Ikuti Blog ini

TAMRIN JABATAN AMAL SELANGOR


Assalamualaikum wbt,

Muslimeen United tidak dikemaskini selama 2 hari kerana saya akan mengikuti tamrin Jabatan Amal Selangor. InsyaAllah akan kembali selepas itu..


TAMRIN JABATAN AMAL NEGERI SELANGOR 2010


Di Rasmikan Oleh :
YB USTAZ HAJI NASHARUDIN MAT ISA
( Timbalan Presiden PAS )

Penutup Oleh :
USTAZ NASRUDIN HASSAN TANTAWI
( Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat )

Tarikh:
26, 27 & 28hb Februari 2010
( Jumaat, Sabtu & Ahad )

Tempat:
Pusat Latihan Belia Kem Bukit Lagong,
Off Jalan Bukit Idaman, 68100 Batu Caves, Selangor.
(Belakang IPD daerah gombak)

Antara aktiviti adalah :

Flying Fox, Rock Climbing, Treasurehunt, Night Walk, Motivasi, Kawad, Paper works, Tazkiroh....dll

* Pendaftaran, pada 26hb Feb 2010 ( Jumaat ) mulai jam 2.30ptg hingga 8.00mlm.

"Beramal Kerana Allah"


Berita yang sangat menyedihkan UMNO

PULAU PINANG, 26 Feb: Mana-mana individu dan badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menerima tempelakan kerana apa yang mereka dakwa bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang tidak mengadakan perarakan Maulidur Rasul tahun ini terjawab.

Perarakan 53 kontinjen dimulai dengan ketua-ketua jabatan melalui beberapa jalan termasuk Padang Kota Lama, Dewan Undangan Negeri, pejabat agama menuju ke Dewan Sri Pinang.

Turut meraikan majlis ialah ketua menteri, Lim Guan Eng. (gambar sebelah)

Sementara itu, Masjid Jamek Jelutong mencipta sejarah kerana mengadakan perarakan kali pertama sempena sambutan Maulidur Rasul esok, 27 Februari bermula jam 9.00 pagi.

Pengerusi kariahnya, Mohd Yusuf Mohd Noor memberitahu, pada sebelah malam diadakan ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Alkhairy Ismail dari Jabatan Agama Islam Kedah.

Bekas PM Kanada pula gesa kes liwat Anwar digugur

KUALA LUMPUR — Selepas anggota perundangan dari Australia dan Amerika Syarikat menyatakan kebimbangan mereka berhubung perbicaraan kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim, pendirian yang sama diambil oleh bekas perdana menteri Kanada Paul Martin.

Martin, menerusi tulisannya dalam “Globe and Mail” Kanada semalam, menggesa kerajaan Malaysia agar menggugurkan kes liwat membabitkan Ketua Umum Pakatan Rakyat itu.

“Jika negara ini (Malaysia) mahu mengambil tempat sebagai antara negara progresif di dunia, adalah sangat penting tuduhan yang bermotifkan politik terhadap Anwar digugurkan dan beliau bebas untuk meneruskan visinya melahirkan Malaysia sebuah negara demokratik, yang menghormati hak asasi dan undang-undang antarabangsa,” kata Martin sambil berkata, beliau mengenali Anwar ketika kedua-dua mereka memegang jawatan menteri kewangan.

Martin merupakan perdana menteri Kanada dari 2003 hingga 2008 selain menjadi ahli Parlimen selama 20 tahun dan menteri kewangan dari 1993 hingga 2002.

Dalam tulisannya Martin berkata, kehadiran wakil kedutaan asing untuk mengikuti perbicaraan Anwar adalah tanda keprihatinan masyarakat asing tentang kes dikenakan ke atas beliau, yang kedua sejak 1998.

“Ini adalah isu yang dunia mesti (bangun untuk) bercakap,” kata beliau dalam tulisannya dengan tajuk “Speak Out for Anwar Ibrahim’s Sake”.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat Amerika Syarikat, John Kerry menggesa kerajaan memastikan perbicaraan yang adil dan saksama kepada Anwar.

“Saya meminta kerajaan Malaysia dan khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya memastikan satu prosiding perundangan adil dan saksama dalam perbicaraan yang sedang berlangsung terhadap bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim,” kata Kerry dalam kenyataan dikeluarkan di Washington awal minggu lalu.

Pendirian itu merupakan gesaan kedua selepas satu petisyen dikemukakan oleh lebih 50 ahli Parlimen Australia agar kes Anwar digugurkan.

Bagaimanapun tindakan itu mendapat bantahan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan serta parti-parti politik. - themalaysianinsider

Mahasiswa pulau aktiviti anjuran MPMUM

Kumpulan pro-Mahasiswa (Pro-M) mengambil keputusan untuk memulaukan 'kabinet' baru Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) yang dibentuk oleh kumpulan pro-Aspirasi (pro-A).

17 calon pro-M yang menang pada pilihan raya kampus yang lalu juga tidak hadir pada majlis perlantikan yang diadakan di Dewan Tunku Canselor kelmarin.

Bantahan itu bertujuan menyatakan pendirian mereka bahawa pilihan raya kampus pada 28 Jan lalu tidak dijalankan secara telus dan adil. Ia juga sebagai tanda protes berhubung keengganan pihak pro-A untuk menghormati kemenangan pro-M pada peringkat kerusi umum.

Mohd Fadzil Jamal, wakil mahasiswa pro-M untuk kerusi umum, memberitahu Malaysiakini bahawa semua wakil dari kumpulan mereka tidak akan mengambil bahagian dalam semua aktiviti yang bakal dianjurkan oleh MPMUM.

“Kita, wakil pro-M yang menang, tidak akan mengiktiraf kabinet baru yang dilantik. Ini bermakna kita akan boikot,” katanya.

“Tetapi, kita akan terus berjuang untuk isu mahasiwa,” tambahnya.

Dia juga berkata, 17 wakil pro-M akan membentuk satu kabinet bayangan untuk bersaing dengan pro-A.

Kabinet bayangan ini akan dinamakan sebagai “Majlis Perwakilan Pro Mahasiswa UM”(MPPMUM) dan Fadzil telah dipilih sebagai presidennya.

Fadzil juga menjelaskan antara sebab utama untuk pemulauan itu ialah kerana pro-M telah dinafikan hak untuk mengambil tempat dalam majlis tertinggi MPMUM walaupun mereka menang lapan daripada sembilan kerusi umum.

“Kita anggap apa yang berlaku adalah tidak adil. Kita telah menang 8 daripada 9 kerusi umum, tetapi hanya dilantik sebagai ahli jawantankuasa untuk biro-biro,” katanya.

“Kita nampak ini macam satu penghinaan terhadap undi mahasiswa.”

Bagi MPMUM, wakil mahasiswa dibahagikan kepada dua peringkat, iaitu sembilan kerusi umum dan 32 kerusi fakulti. Kerusi umum akan dipilih oleh semua mahasiswa dalam kampus, manakala kerusi fakulti hanya dihadkan kepada satu fakulti sahaja.

Pada pilihan raya kampus pada 28 jan lalu menyaksikan pro-A yang mengakui sebagai penggerak mahasiwa berjaya merampas balik UM dengan memenangi 21 kerusi berbanding 17 yang dimenangi pro-M, walaupun pro-M menang lapan daripada sembilan kerusi umum.

Kumpulan pro-M berasa yang tidak berpuas hati terhadap keputusan itu dan mendakwa sistem e-undi yang pertama kali digunakan membuka ruang untuk penyelewengan.

Pada kemuncak bantahan itu, keesokan harinya, ratusan penyokong pro-M mengepung bangunan canselori dan menuntut naib canselor, Datuk Ghauth Jasmon supaya membatalkan keputusan pilihan raya dan mengadakan pemilihan baru.

Walaubagaimanapun, pihak universiti menolak rayuan pro-M dan menafikan sistem baru ini mempunyai kelemahan.

PERUTUSAN SEMPENA MAULIDUR RASUL SAW. - Presiden PAS


Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamiin. Selawat dan salam buat penghulu para pejuang, Rasul tercinta Muhammad s.a.w., para sahabat dan keluarga baginda, serta mereka yang mengikuti jalannya serta mencontohi perilaku baginda hingga ke hari pembalasan.

Sesungguhnya perasaan kita penuh dengan kerinduan kepada Rasulullah s.a.w. Sebagai seorang yang mencintai baginda, tentu sekali kita senantiasa terkenang akan sirah perjuangan dan lakaran pengorbanan Rasulullah s.a.w. sehingga kita semua dapat menerima cahaya keIslaman dan hidayah dari Allah untuk mengecapi nikmat berharga iman dan Islam.

Namun kita sebagai seorang Muslim perlu sentiasa bermuhasabah sejauh manakah kecintaan yang disebut dan diungkapkan ini benar-benar tertanam dengan kukuh di lubuk hati kita? Sejauh manakah kita melakukan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dalam lakaran perjuangannya, yang kemudiannya disambung tali-menali hingga ke hari ini?

Marilah kita menghayati firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)”. (As-Saba’: 28)

Baginda Rasulullah s.a.w. telah pergi meninggalkan kita, dengan sama sekali tidak mewariskan kepada kita harta pusaka kekayaan, tetapi yang diwariskan adalah ilmu yang menjadi panduan hakiki, akhlak yang terpuji, sebuah perjuangan suci dan sebuah cara hidup yang sempurna.

Marilah kita sama-sama menjadikan sambutan ini menguatkan iltizam kita menegakkan sunnah baginda sepanjang tahun dan sepanjang hayat kita. Tidak cukup kita menunjukkan rasa gembira dengan bercuti, mengadakan perarakan dan berslogan mencintai Rasulullah. Akan tetapi gembirakanlah Rasulullah s.a.w. dengan mengamalkan dan menegakkan segala suruhan baginda, serta meninggalkan dan berusaha menghalang segala yang dibenci baginda.

Rasulullah s.a.w. meninggalkan sebuah perjuangan suci sebagai rahmat ke seluruh alam untuk kita sambung dan teruskan. Segala kezaliman, penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa, jenayah, yang berlaku pada hari ini hatta dari seorang yang mengaku Islam, menunjukkan jauhnya si pelakunya dari tinggalan Rasulullah s.a.w. walau dia menyambut kelahiran baginda saban tahun.

Marilah sama-sama kita pasakkan keazaman untuk menyambung perjuangan Rasulullah s.a.w. hingga ke akhir hayat kita. Sebagai seorang individu, marilah pula kita menghayati dan mengamalkan peninggalan Rasulullah s.a.w. Seorang pemimpin meletakkan azam untuk menegakkan sunnah di dalam kepimpinannya. Sebuah kerajaan lebih-lebih lagi berkomited mengamalkan segala suruhan Allah SWT dan Rasul s.a.w. di dalam segala aspek pentadbirannya.

Semoga kita semua bertambah cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan beroleh cinta Allah dan Rasul-Nya. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1431.

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG,
PRESIDEN PAS

AYam, kawan baik MB Bina Pulau Burung RM6 juta

http://buletinonline.net/images/stories/berita22/DSC_1524.JPGTasek Kenyir, HULU TERENGGANU – “Dia mula-mula (harga) RM5.5 juta, lepas tu dia tambah…apa tu….. solar ha…..solar, dia (Pulau Burung) guna tenaga solar-lah,”kata Pak Deris seorang pengusaha bot dan pemandu pelancung, ketika ditemui Buletinonline baru-baru ini.

Menurutnya, ‘tauke’ (kontraktor) yang membina Pulau Burung adalah seorang Tionghua yang berasal dari Kijal, Kemaman, dipanggil dengan nama ‘glamour’ sebagai ‘AYam’ sahaja.

Ketika dihubungi, seorang Usahawan di daerah Kemaman, Haji Zulkifli Md Yakim mengesahkan ‘AYam’ atau nama sebenarnya Ang Chin Yang adalah pemilik syarikat Telok Kalong Construction Sdn Bhd.

Kata Haji Zulkifli, antara lainnya, syarikat tersebut mengusahakan perusahaan ‘bata ukir’ dan memang dikenali mempunyai hubungan rapat dengan Menteri Besar (MB) Terengganu, Dato’ Ahmad Said.

”Ada tiga orang peniaga Cina yang diketahui ramai mempunyai hubungan baik dengan MB, AYam, AGu dan Tikus,”kata Haji Zulkifli.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal, Dr Alias Razak berkata, program pembangunan baru bernilai RM289 juta yang akan dilaksanakan di Tasek Kenyir adalah serupa dengan pembangunan Pulau Wan Man.

Katanya zaman kerajaan bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh, kerajaan negeri membazirkan wang rakyat sebanyak RM249.7 juta untuk membangunkan Taman Tamadun Islam.

”Zaman Dato’ Idris pembangunan Pulau Wan Man RM249.7 juta, zaman Dato’ Ahmad Said, pembangunan Tasek Kenyir RM289 juta, sama saja,

”dua-duanya projek yang tidak memberi manfaat yang banyak kepada rakyat,”ujarnya

Menurutnya, kesemua projek yang disenaraikan dalam jawapan bertulis Sidang Dewan Undangan Negeri pada bulan Disember lalu, belum dilaksanakan.

Bahkan, beliau berkata, ada yang masih dalam peringkat ‘soil test’ (ujian tanah) dan belum diketahui samada sesuai atau tidak.

Namun begitu, katanya, peruntukan daripada bajet negeri telah dibuat pada tahun 2009.


”Semuanya (projek) belum dilaksanakan, sebagai contoh, Pulau Anggur, masih peringkat ‘soil test’ yang dilaksanakan oleh ‘consultant’ dari Thailand,

”kecuali Pulau Burung, yang sedang dalam pembinaan, tapi peruntukan telah diluluskan pada tahun lalu,”jelasnya yang mengadakan tinjauan ke Tasek Kenyir baru-baru ini.

Menurut catatan pada buku Jawapan Kepada Soalan Bertulis, Mesyuarat Yang Ketiga, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Ke 12 pada 21 hingga 23 Disember lalu, sebelas projek disenaraikan bagi pembangunan baru Tasek Kenyir sebagaimana lampiran dibawah;

http://buletinonline.net/images/stories/berita22/soaldun%20002.jpg


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .