Ikuti Blog ini

Orang Umno sendiri tak faham konsep 1Malaysia - Tok Guru Nik Aziz



Sedutan temuramah wakil stesen televisyen Indonesia, TV One bersama Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas menyampaikan Kuliah Jumaat mingguan di Dataran Ilmu, 27 Ogos 2010 (17 Ramadhan 1431).

Isu Khutbah Mendedahkan Kebodohan Umno



SETIU - Umno/BN membesarkan isu khutbah Jumaat yang melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kerana mereka tidak boleh menerima kenyataan bahawa Lim Guan Eng, seorang bukan Melayu dan bukan Islam, telah menolak judi

Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu, Ustaz Zakaria Haji Ahmad, seorang pendakwah bebas telah mengaku dan menjelaskan beliau yang mendoakan Lim Guan Eng dalam khutbahnya.

Katanya, apabila Ustaz Zakaria mengaku, orang ramai khususnya rakyat Pulau Pinang menerima penjelasan Ustaz Zakaria kerana khalayak mengetahui beliau seorang pendakwah yang dikenali ramai.

Haji Mohamad Sabu berkata demikian dalam mukaddimah ucapannya dalam majlis ceramah Nuzul a-Quran dan Badr al-Kubra di Kampung Maras, Batu Rakit 26 Ogos. -BO

Lagi sokongan Kelantan saman Petronas

KUALA LUMPUR, 27 Ogos: Tindakan kerajaan Kelantan yang mahu memfaikan saman terhadap Petronas berhubung tuntutan Royalti 5 peratus, terus mendapat sokongan pelbagai pihak.

PAS pusat dalam satu kenyataan menyokong penuh usaha tersebut dan mengarahkan ahlinya hadir hadir ke Mahkamah Tinggi Jalan Duta pada 30 Ogos ini.

"PAS menyeru agar rakyat, khususnya anak-anak Kelantan dapat hadir ke Mahkamah Tinggi Jalan Duta pada 30 Ogos ini untuk sama-sama memberikan sokongan kepada Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan barisan exco Kerajaan negeri yang akan menghantar writ saman berkenaan," kata Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad.

Selain itu PAS juga katanya meminta agar Kerajaan Negeri mengheret sekali Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan yang membuat keputusan bagi menghalang Kelantan menerima hak royalti berkenaan.

Menurutnya, kabinet telah cuba menafikan hak rakyat negeri itu sedangkan Akta 144 Petroleum Development Act 1974 memberikan kuasa penuh kepada Kerajaan Kelantan menuntut hak royalti tersebut.

Selain PAS pusat, kepimpinan PAS di peringkat kawasan di seluruh Lembah Klang juga mula menyeru ahli PAS di kawasan masing-masing untuk sama-sama hadir ke mahkamah pada hari tersebut.

Khidmat Pesanan Ringkas SMS, FaceBook dan Twitter dilihat digunakan sepenuhnya menyebarkan maklumat ini.

Selain itu, Penasihat Persatuan Anak-anak Darul Naim (Persada), Wan Johari Wan Omar juga turut mengarahkan seluruh ahli persatuan itu hadir memberi sokongan.

Sebelum ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim turut menyatakan sokongan terhadap tindakan berani kerajaan Kelantan tersebut.

Kelantan akan memfailkan saman tersebut di Mahkamah Tinggi Jalan Duta pada hari Isnin, 30 Ogos ini jam 9 pagi.

Selesai urusan saman tersebut dibuat, satu majlis solat hajat akan dibuat di Masjid Wilayah, Jalan Duta dan dijangka diimamkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. -Hrkh

Bukan Islam masuk masjid: Penyokong Umno bodohkan diri sendiri.



Oleh: Pria Malaya


Bagi sebahagian penyokong tegar parti Melayu Umno, adalah haram secara mutlak org bukan Islam memasuki rumah Allah, apatah lagi jika mereka itu terdiri dari wanita bukan muslim..

Terbaru, isu ADUN dari DAP masuk surau al-Huda Kajang Sentral..dikatanya wanita ini telah menghina Islam, dan PAS secara langsung dipersalahkan kerana kelakuan ADUN ini...

Alasan mereka, sebab tak tutup aurat..tak pakai tudung...dan alasan yang famousnya, sebab tak mandi junub (hadas besar)..so, dorang tak boleh masuk rumah Allah...boleh tengok antara alasan lawak oleh blogger Umno kat sini, dan banyak lg...

So, kita nk tanya la totok Melayu Umno ni, kalau wanita bukan Islam dilarang masuk masjid atas alasan tak mandi junub atau sedang datang haid, apakah lelaki bukan Islam yang dikatakan boleh masuk masjid telah mandi junub? dorang tau ke apa tu mandi junub? sah ke mandi junub dorang?..ada ke dlm syarat2 bukan Islam yg ingin memasuki masjid/surau hendaklah mandi junub dahulu?




Gambar atas ni antara contoh (pelancong) bukan Islam yg melawat masjid di negeri bawah takluk Umno...siap berselur pendek lagi..mungkin bg penyokong Umno, wanita dan lelaki ini telah suci dari hadas besar, sudah mandi junub, dan wanita itu tidak datang bulan (haid)..so, ianya tidak salah dipandangan Umno..tapi jika ia datangnya dari musuh politik mereka..korang faham2 lah sendiri....

Inilah realiti mentaliti pemikiran Umno...begitu hasadnya pada lawannya sehingga sanggup menjaja fitnah dan tohmah, ditambah2 cerita dan reka..dengan bantuan media yg telah disalahguna, maka berita ini disebar2kan..kerana itulah tidak pelik jika kita kerap melihatblogger Umno terlompat gembira berterima kasih kpd Utusan Malaysia kerana menjadi agen penyiar rasmi berita/isu fitnah yg dibangkitkan...contoh di sini..sungguh senang kerja mereka..

Pada penyokong tegar Umno, boleh baca 'fatwa' JAKIM berkenaan org bukan Islam memasuki masjid di sini, "MASJID SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN", dan pernah disiarkan dlm Berita Harian Mac 2008...jangan jahilkan diri sendiri...WALLAHUA'LAM...


Antara fitnah yang direka2 ialah:
- ADUN DAP tersebut sedang memberikan ceramah/tazkirah selepas Terawih atau antara dua Terawih (contoh di sini)

Antara berita yang cuba disembunyikan ialah:
-ADUN tersebut telah memperuntukkan sumbangan/bantuan untuk surau berkenaan yang tidak pernah terfikir dibenak penyokong Umno sebelum ini..(Blog MP Serdang)


Sumber gambar: Al-Banjari Online

p/s: Penulis tidak mengatakan setuju atau tidak dgn tindakan ADUN tersebut..seperti kenyataan yg dikeluarkan JAKIM, ia terserah atas budi bicara tuan atau AJK surau/masjid berkenaan dan niatnya mestilah baik serta tidak memusuhi Islam...

Namun, dek kerana isu ini diwujudkan dgn niat jahat dan disertakan dengan fitnah dan ditambah2, dikaitkan pula dgn 'hasil didikan PAS', maka penulis cuba 'menjawab' sepertimana di atas..semoga menjadi pengiktibaran..wallahua'lam..

Artikel berkaitan (mesti baca):
- Wajah munafik: Bukti bergambar Umno berpolitik dalam surau/masjid!

Imam Masjid al-Azhar kunjungi Qaryah Ramadhan

KOTA BHARU, 27 Ogos: Qaryah Ramadhan terus dikunjungi oleh tokoh terkenal yang menambah seri dan kemeriahan perkampungan Ramadhan di perkarangan Stadium Sultan Muhamad ke-IV.

Malam tadi, Qaryah Ramadhan menerima Syeikh Asyraf Hamed Hasani Al-Husaini, imam masjid terkenal di dunia, Masjid Al-Azhar yang mempunyai enam orang imam.

Beliau telah diberi penghormatan mengimamkan solat Isyak hampir 3 ribu jemaah yang memenuhi Qaryah Ramadhan di samping mengijazahkan sanad bacaan surah al-Fatihah kepada seluruh jemaah.

Hadir sama ialah Ustaz Hizbur Rahman Omar Zuhdi, finalis program realiti Imam Muda terbitan sebuah stesen televisyen.

Beliau dijemput oleh pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) untuk menjayakan program bersama remaja iaitu program Sepetang Di Ambang Iftor yang diadakan pada sebelah petang di pentas Qaryah Ramadhan.

Selepas dua salam solat tarawih, beliau telah memberi tazkirah yang antara lain menyentuh tentang permasalahan umat pada hari ini yang terlalu mengejar dunia sehingga melupakan persediaan untuk menuju ke akhirat.

Program di Qaryah Ramadhan malam tadi berakhir dengan persembahan bacaan Qiraatul Quran: 7 Bacaan oleh pelajar-pelajar dari Tahfiz Al-Quran dan Qiraat Pulai Chondong.

Turut hadir, Datuk Takiyuddin Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan dan Datuk Ahmad Mahmud, Yang Dipertua MPKB-BRI. -Hrkh

Rumah RM21 juta: Hadiah untuk keluarga Taib?

Adakah syarikat pembalakan Samling menghadiahkan rumah agam berusia 100 tahun di Seattle bernilai sekurang-kurangnya US$6.8 juta (RM21 juta) kepada keluarga ketua menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud?

Soalan itu diajukan di sebuah laman sesawang anti-Abdul Taib - Sarawak Report dalam siri terbarunya yang mendedahkan kepincangan di negeri itu.

Rumah agam itu dibeli oleh firma Pelaburan CSY yang berpangkalan di California pada 1991 melalui anak syarikatnya, WA Boylston Inc, dan pemilikan hartanah itu didakwa dipindahkan kepada keluarga Taib beberapa tahun kemudian dengan harga nominal US$1 (RM3.1).

Menurut Sarawak Report, CSY adalah huruf pertama nama presiden Pelaburan CSY, - Chee Siew Yaw - anak lelaki Yaw Teck Seng yang disenaraikan oleh majalah Forbes sebagai rakyat Malaysia yang ke-13 terkaya di Malaysia bersama anak sulungnya, Yaw Chee Ming.

Teck Seng, 72, adalah pengasas konglomerate Samling Global, yang menjalankan operasi pembalakan di hutan di Sarawak sebelum berpindah ke luar negara seperti Guyana, Russia dan China.

Awal minggu ini, dana pencen Norway mengumumkan keputusan kerajaan untuk melupuskan 16 juta sahamnya di Samling berikutan operasi 'tidak beretika' yang dijalankan di syarikat itu di Sarawak dan Guyana. Ia termasuk dakwaan menjalankan kegiatan pembalakan haram dan memusnahkan alam sekitar.

Bagaimanapun semalam, Abdul Taib mempertahankan Samling, sambil menyifatkannya sebagai syarikat yang 'bertanggung-jawab'.

“Abdul Taib dalam kapasitinya sebagai ketua menteri, menteri kewangan, menteri perancangan negeri dan sumber - telah menguasai pengeluaran lesen pembalakan Sarawak untuk lebih 30 tahun, - ini menimbulkan persoalan berhubung tindakannya yang memihak syarikat tidak beretika,” kata Sarawak Report.

Rumah agam dua tingkat ini, pada pada asalanya dibina pada 1910. Ia terletak di kawasan kejiranan eksklusif di Boylston Avenue East yang mempunyai pandangan bandar Seattle.

Bangunan ini mempunyai enam bilik mandi, lima bilik tidur dan bilik bawah tanh, patio yang luas, garaj, gazebo, kolam renang dan gelanggang tennis.

Menurut Sarawak Report, rumah agam milik keluarga ini mempunyai kawasan yang boleh memuatkan enam padang bola. -M'kini

Foto & Berita Bendera Malaysia Dibakar & Diludah Lagi

Bendera Malaysia dibakar, diludah dalam demonstrasi di Jakarta

JAKARTA — Penunjuk perasaan di hadapan kedutaan Besar Malaysia di sini terus bersikap liar dengan membakar dan meludah Jalur Gemilang serta bergaduh dengan pasukan polis Indonesia yang mengawal di situ hari ini.

Seramai 600 orang menyertai demonstrasi itu berteriak "ganyang Malaysia" bagi membantah apa yang mereka dakwa pencerobohan pihak berkuasa Malaysia di perairan perbatasan kedua-dua negara, berhampiran Bintan, Kepulauan Riau 13 Ogos lepas.

Ketika emosi memuncak, penunjuk perasaan bergaduh dengan pasukan Polis Indonesia yang menghalang mereka daripada menghampiri pintu pagar untuk masuk ke dalam kawasan kedutaan.

Mereka membaling batu dan selipar ke arah polis. Seorang daripada mereka ditahan polis kerana membaling sebatang buluh, yang sebelum itu digunakan untuk mengibarkan bendera Indonesia, ke arah pasukan keselamatan.

Insiden pada 13 Ogos itu membabitkan penahanan tiga pegawai penguatkuasa laut Indonesia oleh Polis Marin Malaysia ekoran penahanan tujuh nelayan Malaysia oleh bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia kerana didakwa meneroboh.

Malaysia mempertahankan bahawa nelayan tersebut berada di perairan sendiri apabila ditahan oleh pihak penguatkuasa Indonesia itu. Kesemua tahanan itu telah dibebaskan pada 17 Ogos.

Kumpulan penunjuk perasaan hari ini menuntut Malaysia memohon maaf serta meminta kerajaan Indonesia memanggil balik Duta Besar Indonesia di Malaysia.

Keadaan reda apabila anggota kumpulan yang beremosi dapat ditenangkan oleh beberapa orang pemimpin kumpulan tersebut.

Sejak insiden 13 Ogos itu, beberapa demonstrasi dilakukan oleh kumpulan-kumpulan kecil antara 20 dan 40 orang sahaja namun ia tetap ganas sehingga ada yang bertindak merosakkan plak nama Kedutaan Besar itu, memanjat pintu pagar dan tembok pintu pagar dan berdiri di atasnya.

Kerosakan pada harta benda kedutaan besar itu telah dilakukan oleh penunjuk perasaan dari kumpulan Laskar Merah Putih.

Penghinaan paling buruk dilakukan terhadap Malaysia ialah perbuatan melempar najis manusia ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia di sini oleh penunjuk perasaan dari kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) pada Isnin lepas. — Bernama

KEBERANIAN NURUL IZZAH MEWARISI BAPANYA

Izzah Pertahan Pendirian

Walaupun diancam dengan tangkapan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, srikandi Parti Keadilan Rakyat, Nurul Izzah Anwar tidak akan sama-sekali mengubah pendiriannya berhubung skandal rasuah kapal selam Scorpene. Bahkan beliau mengalu-alukan Polis Diraja Malaysia untuk menyiasat kandungan temubualnya bersama Tempo, yang membincangkan kecurigaan-kecurigaan disebalik pembelian Scorpene, serta isu kegagalan kapal selam itu untuk menyelam.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi menyelar Izzah sebagai penderhaka selepas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menerangkan kontroversi yang berlegar sekitar kapal selam Scorpene milik Tentera Laut Diraja Malaysia kepada majalah Indonesia. Menteri Agama Jamil Khir Baharom pula menganggap Izzah telah berdosa kerana Malaysia boleh huru-hara jika keburukan Kerajaan Umno-BN diceritakan kepada orang luar.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Zahid Mad Arip menggesa Izzah disiasat dibawah ISA kerana memperkecilkan kemampuan kapal selam Scorpene, yang sebelum ini dilaporkan gagal menyelam selepas pembelian oleh Kerajaan Malaysia. Nurul Izzah berkata, beliau sudah memberi kenyataan bertulis tentang siapa penderhaka yang sebenar dan beliau juga menyatakan Menteri Pertahanan tidak menjawab kenapa tidak ada sokongan tentang siasatan komisyen lima ratus juta Ringgit terhadap Perimekar yang dilakukan oleh suruhanjaya pencegahan rasuah (SPRM).

Persoalan lain yang dtimbulkan oleh beliau adalah kenapa latihan ketenteraan laut dikurang kepada sekali setahun berbanding sebelum ini 3 kali setahun atas alasan mahu jimatkan kos. Izzah sekali lagi menegaskan pandangannya mengenai kegagalan kapal selam negara berfungsi itu bersandarkan kepada jawapan bertulis yang diberikan Zahid Hamidi pada Dewan Rakyat. Tetap dgn pendirian itu, beliau mengulas maklumat tersebut boleh diperolehi umum. “Saya sedia disiasat oleh polis dan sisastan polis pun belum berlangsung lagi. Ini cara kotor dan jijik nak heret saya dibawah siasatan ISA” kata Izzah lagi.-TVSelangor

Isu Khutbah Jumaat: Kenyataan Ketua Polis Pulau Pinang satu tamparan hebat buat Umno PP

Kenyataan (artikel) asal oleh Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Ayub Yaakob boleh baca di sini..

Khutbah: Polis lunak, hanya Umno serang hebat

KUALA LUMPUR : Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu menyifatkan kenyataan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Ayub Yaakob berhubung isu khutbah di negeri itu sebagai pelik.

"Seingat saya, polis hampir tidak pernah gagal bersikap keras kepada pembangkang.

"Tetapi apabila Ayub bersikap begitu lunak, adakah ia bermakna tidak ada kesalahan yang dilakukan oleh Ustaz Zakaria Ahmad (khatib) yang diserang hebat oleh Umno itu?" kata beliau.

Polis Pulau Pinang, kata Mohamad, telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat "jerit-pekik" Umno kononnya Zakaria menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin kepada nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam doa khutbah kedua solat Jumaat.

"Ketika kita pun ingin tahu apakah kesalahan yang kononnya dilakukan, tiba-tiba Ayub menasihatkan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Umno menggunakan semangat Ramadan untuk mengetepikan perselisihan masing-masing berhubung isu khutbah itu.

"Kenapa polis lunak sangat? Polis tidak takutkah Umno akan histeria lagi dengan sikap lunaknya itu. Mustahil polis tidak takut kepada Umno," kata Mohamad.

Ketua Polis Pulau Pinang itu berkata, berkata dua minggu pertama Ramadan merupakan ujian kepada setiap orang dan kesemua pihak terbabit perlu menggunakan tempoh menjelang 1 Syawal ini untuk mencapai jalan damai.

“Letakkan di tepi salah faham dan ketegangan dan uruskan (dengan baik) separuh kedua bulan Ramadan,” kata Ayub kepada pemberita selepas menerima sumbangan kerajaan negeri sempena Aidilfitri.

Mohamad tidak menolak kemungkinan Umno sangat tidak berpuas hati dengan kenyataan Ayub itu.

"Walau dengan apa cara pun, yang paling penting bagi Umno ialah ia mahu melihat kerajaan negeri Pulau Pinang dipersalahkan atas isu khutbah itu.

UMNO BN Rompak RM52 Billion Saham Untuk Bumiputera

Pakatan Rakyat Desak Siasat Kehilangan RM52 Bilion Saham Untuk Bumiputera

Serangan Umno-Barisan Nasional terhadap Pakatan Rakyat dengan menggunakan sentimen perkauman adalah untuk menutup penyelewengan dan kegagalan mereka mengurus khazanah negara termasuk skandal rompakan saham yang dikhaskan bagi Bumiputera dan rakyat termiskin bernilai RM52 bilion.

Sehubungan itu Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar mendesak satu suruhanjaya diraja ditubuhkan segera bagi menyiasat secara terperinci kehilangan jumlah saham sebegitu besar kepada Bumiputera.

Anwar berkata isu ini pernah dibangkitkan tahun lalu oleh beberapa orang ahli parlimen termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

"Bagi saya, isu yang melibatkan hak orang Melayu dan kaum Bumiputera ini masih belum dapat diselesaikan. Mana pergi agihan saham untuk Bumiputera dan faedahnya kepada siapa?.

"Kalau benar kita ambil berat untuk menjamin hak mereka, orang Melayu yang miskin dan terpinggir itu harus dibantu. Kini hanya tinggal RM2 bilion sahaja yang tinggal bagi pegangan ekuiti Melayu," kata Anwar pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat di inu pejabat KEADILAN di Tropicana di sini semalam.

Ketika ditanya mengenai isu undang-undang hudud di negara ini, Anwar berkata sistem perundangan di negara ini mengamalkan sistem demokrasi, tetapi agama Islam mendapat tempat yang istimewa sebagai agama Persekutuan, selain jaminan hak kepada penganut agama lain untuk mengamalkan ajaran mereka.

"Kita memperkukuh institusi yang ada melalui dialog peradaban dan sebagainya. Kita turut menekankan muafakat dan kerjasama antara budaya, agama dan memperbaiki hubungan kaum.

"Oleh yang demikian, berkenaan pertindihan antara undang-undang sivil dan syariah, kita menuntut untuk ditubuhkan suruhanjaya diraja bagi mengkaji perkara tersebut."Kita mesti berikan ruang untuk setiap parti mengungkap pandangan mereka mengikut prinsip parti. Tetapi dalam Pakatan Rakyat, kita terikat dengan konsensus atau persefahaman yang kita meterai bersama, perkara ini telah dijelaskan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat yang lalu," tegas Ketua Pembangkang lagi.

Beliau juga menyelar tindakan Umno-BN yang mengapikan sentimen perkauman sempitdan agama dengan tujuan memecah belahkan keharmonian masyarakat di negara ini.

"Politik usang yang bersifat peras ugut dan memesongkan fakta ini digunakan oleh pemimpin Umno-BN, kerana mereka kini berada dalam keadaan terdesak untuk teruskan kelangsungan kuasa mereka. Demi mencapai cita-cita politik tersebut, pelbagai jentera kerajaan seperti Biro Tatanegara dan media seperti Utusan Malaysia diperkuda untuk menggugat kesejahteraan rakyat," kata Anwar.

Turut sama pada sidang media itu termasuk Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. -SK

Tazkirah Ramadhan oleh Ust. Azmil Mustapha.



Sila klik di sini untuk mendengar tazkirah ramadhan Ust. Azmil Mustapha di Masjid Bandar Bukit Puchong. Ustaz Azmil Mustapha (Ali Setan) - Tazkirah.mp3

Pakatan Rakyat Tolak Politik Perkauman Sempit Dijuarai Umno-BN

Hudud law takes a back seat in Pakatan



Pakatan calls for a Royal Commission of Inquiry to probe the RM52bil scandal



Pakatan Rakyat sedar wujudnya satu muslihat politik oleh pimpinan Umno-Barisan Nasional untuk mengapikan sentimen perkauman sempit dan agama bertujuan memecah belahkan keharmonian masyarakat.

Politik usang bersifat peras ugut dan memesongkan fakta ini digunakan oleh pimpinan Umno-BN kerana mereka berada dalam keadaan terdesak untuk meneruskan kelangsungan kuasa mereka.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mereka berkata demi mencapai cita-cita politik tersebut pelbagai jentera kerajaan seperti BTN dan media seumpama Utusan Malaysia diperkuda untuk menggugat kesejahteraan rakyat.

"Berhadapan serangan bertali arus itu, Pakatan Rakyat tetap beriltizam untuk melaksanakan Perubahan demi kemaslahatan rakyat keseluruhannya. Kita beriltizam untuk memastikan keharmonian dan perpaduan masyarakat dapat diperteguh serta politik perkauman sempit akan sirna dari negara ini.

"Pakatan Rakyat menghormati perjuangan parti masing-masing dalam Permuafakatan Pakatan Rakyat. Permuafakatan ini sememangnya berlandaskan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telahpun disepakati," kata kenyataaan itu.

Dasar Pakatan Rakyat menyatakan:

“Pakatan Rakyat bertekad untuk menyemai persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat berteraskan prinsip memelihara kepentingan bersama. Perpaduan negara mesti mencerminkan kesepakatan, persefahaman serta muafakat sejati antara kaum, budaya dan agama.”

Pimpinan Pakatan Rakyat menegaskan walaupun terdapat perbezaan di antara komponen Pakatan Rakyat, namum pimpinan tuntas menggalakkan perbincangan dan bersikap terbuka.

Ini berbeza sekali jika dibandingkan dengan politik dalaman BN yang mana komponennya sering bertelagah dan bersikap menyembunyikan segala permasalahan.

"Pakatan Rakyat tidak mempunyai keraguan untuk tetap bersatu melawan kemungkaran dan penganiayaan Umno-BN terhadap rakyat. Kami beriltizam untuk menentukan hala tuju baru buat rakyat dan negara ini.

"Menjelang 53 tahun kemerdekaan, sudah tiba masanya negara ini meninggalkan politik perkauman sempit yang seumpama barah merosak masyarakat. Pakatan Rakyat merasa bertanggungjawab untuk memaknai kembali Kemerdekaan yang berlandaskan Politik Baru yang lebih matang dan mengutamakan kemaslahatan rakyat serta negara ini.

"Kita percaya antara lainnya serangan ini adalah untuk menutup kegagalan kerajaan Umno-BN menguruskan khazanah negara seumpama skandal rompakan saham untuk rakyat termiskin bernilai RM52 billion. Kita menggesa satu Suruhanjaya Di Raja ditubuhkan bagi menyiasat kehilangan hak rakyat tersebut," tegas kenyataan itu lagi.

Permuafakatan Pakatan Rakyat menyatakan:

1. Demokrasi Telus dan Tulen

A - Negara Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-UndangPerlembagaan Persekutuan merupakan penzahiran cita-cita dan harapan rakyat Malaysia yang merdeka. Di dalamnya hak asasi setiap rakyat termasuk hak agama, bahasa, kerakyatan dan budaya dijamin sepenuhnya. Justeru, Pakatan Rakyat beriltizam memartabatkan semangat dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.Pakatan Rakyat akan:

Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153

Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan.

iii. Memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

iv. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa dibicara. Serentak dengan itu mengesyorkan pembatalan semua pengisytiharan Darurat yang masih berkuatkuasa.

v. Memansuhkan atau meminda semua akta dan undang-undang yang zalim serta melanggar hak asasi.

vi. Menjamin semangat persekutuan serta hubungan yang adil di antara Persekutuan dengan negeri-negeri, terutama Sabah dan Sarawak.

Dinar, dirham boleh runtuhkan ekonomi Yahudi

KOTA BHARU : Datuk Husam Musa berkata, penggunaan sistem dinar dan dirham secara tidak langsung akan memberi pulangan ekonomi yang lebih tinggi kepada umat Islam, sedangkan golongan Yahudi semakin runtuh.

“Kerana itu mereka sedaya mungkin akan menghalang serta mengkritik dengan pelbagai dakyah untuk menakutkan umat Islam sendiri yang ingin menggunakan sistem terbabit,” ujarnya.

Justeru itu, katanya golongan Yahudi serta penentang agama Islam yang lain sehabis mungkin akan menentang umat Islam menggunakan mata wang syariat dinar dan dirham, kerana sistem itu akan merugikan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Masyarakat Kelantan itu berkata, sekiranya umat Islam akan bersatu menggunakan Dinar dan Dirham dalam urusan jual beli, golongan tersebut akan mengalami kerugian yang tenat.

Beliau berkata demikian ketika meraikan rombongan Persatuan Maahad Tahfiz al-Quran Malaysia (Permata), yang diketuai pengerusinya, Ustaz Nazaruddin Jalaludin.

Permata dalam rangka pertemuannya dengan Husam untuk menyatakan sokongan pihak berkenaan terhadap penggunaan Dinar dan Dirham.

Pada masa yang sama, Permata bercadang untuk membayar gaji menggunakan kaedah itu kepada kakitangannya di seluruh negara.

Beliau seterusnya memberitahu, Dinar dan Dirham bukan mata wang, sebaliknya seumpama penukaran barang belian seperti kupon dan cek sebagai alat kewangan.

“Kalau kita boleh membeli barangan di majlis-majlis tertentu menggunakan kupon, kenapa Dinar dan Dirham tidak boleh, sedangkan ianya disebut sendiri oleh Allah dalam al-Quran,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan negeri akan memberi penerangan secara hikmah kepada mereka yang tidak memahami perkara itu.

Nazaruddin ketika berucap pada pertemuan itu memberitahu pihaknya akan menggunakan Dinar dan Dirham sebagai bayaran gaji kepada kakitangannya.

Jelasnya, walaupun ianya tidak dibayar sebanyak seratus peratus menggunakan sistem tersebut, namun sekurang-kurang ia akan dilaksanakan sebagai menyatakan sokongan pihak mereka terhadap usaha kerajaan negeri.

Pada masa yang sama, pihaknya juga akan turun ke bawah untuk mengadakan ‘road show’ bagi memberi penerangan kepada rakyat berhubung perkara itu.

“Ramai yang masih kabur berhubung perkara ini,” ujarnya.

Sehingga kini, sebanyak 58 buah sekolah tahfiz di seluruh negara bergabung di bawah Permata.

Dianggarkan sebanyak RM30,000 hingga RM70,000 dibelanjakan setiap bulan untuk pengurusan dan pembayaran gaji kakitangan guru di bawah Permata. -Hrkh

Dinar@Kelantan… Terbaik Di Dunia

Kalau Lesen Judi Boleh Bagi, Mengapa Kerajaan Pusat Tidak Boleh Bagi Pengiktirafan Pada Sistem Dinar Emas Di Kelantan – Datuk Husam

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .