Ikuti Blog ini

Mahasiswa sedia himpun macam Bersih 2.0

GOMBAK, 26 Okt: Sekumpulan mahasiswa yang berhimpun di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak malam tadi membayangkan akan menggerakkan himpunan seperti Bersih 2.0 jika tuntutan mereka diabaikan kerajaan.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Syukri Ab Razab berkata mahasiswa akan terus menerus bangkit untuk membuat bantahan sehinggalah kebebasan suara diberikan kepada pengamal akademik dan juga kepada mahasiswa.

"Sekiranya kerajaan gagal untuk menjawab memorandum bantahan ini, insya-allah kita akan buat himpunan bersama rakyat, badan-badan NGO yang terdiri daripada BERSIH.20 yang dijangkakan akan diadakan di Stadium Merdeka dan Putrajaya," katanya pada himpunan tersebut.

Himpunan yang diserta hampir 100 mahasiswa malam tadi itu diadakan bagi menuntut kebebasan akademik ekoran tindakan universiti itu terhadap pensyarahnya Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Walaupun hasrat awal untuk mengadakan demonstrasi, akhirnya mereka menukar rancangan dengan mengadakan protes secara senyap selepas berhadapan larangan daripada pihak keselamatan universiti.

Mereka mula berhimpun pada jam 8.35 malam, di perkarangan masjid kampus berkenaan, dengan menyalakan lilin dan mengangkat beberapa poster antaranya tertulis "Mahasiswa tuntut kebebasan akademik" dan "Bebaskan universiti dari cengkaman politik".

Perhimpunan tersebut pada asalnya bagi menyerahakn memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadual hadir merasmikan satu program di kampus tersebut malam tadi.

Bagaimanapun beliau diganti Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sebelum itu, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIA Mohd Iqbal Abdul Wahab berjaya menyerahkan memorandum kepada Hishammuddin di dewan berkenaan.

Mohd Iqbal pula berkata pihaknya bercadang akan buat satu program bersama perdana menteri ekoran Najib tidak hadir ke UIA malm tadi.

"Tujuannya agar PM mendengar pendapat mahasiswa yang merupakan generasi penentu masa depan negara," katanya.

Sementara itu, jurucakap SMM Mohd Zaky Sukery memberitahu pemberita terdapat dua tuntutan utama dalam memorandum tersebut, iaitu mendesak kebebasan akademik diberikan kepada ahli akademik dan mendesak agar siasatan terhadap Abdul dihentikan tanpa syarat.

Beliau berkata, walaupun pergantungan tugas terhadap Prof. Aziz Bari telah ditarik balik tetapi semua mahasiwa masih tidak berpuas hati kerana kerana masih ada siasatan di kenakan kepada beliau.

"Prof. Aziz Bari disiasat seolah seperti seorang jenayah sedangkan beliau bersuara atas kajian, bukti dan fakta yang kukuh melalui buku yang ditulis. Tindakan UIA adalah tidak wajar dan sangat terdesak," katanya. -Hrkh

Gagal 25K, Umno berjanji pula 80K ??? BN gelabah!!

Semasa BN kembali memerintah Terengganu, Datuk idris Jusoh telah menjanjikan sebanyak 25,000 peluang pekerjaan. Janji tahun 2004 tetapi Sehingga kini dah nak masuk 7 tahun nampaknya janji hanya tinggal janji sahaja. Yang ada iklan untuk rakyat Terengganu ditawarkan bekerja dengan pasaraya Mydin adalah.

Kalau kat Paka bagaimana BN menyatakan bahawa hari ini BN memerintah, besok GPP 7 & 8 akan dibina dan beribu peluang pekerjaan akan ditawarkan. Tapi sampai kini habuk pun tarak dan rakyat terpaksa mencari sendiri sumber pekerjaan meskipun terpaksa mengutip besi-besi buruk.

Kita sedia maklum, kegagalan pihak kerajaan menarik pelabur dan menyediakan peluang-peluang pekerjaan nescaya akan melahirkan banyak permasalahan sosial maupun ekonomi. Apatah lagi ia akan meningkatkan kadar jenayah dan permasalahan akhlak. Institusi kekeluargaan menjadi tidak stabil dan pelbagai lagi masalah yang timbul.

Kini semsa BN bukannya menambahkan peluang pekerjaan bahkan para pekerja yang sedia ada diberhentikan seperti kilang-kilang perkayuan kerana salah urusnya pembahagian balak di Terengganu yang diagih kepada kroni-kroni. Penutupan kilang papan Pesaka dan kilang Plywood di Durian Mas. Pemberhentian keretapi daripada Paka-Kerteh-Kuantan dan sebagainya.

Apakah pimpinan Umno benar-benar serius untuk menyelesaikan permasalahan ini? Terlalu banyak sumber dan khazanah yang dimiliki oleh Terengganu yang boleh digembelingkan bagi menjana sumber ekonomi dan peluang pekerjaan. Sebab itulah kalau dilihat bajet 2 billion setahun tetapi kemana dibelanjakan? Bajet yang terbesar dikalangan negeri-negeri disemenanjung mengalahkan Selangor tetapi kenapa rakyat Terengganu tiada peluang pekerjaan? Semua projek-projek mega nampaknya tidak mampu member peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu. Bajet itu pun bergantung kepada royalti bagaimana kalau tanpa royalti ? mampukah kerajaan BN yang ada hari ini membayar gaji kakitangan rakyat Terengganu?

Kini apabila manifesto Pas yang memberi tumpuan serius kepada peluang pekerjaan bahkan menjanjikan bakal menyelesaikan permasalahan 17,000 rakyat Terengganu yang menganggur. Kajian telah dibuat dan didapati Pas mempunyai mekanisme tersendiri dalam menjana peluang pekerjaan ini.

Gelabah dengan tawaran tersebut Datuk Seri Ahmad Said ketika melancarkan projek KTCC menjanjikan pula bahawa Kerajaan BN berjanji menawarkan peluang pekerjaan sebanyak 80ribu kepada rakyat Terengganu bermula tahun hadapan.

Rakyat nilailah sendiri janji kerajaan BN ini. Semasa pemerintahan Ahmad Said sebagai MB Terengganu ini telah meluluskan 6 billion bajet. Dah berapa ramai yg bekerja di Zoo yang beliau bina di Kijal tu? Berapa ramai yang bekerja jaga itik, angsa dan burung di Pulau burung Kenyir atau dah beribu bekerja diladang stawbery atau ladang anggur Terengganu. Bagaimana dengan ladang ubi gadong beliau? Ramai mana dah menawarkan peluang pekerjaan? Projek utk menggantikan ubi kentang atau menghasilkan ubat membesarkan payudara itu berjaya ke tidak? Kalau berjaya nanti ramailah awek mat-mat salleh datang ke Terengganu untuk membesarkan payudara mereka. Tak perlulah membuat pembedahan plastik lagi. Sememangnya Mat Said sentiasa berfikir diluar kotak.!!!!

Projek KTCC dilancarkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said. Projek itu, dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM5 bilion, akan bermula Januari tahun depan dan dijangka siap menjelang 2018.

Pembangunan berkenaan dianggarkan dapat mewujudkan peluang pekerjaan lebih dari 82,000 orang menjelang 2020.

Projek tersebut berpusat di sekitar lima kawasan pembangunan utama, iaitu Muara Utara, Muara Selatan, Pulau Warisan, Kampung Ladang dan Corniche Waterfront.

Kerja infrastruktur utama di Muara Selatan termasuk pembinaan kerja-kerja tanah yang perlu, jalan raya, parit dan utiliti utama lain, bermula pada Ogos 2011 dan akan siap pada separuh kedua 2013.

Ketua Jabatan Audit Boleh Didakwa Kerana Libatkan Kabinet - Aziz Bari

Pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari menegaskan, tindakan melibatkan kabinet dengan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) merupakan kesalahan dan bertentangan dengan semangat perlembagaan.

Katanya, Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan menyebut LKAN perlu disediakan oleh ketua audit negara dan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.

"Perkara ini salah dan saya percaya boleh dibawa ke mahkamah. Dalam perlembagaan, di mana ada kabinet disebut (terlibat)? Lagi pun, kabinet sebahagian daripada player," kata pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.

"Secara logiknya juga, kalau bentang pada kabinet, buat apa perlu ada (jawatan) ketua audit negara."

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang pada 21 Oktober lalu menjelaskan, sejak 1982, LKAN dimaklumkan kepada kabinet sebelum dibentangkan supaya kerajaan dapat mengetahui isu yang dibangkitkan dan bersedia memberi penjelasan apabila diperlukan.

Beberapa anggota parlimen Pakatan Rakyat baru-baru ini mempersoalkan ketiadaan laporan itu semasa pembentangan Belanjawan 2012, antaranya anggota parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong yang mahu perdana menteri menjelaskan kelewatan itu.

Amat misteri

Liew yang juga anggota jawatankuasa eksekutif pusat DAP berkata, beliau tidak mempersoalkan amalan itu tetapi menjadi tanggungjawab kabinet memutuskan bila ia patut dibentangkan.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Aziz berkata, walaupun perlembagaan tidak menyatakan tempoh tertentu untuk LKAN dibentangkan di parlimen, tetapi demi menjaga integritinya, Jabatan Audit Negara patut melakukannya segera.

"Jadi, ketua audit negara mesti jelaskan kenapa lambat," katanya sambil menegaskan kedudukan tinggi ketua audit negara yang dilantik Yang di-Pertuan Agong dengan persetujuan Majlis Raja-Raja itu.

Aziz menjelaskan, proses untuk laporan itu sampai ke Dewan Rakyat tidak memerlukan masa yang lama kerana baginda tidak perlu menyemak apa-apa kerana ia melibatkan perbelanjaan kerajaan.

Setakat ini, tambahnya, kelewatan itu masih "amat misteri".

Ditanya tentang gesaan Liew kepada perdana menteri, Aziz berkata kenyataan itu mungkin dibuat dalam konteks yang lain.

"Kalau perdana menteri (kena) perjelas, saya kira tidak betul," katanya lagi. -mk

Jangan ada pulak si bebal buat laporan polis kah terhadap kenyataan Prof. Aziz Bari di atas.

Setiap ahli akademik berhak menyuarakan pandangan, pendapat malah kritikannya. Hanya mereka yang termakan cili terasa pedasnya, lantas melompat tak tentu pasal. -GB

Baru tahu ! Shahrizat dapat projek RM250 juta!

Benarkah begitu ? Menurut sumber yang boleh dipercayai Dato’ Seri Shahrizat Jalil rupa-rupanya pernah mendapat satu projek anugerah kerajaan pusat  yang bernilai RM250 juta !

Difahamkan juga projek berupa ternakan lembu Feedlot yang menelan belanja yang sangat besar itu tidak mencapai sasaran atau matlamatnya. Rakyat sangat-sangat nak tahu apa penjelasan kerajaan? 

Betul kah rugi?  atau ada berlaku penyelewengan? Modal berjuta-juta  yang sudah dicurahkan, tetapi amatlah malang jika benar projek tersebut mengalami kerugian sebagaimana yang didakwa sesetengah pihak. Seperti kita sedia maklum isu ini sudahpun dibangkitkan  di parlimen maka wajarlah pihak kerajaan atau kementerian yang terbabit memberikan jawapan!  Rakyat perlu tahu sikap sebenar pemimpin mereka.

Agaknya tentu ramai lagi menteri-menteri Umno dan kaum kerabat mereka yang mendapat rezeki rimau  sebegini. Patut lah menteri wanita yang alahan dengan tudung ini sayang sangat kat Umno,  membodek mengampu setiap masa. Sebusuk mana pun parti Umno dan perangai orang-orang Umno beliau tetap mengatakan Umno wangi !! Umno hebat,  Umno pembela bangsa Melayu !,.... Pegiii dahh.

Betullah keluhan rakyat marhaen selama ini  bahawa,..  Politik Umno ialah politik perut atau politik kumpul harta selagi boleh!. politik bina empayar keluarga dan kroni.  Politik perjuangan untuk rakyat jatuh nombor  choruuut. !!  

Cara dan matlamat  pemimpin Umno berpolitik ialah -  jika dapat habuan seratus ringgit,  sembilan puluh sembilan ringgit masuk poket sendiri, satu ringgit  untuk rakyat,  Itu sudah cukup bagus !  Kalau nasib tak baik, satu sen pun rakyat tak dapat !!!

Oleh : rahimothman

'Gua Ikut Enta' -part2


Semua Petunjuk Kewangan P.Pinang Meningkat, Berjaya Lupus 95% Hutang Peninggalan BN

Mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2010, kedudukan kewangan negeri Pulau Pinang yang diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat di bawah ketua Menteri Lim Guan Eng telah bertambah baik dari 2009 hingga 2010.

Laporan Audit berkenaan mendedahkan semua petunjuk kewangan di negeri ini telah meningkat pada tahun lepas.

Kumpulan Wang Disatukan Negeri telah meningkat RM29.28 juta atau 2.7% kepada RM1.13 bilion

Manakala baki Akaun Hasil Disatukan telah juga meningkat RM33.54 juta atau 6.2% sehingga mencapai RM572.49 juta

Hasil yang dikutip pada tahun 2010 telah meningkat sebanyak RM34.19 juta atau 9.1% kepada RM410.70 berbanding dengan 2009, RM376.51 juta.

Aset negeri yang terdiri daripada wang tunai dan pelaburan meningkat RM29.28 juta atau 2.7% kepada RM1.13 bilion (RM1.10 bilion pada tahun 2009)

Sementara itu, beberapa hari sebelum Laporan Audit 2010 dikeluarkan, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah membentang Bajet 2012 yang mencatat defisit RM213.71 juta walaupun kerajaan negeri Pulau Pinang mempunyai Simpanan Terkumpul Negeri sebanyak RM572.49 juta, sehingga Disember 2010.

Ketika membentangkan Bajet 2012, berkata berkata belanjawan defisit tahun ini dijangka tidak akan melibatkan kepada pengurangan yang drastik kepada jumlah Simpanan Terkumpul Negeri.

"Sungguhpun defisit sebanyak RM107.78 juta telah dijangka dalam bajet tahun semasa 2011, namun dijangka kerajaan negeri masih berupaya mencatatkan lebihan iaitu untuk empat tahun berturut-turut," ujarnya di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang, Georgetown.

Beliau berkata, kira-kira RM600.47 juta atau 95.29 peratus hutang kerajaan negeri berjaya dilangsaikan sejak Mac 2008 dan baki semasa hutang kerajaan negeri ialah RM29.66 juta sahaja.

Baki hutang semasa ini adalah meliputi RM27.51 juta untuk 11 Projek Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) dan RM2.15 juta bagi projek 'Indoor Archade & Seafood Centre di Batu Kawan.

"Dengan kata lain, Pulau Pinang mencatatkan pengurangan hutang RM600.47 juta ataupun 95.29 peratus dalam tiga setengah tahun ini; iaitu kadar yang paling cemerlang dia antara semua negeri di Malaysia," ujar beliau.

TG Nik Aziz WAHABI adakah Betul??? - Ustaz Azhar Idrus


Laporan audit, Kepincangan, Kelemahan Dan Ketirisan Berterusan.


LAPORAN Ketua Audit Negara 2010 yang gagal dikemukakan dalam Dewan Rakyat bersekali dengan Laporan Ekonomi dan dokumentasi belanjawan negara sejajar dengan amalan Parlimen Malaysia sekian lama, akhirnya diedarkan sebagai Kertas Perintah 40, Tahun 2011 kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat pada hari Isnin, 24 Oktober 2011. Pengedarannya lewat 17 hari dari tarikh pembentangan Bajet 2012 pada 7 Oktober 2011 yang lalu.

Kegagalan pengedarannya dibangkitkan berulang kali oleh Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat, meskipun sebenarnya Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan Dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan telah siap ditandatangani oleh Ketua Audit Negara Tan Sri Haji Amrin Bin Bujang pada 8 Julai 2011 dan Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Pengurusan Kewangan Dan Aktiviti Serta Pengurusan Syarikat Subsidiari Badan Berkanun Persekutuan ditandatangani pada 16 Jun 2011. Sewajarnya tidak timbul masalah lewat mengedarkan laporan tersebut kecuali lah ada muslihat untuk menyembunyikan fakta sebenar dari pengetahuan rakyat.

Hasil dari penelitian prestasi terhadap pelaksanaan aktiviti di bawah 32 Kementerian/Jabatan Persekutuan dan pengurusan 7 syarikat Kerajaan, Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan bahawa dari segi pelaksanan aktiviti/projek yang dijalankan terdapat beberapa kelemahan yang berpunca daripada penyeliaan yang kurang rapi, ketiadaan pemantauan yang berkesan, kekurangan peruntukan kewangan dan kekurangan kakitangan serta kepakaran. Laporan Ketua Audit Negara juga mendedahkan kelemahan, kepincangan dan penyelewengan yang berlaku dalam 45 aktiviti/projek di bawah pelbagai Kementerian/Jabatan Persekutuan.

Mengaibkan adalah pendedahan terhadap kepincangan beberapa aktiviti/projek yang mensasarkan golongan berpendapatan rendah dan rakyat termiskin. Antara projek dan aktiviti tersebut adalah:

1. Kelemahan pengurusan Program Pembasmian Kemiskinan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dengan peruntukan RM691.52 juta pada tahun 2010 dan didapati mengalami kegagalan 54.4% daripada pencapaian objektifnya.

“Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) adalah agensi penyelaras Program Pembasmian Kemiskinan di bawah RMKe-9. Matlamat utama program ini adalah bagi mensifarkan miskin tegar pada bulan Disember 2010 di seluruh negara. Pada tahun 2010, sejumlah RM691.52 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan program ini. Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri (PPPN) atau Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri (JPPN) bertanggungjawab menyelaraskan pelaksanaan projek di peringkat negeri. Pengauditan yang dijalankan antara bulan September hingga Disember 2010 mendapati masih lagi terdapat seramai 2,472 orang miskin tegar di seluruh negara dan pelaksanaan projek peningkatan ekonomi kurang memuaskan kerana 37 (54.4%) daripada 68 projek yang dilawati gagal mencapai objektifnya. Juga terdapat kelemahan dalam pengurusan program seperti tempoh pelaksanaannya tidak mencukupi; peserta tidak layah diberi bantuan; peserta tidak tahu terlibat dengan projek; barang tidak diterima sepenuhnya dan tidak lengkap; bantuan tidak diterima oleh peserta; projek tidak dilaksanakan oleh pembekal; pembekal mengambil keuntungan daripada peserta; mentor tidak memainkan peranannya; perjajian projek champion tidak lengkap; komitmen peserta rendah dan kelemahan pemantauan.” - Laporan Ketua Audit Negara 2010, muka surat xvii.

2. Kelemahan pengurusan Skim Insentif Peningkatan Hasil Padi di bawah Kementerian Pertanian yang mendedahkan kegagalan Kerajaan Persekutuan membayar insentif berjumlah RM110.67 juta kepada 73,291 pesawah kerana peruntukan tidak mencukupi.

“Insentif Peningkatan Hasil Padi (IPH) adalah untuk memberi galakan kepada petani untuk meningkatkan hasil padi semasa dan meningkatkan tahap sara diri. Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 September 2006 telah bersetuju skim IPH dilaksanakan dan pembayarannya dibuat mulai bulan Mac 2007. Sejak skim ini dilaksanakan sehingga tahun 2010, sejumlah RM230.62 juta telah dibelanjakan daripada peruntukan skim IPH dan sejumlah RM72 juta daripada peruntukan Dasar Jaminan Bekalan Makanan. Pengauditan yang dijalankan antara bulan Ogos hingga November 2010 mendapati objektif skim IPH untuk meningkatkan pengeluaran padi telah dapat dicapai. Bagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan dalam pengurusan IPH seperti tiada perjanjian yang mengikut BERNAS yang dilantik sebagai agensi pelaksana skim; peruntukan tidak mencukupi mengakibatkan Kerajaan belum membayar insentif berjumlah RM110.67 juta kepada 73,291 pesawah; kadar insentif yang tidak munasabah bagi pesawah yang mengusahakan tanaman lebih 2 hektar dan kelewatan BERNAS menyelesaikan siasatan terhadap kes di mana peningkatan hasil padi melebihi 10% daripada anggaran hasil yang ditetapkan.” - Laporan Ketua Audit Negara 2010, muka surat xxii.

3. Kelemahan pengurusan penyenggaraan jalan persekutuan yang diswastakan di negeri Sarawak setelah sejumlah RM462.46 juta telah dibelanjakan.

Program penswastaan penyenggaraan jalan persekutuan di negeri Sarawak dilaksanakan oleh 3 syarikat konsesi iaitu PPES Works (Sarawak) Sdn Bhd, Endayan Construction Sdn Bhd dan HCW Engineering Sdn Bhd. Mengikut perjanjian penswastaan, jalan persekutuan yang perlu disenggarakan setakat 14 Julai 2003 ialah sepanjang 1,326 km dan telah meningkat kepada 1,566 km setakat 31 Disember 2009. Pengauditan yang dijalankan antara bulan Ogos hingga Disember 2010 mendapati secara umumnya keadaan jalan persekutuan adalah kurang memuaskan walaupun sejumlah RM462.46 jua telah dibelanjakan untuk penyenggaraannya bagi tempoh tahun 2005 hingga 2010. Selain itu, terdapat beberapa kelemahan seperti kerja penurapan jalan tidak dibuat dan kerosakan pavement tidak dibaiki; jentera yang digunakan untuk memampatkan kerja penurapan jalan tidak mengikut spesifikasi serta penyenggaraan bahu/perabot.perparitan jalan tidak memuaskan.” - Laporan Ketua Audit Negara 2010, muka surat xxv.

4. Kelemahan pengurusan projek di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Ke 2 di pelbagai kementerian dan jabatan yang terdedah kepada pelbagai bentuk penyelewengan perbelanjaan, bayaran dan peruntukan.

“Laporan Ketua Audit Negara turut menyentuh Pakej Ransangan Ekonomi Kedua (PRE 2) berjumlah RM60 bilion yang dilancarkan pada 10 Mac 2009 bertujuan merangsangkan ekonomi negara dalam tempoh yang singkat. PRE 2 telah dirancang untuk dilaksanakan dalam tempoh 2 tahun iaitu tahun 2009 dan 2010 dengan peruntukan berjumlah RM15 bilion. Sehingga 31 Disember 2010, Kementerian Kewangan telah mengagihkan RM13.23 bilion kepada 27 Kementerian/Jabatan/Skim untuk melaksanakan 51,560 projek. Daripada jumlah yang diagih, hanya RM10.09 bilion (76.3%) telah dibelanjakan melibatkan 49,169 (95.4%) projek. Pengauditan yang dijalankan pada tahun 2010 terhadap 9 program di 6 Kementerian/Jabatan yang melibatkan 201 projek mendapati kesemuanya telah siap dilaksanakan dengan bayaran berjumlah RM426.69 juta kecuali satu projek iaitu Pembinaan Jambatan Sungai Padas Kedua, Beaufort, Sabah. Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan wujudnya beberapa kelemahan seperti prestasi perbelanjaan yang tidak menunjukkan prestasi sebenar pelaksanaan projek; perolehan/pembekalan peralatan/kerja/projek tidak mematui peraturan/kurang berkualiti/tidak memuaskan/kurang jelas/tidak tepat/tidak dipatuhi. Selain itu, terdapat kes di mana pembayaran dibuat sebelum peralatan/kerja dibekalkan/disiapkan/disiapkan dengan sempurna; berlaku lebihan bayaran dan peruntukan tidak digunakan untuk tujuan asal projek.” - Laporan Ketua Audit Negara 2010, muka surat xliii.

Sungguhpun Dato’ Sri Najib mengumumkan pelbagai janji untuk menangani kepincangan kelemahan dan ketirisan, namun ternyata janji-janji tersebut masih belum terpenuhi. Laporan Ketua Audit Negara 2011 mendedahkan dan menjadi bukti kegagalan dasar transformasi yang dirangka Perdana Menteri. Pakatan Rakyat tuntas menyatakan segala Perubahan dan setiap Reformasi Sistem yang menyeluruh memerlukan iltizam politik yang jitu serta ikhlas demi manfaat rakyat Malaysia. Tanpa iltizam serta kegigihan dan tiadanya penyertaan rakyat untuk bersama-sama membangunkan negara ini, segala kebijakan mahupun dasar yang dirangka pastinya menemui kegagalan.

ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
DEWAN RAKYAT MALAYSIA

Wacana Sinar-Hudud: Dilema dan Pelaksanaannya








Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .