

KUALA LUMPUR, 14 April: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) meminta Malaysia berpendirian seperti Turki yang konsisten dalam isu penggunaan tenaga nuklear dan tidak bersikap double standard.
"Saya harap Malaysia mengambil sikap yang sama dengan Turki iaitu sikap yang konsisten dan tidak double standard, berani dan tegas supaya hak diberi kepada Iran seperti yang diberi kepada negara lain," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.
Beliau berkata, Amerika Syarikat bersikap double standard terhadap Iran apabila memohon sokongan Malaysia bagi memainkan peranan dalam pelucutan senjata nuklear yang ingin dimajukan negara itu.
Abdul Hadi dalam perbahasan di Dewan Rakyat hari ini kesal dengan tekanan yang dibuat terhadap Iran meskipun negara itu telah membuat kenyataan terbuka bahawa mereka hanya ingin memajukan teknologi nuklear sebagai tenaga alternatif daripada sumber yang lain.
Sedangkan ujarnya, Israel yang telah mempunyai teknologi nuklear sejak sekian lama tidak dikenakan apa-apa tindakan sebaliknya bebas melakukan apa sahaja.
"Di sana berlakunya double standard dalam polisi yang dilakukan Amerika Syarikat. Ada negara yang boleh melakukan apa sahaja seperti Israel yang tidak menandatangani perjanjian mengharamkan senjata nuklear dan Israel telah mempunyai teknologi ini sejak tahun 60-an lagi.
"Sepatutnya satu tindakan yang tegas diambil terhadap Israel tapi apa yang berlaku ialah Iran yang membuat kenyataan terbuka bahawa mereka mahu memajukan teknologi nuklear untuk tenaga alternatif daripada sumber yang lain ditekan habis-habisan dan diberi amaran yang keras dan sudah dibuat keputusan untuk melakukan sekatan terhadap Iran,” ujarnya.
Perkara itu dibangkitkan sebagai menyentuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyertai Presiden Barack Obama dan pemimpin dunia lain pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington hari ini.
Sidang kemuncak itu bermula selepas Washington melancarkan proses melobi yang sengit untuk beberapa hari untuk meraih sokongan dunia bagi memberi tekanan kepada Iran mengenai program senjata nuklear negara itu.
Dalam pada itu, Abdul Hadi turut meminta Malaysia sebagai anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mendesak OIC mengadakan satu sidang khas berhubung keganasan Israel terhadap Palestin yang masih lagi berterusan.
"Seterusnya, saya ingin menyentuh tentang apa yang berlaku di Palestin, tentang tindakan Israel yang mengura-ura untuk menghalau penduduk Palestin dari kampung halaman mereka dan pencerobohan terhadap Masjid Al-Aqsa yang masih lagi berleluasa.
"Malangnya media menutup perkara ini yang menyebabkan pertumpahan darah dan korban sedemikian rupa.
"Malaysia sebagai negara OIC diharapkan supaya mendesak supaya diadakan satu sidang khas OIC berkait keganasan Israel ini," tegasnya. Hrkh
Cawangan MIC Hulu S'gor beri kata-dua
Sebahagian daripada ketua-ketua cawangan MIC Hulu Selangor hari ini memberi kata dua kepada kepemimpinan Barisan Nasional agar mecalonkan timbalan presiden parti itu, Datuk G Palanivel di parlimen Hulu Selangor atau menghadapi pembubaran cawangannya.
Tindakan itu dilihat menghangatkan lagi suasana apabila BN dijangka mengumumkan calonnya pada jam 4 petang esok bagi pertandingan pada 25 April ini.
Hampir separuh daripada ketua cawangan yang mewakili kira-kira 30 daripada 72 ketua cawangan hadir di ibupejabat MIC bahagian Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru untuk meluahkan sokongan kepada Palanivel.
Menurut mereka jika cadangan supaya Palanivel dicalonkan ditolak oleh BN, tindakan itu sesuatu yang memalukan kepada MIC dan pemimpin parti itu.
“Kami tidak akan keluar mengundi jika calonnya bukan Palanivel,” kata K Allo Pillai, seorang penyokong akar umbi yang membayangkan BN mungkin dipulaukan.
Ketua penerangan MIC Hulu Selangor, Raily Muniandy juga mengugut bahawa semua cawangan MIC di kawasan pilihan raya itu akan ditutup, kika tuntutan mereka agara Palnivel dicalonkan ditolak.
"Kami menyokong penuh Palanivel kerana dia pemimpin berwibawa, bersih dan telah menjadi penduduk di kawasan ini untuk hampir 15 tahun, “ kata Raily.
Beliau menjelaskan Palanivel, yang berasal dari Pulau Pinang, tidak semestinya dilahirkan di kawasan pilihan raya itu untuk diiktiraf sebagai anak tempatan.
"Dia (Palanivel) kenal siapa Ah Kaw, Ahmad dan Ramasamy di sini kerana telah berada 18 tahun di sini,” katanya.
Ditanya sama ada mereka akan menyokong calon MIC yang lain, Raily berkata: “Jawatankuasa pusat MIC telah memutuskan Palanivel sebagai calon Hulu Selangor dan perkara itu adalah muktamad.”
oleh Puspawati Rosman
Pada 31 Mac 2010 yang lalu, hampir 200 orang peguam telah berhimpun di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Perhimpunan itu bertujuan untuk membantah salahlaku beberapa orang polis terhadap seorang peguam, saudara Amer Hamzah bin Arshad (gambar kanan). Pada hari kejadian, polis-polis tersebut, yang berpakaian biasa telah menggunakan kekerasan menghalang saudara Amer daripada menjalankan tugasnya untuk bertindak bagi pihak anak guamnya ketika saudara Amer dan anak guamnya hendak membayar wang ikat jamin di kaunter bayaran di Mahkamah.
Saudara Amer menuntut polis-polis tersebut mengeluarkan kad kuasa mereka sebagai bukti bahawa mereka ialah anggota polis. Malangnya beliau tidak diendahkan dan telah ditarik dan ditolak oleh polis, dikawal dan dihalang daripada keluar daripada Mahkamah sehingga anak guamnya dibawa entah ke mana oleh polis. Kemudian, barulah beliau diberitahu oleh polis bahawa anak guamnya akan ditahan untuk siasatan. Di dalam kes ini, anak guamnya ditahan tanpa bicara kerana polis belum atau tidak mempunyai bukti yang cukup untuk mendakwanya di Mahkamah.
Para peguam yang mendapat tahu tentang kejadian tersebut berasa sungguh marah kerana ternyata pihak polis telah menyalahlaku terhadap saudara Amer yang sedang menjalankan tugas. Selain daripada itu, isu tahan tanpa bicara juga membangkitkan kemarahan kerana Majlis Peguam telahpun mengeluarkan resolusi membantah mana-mana tindakan menahan tanpa bicara di Mahkamah, kerana ia adalah bercanggah dengan hak asasi manusia. Maka sekumpulan peguam telah mengambil inisiatif mendraf dan menyerahkan memorandum dan berhimpun di Bukit Aman sebagai tanda protes.
"Peguam tak patut turun ke jalan raya"
Beberapa hari selepas perhimpunan tersebut, telah keluar beberapa suara yang kurang senang daripada segelintir orang tentang peranan yang sepatutnya dan tidak sepatutnya dimainkan oleh peguam di dalam isu-isu sebegini.
Kata mereka, peguam tidak patut turun ke jalan raya dan memegang kain rentang. Peguam hanya perlu menegakkan undang-undang di dalam Mahkamah sahaja. Kami hanya perlu bantu orang ramai dengan mendapatkan keadilan untuk mereka melalui saluran undang-undang yang sedia ada. Ini adalah kerana, menurut mereka, aksi berhimpun itu sendiri adalah salah di sisi undang-undang.
Persoalannya, bagaimana pula jika undang-undang itu sendiri adalah menindas dan melanggar hak asasi manusia?
Sepanjang saya beramal sebagai peguam, seingat saya kejadian pada 31 Mac itu bukanlah pertama kali para peguam turun ke jalan untuk memprotes ketidakadilan, di dalam kapasiti mereka sebagai peguam. Pada tahun 2006, kira-kira 50 orang peguam telah berkumpul di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman membantah salah laku polis terhadap seorang peguam iaitu saudara Charles Hector. Pada ketika itu saya masih lagi seorang pelatih dalam kamar.
Kemudian, pada 26 September 2007, kira-kira 2000 peguam telah berarak dari Mahkamah Putrajaya ke Pejabat Perdana Menteri untuk menyerahkan memorandum membantah penyelewengan di dalam sistem kehakiman.
Pada 9 Disember 2007, empat orang peguam telah ditangkap, dimasukkan ke dalam lokap dan didakwa di Mahkamah Jenayah apabila mereka menyertai perarakan Hak Asasi Manusia dengan memegang kain rentang "Lawyers for Freedom of Assembly" sebagai tanda menyokong hak untuk berhimpun secara aman.
Pada 8 Mei 2009, kira-kira 200 peguam berhimpun di dalam Mahkamah Jalan Duta dan Balai Polis Brickfields untuk membantah penangkapan lima orang peguam daripada Pusat Bantuan Guaman Kuala Lumpur yang sedang menjalankan tugas.
Salut saya kepada peguam-peguam yang menyertai perhimpunan-perhimpunan di atas, kerana mereka benar-benar faham tentang apa itu hak berhimpun.
Di negara ini, kebanyakan tangkapan yang dibuat oleh pihak polis ketika perhimpunan atas alasan perhimpunan tersebut adalah perhimpunan haram dan tidak mendapat kebenaran daripada pihak polis.
Perhimpunan yang halal?
Persoalan seterusnya- wujudkah perhimpunan yang halal di negara ini?
Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa sesuatu perhimpunan adalah dibenarkan, selagi ianya adalah aman dan tidak bersenjata. Walau bagaimanapun, hak untuk berhimpun ini telah dikekang oleh Akta Polis 1967 dan Kanun Keseksaan. Di bawah Akta Polis, sekumpulan individu yang lebih daripada tiga orang harus meminta kebenaran atau permit daripada polis di daerah mana perhimpunan hendak diadakan. Akan tetapi, kebenaran itu tidak menjamin perhimpunan itu boleh dijalankan, kerana polis boleh membatalkan permit pada bila-bila masa sahaja walaupun kebenaran telah diberikan pada awalnya.
Secara peribadi, saya tidak menyokong dan membantah kaedah meminta kebenaran atau permit daripada polis ini. Kenapa?
Kerana Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama negara ini. Sepatutnya, sekiranya terdapat mana-mana undang-undang lain yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang itu adalah tidak sah atau terbatal. Akan tetapi nampaknya, di dalam banyak perkara, akta-akta seperti Akta Polis ini mengatasi segalanya. Padahal, Perlembagaan Persekutuan telah menjamin kebebasan asasi seperti hak berhimpun secara aman.
Artikel 20 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (yang telah dibentangkan buat pertama kali di Palais de Chaillot di Paris pada tahun 1948) adalah antara peruntukan terawal yang memberikan semua orang kebebasan untuk berhimpun dan berpersatuan secara aman. Artikel ini telah diadaptasi oleh banyak negara di dunia, termasuklah negara kita yang mengaplikasikannya di dalam Perlembagaan Persekutuan. Kebanyakan negara-negara tersebut benar-benar menjamin hak tersebut dan membenarkan perhimpunan secara aman, walaupun tanpa permit.
Maka persoalan saya yang seterusnya- perlukah kita meminta kebenaran untuk mengamalkan hak asasi kita sendiri?
Saya tidak menafikan bahawa memang wujud undang-undang yang menghalang perhimpunan tanpa permit. Saya juga tidak menafikan bahawa di dalam negara ini, perhimpunan lebih daripada tiga orang tanpa permit boleh dianggap sebagai satu perhimpunan haram mengikut undang-undang. Saya juga tidak menafikan bahawa sekiranya anda dan 38 orang kawan-kawan lain berada di dalam sebuah bilik hotel, anda adalah berkhalwat (maaf, saya sedang cuba menjadi kelakar).
Tetapi, hanya kerana saya seorang peguam atau pengamal undang-undang, patutkah saya berpaling kepada anda semua sambil berkata "perhimpunan yang lebih daripada tiga orang tanpa permit adalah salah di sisi undang-undang. Anda boleh didakwa di Mahkamah. Sila jangan lakukan." ?
Jawapannya, sudah tentu tidak. Saya juga percaya bahawa ramai rakan-rakan peguam saya yang lain yang juga percaya kepada hak asasi manusia, akan memberikan jawapan yang sama. Oleh yang demikian, kami akan berterusan memberikan pendidikan dan kesedaran undang-undang dan hak asasi kepada seberapa ramai orang yang boleh. Kami percaya kepada kebebasan dan hak asasi, dan kami juga percaya bahawa undang-undang yang menindas dan melanggar hak asasi manusia patut dimansuhkan.
Disebabkan itu, saya percaya bahawa adakalanya para peguam perlu mendekatkan diri dengan orang ramai, bukan sahaja dengan mewakili mereka di dalam Mahkamah, tetapi juga dengan berjuang bersama-sama mereka, berdiri sebelah-menyebelah atas nama perjuangan hak asasi manusia.
Maka saya juga percaya bahawa adakalanya, peguam juga perlu turun ke jalan raya.
*Puspawati Rosman ialah seorang peguam, ahli jawatankuasa Pusat Bantuan Guaman Selangor dan ahli Lawyers for Liberty (Peguam untuk Kebebasan).
HULU SELANGOR : Datuk Zaid Ibrahim (gambar) yang dipilih sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mewakili Pakatan Rakyat adalah tokoh yang telah teruji, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mana ada menteri Umno yang sanggup letak jawatan untuk pertahankan hak rakyat,” ujarnya yang mengumumkan Zaid sebagai calon PR dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini.
Pengumuman itu dibuat pada jam 11.00 malam ini di hadapan kira-kira 5,000 orang yang memenuhi Dewan Komuniti Serendah dan pekarangannya.
Zaid yang berucap selepas diberikan laluan oleh Anwar berkata, beliau menyedari dan menginsafi amanah yang dipikul itu sangat berat.
“(Tuan Guru) Nik Aziz sewaktu bercakap dengan saya minta kita semua bekerja untuk umat. Saya bukan asing di Selangor, saya tahu masalah orang Selangor, saya tahu masalah orang Hulu Selangor.
“Saya boleh menjadi suara untuk semua rakyat di sini,” ujarnya.
Berucap sebelum itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon PR yang ditonjolkan PKR itu.
“Saya mengarahkan seluruh jentera PAS seluruh kawasan Hulu Selangor turun padang dan bekerja keras. Calon yang dipilih adalah yang terbaik untuk bawa suara rakyat ke parlimen.
“Pilihan raya kecil ini medan rakyat untuk tegur kerajaan, rakyat perlu jadi hakim,” ujarnya.
Zaid yang dilahirkan pada 10 April 1951 di Kota Bharu adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri atas kapasiti senator yang pernah mencetuskan kontroversi apabila bertindak melepaskan jawatannya pada 15 September 2008 selepas beberapa bulan saja dilantik sebagai menteri ekoran tidak dapat menerima penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap pengamal media, orang awam dan ahli politik.
Dalam memperjuangkan isu-isu seperti ISA, Zaid di antara tokoh pemimpin Umno yang paling berani apabila mengirim surat terbuka kepada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Badawi di samping mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli Parlimen berhubung desakan memansuhkan akta tersebut.
Pada 3 Disember 2008, beliau dipecat daripada Umno ekoran beberapa tindakannya termasuk menghadiri perhimpunan parti pembangkang dan menyalahi peraturan parti.
Antaranya dilaporkan pernah menghadiri majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Stadium Melawati, Shah Alam.
Justeru Zaid menyertai PKR di Bangi, Selangor pada 13 Jun 2009.
Sehubungan itu, Anwar menyifatkan Zaid sebagai serius mempertahankan hak asasi dan kebebasan badan kehakiman di Malaysia dalam memperjuangkan isu hak asasi, kebebasan, proses demokrasi dan bebebasan badan kehakiman.
Sepanjang penglibatan Zaid bersama PKR, beliau dilihat sebagai tokoh amat komited dalam usaha merangka dasar bersama PR sehingga berjaya merapatkan lagi jurang pakatan yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP. -Hrkh.