Ikuti Blog ini

Tuan Guru Nik Aziz pelawa SAPP sertai Pakatan Rakyat


KOTA BHARU, 22 Jun (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengajak Parti Maju Sabah (SAPP) menyertai Pakatan Rakyat, sekiranya parti itu kecewa dalam pakatan Barisan Nasional (BN) yang telah disertainya sekian lama.

Tuan Guru berkata, Pakatan bersedia memberi laluan kepada parti itu untuk membuka lembaran baru dalam sejarah politik negara sekiranya SAPP berminat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan tapak projek Bandar Stelit Pasir Tumbuh, Khamis lalu apabila parti itu memperlihatkan rasa kecewa terhadap kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden BN.

Menurutnya, tindakan SAPP itu jelas menunjukkan sikap orang yang kecewa, untuk itu beliau diseru menyertai Pakatan Rakyat.

"Memang kami belum mengenali secara keseluruhannya parti itu, namun ia boleh berbincang dan dengan cara ini sudah mula ada titik pertemuan antara Pakatan Rakyat dan SAPP yang jelas begitu kecewa dalam pakatannya dengan BN selama ini.

"SAPP sebenarnya sudah melalui jalan pembangkang, ini memberi gambaran yang baik untuk menjalinkan pakatan yang baru," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas adakah usaha untuk mengajak parti itu menyertai Pakatan selepas parti itu mengumumkan rasa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdullah.

Ketika ditanya adakah PAS bersedia menyokong usul tersebut sekiranya dibentangkan di Parlimen, beliau memberitahu perkara itu akan berlaku.

Sambungnya, ini kerana usaha untuk menyingkir Perdana Menteri itu bukan atas peribadi, sebaliknya atas dasar serta ketidakupayaannya mentadbir negara.

Jumaat lalu, Presiden parti itu, Yong Teck Lee, mengisytiharkan partinya hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Presiden BN.

Ketika mengumumkan perkara itu, Yong dan dua Anggota Parlimennya, Dato' Eric Majimbun (Sepanggar) dan Dato' Dr Chua Soon Bui (Tawau) akan menyokong usul tidak percaya di Dewan Rakyat yang bakal bersidang Isnin ini.

"SAPP sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, peruntukan undi tidak percaya ada dalam Perlembagaan, dan menjadi sebahagian proses demokrasi di negara ini," ujarnya dalam sidang media itu.

Tuan Guru sebelum itu merasmikan tapak projek Bandar Stalet Pasir Tumbuh yang bernilai RM100juta di atas stanah seluas 20 ekar. - mns_

Iklim politik Malaysia tidak lagi sihat - Tengku Razaleigh

GLUGOR, 21 Jun - Mantan Menteri Kewangan Malaysia, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan iklim politik Malaysia semakin sakit berikutan kemunculan suara-suara desakan selepas pilihan raya umum ke 12.

Dari segi demokrasi memang ia satu perkembangan yang baik tetapi untuk kepentingan parti Umno dan Barisan Nasional (BN) ia satu yang mendukacitakan, katanya.

"Desakan pada kerajaan semakin membara dan ini mengambarkan iklim politik Malaysia makin bercelaru dan tidak sihat. Apa akan berlaku pada masa depan," jelasnya ketika ditanya wartawan selepas ucaptama dalam program Kongres Permuafakatan Melayu Pulau Pinang Zon Utara di Dewan Kuliah 'U' Univesiti Sains Malaysia (USM), Glugor pagi tadi.

Beliau ketika mengulas tindakan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Dato' Seri Yong Tek Lee yang mahu mencetuskan undi tidak percaya pada Persidangan Parlimen Isnin ini menambah, ia satu keputusan yang memperlihatkan BN tidak lagi seutuh dulu.

Rakyat sekarang ini bijak menilai dan mereka telah lakukan tindakan dalam pilihan raya umum lepas di mana BN kehilangan banyak kerusi dan hilang empat negeri di Pantai Barat dan gagal menawan Kelantan, katanya.

"Kemelut inilah yang membuatkan wujud suara-suara yang boleh mengancam BN secara menyeluruh," terangnya.

Senario ini katanya, menjadi semakin tegang apabila SAPP sebuah parti dari komponen BN di Sabah mengisytiharkan melakukan undi tidak percaya pada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di parlimen Isnin ini.

Semalam Perdana Menteri mengumumkan tidak akan mengenakan tindakan pada SAPP kerana ia bukan suara keseluruhan SAPP malahan ia hanya dari Presidenya sahaja.

Tetapi, dalam perhimpunan SAPP semalam sudah memutuskan segala-galanya ia adalah suara SAPP bukan secebis keluhan daripada seorang dua kepimpinan tertinggi sahaja.

Kongres Kemuafakatan Melayu Zon Utara kali ini dianjurkan bersama antara Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Ikatan Kelab-Kelab Melayu Pulau Pinang (Ikatan).

Beberapa kertas kerja dibentangkan antaranya oleh Profesor Dato' Dr Zainal Kling bertajuk 'Kedaulatan Kebudayaan, Pendidikan, Bahasa dan Agama Bangsa Melayu'.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Haji Azmi Abdul Hamid dengan tajuk 'Mencetuskan Kebangkitan Bangsa' dan 'Melakar Masa Depan Bangsa Melayu Berpaksikan Kedaulatan Perlembagaan Malaysia oleh Profesor Madya Dr. Mustaffa Kasim dari Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Protes harga minyak: ketua AMK Terengganu ditahan polis

KUALA TERENGGANU, 21 Jun (Muslimeen united) - Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Terengganu, Fariz Musa ditahan polis ketika mengetuai satu tunjuk perasaan secara aman anjuran Protes bagi membantah kenaikan harga bahan api.

Beliau ditahan ketika selesai mengadakan sidang media pada jam 3.15 petang di tempat letak kereta selepas berucap di dua tempat berasingan iaitu di perkarangan Masjid Al-Muktafibillah Shah Ladang dan di Dataran Shah Bandar, dekat sini, semalam.

Ketika berucap, katanya tunjuk perasaan secara aman itu bagi menuntut agar kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) dan negeri mengambil langkah segera menurunkan harga bahan api tersebut.

Menurut Fariz, Malaysia merupakan sebuah negara pengeluar minyak yang terbesar di Asia Tenggara.

"Kami menuntut supaya kerajaan dapat membentang secara terperinci laporan kewangan tahunan Petronas dalam dan luar negara termasuk punca-punca keuntungan dan perbelanjaan kepada umum melalui Parlimen," tegasnya.

Selain itu, katanya AMK Terengganu mahukan agar kerajaan dapat meningkatkan purata pendapatan rakyat di negara ini sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan bagi mengimbangi kenaikan petrol serta kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurutnya, rakyat turut mendesak kerajaan BN Terengganu agar tidak menarik balik saman terhadap Petronas akibat keingkaran perjanjian yang dibuat ketika kerajaan PAS memerintah Terengganu.

"Kita mahu setelah royalti petroleum dikembalikan, bantuan tunai kebajikan rakyat miskin sebanyak 80 peratus dinaikkan dan mesti dibuat pengagihan secara adil, saksama dan telus kepada mereka yang layak," ujarnya.

Selain itu, katanya Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan seluruh ahli Kabinet Umno dan kerajaan Barisan Nasional perlu meletakkan jawatan masing-masing dengan segera.

Beliau ditahan di bawah seksyen 27(5) menganjurkan perhimpunan haram serta dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu dan dibebaskan pada jam 6.30 petang dengan jaminan polis.

Perhimpunan Protes itu disertai oleh lebih 100 orang yang sentiasa diasak dengan pelbagai 'ugutan' tangkapan oleh pihak polis agar orang ramai segera bersurai bagi menghalang demontrasi aman tersebut diteruskan._

Yong nafi ditawar jawatan TPM

Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee menyifatkan sebagai tidak masuk akal dakwaan Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bahawa beliau mengkritik Perdana Menteri kerana termakan tawaran daripada Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya tidak termimpi pun mahu jadi Timbalan Perdana Menteri. Mungkin kerana saya lantang menyuarakan isu mengenai Sabah maka beliau (Khairy) boleh cakap apa aja.

"Kalau bukan kerana kemenangan cemerlang BN Sabah dan Sarawak...BN sudah jatuh dalam pilihanraya yang lepas. Jadi apa salahnya kita minta perhatian sedikit. Khairy seorang muda. Dia kena banyak belajar (dalam politik)," katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan Serbaguna Likas, dekat sini hari ini.

Semalam, Khairy berkata beliau difahamkan Yong akan dilantik jawatan nombor dua kerajaan sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri kelak.

Yong berkata beliau tidak tamak jawatan dalam kerajaan seperti yang diwar-warkan dalam media, demikian menurut laporan Bernama.

"Saya ditawarkan jawatan senator dan Wakil Khas berkaitan Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) tetapi saya tidak terima kerana saya melihatnya sebagai "sogokan politik" supaya tidak terus menyuarakan isu-isu mengenai Sabah," katanya.

Yong juga ditanya sama ada SAPP akan mengambil tindakan terhadap Timbalan Presiden SAPP Datuk Raymond Tan yang tidak sehaluan dengan ahli Majlis Tertinggi SAPP dalam memutuskan usul tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

Menurut beliau, parti itu tidak bercadang berbuat demikian.

BPR nafi ugutan

Sementara itu, Bernama turut melaporkan bahawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini menafikan dakwaan Yong bahawa tindakan BPR membuka kertas siasatan ke atasnya sebagai satu ugutan.

Ketua Pengarah BPR Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata badan itu tidak pernah mengugut sesiapa pun dan tindakan BPR itu tidak bermotifkan politik atau atas arahan mana-mana pihak.

"Sebagai sebuah badan penguatkuasa undang-undang, kita jalankan siasatan tanpa rasa takut atau pilih kasih," katanya kepada pemberita di Putrajaya.

Mengenai masa kertas siasatan itu dibuka iaitu sehari selepas Yong membuat kenyataan tidak percaya kepada pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Ahmad Said berkata ia secara kebetulan sahaja kerana nama Yong disebut dalam perbicaraan kes rasuah di Mahkamah Tinggi Kala Lumpur kelmarin.

BPR membuka kertas siasatan ke atas Yong kerana disyaki terlibat dalam satu kes rasuah membabitkan RM5 juta yang didakwa dilakukannya ketika menjadi Ketua Menteri Sabah.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa Yong mengarahkan pembayaran wang lebih RM5 juta, iaitu hasil keuntungan jualan saham syarikat milik kerajaan negeri Sabah, kepada ejen-ejen pilihannya pada 1996.

Ahmad Said berkata BPR mengambil tindakan itu kerana wujud unsur-unsur rasuah ekoran keterangan bersumpah yang diberikan oleh saksi semasa perbicaraan itu.

Mengenai dakwaan Yong bahawa beliau telah memberikan keterangan kepada BPR berhubung kes bekas Menteri Pembangunan Tanah dan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam yang didakwa terlibat dalam salah guna kuasa, Ahmad Said berkata: "Itu siasatan lain. Saya tak tahu siasatan dulu".

Beliau berkata adalah menjadi amalan biasa bagi BPR untuk membuka kertas siasatan ekoran keterangan saksi-saksi di mahkamah dan pihaknya banyak membuka kertas siasatan seperti itu, cuma akhbar tidak melaporkannya.

Katanya orang ramai akan mempersoalkan integriti BPR sekiranya ia tidak bertindak ekoran pendedahan keterangan saksi berhubung kes rasuah di mahkamah.

Ahmad Said berkata beliau tidak menerima tekanan atau arahan mana-mana pihak bagi membuka kertas siasatan itu, sebaliknya, katanya: "Saya sendiri yang mengarahkan pegawai saya membuka kertas siasatan itu,"

Beliau berkata kertas siasatan dibuka bukan sahaja terhadap Yong tetapi juga lapan orang lagi yang dinamakan sebagai penerima wang RM5 juta itu serta ke atas bekas Pengarah Briskmark Enterprise Sdn Bhd Datuk Wasli Mohd Said yang membuat keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung perkara itu.

Ketua Pengarah BPR itu juga menjelaskan kesalahan jenayah rasuah tidak mempunyai tempoh luput walaupun jika rasuah itu didakwa dilakukan suatu masa dahulu.

Pengunduran Abdullah mampu perkukuhkan semula BN - Husam

Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu mendesak Pengerusinya, Dato� Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Perdana Menteri melepaskan jawatannya.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, memberitahu perkara itu perlu bagi memperkukuhkan semula kedudukan BN dan negara selaku parti memerintah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mesyuarat Dewan Tertinggi BN 19 Jun lalu yang berakhir tanpa sebarang keputusan.

Menurutnya lagi, parti-parti komponen di dalam Barisan Nasional sepatutnya mengambil langkah drastik mempertahankan masa depan kerajaan BN memandangkan pucuk pimpinan yang ada sekarang telah gagal berbuat demikian.

"Untuk tujuan itu, langkah paling mudah adalah meminta Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Barisan Nasional mengundurkan diri dengan serta merta.

"Pengunduran Dato' Seri Abdullah akan membolehkan perubahan teraju di dalam Barisan Nasional dan seterusnya perlantikan Perdana Menteri yang baru," ujarnya lagi.

Tambahnya, hanya dengan pertukaran kepimpinan sahaja akan berkemungkinan membantu wujudnya keyakinan terhadap usaha pengukuhan semula BN.

Husam menambah kata, pilihan raya ke-12 yang lalu telah menyaksikan bagaimana parti-parti komponen BN di Semenanjung Malaysia mengalami keputusan yang paling buruk di dalam sejarah gabungan parti itu.

Akibat kejadian itu, jelasnya parti komponen itu telah melakukan post-mortem dan juga mendengar keluhan akar umbinya.

"Hasilnya tidak dapat dinafikan, faktor utama yang menyebabkan prestasi buruk ini adalah berhubung rapat dengan penolakan kepimpinan Dato' Seri Abdullah oleh ahli-ahli dan penyokong-penyokong serta pengundi-pengundi yang sebelum ini setia dengan Barisan Nasional.

"Oleh yang demikian, mekanisme perubahan dalaman boleh untuk sementara waktu meredakan masalah Barisan Nasional dan kekeliruan ahli-ahli parti komponen terhadap masa depan Barisan Nasional," ujarnya lagi.

Sidang tergempar BN tanpa keputusan konkrit juga katanya memperkuatkan lagi tanggapan bahawa Barisan Nasional tidak lagi mempunyai kekuatan untuk mendisiplinkan anggotanya dan berdepan dengan pilihan yang terhad dalam mempertahankan survivalnya.

Mempertimbangkan perletakkan jawatan Dato' Seri Abdullah adalah yang sepatutnya di dalam mesyuarat kelmarin dan bukannya bermesyuarat tetapi hasilnya hanyalah pengumuman satu keputusan yang longgar.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .