Ikuti Blog ini

PAS Komited Jadikan NS Negeri Kebajikan

PAS Negeri Sembilan komited menjadikan Negeri Sembilan sebuah negeri kebajikan selaras dengan saranan Presiden PAS Dato Seri Hj Abdul Hadi Awang untuk menjadikan Malaysia sebuah negara kebajikan. Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan , Sdr Zulkefly Mohamad Omar dalam jelajah menghulurkan bantuan kepada keluarga yang memerlukan di sekitar Panchor , Ulu Beranang dan beberapa kawasan di DUN Lenggeng.

Siri jelajah rumah ke rumah menjejaki fakir miskin dan keluarga yang memerlukan ini adalah sebahagian dari Program Sekampit Beras Setiap Keluarga Setiap Bulan yang dilancarkan oleh PAS Negeri Sembilan beberapa bulan yang lalu. Menurut Zulkefly lagi program jelajah ini diperhebatkan lagi pada bulan Ramadhan ini , dan adalah merupakan program berterusan sepanjang tahun.
Zulkefly juga menegaskan bahawa semua ketua-ketua cawangan PAS termasuk wakil rakyat tunggal PAS di DUN Paroi telah digesa agar menjejaki keluarga miskin di setiap ceruk kampung dan kawasan perumahan , kerana terdapat beberapa laporan yang telah diterima bahawa ada keluarga yang benar-benar susah tidak mendapat bantuan kemungkinan mereka ini terlepas pandang oleh Penghulu , Ketua Kampung , Wakil Rakyat , Pegawai Kebajikan atau Pegawai Baitul Mal di kawasan mereka.

Walaupun negara kita telah mencapai kemerdekaan 51 tahun yang lalu, dan sekarang rakyat menikmati pelbagai kemudahan antaranya bekalan elektrik , namun semua ini tidak bermakna jika rakyat tidak mampu membayar bil elektrik , tambah beliau lagi. Hakikat ini didedahkan oleh Saudara Hassan Tamby selaku Pembantu Khas ADUN Paroi yang mengatakan bahawa baru-baru ini terdapat beberapa keluarga yang datang mengadu nasib di Pusat Khidmat DUN Paroi yang bekalan elektrik telah dipotong kerana tidak mampu untuk membayarnya memandangkan gaji mereka yang rendah.

Program membantu keluarga yang memerlukan dari rumah ke rumah ini telah disemarakkan lagi dengan kehadiran rombongan Dewan Muslimat PAS Pusat yang menghulurkan bantuan sumbangan pada 21 September 2008 yang lalu di Seremban. Program Singgah Iftar Dewan Muslimat PAS Pusat yang diketuai oleh Saudari Aiman Athirah Al Jundi selaku Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat adalah sebahagian program jelajah seluruh Malaysia untuk menjejaki dan membantu fakir miskin yang keciciran.

Mengulas lanjut Zulkefly menegaskan PAS Negeri Sembilan amat prihatin akan nasib rakyat di negeri ini yang semakin terhimpit akibat kenaikan harga barangan dan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan dan saingan yang banyak dalam perniagaan. Apa yang penting ialah membantu mereka yang memerlukan ini dari segi keperluan asas. PAS Negeri Sembilan berhasrat agar negeri ini sifar murid yang keciciran di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. PAS Negeri Sembilan juga berhasrat setiap isi rumah di negeri ini tidak keputusan makanan asasi iaitu beras , disamping bekalan tenaga samada air yang bersih dan bekalan elektrik. Apabila keperluan asas rakyat negeri ini dapat dipastikan maka kita mengharapkan masalah keciciran pelajar , kekurangan zat makanan , gejala sosial , masalah jenayah akan dapat dikurangkan dengan drastik.

Zulkefly menegaskan lagi program ini tidak akan berjaya tanpa sokongan ahli dan orang ramai , baik dari segi bantuan tenaga , kewangan dan setidak-tidaknya doa. Mereka yang ingin menghulurkan bantuan untuk keluarga yang memerlukan di Negeri Sembilan bolehlah menghubungi Setiausaha Kerja PAS N.Sembilan Sdr Suhairi 019-2998345 atau Setiausaha Badan Perhubungan PAS N.Sembilan Sdr Shamsul 019-6532973. Ini adalah kerana senarai keluarga yang memerlukan bantuan ini semakin bertambah hari demi hari apabila mereka turun padang.



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .