Ikuti Blog ini

Anwar: S'wak jalan baru ke Putrajaya


Datuk Seri Anwar Ibrahim menyusun strategi baru - menggegarkan Sarawak sebagai langkah baru menuju Putrajaya dalam merealisasikan 'projek 16 September' menukar kerajaan persekutuan.

Katanya, beliau akan ke Sarawak pada pertengahan bulan depan dan mengarahkan semua pimpinan PKR bergilir-gilir untuk ke sana setiap minggu untuk meraih keyakinan masyarakat di sana menjelang pilihanraya negeri, selewat-lewatnya dijangka diadakan 2010.

"Langkah pertama, gegarkan Sarawak. Sarawak barisan hadapan kita sekarang," kata penasihat PKR dalam ceramah khas malam tadi bersempena kongres nasional kelima partinya selama dua hari di Shah Alam mulai semalam.

"Selesai 14 haribulan saya ke Miri, saya akan minta menteri besar, ahli-ahli parlimen bergilir, tiap-tiap minggu mesti ada rombongan ahli Yang Berhormat dari Semenanjung yang turun ke Sarawak.

"Tanpa kecuali, semua mesti tetapkan jadual dan ikut disiplin parti."

Kempen terbaru mantan timbalan perdana menteri itu dilancarkan di hadapan beberapa ribu hadirin yang memenuhi Stadium Malawati, yang ternanti-nanti kupasan terbaru berhubung isu pertukaran kerajaan, asalnya diura-urakan 16 September lepas.

Langkah PKR itu diumumkan susulan penerimaan baik 12,000 penduduk Sarawak yang dilaporkan menyertai parti itu dua minggu lalu.

Anwar berkata, tarikh 16 September itu, merupakan sasaran ke arah membina satu kekuatan bagi menubuhkan kerajaan baru bersama dengan Pakatan Rakyat.

Menurutnya, mengambil alih kerajaan bukan perkara mudah dan menasihatkan agar rakyat bersabar menunggu masanya.

"Ini isu yang tidak mudah diungkap dan dilakar dengan kata-kata kerana ada sebab, ada hal yang saya tidak dapat sebutkan.

"Orang yang bersetuju, menunggu waktu untuk menyeberang, syaratnya tidak didedahkan sehingga mereka bersedia. Jadi, cakap salah, tidak cakap pun salah.

"Cakap salah, tidak cakap salah, jadi semua serba salah," katanya dengan gaya bernyanyi dan disambut dengan gelak ketawa para penyokongnya.

Sehubungan itu, Anwar berharap orang ramai bersabar walaupun beliau mengakui terdapat ahli-ahli PKR dan rakyat yang ragu-ragu dan tertanya-tanya bilakah beliau akan membentuk kerajaan baru dan berada di Putrajaya.

"Jika Allah mentakdirkan kita menang, kita menang.

"Saya yakin, insya Allah (ke Putrajaya) sebagaimana saya yakin (dapat menang lima negeri) sebelum 8 Mac," tambah Anwar.

Beberapa hari sebelum pilihanraya umum ke-12, beliau membuat kejutan dalam ceramahnya di Singapura apabila mendedahkan lima negeri akan jatuh ke tangan gabungan pembangkang.

Kenyataannya itu tidak diterima dengan mudah, termasuk oleh jentera kempen PKR sendiri waktu itu. Bagaimanapun keputusan akhirnya menyerlahkan ketepatan ramalan Anwar.

Tambahnya, keyakinannya untuk mengambil alih kerajaan pusat digerakkan juga oleh penerimaan ramai terhadap Pakatan Rakyat dalam pilihanraya itu dan juga kemenangan beliau di Permatang Pauh, Ogos lepas.

Menjelaskan kegagalannya merebut kekuasaan pada September lepas, Anwar menyalahkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang enggan berunding untuk membincangkan isu penyerahan kuasa.

Permintaan Pakatan Rakyat untuk mengadakan satu sidang khas tergempar Dewan Rakyat untuk membentangkan undi tidak percaya terhadap perdana menteri juga telah ditolak, tambahnya.

Dalam ceramah itu juga Anwar menyatakan beliau tidak berasa bimbang tentang ketandusan kepemimpinan dalam parti itu untuk meneruskan kesinambungan perjuangan PKR.

Ini kerana, tambahnya, parti itu mempunyai pemimpin-pemimpin muda yang berkelayakan untuk menentukan arah perjalanan parti itu walaupun tanpanya.

Ketua pembangkang itu menjelaskan, PKR akan mengadakan kongres khas untuk merancang penjanaan kekuatan parti pada Februari depan.

Beliau juga menegaskan kesediaan PKR mempertimbangkan desakan sayap Wanitanya yang menuntut penglibatan 30 peratus peranan wanita dalam membuat keputusan dan jawatan utama dalam parti.


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .