WAWANCARA Bekas Pengarah Jabatan Siasatan
Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari berkata, anggota polis mengundi
BN kerana bimbang dianggap "derhaka dan tidak bersyukur" sekiranya
mengundi pembangkang.
Fauzi yang menyertai PAS Mei lalu berkata
perkara itu timbul kerana "keterikatan" anggota polis kepada kerajaan
yang membayar gaji dan elaun kepada anggota pasukan terbabit.

"(Ramai
anggota polis) berpandangan gaji, elaun dibayar oleh kerajaan.
(Mengikut) fahaman kita, kerajaan adalah tak boleh selain daripada BN.
"Lantaran
itu, (mengikut) fahaman kita, dalam keadaan mengundi, siapa yang tidak
mengundi BN itu... akan dianggap sebagai derhaka, atau tidak berterima
kasih atau bersyukur kepada orang (kerajaan) yang beri elaun, gaji beri
kita makan," katanya dalam wawancara dengan
Malaysiakini baru-baru ini.
Tegasnya,
kerajaan dan parti adalah dua perkara yang perlu dibezakan dan anggota
polis berhak membuat pilihan masing-masing bagi memilih parti tertentu
untuk menerajui kerajaan dalam pilihan raya.
"Kita boleh pilih mana-mana (parti), yang lebih baik, telus, jujur, berpegang amanah, tidak menekan (dan) tidak rasuah.
"Jadi,
jangan ada kekhuatiran, kita nak sokong parti lain, (menyebabkan) kita
akan dilabel khianat, derhaka. Tidak timbul sama sekali. Sepatutnya
semangat sebegini ada," katanya.

Ditanya
sekiranya kerajaan memberi tekanan kepada anggota polis supaya
menyokong BN dalam pilihan raya, bekas ketua polis Selangor itu berkata
perkara itu tidak berlaku.
Namun, selagi anggota polis atau
penjawat awam lain bekerja dalam kerajaan, mereka perlu mematuhi
peraturan, garispanduan operasi atau perintah yang telah ditetapkan,
katanya.
Jika anggota polis menyatakan sokongan politik secara
terbuka kepada parti tertentu pula, mereka juga dianggap "mengingkari
peraturan umum", katanya.
"Kerajaan mengikat kamu, kamu kena
patuh, kena berkhidmat. Tetapi dalam berkhidmat, tidak ada unsur-unsur
supaya memihak. Tidak (ada). (Polis berkhidmat) untuk semua rakyat,
(dengan) adil. Jadi kita kena adil," katanya.
Sepanjang 32 tahun perkhidmatannya dalam pasukan polis, Fauzi juga pernah menjadi ketua polis Sarawak.
-M'kini