Ikuti Blog ini

Mohd Sabu: PAS Sertai BERS✔H 3.0 Jika Pilihanraya Sebelum 8 Tuntutan Ditunaikan

Pas mengingatkan kerajaan sekiranya lapan tuntutan Bersih 2.0 tidak ditunaikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), parti itu akan menyertai perhimpunan Bersih 3.0, yang dijangka diadakan Februari depan.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, sekiranya PRU13 diadakan menggunakan sistem sedia ada, pihaknya percaya agak sukar untuk Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Putrajaya kerana sistem pilihan raya itu belum bersih dan telus.

“Jika tuntutan Bersih 2.0 belum ditunaikan, penganjurnya bercadang buat himpunan Bersih 3.0. Kali ini ahli Pas wajib hadir untuk tuntut pilihan raya yang bersih,” katanya, ketika berucap pada ceramah perdana ‘Parlimen akan dibubarkan’, di Markaz MTD Sri Burhan Tok Sibil, Jalan Datuk Kumbar, malam kelmarin.

Menurutnya, kerajaan sewajarnya mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku di dunia Islam kebelakangan ini, yang menyaksikan kerajaan bertukar tangan melalui tunjuk perasaan hingga menyebabkan ramai rakyat terkorban.

“Kita hanya tuntut lapan perkara secara aman, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) janji bersihkan daftar pemilih namun kita mahu lihat hasilnya sebelum PRU13,” katanya.

Mohamad turut meminta supaya tafsiran kehakiman dibuat terhadap Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan kerajaan, kerana didakwa bertentangan dengan perlembagaan.

“Kita sudah failkan kes ini dan peguam kita akan mohon supaya hakim dapat menangguhkan pelaksanaan undang-undang itu. Rakyat tiada hak langsung untuk berhimpun kelak, sehingga Majlis Peguam yang arif dalam perundangan pun turut bantah,” katanya. -SH

Peneroka tuntut kekalkan Datuk Dzulkifli, Isa undur


KUALA LUMPUR, 13 Dis: Kira-kira 50 wakil peneroka Felda daripada beberapa negeri hari ini menyerahkan memorandum menyokong Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd Wahab di Ibu Pejabat Felda, Jalan Gurney, dekat sini.

Memorandum sokongan itu ekoran tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Dzulkifli bercuti dan mengikuti Kursus Pengurusan Lanjutan bagi meningkatkan prestasi untuk melakukan transformasi Felda.

Ia merupakan cadangan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad melalui surat yang dihantar kepada Najib bertarikh 21 November.

Arahan bercuti dikeluarkan melalui surat yang diikeluarkan Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri 25 November lalu.

Difahamkan, Dzulkifli mula bercuti 25 November lalu dan telah berlepas ke London minggu lalu.

Memorandum yang diserahkan kepada  wakil Felda, Muhamad Ibrahim antaranya menuntut Perdana Menteri menarik balik arahan bercuti itu dan menggugurkan Isa daripada jawatannya.

Mereka diketuai Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, Mazlan Aliman berarak kira-kira satu kilometer menuju ke bangunan Felda dengan diawasi kira-kira 30 anggota polis beruniform termasuk polis cawangan khas.

Mereka melaungkan "undur Isa Samad", "hidup rakyat" sambil membawa sepanduk bertulis "kami sayang Dzul, benci Isa".

Bercakap kepada media selepas penyerahan memorandum, Mazlan berkata, pihaknya amat kesal dengan tindakan yang dilakukan terhadap Zulkifli yang dianggap sebagai seorang yang sangat amanah dan berdedikasi dalam tugasnya.

"Kami yakin tindakan ini sebenaranya penyingkiran kepada Datuk Dzul.

"Ia tidak beretika dan biadap terhadap Ketua Eksekutif Kumpulan yang mempunyai 23 kakitangan," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Menurut Mazlan, Isa tidak senang dengan Dzulkifli kerana menganggap Dzulkifli menghalang usaha penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia.

"Dalam mesyuarat lembaga pengarah, Datuk Dzul pernah mempersoal di mana Felda nak cari duit untuk bayar gaji kakitangan Felda RM1.5 bilion bila FGVH melabur dalam Bursa Malaysia. Isa tidak senang kerana mengganggu usahanya untuk penyenaraian," jelas beliau. -Hrkh

Sultan Kedah, Kelantan Sebagai Yang Dipertuan Agong & Timb Yang Dipertuan Agong

Pelantikan Sultan Kedah Sebagai Agong Dianggap Penghormatan Bersejarah Kepada Negeri

ALOR SETAR: Pelantikan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua bermula Selasa merupakan penghormatan bersejarah dan menjadi kebanggaan bagi seluruh penduduk Kedah, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Beliau berkata seluruh rakyat mendoakan agar baginda dan Sultanah Haminah Hamidun dilimpahi rahmat, dipanjangkan usia, sihat sejahtera serta dapat memerintah dengan penuh kedaulatan dan keamanan.

"Akan tetapi, rasa bangga patik-patik sekalian bercampur hiba, berat rasanya hati untuk berjauhan dengan seorang raja pemerintah, tempat sekalian patik bergantung harap selama ini," katanya ketika berucap pada Majlis Istiadat Pelantikan Jemaah Pemangku Sultan di Istana Anak Bukit di sini Isnin.

Azizan berkata beliau mewakili seluruh anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, anggota-anggota perkhidmatan awam serta seluruh rakyat berikrar akan taat setia mencurahkan tenaga dan fikiran bagi menjamin kestabilan dan keharmonian negeri itu.

Katanya agenda kerajaan negeri bagi menjamin kebajikan rakyat akan terus didokong dan hubungan baik dengan kerajaan persekutuan akan terus dijaga.

"Pastinya pesanan serta pandangan Tuanku yang konstruktif, galakan dan tunjuk ajar kepada kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat serta menekankan supaya keadilan, keamanan terus ditegakkan menjadi suntikan dan panduan bagi patik mengemudikan pentadbiran negeri," katanya. - BERNAMA


Sultan Mahmud V Sangat Dekat Di Hati Rakyat


KOTA BAHARU: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, yang dilantik Timbalan Yang di-Pertuan Agong, merupakan seorang raja berjiwa rakyat dan sangat dekat di hati penduduk negeri itu.


Tengku Muhammad Faris Petra, 42, putera sulung Sultan Ismail Petra, yang sering membahasakan diri baginda sebagai "kita", telah menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 Sept 2010.


Baginda yang gemar turun padang termasuk ke kawasan pedalaman serta perkampungan Orang Asli di Gua Musang dan Jeli, sering membahasakan diri baginda sebagai "kita".


Sejak ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Okt 1985, baginda lebih suka mengenakan jubah atau berbaju Melayu dengan berkain pelikat yang dikenali sebagai berbaju "gumbang", berkopiah putih ketika melawat rakyat.


Baginda tidak kekok duduk bersila bersama rakyat semasa mengadakan lawatan ke kampung-kampung, malah amat mengambil berat kebajikan mereka dan kerap kali dalam diam-diam dan di luar pengetahuan media, menjengah kehidupan mereka yang memerlukan pembelaan.


Sultan Muhammad V yang diputerakan pada 6 Okt 1969, mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail I di sini sebelum melanjutkan pelajarannya ke sekolah antarabangsa Alice Smith di Kuala Lumpur.


Baginda kemudian ke Oakham School Rutland, England, sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kajian diplomatik di St. Cross College, Oxford serta di Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.


Sultan Muhammad V, yang merupakan Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di masa lapang gemar membaca, serta meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan kejohanan kuda lasak.


Baginda juga meminati sukan memanah, boling serta memelihara haiwan kesayangan seperti kuda, kucing, ayam dan burung.


Baginda adalah Komander 506 Askar Wataniah berpangkat Brigadier Jeneral (Kehormat) dan turut melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan selain aktif berperanan dalam organisasi berkaitan dengan keselamatan dan ketenteraan.


Baginda mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fa-iz Petra, 37, Tengku Muhammad Fakhry Petra, 33, dan Tengku Amalin A'ishah Putri, 27. - BERNAMA
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .