KUALA LUMPUR:
PAS hari ini menyelar dakwaan tidak berasas yang dibuat Cawangan Khas
Polis yang mendakwa bahawa pengaruh pengganas dan bekas komunis telah
meresapi Pakatan Rakyat.
“Sebagai Pegawai Risikan Cawangan Khas,
tindakan beliau kini mengesahkan bahawa cawangan khas kini menjadi alat
kepada BN untuk menjamin kesinambungan kuasa BN,” kata Ketua Penerangan
PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.
Tuan
Ibrahim menyifatkan pendedahan awam yang dibuat Ketua Penolong Pengarah
E2 (M) Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman, Datuk Mohd Sofian
Md Makinuddin jelas tidak berasas, berat sebelah dan tidak profesional.
“Apakah
ini cara untuk mendedahkan maklumat risikan sulit kepada awam? Jelas
tidak, maka motif ledakan ini amat mencurigakan. Sepatutnya ia mesti
bertindak terus bukan mendedahkan maklumat tanpa bertindak,” tegas
beliau.
Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut mencabar Sofian untuk
mendedahkan siapa yang beliau maksudkan kerana ia kini menjadi
tandatanya kepada orang awam.
PAS juga mendesak Ketua Polis
Negara bertindak di atas pendedahan maklumat sulit siasatan dan
beranggapan beliau tidak layak berada di Cawangan Khas.
"Mungkin beliau lebih sesuai diletakkan di jabatan Biro Tatanegara atau KEMAS,” tambah beliau.
PAS, kata Tuan Ibrahim sentiasa menentang sebarang eleman ekstrem di dalam parti.
“Kita
mengambil jalan politik demokrasi dengan menyertai pilihanraya dan
menuntut sistem pilihanraya yang adil dan telus,” tambah beliau.
Sebagai
contoh, himpunan rakyat yang disertai PAS samada dalam Himpunan Kuning
atau Himpunan Oren, katanya adalah berlandaskan demokrasi dan penyataan
rakyat yang menuntut sistem pilihanraya yang adil dan usaha
menyelamatkan tanah ribuan hektar dari dicagar kepada Felda Global
Venture Holding.
“PAS kesal kerana himpunan pembangkang dilabel
sebagai petanda resapan Jemaah Islamiah (JI) dan komunis. Sedangkan yang
banyak mengadakan hubungan dengan parti komunis ialah Umno sendiri,
samada secara rasmi atau tidak,” sindir beliau.
Kata Tuan
Ibrahim, sikap double standard dan tidak profesional Sofian telah
menyebabkan imej Cawangan Khas kini turut tercemar teruk seperti yang
dialami polis atas tindakan ganasnya di himpunan-himpunan yang
dianjurkan Bersih dan penyiasatan berat sebelah yang ketara dalam kes
melibatkan BN dan Pakatan Rakyat.