Ikuti Blog ini

Jabatan polis seleweng RM98j?


KUALA LUMPUR - Ahli Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Tan Sri Robert Phang mendakwa baru-baru ini beliau menerima surat layang yang mendedahkan penyalahgunaan kuasa sebuah jabatan polis.

Surat tanpa nama pengirim dan beralamat di Desa Pandan itu diterima pada 23 Julai lalu dan ia dihantar melalui pos laju ke alamat pejabatnya di Kompleks Dayabumi, Jalan Sultan Hishamuddin di sini.

Robert memberitahu, kandungan surat sepanjang lapan helai itu antara lainnya menceritakan berlaku penyalahgunaan kuasa dalam pemberian kontrak pembelian kelengkapan barangan kegunaan jabatan tersebut yang berjumlah hampir RM98 juta.

“Pengirim mendakwa wujud pelanggaran prosedur dalam pemberian kontrak yang sepatutnya dilakukan melalui tender terbuka.

“Surat itu mendakwa penyalahgunaan kuasa itu berlaku sebelum pilihan raya umum lalu dan beberapa hari selepas pilihan raya,” kata beliau di pejabatnya di sini semalam.

Menurut beliau, surat tersebut turut menamakan enam pegawai polis berpangkat Asisten Supritendan sehingga Komisioner Polis di jabatan terbabit.

“Saya tidak mahu dedahkan nama mereka (pegawai) terbabit kerana ini perlu disiasat,” katanya dengan memberitahu beliau akan menyerahkan dokumen tersebut kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini.

Robert bagaimanapun berkata, alamat pengirim yang tertera pada salinan sampul surat itu tidak wujud.

Anwar kemuka JAWI laporan Pusrawi, Saiful dipanggil


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan laporan perubatan yang dikeluarkan hospital Pusrawi yang mengatakan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak diliwat semasa memberi keterangan di Jabatan Agma Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini.

Beliau hadir ditemani isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada pukul 10.30 pagi bagi memberi keterangan berhubung laporan tuntutan qazaf (tuduhan palsu) yang dibuat terhadap Saiful sebelum ini.

Pagi semalam Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, pendedahan laporan doktor Pusrawi, yang disebar meluas menerusi portal berita semalam, membuktikan dakwaan meliwat terbaru terhadapnya hanya bermotifkan politik dan tidak berasas sama sekali.

“Saya ada menyebut mengenai laporan perubatan (Dr. Mohd Osman) itu dan JAWI ambil maklum mengenainya,” katanya selepas memberi keterangan hampir dua jam setengah.

Hadir sama peguamnya Kamar Ainiah Kamarulzaman.

Semasa memberi keterangan, Anwar turut mengemukakan hujah oleh seorang ulama feqah terkemuka, Prof. Sheikh Taha Jabir al-Ulwani yang mengatakan qazaf bagi tuduhan liwat terpakai seperti tuduhan zina.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut memberitahu media kemungkinan JAWI akan memanggil Saiful bagi merekodkan keterangannya selepas ini.

Bagaimanapun beliau menyatakan kesanggupan untuk hadir sekali lagi bagi memberi keterangan tambahan jika diperlukan sepanjang siasatan dijalankan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan, JAWI akan merujuk kepada doktor berkenaan bagi memberikan keterangan lanjut.

Ditanya apakah soalan yang dikemukakan oleh JAWI kepadanya, Anwar berkata JAWI mengajukan soalan mengikut prosedur biasa.

“Mereka tanya saya mengapa saya anggap kes ini tiada motif. Mereka juga ingin tahu mengapa saya katakan saya difitnah serta apa bukti yang saya ada untuk kuatkan hujah,” katanya.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu bagaimanapun berpuas hati dengan proses memberi keterangan yang dijalankan oleh JAWI berbanding pihak polis.

Tambahnya lagi, proses yang dijalankan oleh JAWI adalah lebih professional dan beliau yakin dengannya.

Beliau turut diajukan soalan sama ada bimbang dengan hasil laporan perubatan terhadap Saiful yang dilakukan oleh Hospital Kuala Lumpur (HKL), beliau berkata "tidak".

“Saya tidak bimbang mengenai laporan HKL jika ia dibuat dengan professional dan telus.

“Persoalannya adakah akan ada kemungkinan laporan itu akan dikoyak (dipalsukan).” katanya dengan sinis.

Beliau sekali lagi menegaskan agar siasatan yang dijalankan terhadapnya tidak bermotifkan politik sebaliknya perlu mengikut prosedur yang jelas berdasarkan undang-undang sedia ada.

Diminta mengulas mengenai kenyataan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar agar beliau menghentikan sebarang spekulasi sebaliknya memberi kerjasama penuh kepada polis, beliau berkata:
“Kerjasama apa lagi yang tidak saya berikan?.

“Cuba anda tanya dia (Syed Hamid) adakah dia sanggup untuk berbogel seperti yang saya alami. Adakah itu menunjukkan saya tidak memberi kerjasama," katanya.

"Saya tidak buat sebarang spekulasi sebaliknya kadang-kadang ada wartawan yang nakal megajukan soalan untuk dapatkan reaksi saya," jelasnya.

Hudud Dan Qisas Akan Dilaksanakan Jika PAS-UMNO Bersatu – Tok Guru Nik Aziz


Mursyidul Am PAS berkata pelaksanaan hukum Hudud dan Qisas menjadi satu daripada cadangan bagi PAS jika pergabungan antara parti itu dan UMNO menjadi satu kenyataan. Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata cadangan pelaksanaan undang-undang itu yang mengikut lunas syariat Islam akan dilakukan kemudian, selepas muqabalah (pertemuan) antara pemimpin kedua-dua parti mencapai persetujuan yang membawa kepada penubuhan satu entiti parti politik yang baru.

Agensi Bernama melaporkan ia adalah sejajar dengan semangat muqabalah yang akan membincangkan masa depan umat Islam di negara ini.

Beliau berkata perkara pertama yang perlu dilakukan adalah kerjasama Umno-PAS dalam membentuk parti baru perlu berlandaskan kepada Islam, termasuk melaksanakan hukum Hudud sebagaimana ditetapkan oleh agama.

"Yang membimbangkan saya bila kerjasama itu berlaku, ada pihak yang cuba mensabotajkan parti (gabungan PAS-Umno) dengan menganjurkan calon bebas yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan Islam mengikut syariatnya bagi melawan calon kita," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan kempen derma bagi kerja-kerja mengubahsuai masjid Baraah di pusat bandar ini di sini, hari ini.

Nik Aziz berkata berlandaskan semangat demokrasi di negara ini, semua pihak termasuk Umno, kaum Cina dan India boleh mengadakan perbincangan serta mengeluarkan hujah mereka untuk lebih memahami Islam dan syariatnya.

"Saya hendak benar kalau orang Cina dan India kata dia tidak mahu kepada Islam. Di mana tidak kena dengan Islam, boleh tolong beritahu, kita boleh berbincang" katanya.

Namun, katanya, bagi beliau perkara yang paling penting adalah memastikan muqabalah antara PAS dan Umno dapat dijayakan terlebih dahulu untuk membincangkan masa depan umat Islam.

Anwar: Saya boleh menang di Kulim


Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin beliau boleh menang di kerusi parlimen Kulim-Bandar Baharu apabila bertanding di situ jika ia diisytiharkan kosong oleh mahkamah bulan depan.

"Pilihanraya kecil atau besar (umum), kalau (dijalankan secara) bebas, jujur dan adil, itu beres. Di Malaysia ini, kita hanya mahu memastikan ia bebas dan adil.

"Saya yakin, insya Allah. Dan kebetulan Kulim-Bandar Baharu itu berhampiran dengan kampung asal saya yang terkenal itu Cherok To'kun," kata penasihat PKR sambil berseloroh dalam sidang media pagi ini.
Menurut Anwar, beliau "sudah dapat laporan bahawa kawasan itu baik".
Tambahnya, tiga parti dalam Pakatan Rakyat telah memberikan komitmen penuh untuk membantunya dalam pilihanraya kecil nanti.

Beliau bagaimanapun faham bahawa pilihanraya kecil selalunya lebih mencabar bagi seseorang calon pembangkang.

"Saya sedar, seluruh sumber kerajaan, Umno dan parti (BN). Saya ada sebut di Kulim pada malam dulu (Ahad), seluruh traktor dari Semenjanjung kini sedang bergerak ke Kulim," katanya, disambut ketawa kecil kumpulan wartawan yang membuat liputan.

Katanya, beliau sebelum ini menimbang sama ada bertanding di Bandar Tun Razak yang kini dimenangi oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang juga menteri besar Selangor, atau Kulim-Bandar Baharu.

"Kita melihat Bandar Tun Razak dan Kulim-Bandar Baharu, tetapi keputusan kita, terus (bertanding) di Kulim," kata Anwar di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Beliau enggan mengulas kesediaan bekas pemimpin kanan PKR dan setiausaha politiknya Mohamad Ezam Mohd Noor mencabarnya dalam pilihanraya kecil itu.

Mahkamah akan mendengar petisyen pilihanraya calon BN Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir bulan depan.

Pada pilihanraya umum 8 Mac, calon PKR Zulkifli Noordin memenangi dengan majoriti 5,583 – beliau memperolehi 22,255, manakala Aziz pula sebanyak 16,672.
Kulim-Bandar Baharu mempunyai 67.93% pemilih Melayu, 21.13% Cina dan 11.48% India daripada jumlah keseluruhan 51,444 orang.

Mengulas tawaran Umno supaya PAS membentuk kerajaan campuran di Perak, Anwar berkata perkara itu sudah dijawab oleh menteri besar Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa beliau tetap komited dengan Pakatan.
Mengulas sama ada isu muzakarah antara PAS dan Umno akan menjejaskan gabungan pembangkang yang dikepalainya, Anwar berkata:

"Ia sekarang muqabalah, bukan lagi muzarakah. Ia penting diketahui daripada aspek epistemologi.
"Muzakarah bermaksud diskusi biasa untuk mencari persefahaman. Muqabalah bermaksud, kamu berdiskusi atas pendirian kamu."

TTI dan Piala Monsun - Pemuda PAS Tidak Buat Laporan Polis Tapi Buat laporan BPR


Kuala Terengganu - Dewan Pemuda Pas Terengganu sebagaimana yang dilaporkan semalam tidak membuat laporan polis namun membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini mengenai projek Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man dan Kejohanan Perahu Layar Piala Monsun, di Pulau Duyong, di sini.

Semalam, Setiausahanya Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, satu laporan polis berkaitan kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said, yang meminta pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat dua projek Mega tersebut.

Hari ini, Ketua Dewan Pemuda, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani, membuat laporan di pejabat BPR di Wisma Persekutuan, di sini, kira-kira jam 11 pagi susulan kenyataan yang sama.

"Saya meminta BPR menyiasat kenyataan Ahmad kerana yakin kenyataan Menteri Besar itu mempunyai asas yang kuat," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan itu.

Selasa lalu, Ahmad berkata, BPR jangan memilih tempat hendak menjalankan siasatan, dan meminta BPR menjalankan siasatan ketas projek TTI di Pulau Wan Man dan pembinaan serta pengurusan Piala Monsun dan Pulau Duyong.

Kedua-dua projek tersebut adalah termasuk dalam projek-projek Mega yang dilaksanakan pada era pemerintahan bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh, yang dikatakan oleh Ahmad sebagai ‘lebih besar’.

Ahmad berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan berkaitan siasatan BPR keatas kes kos penyenggaraan yang terlalu tinggi kereta rasmi kerajaan, Proton Perdana V6 Executive.

Anwar lega


TERBARU: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan laporan doktor Hospital Pusrawi yang menyebut tidak ada kesan liwat terhadap bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan membuktikan tuduhan liwat yang dilemparkan kepadanya adalah tidak berasas dan bermotifkan politik. Ia juga membuktikan wujudnya konspirasi terhadap dirinya, kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, tengahari Selasa. Selain itu, bukti terbaru itu juga tambah beliau, memberikan kelegaan yang besar kepada dirinya. Anwar turut berkata, kenyataan bahawa siasatan polis dilakukan dengan profesional adalah satu momokkan kerana ia bercanggah dengan laporan doktor perubatan yang pertama ke atas Saiful Bukhari. Dengan sebab itu katanya, beliau enggan memberikan sampel DNA kerana tahu perkara ini akan berlaku. Mengulas lanjut, Anwar yakin dengan kesahihan kandungan laporan perubatan pertama (Hospital Pusrawi) dan pasti tiada siapa yang akan mempertikaikannya. Anwar juga berkata, beliau tidak pernah menemui doktor berkenaan dan Pusrawi juga mengesahkan laporan yang disiarkan portal berita hari Isnin adalah tulen dan benar. Dengan adanya laporan hospital Pusrawi itu, beliau mendesak agar siasatan ke atas dirinya berhubung dakwan liwat itu dihentikan.

Ahmad Minta BPR Siasat – Pemuda PAS Buat Laporan Polis


Kuala Terengganu – Dewan Pemuda PAS Negeri Terenganu (DPPNT) akan membuat satu laporan polis berkaitan kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said, yang meminta pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat dua projek Mega yang dilaksanakan dibawah pentadbiran Bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh.
Setiausaha DPPNT Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata demikian ketika ditemui Buletin Online malam ini.
Beliau berkata Ahmad Said telah mengeluarkan kenyataan malam kelmarin ketika bercakap dengan pemberita, beliau mengalu-alukan siasatan BPR keatas kes penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive.

“Ahmad, dalam ucapannya berharap pihak BPR tidak memilih dalam membuat penyiasatan dan meminta pihak BPR turut menyiasat projek pembangunan Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man dan Penganjuran Piala Monsun di Pulau Duyong,”kata Wan Sukairi, sebelum berceramah di Majlis Sempena Isra’ Mikraj yang diadakan di Ma’ahad Tahfidz Wal Tarbiyah, Jalan Kelantan dekat sini.

Akhbar Sinar Harian juga melaporkan perkara tersebut hari ini, 28 Julai, dimana pihak BPR telah membuat kenyataan meminta Ahmad Said tampil memberikan maklumat berhubung dakwaan penyelewengan TTI dan Piala Monsun.

Wan Sukairi menjemput para pemuda untuk mengiringi rombongan DPPNT membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Terengganu pada jam 10.00 pagi, 29 Julai, 2008.

Beliau berkata tujuan DPPNT membuat laporan polis itu adalah supaya pihak polis mengambil tindakan segera untuk menyiasat kenyataan Menteri Besar Terengganu tersebut.

“Kerana kedua-dua projek mega yang melibatkan ratusan juta ringgit wang rakyat tersebut memang telah disyakki berlaku penyelewengan berdasarkan beberapa kenyataan Ahmad Said sebelum ini, yang menyebut beliau tidak tahu berapa yang dibelanjakan sebenarnya dalam penganjuran Piala Monsun,”tambah Wan Sukairi.

'Muzakarah': Usaha PAS kuatkan PR


Saya baru mendapat sedikit ketenangan berhubung isu muzakarah yang masih lagi hangat diperkatakan dewasa ini.Bahkan ianya masih lagi dalam peringkat berbalas balas kenyataan dari beberapa orang pemimpin samada dalam PAS ataupun UMNO,malah DAP juga kini mula memasuki gelanggang kerana barangkali merasakan tidak mahu tenggelam dan tertinggal di belakang dalam isu yang sedang hangat diperkatakan itu.Bukankah sesuatu isu yang kontroversi itu akan meruntun glamour juga kepada mereka yang terlibat di dalamnya hehe..

Karpal Singh berhak untuk berasa sangsi.Beliau cuma mewakili mereka yang lain turut berasa sangsi melalui sikapnya yang selalu 'vokal' itu.Malah sikap 'tak fahamnya' terhadap 'perjuangan PAS' itu memang telah dimaklumi sejak lama dulu.Justeru suaranya yang terbaru meminta 'keanggotaan PAS dalam PAKATAN RAKYAT di kaji semula'tidak harus dilihat sebagai satu masalah yang baru.Karpal singh memang sudah terkenal 'nakal' sejak dulu sama seperti rakannya yang seorang lagi Samy Vellu.

Barangkali ramai yang tidak faham betapa muzakarah itu adalah salah satu daripada usaha PAS untuk menguatkan PAKATAN RAKYAT dalam mempersiapkan diri untuk berangkat menduduki tahta di putrajaya pertengahan september ini.Masakan tidak,dalam keghairahan PKR berbincang dan bermuzakarah dengan ahli ahli MP UMNO dan komponen BN di Sabah dan Sarawak untuk menyertai atau dalam istilah yang lebih popularnya 'melompat' ke dalam PR,begitu juga DAP yang cuba mempengaruhi ahli ahli MCA untuk turut melompat,lalu PAS juga merasa diri terpanggil untuk turut mengatur langkah ke arah itu.

Saya melihat PAS dalam isu ini telah terpilih (oleh media khususnya serta orang yang berkepentingan)untuk menjadi 'lebih popular' berbanding yang lain apabila digossipkan telah mengadakan 'hubungan sulit' dengan UMNO.Bukankah orang yang baik dan berpotensi untuk diminati ramai itu sering menjadi bahan fitnah dan dengki segelintir manusia?

Kepada ahli dan penyokong PAS di luar sana,anggaplah isu 'muzakarah' ini sebagai salah satu proses kearah diri yang lebih matang.

Doktor: Tiada kesan Saiful diliwat




Tiada bukti Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mengadu diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, pernah mengalami hubungan seks luar tabie seperti itu - demikian hasil pemeriksaan seorang doktor di sebuah hospital swasta, kira-kira empat jam sebelum membuat laporan polis sebulan lalu.
Menurut Malaysiakini, salinan laporan perubatan terhadap bekas pembantu Anwar itu, Mohd Saiful ke Hospital Pusrawi mengadu mengalami "tenesmus" - kesukaran dan kesakitan membuang air besar.

Dipercayai pemuda 23 tahun itu mendapatkan rawatan di hospital di Jalan Tun Razak itu kira-kira jam 2 petang pada 28 Jun sebelum diminta ke sebuah hospital kerajaan dan kemudian membuat laporan polis.

Ketika di Hospital Pusrawi, pemuda itu diperiksa oleh Dr Mohamed Osman Abdul Hamid.

Dalam laporannya itu, doktor tersebut menyatakan pesakit itu mendakwa diserang dengan dijolok bahan "plastik" di bahagian duburnya.

Mohamed Osman, seperti tercatat dalam laporannya yang direkodkan pada jam 2.14 petang, mendapati dubur Mohd Saiful "tidak mengalami pendarahan aktif", "tiada kesan ulser atau nanah", dan "tiada kesan koyak atau calar".

Beliau juga menyatakan pemuda itu kelihatan "jaga", "selesa", "tidak pucat" dan tidak menunjukkan sebarang tanda demam.

Kembali pada Al-Quran


Nampaknya masih ada rasa tidak puas hati dengan isu muzakarah/muqabalah ni..Letih dah nak mengulas..Ape-ape pun kembalilah kepada Al-Quran...

Orang yang beriman akan kembali kepada ayat Al-Quran:

"Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (An-Nisa': 59)

Orang yang mukmin akan mendapatkan berita yang sahih dan benar:

Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Tegurlah pemimpin dengan baik. Untuk mendamaikan bukan untuk mengeruhkan suasana :

"Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat." (Al-Hujuraat :ayat 10)

Akhir sekali berdoalah untuk kekuatan Jamaah Islam. Pertingkatlah ketaqwaan kita kepada Allah nescaya Allah akan bersama dengan kita.

"Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung." (Ali-Imran:200)

Umno Gagal Gugat Pakatan Rakyat - DS Anwar


Semalam di Bandar Tun Razak dan malam ini di Kulim saya memperakui kenyataan sebenar bersabit isu pembentukan Kerajaan Negeri Selangor selesai PRU12 8 Mac lalu.

Saban hari saya berhubungan terus dengan pimpinan PAS khususnya Tuan Guru Ustaz Hadi dan juga pimpinan DAP. KeADILan, PAS dan DAP tidak berganjak dari ketetapan memperkukuh muafakat Pakatan Rakyat.

Justeru itu kita harus waspada dengan muslihat Umno, termasuk dakwaan Khir Toyo yang menyelar saya sebagai penghalang utama ke arah pembentukan Kerajaan Pas-Umno di Selangor.

Ternyata Umno terdesak lemas lantaran pergelutan dalaman dan kegagalan mengatasi kemelut politik dan kegawatan ekonomi. Perlu dijelaskan bahawa sehingga kini saya tidak dapat mengesan sebarang langkah atau kenyataan dari pimpinan ketiga parti induk Pakatan yang boleh ditafsirkan sebagai keretakan.

Malah dalam perbualan talipon saya pagi tadi dengan Ustaz Hadi Awang, saya singkap perundingan di antara kami dan DAP tatkala memutuskan cadangan perlantikan Tan Sri Khalid selaku MB Selangor.

Ketika itu Ustaz Hadi menalipon saya menolak desas desus dan menegaskan bahawa beliau telah pun mengirim faks mengesahkan keputusan Pas menyokong pencalonan Tan Sri Khalid.

ANWAR IBRAHIM

Gambar: Cadangan Bendera / Logo baru untuk Pakatan Rakyat..



DUN Paroi keluarkan kalender RM5 satu


Tahun 2009....masih jauh lagi dan ada 4 bulan lagi sebelum tahun 2008 melabuhkan tirainya, pihak MTD Paroi telah mula menjual kalendar 2009 yang memaparkan gambar-gambar Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi 5 buah negeri Pakatan Rakyat. Dengan harga RM5 sekeping,secara automatik pembeli akan menyumbang kepada Tabung Dana DUN Paroi. Dalam keadaan tidak ada peruntukan dana untuk DUN Paroi, sumbangan anda akan dapat membantu kami meringankan bebanan kehidupan orang miskin , ibu tunggal dan anak-anak yatim di DUN Paroi ini. Boleh dapatkan kalendar 2009 di pejabat DUN Paroi di Taman Tasik Jaya atau hubungi Pegawai Khas DUN Paroi , Sdra Shaharudin (KUDIN) di talian 013-2799700 atau 06-6794609. Ramai pimpinan PAS telah memiliki Kalendar cetakan terhad ini antaranya Timbalan Speaker DUN Kedah , YB Ust Abd Ghani Ahmad, Exco Kerajaan Negeri Kedah , YB Amirudin dan Exco Kerajaan Negeri Selangor (YB Dato' Dr Hasan Ali dll).

Parti baru bertunjang Islam boleh satukan PAS, Umno - Nik Aziz



Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempelawa ahli-ahli serta penyokong Umno menyertai PAS bagi memastikan agama Islam dan nasib orang Melayu lebih terbela.

Kata beliau muqabalah (perbincangan) di antara pemimpin PAS dan Umno boleh diadakan bagi mencari kaedah satu parti sahaja bagi orang Islam dan Melayu di negara ini.

"Ini kerana PAS telah lama berjuang di atas landasan Islam. Saya pun tak faham mengapa orang Umno tidak mahu menyertai PAS, apa yang tidak kena bagi Umno tehadap PAS.

"Sedangkan kita terima hakikat bahawa Islam mesti diutamakan," katanya selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS Kelantan di Markas Dewan Ulama (Madu) di sini semalam.

Malah beliau berkata, sekiranya ahli Umno segan untuk menyertai PAS lebih baik menubuh parti baru yang juga berlandas Islam.
Ini kerana kata beliau ahli PAS sudah tentu tidak akan menyertai Umno.

Katanya, keinginan Umno mengajak PAS bermuzakarah boleh dilakukan sekiranya ia hanya berkaitan Islam.

Bagaimanapun kata beliau Umno seringkali tidak memberi kerjasama untuk melaksanakan program pembangunan di negeri ini dan isu tersebut tentunya boleh membantut diteruskan muqabalah.
"Lagi pun muzakarah yang dimaksudkan sebelum ini hanya lahir daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bukannya keputusan parti Umno itu sendiri.

"Muzakarah hanyalah kehendak Perdana Menteri dan bukannya Umno, kalaulah kita adakan muzakarah atau muqabalah, tiba-tiba Perhimpunan Agung Umno tidak bersetuju presidennya tak boleh buat apa-apa," katanya.

Menurutnya juga muqabalah hendaklah hanya menyentuh aspek Islam sahaja bukannya melibatkan dasar parti kerana PAS perlu menjaga hubungan dengan parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat.

"Saya amat menyokong sekiranya Umno dan PAS bubar dan kita tubuh satu parti baru dan parti tersebut hendaklah berlandaskan Islam," katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Mohamed Daud menyokong cadangan Menteri Besar Kelantan supaya Umno dan PAS dibubar untuk membolehkan parti baru yang berasas Islam ditubuh.
"Bagi Dewan Ulamak kami bersetuju memberi mandat kepada pemimpin parti seperti presiden, timbalan, naib dan setiausaha bermuqabalah dengan Umno," katanya.

Beliau juga berkata, apa yang telah dibincangkan dengan Umno hendaklah dibawa kepada Majlis Syura Ulamak sebelum dibawa ke muktamar pertengahan Ogos depan.
Oleh itu beliau berharap tidak timbul sebarang fitnah hasil muqabalah dengan Umno.

Beliau juga meminta ahli PAS berlapang dada dan menyerah kepada kebijaksanaan pimpinan PAS bagi mengadakan sebarang muqabalah dengan Umno.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .