KUALA TERENGGANU
- Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) menyatakan kesediaan menjadi orang
tengah bagi menganjurkan satu debat atau dialog terbuka diantara
Pesuruhjaya PAS Terengganu Haji Mohd Abdul Wahid Endut dengan Pengerusi
Badan Perhubungan Umno Terengganu Dato’Seri Ahmad Said.
Koordinator negeri Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah
Ahmad Shah berkata banyak isu-isu mengenai negeri Terengganu tidak
dijawab oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) antaranya isu
royalti Petroleum dan isu bumbung stadium Sultan Mizan yang runtuh dua
tahun lalu.
Menurutnya, debat diantara kedua pihak pembangkang
dan kerajaan adalah medan yang terbaik bagi rakyat mengetahui penjelasan
dari kedua-dua belah pihak tentang isu terbabit.
Katanya debat
atau dialog merupakan ciri-ciri demokrasi yang sihat dimana Malaysia
sebagai Negara yang semakin matang patut mendokong perbahasan dan
kebebasan bersuara.
“Tuan Haji Wahid telah meminta Dato’ Seri
Ahmad Said (untuk) berdebat atau dialog terbuka sepaya isu semasa dapat
dibincangkan dan diberi penjelasan di khalayak supaya orang ramai lebih
memahami isu yang menjad kemusykilan,
“ini adalah salah satu ciri
demokrasi yang sihat, Malaysia negara yang bertambah matang patut
mendokonginya (dengan) kebebasan untuk bercakap (dan) kebebasan melapor
oleh pihak media apa jua yang berlaku,”ujarnya.

Menurut
beliau, antaranya isu penting yang boleh dibincangkan dalam debat
tersebut adalah royalti dan hasil petroleum kepada negeri Terengganu dan
isu bumbung stadium Sultan Mizan yang runtuh dua tahun lalu.
Katanya,
baru-baru ini tuntutan mahkamah keatas lima peratus hasil royalti
minyak yang buat oleh kerajaan Terengganu telah ditarik balik dan
menimbulkan persoalan dari orang ramai.
“tuntutan mahkamah yang
dibuat untuk menuntut balik 5% royalti minyak telah ditarik balik, ini
kembali kepada persoalan wang ehsan, jadi apakah bahagian (share)
pendapatan Terengganu kalau kita bergantung dengan Ehsan,
“ini
merupakan pertanyaan rakyat Terengganu, apakah sumbangan (hasil) kepada
rakyat Terengganu kalau kita tidak menetapkan peratus (bahagian hasil)
Terenganu dalam perjanjian,”soalnya.
Beliau berkata dalam
belanjawan 2012, kerajaan negeri telah meletakkan pendapatan negeri
sebanyak 95% adalah dari sumber minyak dan gas.
Oleh itu, katanya, sekiranya kerajaan hanya mengharapkan kepada ‘wang ehsan’ bagaimanakah belanjawan tersebut akan dikendalikan.
Selain
dari isu royalti, Raja Datuk Kamarul Bahrin berkata, rakyat bertanya
tentang isu bumbung stadium yang runtuh yang hanya dibersihkan tetapi
belum diperbaiki.
“Rakyat bertanya-tanya apakah masa depan,
apakah nasib stadium ini? Kalau dah begitu lama bumbungnya runtuh, telah
dibersihkan tetapi bilakah stadium itu dapat digunakan semula,
“ini
juga merupakan isu yang berlarutan (dan) tidak ada pendekatan yang
lebih positif untuk memberi kefahaman yang sebaik mungkin kepada
rakyat,”jelasnya dalam sidang media yang diadakan di sebuah hotel di
sini pada Ahad 8 Julai.
Menurutnya, kerajaan negeri sudah
membelanjakan wang rakyat sebanyak RM300 juta namun masih bergantung
kepada stadium lama yang hanya mempunyai kapasiti sebanyak 20,000 orang.
Peningkatan
sukan bolasepak negeri Terengganu adalah baik, namun kata beliau,
adalah sayang kerana stadium baru tidak dapat digunakan.
Katanya,
hasil kajian juruperunding bebas yang menyiasat kejadian stadium runtuh
telah menyatakan semua pihak bersalah, tetapi tidak ada satu pihak pun
yang benar-benar bersalah.
Selain, isu-isu terbabit menurutnya,
pihak pembangkang dan kerajaan juga boleh menggunakan medan debat
tersebut sebagai wadah untuk membentangkan manifesto masing-masing untuk
dinilai oleh rakyat pada saat hampir kepada piliharaya umum.
Justeru,
beliau berkata AMANAH akan menghantar surat jemputan kepada Dato’ Seri
Ahmad Said dan Haji Mohd Abdul Wahid Endut dan berharap kedua-dua pihak
terbuka menerima pelawaan itu.
-BO