Ikuti Blog ini

FAEDAH TAQWA KESAN IBADAH PUASA


Oleh Ust Idris Ahmad

Perkara utama yang akan diporolehi oleh hamba yang menunaikan puasa ialah taqwa. Firman Allah SWT “Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa seperti mana yang diwajibkan keatas orang yang sebelum daripada kamu berpuasa semoga kamu bertaqwa”. Perkataan taqwa yang sering didengar setiap kali khutbah jumaat, kerana ia adalah merupakan satu rukun yang mesti dibaca oleh khatib.

Ibadat puasa yang terakhir untuk diperolehi ialah taqwa kepada Allah SWT. Taqwa ialah menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah dengan jalan melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan Allah. Imam Hassan Basri menyatakan taqwa ialah memelihara diri dari melakukan perkara yang diharamkan Allah dan mengerjakan apa yang difardhukan Allah ke atas mereka. Ibn Abbas menghuraikan taqwa ialah orang yang beriman yang memelihara diri mereka dari mensyirikkan Allah dan beramal serta taat kepada perintahnya. Kesimpulannya taqwa ialah menjunjung segala perintah Allah dengan penuh rasa perhambaan kepada Allah tanpa ada sedikit keraguan terhadap apa yang diperintah oleh Allah SWT.

Beberapa anugerah Allah yang akan berikan kepada mereka yang bertaqwa kepada Allah SWT. Sesungguhnya kita sebagai pejuang agama Allah perlu melipat ganda untuk mendapat darjat taqwa kerana ia akan menjadi bekalan yang cukup bermakna. Antara faedah taqwa yang akan diperolehi oleh hambanya ialah,

1.Allah memelihara orang yang bertaqwa

Firman Allah SWT

“Bertaqwalah (patuhlah) kepada Allah, dan ketahuilah bahawa Allah bersama-sama orang yang memelihara diri dari kejahatan” al-Baqarah:194

Mereka yang bertaqwa adalah mereka yang dikasihi Allah SWT ketika mereka hidup di dunia ini. Allah akan membantu hambanya yang bertaqwa. Allah tidak mensia-siakan hambanya yang mengikut telunjuk Allah SWT. Sebagai agggota jamaah Pas yang berusaha untuk menegakkan Islam secara syumul di atas muka bumi perlu kepada sifat ini untuk mendapat bantuan Allah SWT. Almaklum sahajalah kita berada dalam serba serbi kekurangan samaada dari segi tenaga, kewangan, ahli, kepakaran, media dan sebagainya. Sudah tentu kita memerlukan kepada bantuan Allah SWT dalam perjuangan kita. Kerana dengan bantuan Allah tidak ada mana kuasa yang dapat menepis dan menghalang kerja-kerja perjuangan Islam .

2.Mampu membezakan yang hak dan batil

Kita berada di dalam suasana negara yang penuh dengan kekeliruan. Golongan agama diperalat oleh penguasa negara. Mereka hanya dijadikan terompah kayu untuk diguna ketika berhadapan dengan Pas yang memperjuangkan matlamat yang suci. Kekeliruan ini boleh dijernihkan oleh orang yang dianugerahkan sifat taqwa oleh Allah SWT. Inilah doa yang kita selalu minta kepada Allah “Ya Allah tunjukkanlah hak itu hak, dan batil itu batil”. Mutaakhir hari ini kebatilan dianggap kebenaran, kebenaran dianggap kebatilan. Orang yang menyatakan hak dicaci, mereka yang menyokong kezaliman dipuji. Seluruh media diperalatkan untuk memfokoskan bahawa golongan Islam adalah jahat dan ganas. Firman Allah SWT

“Wahai orang-orang yang beriman, kiranya kamu takut kepada Allah, nescaya dia (Allah) akan mengurniakan kamu pengenalan untuk membezakan (antara hak dan batil) (Al-Anfal:29)

3. Menghapuskan dosa hambanya

Sebagai hamba yang tidak dapat lari dari kesalahan dan kesilapan dalam tindakan, ketika membuat keputusan sewaktu melaksanakan amanah Allah dalam jamaah. Hanya satu jalan sahaja yang membolehkan kita terlepas dari azab Allah ialah dengan kita memohon keampunan kepada Allah. Tidak ada nikmat yang paling berharga apabila kita dianugerahkan oleh Allah keampunan. Di dalam bulan Ramadhan di antara perkara yang nabi suruh kita perbanyakkan ialah beristighfar, mengucap kalimah tayyibah (lailahaillallah), minta supaya dijauhkan daripada neraka dan minta dimasukkan kedalam syurga. Hanya orang yang bertaqwa Allah akan memberikan keampunan. Firman Allah SWT

“Wahai orang-orang yang beriman, kiranya kamu takut kepada Allah, nescaya dia (Allah) akan mengurniakan kamu pengenalan untuk membezakan (antara hak dan batil) dan dihapuskan kesalahan kamu” (Al-Anfal:29).

4. Orang bertaqwa terpelihara daripada tekanan hidup

Mereka yang bertaqwa akan terpelihara daripada kesempitan hidup dan kesempitan rezki. Kerana Allah yang memiliki langit dan bumi. Allah yang bersifat al-Rahman, al-Rahim, al-Razzaq tidak pernah mengabaikan hambanya yang bertaqwa kepada Allah SWT. Allah maha mengetahui kedudukan hambanya yang berbakti kepadanya tanpa ada sedikit keraguan terhadap keupayaan Allah dalam segala hal. Maka layaklah Allah menganugerahkan kepadanya rezki yang tidak disangka-sangka. Allah membuka jalan keluar yang agak lapang kepadanya.

Tidak ada dalam sejarah perjuangan Islam orang papa kerana berjuang Islam. Tidak ada mereka yang lapar kerana berjuang di atas agama Allah, keran Allah lebih mengetahui segala apa keperluan hambanya yang hidup di atas muka bumi ini. Banyak kita melihat Allah anugerahkan kepada hambanya yang bertaqwa yang berjuang dalam Pas, mungkin mereka tidak kaya dengan harta, tetapi mereka diberi kepada mereka anak yang soleh dan anak yang bijak dan berjaya dalam pelajaran. Walaupun ibu bapa mereka ditekan dan dinafikan hak sebagai warga Negara. Mereka ditukar tempat kerja, dinafikan hak untuk berniaga, tidak dapat jalan raya dan bantuan yang sepatutnya. Tetapi dengan taqwa Allah menjadikan jalan keluar yang luas kepadanya. Firman Allah SWT

“Barangsiapa yang bertawa kepada Allah (dengan mematuhi segala perintahnya dan menjauhi larangannya) nescaya Allah akan mendorongkan baginya jalan keluar (dari kesulitan), dan Dia (Allah) akan memberikan rezki kepadanya dari (sumber) yang tidak disangka” al-Talaq:2-3

5. Balasan orang yang bertaqwa ialah syurga

Inilah harapan dan idaman kita yang berjuang di atas agama Allah, iaitu hidup kekal abadi dalam syurga yang dianugerahkan kelebihan yang tidak terlintas di dunia. Firman Allah SWT

“Itulah syurga yang kami hendak pusakakan kepada hamba kami yang bertaqwa” Maryam:63.

Berjuang dijalan Allah inilah idaman kita iaitu syurga yang tidak ada harga yang boleh dibayar. Kalau berjuang atas jalan lain daripada jalan Allah, yang dapat kalah atau menang, manakala syurga bukan impian dan cita-cita, sebaliknya dunia dan laba yang dihambat. Sempena dengan Ramadhan ini maka berdoalah kepada Allah supaya dianugerahkan syurga. Walau bagaimanapun syurga tidak dihampari dengan permaidani merah, sebaliknya ia dihampari dengan onar dan duri. Semua Nabi dan Rasul melalui jalan ini, mereka tidak melalui jalan mudah untuk ke syurga, baginda Rasulullah SAW merupakan orang yang banyak menerima dugaan dan cabaran.

6. Orang yang bertaqwa mendapat kemulian di dunia dan di akhirat.

Islam tidak memandang kepada rupa paras dan solekan di luar, tetapi yang dipandang ialah hati yang takut kepada Allah. Mereka yang bertaqwa akan dimulia oleh Allah dan juga makhluk. Walaupun manusia akhlaknya jahat, ia tahu menghormati orang yang bertaqwa kepada Allah. Allah melontarkan perasaan sayang dan hormat dalam hati orang yang jahat kepada orang yang bertawa kepada Allah.

Hendak mendapat kemulian daripada Allah bukan bergantung kepada status, darjat dan keturunan. Tetapi ia bergantung kepada amalan taqwa yang dilakukan oleh seseorang kepada Allah SWT. Firman Allah SWT;

“Sesungguhnya orang yang mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa” al-Hujurat:13

Kesimpulannya, taqwa adalah natijah daripada puasa seorang yang beriman kepada Allah SWT. Maka kita mengharapkan sebagai pejuang agama Allah dapat mencapai darjat ini dengan sebaiknya. Rebutlah peluang yang ada di dalam bulan Ramadhan terutama 10 terakhir nanti. Penuhilah ruang-ruang waktu Ramadhan dengan membanyakkan membaca al-Quran, tadarrus, iktikaf, bersedekah, memberi makan orang yang berbuka. Ini adalah amalan yang mendekatkan diri kita untuk menjadi mereka yang bertaqwa kesan daripada Ramadhan yang kita lalui. Semoga Ramadhan pada tahun ini lebih baik daripada sebelumnya.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .