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan Pakatan Rakyat telah membuktikan betapa pakatan itu berwibawa dan layak diangkat sebagai kerajaan berdasarkan prestasi membanggakan dipamerkan setakat ini.

"Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan telah di istiharkan sebagai empat negeri yang menerima pelaburan luar paling tinggi di negara ini sedangkan negeri-negeri yang di tadbir Umno-BN tercorot kerana tiada keyakinan pelabur luar," ujar beliau

Maka, tegasnya, rakyat disaran terus memberikan peluang dan mandat kepada Pakatan Rakyat di dalam Pilihanraya Umum ke 13 akan datang bagi mengekal dan meluaskan kuasa seterusnya menguasai Putrajaya.

"Setakat hari ini prestasi yang ditunjukkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat amat memberangsangkan bukan mendukacitakan termasuklah kita tengok skim yang kita tawarkan dan kita akan tawarkan lebih baik lagi sepertimana janji kita soal penurunan harga petrol, letrik dan tol," katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Idris menyatakan apa yang disuarakan Dr Mahathir itu adalah menzahirkan kebimbangan beliau dengan menutup kegagalan di dalam pelbagai perancangan seperti projek penswastaan ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

Menurutnya, kebanyakan projek dirancang Dr Mahathir menemui kegagalan seperti yang boleh dilihat dialami oleh Proton ketika ini serta yang lain termasuk Indah Water dan MAS kerana semua projek itu mementingkan kroni dan pihak tertentu.



Maka dengan itu, jelasnya Dr Mahathir sering memberi gambaran buruk kepada kerajaan Pakatan Rakyat semata-mata untuk menutup kepincangan dan kelemahan kerajaan BN sejak sekian lama

"Sebenarnya dia nak lindung segala kelemahan dia tinggalkan selama ini, selama 22 tahun. Terakhir kita tengok dasar-dasar penswastaan Dr Mahathir semua gagal. Dengan semuanya apabila kroninya kenyang, suku sakatnya kenyang, akhirnya kerajaan terpaksa tanggung 'biawak hidup'," ujarnya.

Idris seterusnya berkata, Pakatan Rakyat berjaya dengan cemerlang sebagai kerajaan di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor kerana pentadbiran penuh kebertanggungjawaban, telus dan adil.

"Maka sebab itu kita berjaya, pasal kita buat dan kita beri (kepada semua rakyat) bukan kepada ahli Umno atau penyokong BN. Setakat ini kemampuan kita berjaya berbanding dengaan apa Dr Mahathir dan juga suku sakat serta anak buahnya, (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Razak) buat hari ini," katanya.

Menurut Idris, Tindakan Dr Mahathir tersebut juga ekoran kebimbangan berhubung nasib dan suku sakat serta kroni-kroni beliau berhubung pelbagai salah guna kuasa yang dilakukan ketika menguasai negara apabila Pakatan Rakyat berkuasa kelak. -tvsnews
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .