Ikuti Blog ini

KONVENSYEN LULUS DASAR PAKATAN RAKYAT

SHAH ALAM, 19 Dis: Tepat jam 5.30 petang 19 Disember, bertempat di Auditorium MBSA, Dasar Pakatan Rakyat diluluskan sebulat suara dalam konvensyen pertamanya.

Ia diluluskan apabila semua perwakilan berdiri dan mengangkat tangan tanda setuju apabila ditanya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasarkan cadangan Lim Kit Siang.

(Gambar: Tiga pemimpin utama Pakatan Rakyat menandatangani dokumen Dasar Pakatan Rakyat selepas diluluskan konvensyen)

Dokumen itu kemudiannya ditandatangani oleh tiga pemimpin utama Pakatan iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Dasar Pakatan Rakyat berupa dokumen yang dipersetujui bersama di kalangan pimpinannya dan diluluskan sebulat suara dalam konvensyen hari ini.

Ia mengandungi empat perkara asas iaitu demokrasi yang telus dan tulin, memacu ekonomi berprestasi tinggi, keadilan sosial dan pembangunan insan dan hubungan persekutuan - negeri dan dasar luar negara.

UMNO Pengkhianat - Tuan Guru Nik Aziz

Mursyidul Am PAS TuanGuru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah turut serta di Konvensyen Pakatan Rakyat dan ketibaannya mendapat tepukan gemuruh daripada 1,500 perwakilan yang hadir.

"Saya orang yang menyokong kuat satu masa dulu dalam gabungan dengan umno dulu, sebagai orang Melayu Islam saya ada perasaan itu, tapi umno khianat," demikian antara ucapan Nik Aziz.

"Rampasan kuasa di Perak, cara Islam pun tak betul, cara demokrasi pun jauh sekali, maka betapa jijiknya UMNO," tambahnya.

"Saya jadi MB kelantan semua rakyat, Melayu, Cina, India adalah rakyat saya. Berapa kali saya pergi kuil dan tokong dan mereka datang cari saya.

Saya tengok dengan mata saya sendiri terasa serupa dengan berada dalam dunia baru sesuai dengan ilmu dan pengajian saya." katanya sebelum mengakhiri ucapannya.

Menyentuh tentang Karpal Singh, Nik Aziz Nik Mat menyifatkan 'di dada Karpal Singh ada bulan', merujuk kepada lambang PAS adalah bulan.

Sebelum Nik Aziz, Karpal telah memberikan ucapan dengan berkata, dia bukan sahaja duduk di sebelah Nik Aziz hari ini tetapi di antara Nik Aziz dan 'Tok Guru Abdul Hadi'.

Karpal berkata demikian ketika menceritakan bahawa pihak sekretariat konvensyen yang bimbang bila beliau (Karpal) akan memberikan ucapan penutup.

"Jika Karpal beri ucapan penutup, bermakna dia akan duduk di sebelah Tok Guru Nik Aziz... apa salahnya... saya bukan sahaja duduk di sebelah Nik Aziz tetapi antara Tok Guru Aziz dan Tok Guru Haji Hadi hari ini," kata Karpal yang mendapat tepukan gemuruh dari para perwakilan.
http://buletinonline.net/images/stories/berita17/IMG_6920.JPG

Pakatan Rakyat Sepakat Sasar Putrajaya

Dasar bersama Pakatan sasar Putrajaya

Pakatan Rakyat mempertingkatkan usahanya untuk menguasai Putrajaya dengan mengumumkan dasar bersama Pakatan yang menjanjikan pembaharuan segera dan kesaksamaan.

Sebagai respons kepada musuh politiknya, Barisan Nasional, dasar bersama itu berjanji untuk mengurangkan dasar-dasar yang berasaskan kaum dan menggubal akta hubungan kaum dan akta peluang saksama serta dasar-dasar lain yang berasaskan merit seperti pemberian biasiswa kerajaan.

Ia turut menjanjikan layanan istimewa kepada Sabah dan Sarawak - di mana pengaruh Pakatan tidak kuat - dengan menjanjikan akses kepada royalti minyak serta berjanji untuk menyelesaikan masalah-masalah yang sudah lama berlanjutan.

Pakatan juga berjanji untuk menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyelesaikan isu-isu membabitkan isu pendatang haram, yang didakwanya tidak diberi perhatian oleh kerajaan pusat.

Sokongan kuat dari dua negeri Malaysia Timur itu amat penting dalam usaha Pakatan untuk menguasai Putrajaya dalam pilihanraya umum kerana satu perempat jumlah kerusi parlimen adalah dari sana.

Pakatan juga berjanji untuk menangani isu-isu agama yang selama ini telah menimbulkan pergeseran antara parti Islam PAS dan parti sekular DAP.

Di samping itu, Pakatan juga berjanji untuk mewujudkan satu mekanisme yang komprehensif untuk menangani kes-kes di mana berlaku bertindihan antara undang-undang sivil dan Syariah.

Untuk tujuan itu, sebuah suruhanjaya diraja akan ditubuhkan untuk mengkaji secara mendalam isu-isu yang berkaitan dengannya.

Agihan ekonomi negeri

Di peringkat institusi pula, Pakatan berjanji untuk memastikan kebebasan dan ketelusan sepenuhnya Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi memulihkan keyakinan rakyat terhasdap sistem kehakiman.

Pembaharuan lain yang dijanjikan termasuk menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Petronas dan institusi-institusi kerajaan yang lain dipertanggungjawabkan terus kepada Parlimen.

Ini termasuk mendapatkan kelulusan Parlimen bagi pelantikan jawatan penting kerajaan seperti ketua polis negara, peguam negara, pesuruhjaya SPRM dan ketua audit negara.

Mengenai ekonomi, Pakatan bercadang mendesentralisasikan pengurusan ekonomi negara bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti dan taburan pembangunan yang seimbang.

Cadangan ini termasuk pengagihan kuasa pentadbiran dan ekonomi dan pelaksanaan kerja-kerja infrastruktur kepada kerajaan negeri.

Dasar Pakatan Rakyat itu merangkumi empat perkara, iaitu demokrasi telus dan tulen; memacu ekonomi berprestasi tinggi, mampan dan adil; keadilan sosial dan pembangunan insan; dan hubungan persekutuan-negeri dan dasr luar negara.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .