Ikuti Blog ini

Surat terbuka yang tidak menggembirakan Tun Mahathir

Mungkin tidak ramai yang perasan, (termasuk Pegawai-Pegawai Kanan PDRM yang sedang berkhidmat mahupun yang seangkatan dengan saya dan telah bersara) bahawa ketika bertugas sebagai KJSJ Kuala Lumpur saya juga merupakan Ketua Pegawai Penyiasat yang menyelia dan menangani kes dakwaan salah guna kuasa terhadap YAB Perdana Menteri Malaysia ketika itu, YAB Dato Seri Dr. Mahathir Mohamed (Tun Mahathir) yang terbit daripada pendedahan yang dibuat oleh Dato Shafee Yahaya ketika memberi keterangannya di Mahkamah Tinggi (Civil) Kuala Lumpur, pada 12 Jun 2000. - Mat Zain bin Ibrahim

Kepada,

Yang Berbahagia Datin Kalsom Taib,
43 Persiaran Burhanuddin Helmi,
Taman Tun Dr. Ismail,
60000 Kuala Lumpur,
Malaysia.

YBhg Datin,

THE SHAFEE YAHAYA STORY – Estate Boy To ACA Chief.

Dengan penuh hormat takzim, saya menjemput Datin merujuk kepada buku hasil penulisan Datin bertajuk di atas (selepas daripada ini akan dirujuk sebagai Buku Tersebut) yang telah dilancarkan pada akhir July 2010 khususnya Bab 11, 12 dan 13. Sebagai pembuka kata saya menyusun sepuluh jari menuntut ampun dan maaf kepada Datin dan YBhg. Dato Shafee Yahaya serta keluarga sekiranya dalam surat terbuka ini kelak, terdapat kata-kata saya ataupun fakta dan keterangan yang saya bentangkan yang menyinggung perasaan Datin serta keluarga. Saya berharap Datin akan menerima penerangan saya ini dengan perasaan terbuka.

2. Nama saya Mat Zain bin Ibrahim seorang pesara Pegawai Kanan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berpangkat Senior Asisten Kommisioner II (SAC II) G/5776. Jawatan akhir saya ialah sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Kuala Lumpur yang saya sandang sejak Disember 1998 sehingga bersara pilihan sendiri pada akhir 2001. Saya lebih dikenali sebagai Ketua Pegawai Penyiasat kes “Mata-Lebam” satu insiden bersejarah di mana bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dibelasah oleh Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Abdul Rahim Noor (kes yang akan turut saya sentuh dalam Surat Terbuka ini kerana kaitannya dengan penulisan Datin dalam Buku Tersebut).

3. Mungkin tidak ramai yang perasan, (termasuk Pegawai-Pegawai Kanan PDRM yang sedang berkhidmat mahupun yang seangkatan dengan saya dan telah bersara) bahawa ketika bertugas sebagai KJSJ Kuala Lumpur saya juga merupakan Ketua Pegawai Penyiasat yang menyelia dan menangani kes dakwaan salah guna kuasa terhadap YAB Perdana Menteri Malaysia ketika itu, YAB Dato Seri Dr. Mahathir Mohamed (Tun Mahathir) yang terbit daripada pendedahan yang dibuat oleh Dato Shafee Yahaya ketika memberi keterangannya di Mahkamah Tinggi (Civil) Kuala Lumpur, pada 12 Jun 2000. Saya akan dedahkan apa yang sebenarnya berlaku dan apa yang Polis temui dalam penyiasatan kes ini dalam perenggan-perenggan yang akan menyusul nanti.

3.1. Untuk makluman Datin, selain daripada dua kes berprofil tinggi yang saya sebutkan di atas, saya juga adalah Ketua Pegawai Penyiasat yang menyelia dan menangani kesemua empat (4) laporan Polis yang dibuat oleh DSAI di antara 9 July 1999 hingga 20 Ogos 1999 ( ketika DSAI dalam penjara Sungai Buloh) berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan menghalang proses undang-undang terhadap Tun Mahathir, Tan Sri Mohtar Abdullah (Allahyarham) Peguam Negara ketika itu, dan Dato Abdul Gani Patail (kini Tan Sri Abdul Gani Patail, Peguam Negara). Laporan-laporan yang dibuat oleh DSAI ini adalah bersangkutan dengan penyiasatan dakwaan penyelewengan dan kesalahan rasuah melibatkan Tun Daim Zainuddin, Datuk Seri Rafidah Aziz (kini Tan Sri Rafidah), Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Tan Sri Eric Chia (mendiang).

PELANCARAN BUKU TERSEBUT


4. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datin yang berjaya menghasilkan suatu percetakan berkualiti tinggi Buku Tersebut. Sebenarnya saya telah mengetahui mengenai pelancaran Buku Tersebut menerusi laman blog Din Merican pada 26 July 2010. Namun saya hanya berkesempatan membelinya di Bookstore MPH, The Great Eastern Mall, beberapa hari sebelum Eidul Fitri ketika sedang menunggu waktu berbuka puasa bersama keluarga di salah sebuah restoran di situ. Untuk makluman Datin, saya tidak pernah mengenali Din Merican walaupun beliau sering menyebut nama saya dalam rencana-rencana beliau lebih-lebih lagi apabila membuat liputan berkaitan perbicaraan kes Datuk Ramli Yusuff, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM, dan juga seorang Peguam Rosli Dahlan. Seperti mana juga saya tidak pernah menemui atau berkenalan dengan Datin dan Dato Shafee Yahaya sendiri, saya juga tidak pernah kenal atau menemui Din Merican ataupun Peguam Rosli Dahlan walaupun Datuk Ramli Yusuff adalah sahabat saya yang saya kenali sejak dalam PDRM.

SURAT TERBUKA INI.

5. Saya berharap Datin terima bahawa saya tidak sekali-kali berhasrat untuk mempertikaikan, jauh sekali untuk memperkecilkan sejarah hidup Dato Shafee yang gemilang daripada seorang “Estate Boy to ACA Chief”. Tumpuan saya adalah terhadap fakta-fakta yang terkandung dalam Bab 11, 12 dan 13 Buku Tersebut oleh kerana ianya berkaitan dengan saya secara peribadi. Sama ada secara langsung ataupun menerusi pihak ketiga antaranya, Datuk Param Cumaraswamy atau pun Kim Quek (seperti mana terkandung dalam muka surat 273 hingga 287), Datin telah menyoal “What happened to the probe on Dr. Mahathir?”. Jika diselidik rekod PDRM berkaitan penyiasatan kes ini, ianya akan menjurus kepada saya oleh kerana saya adalah KJSJ Kuala Lumpur ketika itu, yang bertindak selaku Ketua Pegawai Penyiasat yang menyelia dan menangani kes tersebut. Adalah tidak adil kepada PDRM khasnya sekiranya saya berdiam diri kerana saya tahu perkara yang sebenarnya. Meminjam salah satu quotation yang Datin gunakan dalam Buku Tersebut; ”And mix not truth with falsehood, n or conceal the truth while you know (the truth)” Surah Al-Baqarah 2:24. saya akan berasa bersalah kepada PDRM dan juga kepada isteri dan anak-anak dan cucu-cucu saya jika saya tidak tampil menjelaskan perkara sebenar.

Laporan kepada YDH DIG Tan Sri Ismail Hj. Omar, atas sifat Timbalan Ketua Polis Negara (kini Ketua Polis Negara) dengan salinan kepada YB Dato Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri.

6. Sambil itu saya ingin Datin ketahui bahawa sebelum terbitnya Buku Tersebut saya ada mengemukakan satu laporan bertarikh 6 Mei 2010 atas tajuk “Dakwaan Pemalsuan Keterangan Dalam Siasatan Insiden Mata-Lebam 1998 Berkaitan Kecederaan Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) Ketika Dalam Tahanan Lokap Polis Bukit Aman:- Penyemakan Semula” yang dialamatkan persendirian kepada YDH Tan Sri Ismail Omar ketika itu Timbalan Ketua Polis Negara dengan salinannya dialamatkan persendirian kepada YB Dato Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri. Tan Sri Ismail Omar telah mengesahkan menerima surat saya berkenaan itu menerusi surat peribadi beliau kepada saya bertarikh 21hb Mei 2010.

6.1. Secara kebetulan dalam laporan saya tersebut itu, antara lainnya, saya telah menyentuh berkaitan penyiasatan terhadap Tun Mahathir, yang terbit daripada pendedahan yang dibuat oleh Dato Shafee Yahaya. Dalam Surat Terbuka ini, saya akan menyentuh sedikit sebanyak kandungan laporan saya kepada Tan Sri Ismail Omar itu bila mana berkenaan.

Siasatan terhadap Tun Mahathir terbit daripada pendedahan oleh Dato Shafee Yahaya.

7. Siasatan kes ini adalah bersandarkan laporan Polis Tun H.S.Lee Rpt: 14752/2000 yang dibuat oleh DSAI pada 13.6.2000. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 2 Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970. Perintah di bawah Seksyen 12 untuk menyiasat kes ini dikeluarkan oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya Dato’ Mohd. Zaki bin Mat Yasin.

7.1. Dalam laporan Polis ini, DSAI telah mengaitkan keterangan bersumpah Dato Shafee Yahaya yang dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12.6. 2000 yang membawa maksud bahawa Tun Mahathir telah menyalahgunakan kuasa serta menghalang proses keadilan dengan mengarahkan Dato Shafee Yahaya, ketika itu Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), menghentikan penyiasatan BPR terhadap Tan Sri Ali Abul Hassan bin Sulaiman yang pada masa material itu, adalah Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri.

7.2. Untuk makluman Datin selain daripada laporan yang dibuat oleh DSAI, terdapat sejumlah 14 laporan-laporan Polis yang lain dibuat antara 14.6.2000 hingga 22.7.2000. Terdapat laporan-laporan yang dibuat secara individu dan ada juga laporan-laporan di mana pengadu mendakwa mewakili beberapa ramai yang lain atau sesuatu kumpulan, malah ada yang menyertakan senarai nama dan tanda tangan mereka-mereka yang berkenaan. Hampir kesemua pengadu-pengadu berkenaan dikenalpasti sebagai ahli biasa atau memegang sesuatu jawatan dalam parti-parti politik pembangkang khasnya Parti Keadilan Nasional.

7.3. Antara mereka yang telah membuat laporan tersebut ialah Hj. Mahfuz Hj. Omar, Chua Tian Chang @ Tian Chua, Saifuddin Nasution Hj. Ismail, Mohamad Ezam bin Mohd Noor, Lokman Noor Adam, Rusalan Hj. Kassim, Badarulamin bin Bahron dan lain-lain. Kesemua pengadu menggesa pihak Polis dan Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan terhadap Tun Mahathir kerana telah menyalahgunakan kuasa dan menghalang proses keadilan.

7.4. Pegawai Penyiasat yang telah saya arahkan untuk merakamkan percakapan Dato Shafee di rumah Datin itu ialah Deputi Superintenden Narenasegaran (Naren) (sudi rujuk muka surat 324 Buku Tersebut di bawah tajuk “The aftermath”) (kini beliau berpangkat Asisten Kommisioner Polis bertugas sebagai KJSJ Pahang). Untuk makluman Datin, pegawai ini ada memaklumkan kepada saya betapa “simple dan humble serta peramahnya” Dato Shafee dan Datin ketika beliau berkunjung ke rumah Datin, untuk merakamkan sambungan percakapan Dato Shafee atas arahan saya itu. Mengenai salinan percakapan Dato Shafee pula, saya yang tidak membenarkan untuk diberi kepada Dato Shafee. Saya percaya Dato Shafee sendiri tahu peruntukan undang-undang dan peraturan mengenai perkara membekalkan percakapan saksi.

7.5. Terus terang saya menyatakan bahawa saya sendiri yang tidak berpuas hati dengan keterangan yang diberikan oleh Dato Shafee itu. Malahan Dato Shafee sendiri yang menyatakan bahawa memang TIDAK ADA ARAHAN SECARA LANGSUNG oleh Tun Mahathir untuk menutup atau menghentikan siasatan kes berkenaan. Namun begitu Dato Shafee ada menyatakan bahawa setiap perjumpaan dan teguran-teguran Tun Mahathir mengenainya, jika diambil secara keseluruhan akan membawa maksud bahawa Tun Mahathir mengarahkan beliau (Dato Shafee) menutup atau menghentikan penyiasatan terhadap Tan Sri Ali Abul. Dato Shafee mengesahkan bahawa perjumpaan beliau dengan Tun Mahathir adalah “on a one to one basis”. Oleh demikian tidak ada saksi bebas terhadap apa yang sebenarnya transpired antara mereka berdua. Dalam situasi ini, pembuktian dakwaan Dato Shafee akan bergantung kepada sejauh mana, atau apa yang dirakamkan/dicatatkan oleh Dato Shafee sendiri dalam diari atau fail berkaitan siasatan subjek dalam persoalan.

“Rampasan” Kertas Siasatan BPR.

7.6. Memadai untuk saya menyatakan bahawa dalam kesungguhan PDRM menyiasat kes ini, saya telah mendapatkan persetujuan dan kerjasama BPR untuk menyerahkan 2 kertas siasatan untuk penelitian saya iaitu;

7.6.1. Kertas Siasatan HQ/BPR/KS:23/7/98-disiasat oleh Penguasa BPR Abdul Halim Hj. Ibrahim (kemudian diambil alih siasatan oleh Penguasa BPR Tan Kang Sai). Kes ini adalah berkaitan dakwaan pembabitan Tan Sri Ali Abul Hassan dan seorang Dato (saya tidak menyebut namanya bagi mengelakkan sebarang tanggapan khilaf terhadap dirinya) yang ada kepentingan sendiri, projek pengswastaan Aktiviti Pemeriksaan Berkanun Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja.

7.6.2. Kertas Siasatan HQ/BPR/KS:20/6/98-disiasat oleh Encik Mohd. Jamidan bin Abdullah ketika itu Ketua Pentadbiran Siasatan BPR Malaysia. Kes ini adalah berkaitan dengan penggeledahan pejabat Ketua Pengarah UPE di mana RM100, 000.00 dijumpai dalam laci Tan Sri Ali Abul Hassan.

7.7. Untuk makluman Datin, penelitian ke atas kertas-kertas siasatan ini saya buat adalah semata-mata untuk mencari bukti dan keterangan, sama ada Dato Shafee ada membuat sebarang catatan atau arahan bertulis, yang menjurus ke arah kertas siasatan BPR terhadap Tan Sri Ali Abul ditutup atas arahan Tun Mahathir. Saya perlukan bukti ini sebelum saya membuat janjitemu untuk merakamkan percakapan Tun Mahathir sendiri dan bersemuka dengannya sekali lagi, seperti mana pernah saya lakukan pada 8.10.1998 ketika menyiasat kes “mata-lebam” (peristiwa mana yang akan saya sentuh dalam perenggan-perenggan yang akan menyusul).

7.8. Sambil itu mungkin Datin boleh mendapatkan pengesahan daripada Dato Shafee sendiri sepanjang beliau menjadi Ketua Pengarah BPR mulai 16.7.1994 sehingga 11.9.1998, berapa kali Pegawai Polis “merampas” kertas siasatan BPR.

“Jikalau kail panjang sejengkal”.

7.9. Saya percaya Datin boleh menerima hakikat bahawa Tun Mahathir bukan sembarangan orang. Apapun beliau adalah seorang Perdana Menteri, ketika siasatan tersebut dibuka terhadapnya. Ini tidak bermakna Polis takut merakamkan percakapan beliau. Saya sendiri pernah bersemuka dengan Tun Mahathir pada 8.10.1998, “on a one to one basis” dalam suasana yang lebih “tense” lagi ketika menyiasat kes mata-lebam tersebut. Sedikit pun saya tidak gentar kerana saya berbekalkan fakta-fakta yang benar dalam tangan saya, walaupun pada ketika itu saya sedar ada makhluk atau makhluk-makhluk yang telah cuba mempengaruhi Tun Mahathir untuk percaya bahawa kecederaan DSAI adalah “self-inflicted”.

Pada perjumpaan itu saya telah jelaskan kepada Tun Mahathir apa yang sebenarnya berlaku dan siapa yang “disyaki” melakukannnya oleh kerana siasatan masih di peringkat awal ketika itu. Yang pentingnya saya telah ketepikan sebarang tanggapan bahawa kecederaan DSAI tersebut disebabkan “self-inflicted” pada pertemuan itu. Yang lebih pentingnya apa yang “transpired” dalam pertemuan itu semuanya saya rakamkan dalam diari penyiasatan saya. Apa yang saya katakan kepada Tun Mahathir dan apa yang beliau katakan dan nasihatkan kepada saya, semuanya saya rakamkan.

Malahan apabila Tun Mahathir sekadar menganggukkan kepalanya tanda persetujuan kepada sesuatu cadangan saya pun telah dirakamkan dalam diari tersebut yang kekal dalam kertas siasatan kes mata-lebam sehingga hari ini. (Tidak keberatan untuk saya menyatakan bahawa ketika Pegawai-Pegawai SPRM merakamkan percakapan saya dalam minggu pertama July 2008, berkaitan laporan DSAI itu, beliau ada menyoal saya mengenai reaksi wajah Tun Mahathir ketika saya menemuinya pada 8.10.1998 itu. Dengan mudah saya merujukkan mereka kepada diari penyiasatan saya yang ada di hadapan Pegawai perakam tersebut).

Berkaitan siasatan terhadap Tun Mahathir ini pula bagaimana harus saya bersemuka dengan beliau jika saya tidak lengkapkan diri dahulu dengan fakta-fakta dan bukti yang terperinci dan padat sebelum merakamkan percakapan beliau yang masih seorang Perdana Menteri ketika itu. Seperti kata pepatah “Jikalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diharungi”. Alangkah mudah tugas Polis ketika itu jika Dato Shafee sendiri telah merakamkan atau mencatatkan arahan yang tepat dalam kertas siasatan-kertas siasatan yang berkaitan.

Sebenarnya itulah yang saya harap untuk temui ketika saya meneliti 2 kertas siasatan BPR tersebut. Malahan Dato Shafee mempunyai masa yang begitu banyak sejak 20.6.1998 hingga bersara pada 11.9.1998 untuk berbuat demikian dan tidak melepaskan tanggungjawab tersebut kepada Pegawai-Pegawai selepasnya oleh kerana Dato Shafee sendiri yang bersemuka dengan Tun Mahathir dalam isu ini dan tiada orang lain.

7.10. Untuk faedah Datin, saya perturunkan sebahagian daripada laporan saya bertarikh 9.11.2000 kepada Jabatan Peguam Negara berkaitan kes ini;

“Ketua Bahagian Pendakwaan,
Jabatan Peguam Negara,
Bangunan Bank Rakyat,
Kuala Lumpur.

………….

Para 5: RUMUSAN.

Setelah meneliti serta menimbangkan keterangan-keterangan yang terkumpul khasnya percakapan Dato Shafee Yahaya sendiri yang pada saya, telah dirakamkan dengan terperinci serta juga penelitian terhadap dua Kertas Siasatan BPR iaitu HQ/BPR/KS:23/7/98 dan HQ/BPR/KS:20/6/98 saya merumuskan kes ini seperti berikut:-

5.1.Anggapan Dato Shafee bahawa Perdana Menteri Dato Seri Dr. Mahathir Mohammad telah mengarahkan beliau untuk menutup kes siasatan terhadap Tan Sri Ali Abul Hassan bekas Ketua Pengarah EPU, lebih merupakan persepsi beliau sendiri. Tidak ada sebarang keterangan untuk menyokong persepsi dan andaian oleh kerana Dato Shafee sendiri tidak ada membuat sebarang catatan dalam mana-mana fail, diari atau dokumen-dokumen lain. Pertemuan Dato Shafee dengan YAB PM mengenai isu dalam persoalan ini dibuat atas dasar satu dengan satu (on a one to one basis). Oleh yang demikian apa juga transpired antara mereka hanya mereka sahaja yang privy kepada butir perbincangan.

5.2.Sekalipun Dato Shafee menyatakan yang beliau telah mentaklimatkan Tan Sri Ketua Setiausaha Negara mengenai apa yang berlaku ketika beliau berjumpa dengan Perdana Menteri ketika membincangkan kes dalam persoalan ini, percakapan Tan Sri KSN jikapun dirakamkan tidak mempunyai “evidential value” oleh kerana kesaksian Tan Sri KSN hanya berguna untuk mengesahkan sama ada benar Dato Shafee ada mentaklimatkan beliau mengenai perkara itu atau sebaliknya. Manakala keterangan mengenai apa yang sebenarnya yang dibincangkan atau yang diarahkan oleh PM kepada Dato Shafee akan merupakan keterangan “hearsay” sahaja.

5.3.Semakan serta penelitian ke atas kertas-kertas siasatan BPR HQ/BPR/KS 23/7/98 dan HQ/BPR/KS:20/6/98 mendapati tidak terdapat sebarang catatan dalam minit arahan ataupun diari penyiasatan pegawai-pegawai BPR yang terlibat dalam kedua-dua kes yang berkenaan, yang menjurus ke arah kes-kes berkenaan ditutup atau dihentikan atas arahan Perdana Menteri. Didapati penyiasatan yang rapi telah dijalankan dan telah mematuhi prosedur pengedaran yang sewajarnya.

5.4.Saya berpendapat siasatan ini jika diteruskan dan percakapan saksi-saksi seterusnya dirakamkan juga tidak akan berkesudahan dengan perolehan keterangan kukuh untuk apa-apa tindakan terhadap mana-mana pihak. Kebanyakan kesaksian yang akan diperolehi dijangka akan berbentuk “hearsay” atau tidak mempunyai nilai kesaksian yang baik. Dengan rendah diri, berdasarkan daripada hujah-hujah yang saya utarakan di atas, izinkan saya mencadangkan siasatan kes ini dihentikan setakat ini sahaja melainkan jika ada keterangan yang baru ataupun jika Dato Shafee sendiri membuat laporan Polis serta mengemukakan keterangan lain untuk menyokong dakwaannya. Pun begitu saya memohon nasihat YBhg. Datuk mengenai cadangan saya ini.

Salam sejahtera dan terima kasih.

Tanda tangan bertarikh:9.11.2000.

(Dato Mat Zain bin Ibrahim) SAC II,
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah,
Ibu Pejabat Polis Kontinjen,
Kuala Lumpur.”

Kenyataan tidak benar oleh Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Gani Patail berkaitan siasatan ke atas Tun Mahathir.

7.11. Saya merujuk kepada muka surat 281 Buku Tersebut dan perturunkan kenyataan akhbar Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Gani Patail seperti berikut;

The IGP confirmed that an investigation on Dr. Mahathir was carried out. (NST 9 April 2008)

“Our records show we had submitted the investigation papers to the AG Chambers on 15 February 2000. The decision made by the AG at that time (the late Tan Sri Mohtar Abdullah) was that there was no case.”

In The Star of the same date (9 April 2008), it was reported that Tan Sri Abdul Gani Patail confirmed,

“The Chambers received the investigation papers from the police sometime in February 2000 and after studying it carefully, found no evidence to suggest that Dr. Mahathir had interfered in the investigations”

7.12. Saya hanya boleh menyatakan bahawa kenyataan kedua-dua Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Gani Patail seperti di atas adalah tidak benar, tidak munasabah dan tidak masuk akal sama sekali. Adalah mustahil untuk kertas siasatan tersebut diedarkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 15 February 2000 sedangkan kertas siasatan berkenaan hanya dibuka pada 13 Jun 2000 bersandarkan kepada laporan polis Tun H.S.Lee Rpt:14752/2000 yang dibuat oleh DSAI pada tarikh tersebut. Malah kertas siasatan tersebut bersekali dengan kertas-kertas siasatan BPR yang dirampas, hanya diedarkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 9 November 2000.

7.13. Mungkin tarikh 15 February 2001 adalah lebih munasabah. Bagaimanapun jika Tan Sri Musa Hassan dan/atau Tan Sri Gani Patail mengubahnya kepada 15 February 2001 pula, ianya akan menjadi lebih tidak munasabah lagi. Oleh kerana pada 15 February 2001, Tan Sri Mohtar Abdullah yang dikatakan telah meneliti dan menutup kes tersebut telah TIDAK lagi menjadi Peguam Negara ketika itu, kerana tempat beliau telah digantikan oleh Datuk Ainum Mohammad Said pada 1 Januari 2001 (rujuk catatan Datin sendiri dalam muka surat 326 Buku Tersebut).

7.14. Mungkin juga atas sebab itu Tan Sri Musa Hassan dan/atau Tan Sri Gani Patail tidak tampil membuat pembetulan, lagi pun orang yang dikaitkan itu Tan Sri Mohtar Abdullah telah pun meninggal dunia. Orang yang telah meninggal dunia memang tidak boleh menjawab lagi. Mungkin mereka berdua lupa banyak lagi orang-orang yang masih hidup yang mengetahui perkara ini yang boleh mempersoalkan kenyataan mereka.

7.15. Mungkin sekiranya Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Gani Patail tidak membuat kenyataan yang tidak munasabah itu, kes ini tidak akan berpanjangan. Kenyataan merekalah yang telah membuka “flood-gates” untuk lebih banyak persoalan ditimbulkan mengenai kewibawaan PDRM menjalankan sesuatu penyiasatan. Malah kenyataan mereka berdua telah “undermine” penyiasatan Polis dalam kes ini, seperti mana juga mereka berdua sepakat memalsukan keterangan berkaitan laporan perubatan ke atas DSAI dalam penyiasatan kes “mata-lebam”, yang bukan sahaja mereka telah “undermine” siasatan tersebut malahan telah menyebabkan Sistem Keadilan Jenayah kita menjadi kucar-kacir sehingga hari ini.

Cadangan kepada Dato Shafee.

7.16. Walau bagaimanapun sekiranya Dato Shafee berhasrat untuk meneruskan dakwaannya terhadap Tun Mahathir, beliau boleh memilih untuk membuat laporan Polis yang baru untuk menyebabkan kertas siasatan tersebut dibuka semula. Saya percaya Dato Shafee sendiri maklum perkara ini. Lagi pun tidak ada sekatan masa untuk sesuatu laporan kesalahan jenayah dibuat sekalipun sesuatu salah laku jenayah berkenaan berlaku 12 tahun yang lalu. Tidak ada pihak yang boleh menghalang Dato Shafee jika beliau ingin berbuat demikian.

7.16.1. Cuma saya ingin memberi ingatan supaya Dato Shafee mengingati semula setiap perkataan/keterangan yang beliau telah berikan ketika memberi keterangan di Mahkamah pada 12.6.2000, percakapan dan sambungan percakapannya yang telah diberikan kepada Polis (lebih-lebih lagi beliau tidak memiliki salinan percakapan tersebut), laporan Polis baru jika dibuat dan keterangan-keterangan yang sedia ada dalam kertas-kertas siasatan yang berkaitan, supaya tidak berlaku pencanggahan yang material dalam keterangannya. Oleh kerana jika terdapat percanggahan yang material akan mendedahkan Dato Shafee sendiri kepada dakwaan memberi keterangan palsu. Saya percaya Dato Shafee sedar perkara ini. Apapun beliau harus “tepuk dada tanya seleranya sendiri”. Jika saya dipanggil untuk membantu penyiasatan, saya akan kekalkan posisi saya seperti mana yang saya dedahkan dalam Surat Terbuka ini.

Tiada campur tangan mana-mana pihak dalam penyiasatan kes ini.

8. Untuk faedah Datin juga, saya boleh mengesahkan di sini bahawa tidak ada sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak, sama ada daripada political masters, Pucuk Pimpinan Tertinggi PDRM atau Jabatan Peguam Negara ketika pasukan saya menangani siasatan kes terhadap Tun Mahathir ini. Malahan saya boleh menyatakan bahawa Pegawai-Pegawai BPR sendiri telah memberikan kerjasama mereka yang cukup baik ketika kami menangani isu ini. Secara kebetulan juga dalam laporan saya kepada Tan Sri Ismail pada 6.5.2010 itu, saya telah mengesahkan dalam perenggan 26 surat tersebut bahawa tidak ada campur tangan mana-mana pihak ketika saya menangani siasatan kes ini.

INSIDEN MATA-LEBAM

9. Memandangkan Datin juga nampaknya berminat dengan insiden mata-lebam ini, seperti mana yang terkandung dalam muka surat 311 dan 312 Buku Tersebut, saya berpendapat tidak salah untuk saya menjelaskan perkara ini dengan lebih mendalam lagi, to set the records straight, memandangkan saya terlibat secara langsung dalam penyiasatan kes ini sebagai Ketua Pegawai Penyiasat dan juga membantu kelicinan prosiding Suruhanjaya Di-Raja menyiasat peristiwa ini. Lagi pun ianya bukan lagi menjadi rahsia, bahkan saya pernah “mendedahkan” sebahagian peristiwa ini menerusi Pernyataan Tuntutan saya terhadap DSAI yang difailkan dalam Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11.8.2008. Malah beberapa dokumen saya, khasnya laporan lengkap saya bertarikh 15.4.2009 kepada Y.A.Bhg.Tun Abdul Hamid Mohamad, Pengerusi Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan salinannya kepada setiap seorang Ahli Lembaga Penasihat tersebut dan termasuk Pengerusi serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, berada dalam public domain setelah digunakan sebagai keterangan dalam perbicaraan DSAI dalam Sodomy II yang masih berjalan.

Laporan DSAI pada 1.7.2008.


10. Pada 1.7.2008 DSAI telah membuat Dang Wangi Rpt:22807/08.Dalam laporannya ini DSAI mendakwa Tan Sri Gani Patail, Tan Sri Musa Hassan, Dr. Abdul Rahman Yusof, seorang Forensic Consultant dari Hospital Besar Kuala Lumpur dan Dato Mat Zain Ibrahim (saya sendiri) selaku Pegawai Penyiasat kes mata-lebam, telah memalsukan keterangan berkaitan dengan laporan perubatan mengenai kecederaan beliau (DSAI) dalam penyiasatan kes mata-lebam tersebut.

10.1. Siasatan telah dijalankan oleh pihak Ibu Pejabat BPR (kemudiannya SPRM). Saya telah dipanggil memberi keterangan sekurang-kurangnya 5 kali di Ibu Pejabat SPRM termasuk pihak Penyiasat SPRM telah membuat “rampasan” dokumen-dokumen daripada kediaman saya pada 4.7.2008. Saya tidak membantah rampasan ini malah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Pegawai-Pegawai SPRM berkenaan, kerana saya tahu itu adalah tanggungjawab mereka selain daripada mereka bertindak secara sopan dan professional, seperti mana juga saya lakukan ketika membuat “rampasan” dua kertas siasatan BPR ketika menyiasat kes terhadap Tun Mahathir seperti yang saya jelaskan dalam perenggan-perenggan di atas.

10.2. Apa yang boleh saya katakan di sini ialah kesemua dokumen (yang saya sebagai pembikinnya) yang dirampas dari rumah saya adalah salinan yang sama yang terdapat dalam kertas siasatan kes mata-lebam itu sendiri. Ianya mengandungi keterangan-keterangan dan bukti yang padat yang bukan sahaja sekadar boleh “mengaitkan” seseorang, malahan jika dibaca bersama dengan laporan Suruhanjaya DiRaja menyiasat kes mata-lebam itu, boleh “mensabitkan” kesalahan mereka keterangan palsu terhadap mereka-mereka yang terlibat tanpa sebarang keraguan.

10.3. Namun begitu pada 11.3.2009 YB Dato Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah mengumumkan di Parlimen bahawa siasatan terhadap pengaduan DSAI pada 1.7.2008 tersebut telah selesai 2 bulan daripada tarikh laporan tersebut dibuat. Cuma pengumumannya dibuat pada tarikh berkenaan memandangkan kes tersebut sangat sensitif. Beliau juga turut mengumumkan bahawa satu Panel Bebas tiga orang terdiri daripada 2 orang mantan Hakim Mahkamah Persekutuan dan seorang mantan Hakim Mahkamah Rayuan telah dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya, bagi meneliti kertas siasatan SPRM berkaitan kes ini.

Beliau seterusnya mengumumkan bahawa Panel Bebas tersebut secara sebulat suara (3-0) mendapati Tan Sri Musa Hassan bersih daripada sebarang salah laku jenayah dalam siasatan tersebut. Manakala Panel Bebas sama secara majority (2-1) mendapati Tan Sri Gani Patail tidak terlibat dengan sebarang salah laku jenayah dalam siasatan sama.

Ini bermakna seorang daripada Ahli Panel Bebas tersebut mendapati ada keterangan untuk mengaitkan Tan Sri Gani Patail dengan perbuatan salah laku jenayah. Bagaimanapun kedua-dua Tan Sri Gani dan Tan Sri Musa diisytiharkan bersih (“cleared”) dari sebarang salah laku jenayah, manakala tidak ada sebutan mengenai nasib Dr. Rahman dan saya yang turut didakwa oleh DSAI dalam laporannya tersebut. Pengumuman ini seolah-olah mengesahkan bahawa laporan DSAI itu ada kebenarannya kerana Dr. Rahman dan saya tidak “dibersihkan” sekali dengan mereka berdua.

10.4. Saya berhak untuk merasa terkejut dan kecewa dengan keputusan ini lebih-lebih lagi selaku Ketua Pegawai Penyiasat kes mata-lebam tersebut saya tahu apa yang berlaku malah telah menyerahkan segala dokumen-dokumen bukti kepada Penyiasat SPRM.

10.5. Oleh hal demikian saya telah menulis surat bantahan rujukan: MZ/SULIT/5776/7 bertarikh 15.4.2009 kepada Pengerusi, Lembaga Penasihat SPRM iaitu Y.A.Bhg. Tun Abdul Hamid Mohamad, dengan salinannya kepada setiap seorang Ahli Lembaga Penasihat dan juga Pengerusi serta Ahli-ahli Jawatankuasa yang lain seperti Jawatan Kuasa Khas Mengenai Rasuah. Selain daripada mengemukakan hujah dan dokumen bukti, saya turut menjelaskan secara terperinci caramana pemalsuan keterangan tersebut dilakukan dan siapa yang melakukannya dan Pegawai mana yang bersubahat memberi kemudahan melakukan jenayah tersebut, seperti mana yang telah saya rakamkan dalam diari penyiasatan saya ketika menjalankan siasatan kes mata-lebam tersebut.

10.6. Selain daripada itu saya telah mempersoalkan kesahihan pelantikan Ahli-Ahli Panel Bebas tersebut sebagai Timbalan Pendakwa Raya oleh Peguam Cara Negara seperti yang diperuntukkan dalam Kanun Prosedur Jenayah (CPC). Saya telah menonjolkan bahawa Peguam Cara Negara TIDAK mempunyai hak atau kuasa untuk melantik Timbalan Pendakwa Raya (TPR) mengikut perbekalan dalam CPC. Peruntukan Seksyen 376(4) CPC adalah sangat jelas bahawa hak atau kuasa untuk melantik TPR terletak kepada Pendakwa Raya(dalam hal ini Tan Sri Gani Patail) dan kuasa tersebut hendaklah dijalankan oleh Pendakwa Raya sendiri. Oleh hal yang demikian pelantikan Panel Bebas seperti yang diumumkan oleh Menteri di JPM itu adalah tidak sah dan menjadikan keputusan yang mereka buat sebagai sia-sia. Ini bermakna pengisytiharan bahawa kedua-dua Tan Sri Gani dan Tan Sri Musa sebagai bebas daripada salah laku jenayah tidak boleh diterima pakai mengikut kefahaman saya.

10.7. Untuk pengetahuan Datin, Peguam Dato Param Cumaraswamy pun ada menulis surat bantahan kepada SPRM mempersoalkan isu pelantikan Panel Bebas ini.

10.8. Apa pun pada 23 July 2009 saya telah menerima surat balasan daripada Sekretariat Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang ditanda tangan sendiri oleh Y.A.Bhg. Tun Abdul Hamid Haji Mohamad. Saya merasa terkejut dimaklumkan secara bertulis bahawa bidang kuasa LPPR seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 13 Akta SPRM 2009 (Akta 694) TIDAK termasuk menyemak semula (review) sebarang keputusan yang telah dibuat oleh SPRM dalam sesuatu kes. Ini bermakna LPPR tidak boleh berbuat apa-apa sekalipun SPRM telah membuat sesuatu keputusan yang salah atau tidak mengikut undang-undang. Ini turut bermakna sekalipun LPPR sedar bahawa pelantikan Panel Bebas tersebut adalah tidak sah dari sisi undang-undang, LPPR terpaksa bersetuju menerimanya. Soal sama ada LPPR berpuas hati atau tidak dengan penyiasatan dan keputusan SPRM tidak timbul. Selepas daripada penerimaan surat LPPR sedemikian itu saya tidak menulis apa-apa suratan kepada LPPR lagi.

10.8.1. Saya berasa begitu ralat kerana di akhir laporan saya kepada LPPR itu saya merayu kepada Y.A.Bhg. Tun seperti diperturunkan;..

“Para 48.

Saya percaya Y.A.Bhg.Tun, serta Yang Berbahagia dan Yang Berhormat Pengerusi dan Ahli-Ahli pelbagai Panel SPRM tidak akan merelakan integriti Institusi penting Negara seperti Badan Kehakiman, Jabatan Peguam Negara, SPRM dan PDRM diletakkan dalam risiko kemusnahan semata-mata untuk menyelamatkan seseorang dikenakan hukuman jenayah. Saya merayu dan sesungguhnya yakin Y.A.Bhg. Tun akan memberi peluang pendengaran yang adil dan saksama kepada saya dan juga kepada pihak atau pihak-pihak yang dinamakan dalam perkara ini. Saya yakin Y.A.Bhg. Tun akan mempertimbangkannya bukan demi saya seorang, tetapi demi Keluhuran dan Kedaulatan Undang-Undang Negara dan demi Keadilan Awam itu sendiri. Salam sejahtera.

Yang benar,

t.t.bertarikh:15 April 2009.

(Mat Zain bin Ibrahim)”

10.9. Namun begitu saya tidak putus asa dalam mengenengahkan kebenaran ini. Dalam surat saya kepada YDH Tan Sri Ismail Omar, dalam perenggan 11, saya telah membuat “pengisytiharan” yang berbunyi antaranya;

“Tanpa terpengaruh dengan pendapat pihak-pihak lain mengenai laporan DSAI tersebut sama ada telah dibuat secara rasmi atau sebaliknya, saya, selaku Pegawai Penyiasat kes mata-lebam tersebut yang mempunyai pengetahuan mendalam kes ini mendedahkan pendapat saya mengenainya seperti berikut di bawah;

a)Bahawa dakwaan DSAI menyatakan berlakunya perbuatan memalsukan keterangan berkaitan laporan kecederaan ke atas dirinya dalam penyiasatan kes mata-lebam adalah benar dan betul berlaku.

b)Bahawa terdapat sejumlah 3 (tiga) laporan perubatan yang telah dipalsukan iaitu;…….”

10.9.1. Saya turut mengisytiharkan bahawa saya serta Pegawai-Pegawai dalam Pasukan Penyiasat Khas kes tersebut dan juga pucuk pimpinan PDRM ketika itu tidak pernah mensubahati Tan Sri Gani Patail dalam memalsukan keterangan terhadap DSAI. Malahan saya menjelaskan bahawa saya telah mengambil segala langkah yang perlu (yang dirakamkan dalam diari penyiasatan saya) untuk menasihati dan menghalang beliau daripada melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang dalam penyiasatan kes mata lebam tersebut. Saya telah menasihatkan beliau ketika itu, posisi Dr. Rahman yang sedang dalam siasatan Polis berkaitan satu kes ugutan jenayah ke atas seorang Dr. Abdul Halim Mansar (gambar) yang merupakan Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur yang mula-mula menyediakan laporan kecederaan ke atas DSAI atas permintaan rasmi saya, dan penggunaan Dr. Rahman menyediakan laporan perubatan bertentangan dengan apa yang telah disediakan oleh Dr. Halim, akan menyebabkan “complications” pada kemudian hari.

Rupa-rupanya Tan Sri Gani Patail telah mengambil kesempatan posisi Dr. Rahman sedemikian itu untuk mengarahkannya menyediakan sejumlah tiga (3) laporan palsu berlainan berkaitan kecederaan DSAI dalam insiden mata-lebam tersebut. Sekiranya terdapat mana-mana Pegawai Polis yang telah bersubahat atau memberi kemudahan kepada beliau melakukan pemalsuan tersebut, maka Pegawai Polis berkenaan telah melakukannya atas sifat peribadi untuk kepentingan dan faedah persendirian Pegawai berkenaan yang tidak ada kena mengena dengan pendirian PDRM menangani siasatan kes mata-lebam ini.

Penggunaan keterangan palsu dalam perbicaraan Sodomy II.

11. Dalam surat saya kepada Tan Sri Ismail itu juga saya telah memberi “isyarat awal” berkaitan pemerhatian saya mengenai penggunaan keterangan palsu dalam perbicaraan Sodomy II yang sedang berjalan. Keterangan palsu/tidak benar itu adalah dalam bentuk dua afidavit yang diikrarkan pada 30.6.2009 oleh dua Pegawai Jabatan Peguam Negara bagi pihak Pendakwa Raya. Perkara ini bukan rahsia kerana DSAI sendiri telah membuat laporan Polis Travers Rpt:5160/09 pada 21.7.2009 dan membuat kenyataan akhbar mengenai laporan ini terhadap, Dato Abdul Razak Musa Pengarah Pendakwaan dan Perundangan SPRM dan Timbalan Pendakwa Raya Hanafiah Hj. Zakaria dari Jabatan Peguam Negara, seorang Ahli dalam Pasukan Pendakwaan kes Sodomy II.

Berpeluang meneliti kandungan dokumen-dokumen tersebut yang berada dalam public domain itu, serta mengetahui perkara subjek yang terkandung dalam laporan Suruhanjaya DiRaja berkaitan, saya berpendapat yang dakwaan DSAI ada kebenarannya walaupun saya tidak mempunyai akses lagi untuk mengetahui hasil siasatan berkaitan laporan tersebut. Saya memberikan isyarat awal ini adalah untuk PDRM mengambil langkah berjaga-jaga supaya tidak dijadikan “scape-goat” sekiranya sesuatu yang buruk berlaku dalam pendakwaan Sodomy II seperti mana yang menimpa PDRM dan saya dalam penyiasatan kes mata-lebam.

12. Hari ini pula, ketika saya sedang menulis Surat Terbuka ini kepada Datin, tersiar pula secara meluas dalam akhbar-akhbar dan blogs mengenai seorang Rahimi Osman yang disenaraikan sebagai seorang saksi pembelaan, menghebahkan pula yang beliau dipaksa membuat Statutory Declaration (SD) untuk mengaitkan Dato Seri Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes Sodomy II, yang melibatkan sahabat beliau Mohd. Saiful Bukhari Azlan dua tahun lalu. Dilaporkan pula kononnya Rahimi Osman telah membuat SD yang baru pula. Ini mengingatkan kita kepada apa yang dilakukan oleh Private Investigator Bala dalam kes bunuh Altantuya.

12.1. Apa sudah jadi dengan Sistem Keadilan Jenayah kita? Seolah-olah BAB XI dalam Kanun Kesiksaan berkaitan Keterangan Palsu dan Kesalahan-Kesalahan Terhadap Keadilan Awam tidak wujud lagi. Siapa yang sepatutnya dipersalahkan? Siapa yang menyebabkan Sistem Keadilan Jenayah kita menjadi kucar-kacir, sehinggakan sesiapa juga boleh mempermain-mainkannya tanpa takut kepada sebarang tindakan dan hukuman undang-undang. Saya tidak teragak-agak untuk menyatakan bahawa keadaan ini berpunca daripada “precedent” yang dibuat oleh Tan Sri Gani Patail dan Tan Sri Musa Hassan sendiri.

Jika mereka boleh merekacipta keterangan palsu dan menggunakan dua daripada tiga laporan yang dipalsukan itu pula dalam prosiding kehakiman Suruhanjaya DiRaja, dan kemudian mendabik dada mengatakan mereka bersih daripada sebarang salah laku jenayah; jika Tan Sri Musa boleh memberi keterangan palsu dalam perbicaraan dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur seperti yang dilaporkan oleh seorang Penggubal Undang-Undang YB R. Sivarasa dalam bulan Mac tahun ini, dan tiada tindakan dikenakan; jika Tan Sri Musa Hassan boleh mengemukakan Pernyataan Tuntutan yang tidak benar dalam samannya terhadap DSAI serta menuntut berjuta Ringgit sebagai ganti rugi pula dan menayangkan pula saman tersebut kepada dunia, maka P.I. Bala dan Rahimi Osman juga tidak bimbang akan tindakan undang-undang terhadap mereka.

Cuma yang tidak bernasib baik, mungkin Brig. Gen (B) Datuk Mohamad Yasin Yahya bekas Panglima Briged Sabah (saya juga tidak pernah mengenali beliau) yang telah berpuluh tahun menabur keringatnya mempertahankan kedaulatan Negara, akhirnya diaibkan dengan dituduh memberi keterangan palsu (walaupun kemudiannya didapati tidak bersalah) ketika memberi keterangan di Mahkamah melibatkan satu kes Dato Ramli Yusuff.

13. Memandangkan keadaan terbaru ini, mungkin Dato Shafee ingin menimbangkan semula cadangan saya di perenggan 7.16 dan 7.16.1 dalam Surat Terbuka ini.

14. Berbalik kepada laporan saya kepada YDH IGP Tan Sri Ismail Omar pula, kini terserah kepada budi bicara beliau untuk mengambil posisi beliau dalam hal ini, dan lain-lain isu yang saya dedahkan dalam laporan saya kepada beliau bagi memelihara kewibawaan dan keberkecualian serta imej PDRM yang tercemar teruk sejak 2006. Saya yakin YDH Tan Sri akan melakukan sesuatu. Untuk faedah Datin dan juga pembaca lain yang mungkin berminat membaca Surat Terbuka ini, saya telah akhiri laporan saya kepada Tan Sri Ismail Omar tersebut itu seperti diperturunkan di bawah;

“Para 32.

Saya berharap laporan yang saya kemukakan ini tidak menambahkan bebanan masalah yang berada dalam tangan Tan Sri sekarang ini. Saya sedar siapa saya dan kedudukan saya dalam masyarakat dan saya turut sedar dengan siapa saya berhadapan dan apa yang boleh berlaku ke atas diri saya dan keluarga dengan pendedahan yang saya tonjolkan dalam laporan ini. Namun begitu saya turut yakin sebilangan besar rakyat dan pemimpin Kerajaan khasnya dalam PDRM yang cintakan keluhuran undang-undang dan keadilan.

Pada ketika saya berpangkat ACP/SAC II, saya telah dilonggokkan dengan keterangan dan bukti daripada Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara, Pengarah-Pengarah dan Pemimpin Tertinggi Polis serta Pegawai sehingga anggota berpangkat Konstabel mengenai peristiwa insiden mata-lebam. Dengan bahan-bahan tersebut saya diminta untuk membuat keputusan sendiri dan seorang diri sama ada memilih menyelamatkan maruah PDRM ataupun menyelamat TSRN.

Dengan sedih saya memilih untuk mencadangkan TSRN, seorang yang saya sanjung tinggi sebagai seorang ketua, sahabat dan juga kawan keluarga dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Saya Cuma berharap saya telah melakukan sesuatu yang saksama kepada beliau. Kini saya memohon maaf kerana melonggokkan pula bahan serupa dan meletakkan Tan Sri di dalam situasi yang sama, yang saya berada 12 tahun lalu. Saya turut berharap situasi yang kita alami adalah yang terakhir buat PDRM.

Para 33.

Akhirkata saya mendoakan Tan Sri sentiasa berada dalam kesejahteraan dan kesihatan untuk seterusnya memimpin Pasukan Polis Di Raja Malaysia ke arah kecemelangan dan kegemilangan serta dihormati seperti mana yang pernah dinikmati dalam era sebelum 2006.

Wassalam.

Bth:6 Mei 2010.

PENUTUP

15. Saya sedar bahawa Surat Terbuka saya ini akan mengundang respon yang positif dan juga negatif. Sesiapa pun mempunyai hak untuk meluahkan pendapatnya dan saya bersedia menerimanya dengan fikiran terbuka. Apa pun saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya mengenai penulisan saya ini. Saya sedar akan risiko dan konsekuennya.

16. Saya akan mengirimkan salinan pertama menerusi email kepada Datin, manakala salinan yang mengandungi tanda tangan saya, akan dikirim pos.

17. Sekali lagi saya menyusun sepuluh jari memohon jutaan maaf jika terdapat kata-kata saya yang menyinggung perasaan Datin. Salam hormat saya buat Dato Shafee Yahaya dan keluarga.

Terima Kasih ikhlas saya kepada Y.Bhg. Datin kerana memberi semangat kepada saya dengan menonjolkan Surah Al Baqarah 2:24; “And mix not truth with falsehood, nor conceal the truth while you know (the truth). Sempena dengan hari terakhir Syawal yang mulia ini saya sekeluarga mengucapkan Selamat Eidul Fitri, maaf zahir dan batin untuk YBhg. Datin sekeluarga.

Wassalam.

Yang Benar,

t.t

(MAT ZAIN BIN IBRAHIM)
8 hb Oktober 2010.

Tangkap Dan Siasat Gani Patail Segera

Mat Zain gesa Putrajaya tubuh suruhanjaya diraja siasat A-G

KUALA LUMPUR — Kerajaan perlu menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat peguam negara dan bekas ketua polis negara, yang tindakan mereka didakwa telah menghakis keyakinan rakyat ke atas institusi pendakwaan dan penyiasatan, kata bekas pegawai polis Datuk Mat Zain Ibrahim.

Mat Zain berkata kesalahan-kesalahan yang didakwa melibatkan Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) dan Tan Sri Musa Hassan terhadap keadilan awam “adalah terlalu besar untuk dimaafkan.”

“Kesalahan-kesalahan mereka sama ada dilakukan berasingan atau dengan niat bersama telah memberi kesan parah yang mendalam dan jangka panjang terhadap sistem keadilan jenayah negara.

“Malah tindakan mereka berdua telah memusnahkan keyakinan rakyat, bukan sahaja terhadap Polis Diraja Malaysia, malahan terhadap Jabatan Peguam Negara sendiri,” kata beliau dalam surat terbuka terbaru dihantar kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, yang diedarkan kepada media hari ini.

Bekas ketua polis Kuala Lumpur itu yang pernah menulis beberapa surat terbuka kepada Ismail berhubung siasatan dan proses pendakwaan berkaitan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim 12 tahun lalu termasuk insiden mata lebam berkata, beliau berpendapat demi keadilan awam sendiri, Ismail selaku Ketua Polis Negara yang baru perlu membawa syor diadakan suruhanjaya siasatan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“... supaya suruhanjaya diraja siasatan atau satu tribunal dibentuk menyiasat dakwaan ini secara telus dan menyeluruh serta 'once and for all'.

“Jika fakta-faktanya dibentangkan kepada beliau secara jujur dan teratur, saya yakin YAB Perdana Menteri tidak akan menghampakan rakyat,” katanya lagi.

Musa merupakan pegawai penyiasat ketika kes Anwar muncul pada 1998 manakala Gani pula anggota pasukan pendakwaan.

Kedua-dua mereka kemudian mengetuai polis dan Jabatan Peguam Negara.

Dalam hubungan ini, Mat Zain berkata, apapun tanggungjawab dan pendirian polis menyiasat sesuatu kes jenayah itu walau berapa lama pun telah berlaku, wajar dikekalkan.

“Walaupun kesalahan-kesalahan jenayah Gani dan Musa didakwa berlaku 12 tahun lalu, tidak bermakna yang ia boleh dilupakan begitu sahaja atau 'swept under the carpet',” katanya sambil merujuk kepada peruntukan tiada sekatan masa untuk sesuatu kes jenayah itu disiasat secara terperinci.

Contoh terbaik boleh dijadikan sandaran kata beliau, ialah kes bunuh beramai-ramai di Batang Kali pada 1948 dan kerajaan telah menyatakan persetujuan untuk menyiasatnya pada 1993.

“Sekiranya dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai Batang Kali 1948 telah memusnahkan nyawa 24 orang tempatan, insiden keruntuhan Highland Towers 1993 pula mengorbankan 48 orang, perbuatan Gani dan Musa sejak 1998 telah memusnahkan keseluruhan sistem keadilan jenayah negara.

“Sekiranya tidak ditangani dengan telus dan menyeluruh, rakyat akan mengungkitnya selama mana rakyat mengungkit tragedi Batang,” katanya.

Dalam suratnya Mat Zain berkata, sejak dua minggu ini orang ramai nampaknya bertambah lantang mengecam dan mengutuk tentang cara polis menangani isu video lucah yang dikatakan melibatkan Anwar.

“Malahan terdapat mereka dengan secara terbuka dan berani mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah terhadap pucuk pimpinan polis.

“Melihat tindak tanduk dan kenyataan umum yang dibuat oleh polis sendiri, dan diperbesarkan oleh media, kita tidak dapat menyalahkan rakyat jika berpendirian sedemikian,” katanya lagi.

Secara peribadi kata Mat Zain, beliau merasakan polis terlalu menurut karenah Peguam Negara seolah tidak bebas bertindak sendiri.

Katanya, “sebagai seorang pesara yang mengetahui sedikit sebanyak asal usul isu dalam persoalan, saya berasa sedih dan khuatir sejarah lama akan berulang dan pisang akan berbuah dua kali. -TMI

Malaysia dilihat di dalam banyak hal mengikut telunjuk Peguam Negara yang seorang ini yang nampaknya kian hari kian mencengkam untuk melaksanakan agenda-agenda yang hanya dia dan Allah s.w.t saja yang tahu.

Beliau sangat berkuasa di dalam menentukan apa yang perlu dibuat dan apa yang tidak perlu dibuat oleh kerajaan sekalipun apa yang disampaikan sebenarnya hanya untuk kepentingan-kepentingan tertentu.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail dikenali oleh rakyat Malaysia sebagai manusia paling hina yang pernah dimiliki oleh negara. Beliau selama ini bertindak seperti beliau seorang Maharaja Paling Berkuasa, memperbodohkan Perdana Menteri dan kabinet serta rakyat seluruhnya dengan melepaskan perahsuah-perahsuah negara serta menakut-nakutkan hakim-hakim dengan bertindak sebagai Pendakwa Raya untuk meminta mahkamah supaya rakyat yang dipandangnya sebagai ancaman kepada pemerintah dihalang daripada diikatjamin. -GB

TGNA: Dunia Lebih Aman Tanpa UMNO-BN Berbanding Tanpa Osama

Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa dalam konteks Malaysia, dunia lebih aman tanpa Umno-Barisan Nasional (BN).

“Kalau tak ada Umno dan BN, dunia akan lebih aman berbanding kematian Osama (ben Laden),” kata beliau kepada pemberita dipejabatnya di sini kelmarin.

Ujar beliau, “Umno tolak Islam, sedangkan kita orang Islam perlu membela agama Islam. Tetapi Umno suka apabila ada orang Islam mati dibunuh musuh Islam.

Tidak timbul soal pengganas dalam hal kematian Osama. Sepatutnya kita berdoa sekiranya mengetahui ada orang Islam meninggal dunia,” kata beliau yang Mursyidul Am PAS.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam reaksi spontan ekoran terbunuhnya Osama dilaporkan menyebut dunia akan lebih aman, selamat dan adil berikutan kematian Osama.

Kata Nik Aziz, sekiranya Osama benar-benar dibunuh seperti diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Barrack Husain Obama, beliau mendoakan rahmat Allah ke atas rohnya dan keampunan Allah swt buat Osama.

“Sebesar mana pun kesalahan seorang Muslim, jika ia mati dalam agamanya Islam, keampunan terhadapnya harus dipohon oleh saudara Muslim yang lain.

“Adapun keterlibatan Osama dengan keganasan, saya serahkan kepada Allah kerana ia masih belum terbukti melainkan melalui propaganda yang dipelopori oleh Barat,” terang beliau. -FMT

Rosmah tokoh wanita baik untuk dicontohi?

Saya tersedak dan kemudian tersenyum selepas mendengar Rosmah dikatakan sebagai contoh wanita terbaik seperti yang dipaparkan oleh ASTRO Awani semalam. Bukan kerana setuju atau bangga tetapi kerana kebingungan sambil terasa loya secara tiba-tiba. Selepas meneliti paparan berita online di Bernama.com pagi ini, ia dikhususkan melalui perbandingan dengan isteri-isteri pemimpin dunia. Mungkin betul maksud isi hati saya pada mulanya jika ia hanya diperbandingkan dengan sebahagian isteri-isteri pemimpin dunia yang hadir di Sidang Kemuncak Wanita Global 2011 semalam.

Mungkin juga tidak jika ketokohan suami Emine Erdogan yang juga hadir di Sidang Kemuncak itu iaitu Recep Tayyip Erdogan diambil kira berbanding Datuk Seri Najib Razak, mungkin calon yang lebih sesuai dikatakan sebagai tokoh wanita yang harus dicontohi berbanding isteri-isteri pemimpin dunia yang lain khususnya Rosmah, lebih-lebih lagi penganjuran Sidang Kemuncak itu diadakan di Turki dan beliau, Emine Erdogan adalah tuan rumah kepada Sidang Kemuncak itu.

Kita pasti ingat bagaimana Perdana Menteri Turki itu, di World Economic Forum bertikam lidah dengan Simon Peres Perdana Menteri Israel sambil menjerit “You’re killing people!” dan kemudian terus meninggalkan pentas itu sambil diberi tepukan gemuruh oleh para hadirin. Saya tidak melihat ketegasan seperti itu datangnya dari Datuk Seri Najib Razak khususnya pandangan tegas beliau ke atas polisi jahat Israel di bumi Palestin sehingga ke hari ini.

Faktor itu jika diambil kira, termasuk kewajipan Rosmah sebagai seorang muslim untuk memenuhi tuntutan dari Allah S.W.T dalam urusan menutup aurat, secara peribadi saya tidak akan bersetuju atau sependapat dengan Irene Natividad, Presiden Sidang Kemuncak Wanita Global 2011 untuk melabelkan Rosmah sebagai tokoh yang baik untuk dicontohi khususnya kepada wanita ISLAM di seluruh dunia termasuk menggelarkan beliau sebagai Wanita Pertama Negara sedangkan gelaran itu hanya berhak disandang oleh Raja Permaisuri Agong. -Hrkh

PAS Tidak Angkuh, Tetapi UMNO Terlalu Zalim, Dulu Kini Dan Selamanya

Siapa Pengkhianat Islam?
Oleh Nasrudin Hassan at Tantawi

1. Mereka yang menghalang penyatuan UMNO dan PAS digelar pengkhianat Islam oleh Mufti Perlis. Sekilas pandang, siapa jua yang menghalang usaha penyatuan adalah pengkhianat. Justeru penyatuan secara asasnya adalah suci malah dituntut.

Tiada siapa yang mahu berpecah dan berpisah tanpa sebarang sebab atau alasan yang kukuh. Tetapi apabila bercakap soal penyatuan antara PAS dan UMNO, saya sarankan sohibus samahah Mufti Perlis mengkaji terlebih dahulu secara mendalam dan teliti.

2. Antara PAS dan UMNO jangan hanya dilihat pada bangsa dan warna kulit semata - mata lalu disogok agenda penyatuan bangsa melayu. Sebaliknya perlu dilihat bagaimana pula sikap kedua - dua parti melayu itu [PAS dan UMNO] terhadap Islam. Sikap terhadap Islam dan bagaimana mereka menanggapi Islam adalah kayu ukur yang paling penting untuk bercakap soal penyatuan antara kedua parti ini.

3. Sungguhpun Islam menggalakkan malah menyuruh supaya ummatnya bersatu padu, namun Islam meletakkan syarat serta garis panduan yang jelas bagaimana penyatuan itu wajar dilakukan atau sebaliknya. Antaranya Firman Allah yang bermaksud :

Wahai orang - orang yang beriman, bertaqwalah kamu dengan sebenar - benar taqwa dan jangan kamu mati melainkan kamu tunduk menyerah diri kepada Allah swt. dan berpegang teguhlah kamu dengan Tali Allah dan jangan sekali - kali kamu berpecah belah dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika dulunya kamu saling bermusuhan maka Allah telah menyatukan hati - hati kamu, lalu dengan nikmat Allah itu kamu bersaudara sedang kamu telah berada di jurang api neraka, lantas Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah dijelaskan oleh Allah kepada kamu ayat - ayatNya, mudah - mudahan kamu beroleh petunjuk.

Surah Aali Imran 103

4. Ayat di atas jelas meletakkan syarat utama untuk tidak berpecah belah ialah berpegang teguh dengan Tali Allah iaitu Al Quran atau Al Islam bukan bangsa atau warna kulit jauh sekali harta benda, pengaruh dan pangkat. Lantaran penyatuan manusia adalah melibatkan penyatuan hati dan hati tidak boleh dijinakkan dengan harta benda dunia. Firman Allah swt yang bermaksud :

Dialah [Allah] yang telah menyatukan antara hati - hati mereka. sekiranya engkau membelanjakan keseluruhan apa yang ada di atas muka bumi ini, nescaya engkau tidak boleh menyatukan hati - hati mereka akan tetapi Allah swt telah menyatukan antara mereka sesungguhnya Ia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Surah al Anfaal 63

5. Islam adalah asas penyatuan. Tanpa Islam bagaimana mungkin penyatuan itu boleh direalisasikan. Sementara kebajikan dan taqwa pula menjadi objektif utama kepada penyatuan yang dianjurkan oleh syariah. Firman Allah swt yang bermaksud :

dan bertolong bantulah kamu dalam perkara yang membawa kepada kebajikan dan taqwa dan jangan kamu bertolong bantu dalam perkara yang mengundang dosa dan permusuhan. Bertaqwalah kepada Allah swt sesungguhnya balasan Allah sangat dahsyat.

Surah al Maaidah 2

6. Ayat di atas pula bukan sahaja menyuruh kita bertolong bantu, bekerja sama dan bersatu padu untuk melakukan amal kebajikan dan bertaqwa kepada Allah [ dengan melaksanakan apa yang diperintah oleh Allah swt dan meninggalkan apa jua yang telah dilarang oleh Allah swt.] tetapi nas di atas juga melarang sebarang kerjasama dan penyatuan yang menumbuhkan bibit dosa serta menyuburkan permusuhan sesama ummat manusia.

7. Penyatuan antara PAS dan UMNO mesti disokong malah wajib diusahakan jika ianya berteraskan Islam dan berobjektifkan taqwa kepada Allah swt. Pengusahanya dijulang dan penyokongnya dialu - alukan. Sementara penentangnya adalah jahat dan pengkhianat.

8. Sebaliknya penyatuan antara PAS dan UMNO tidak boleh dilaksanakan jika ianya tidak diasaskan kepada Islam dan pula berobjektifkan dosa kepada Allah swt. Pengusahanya dilarang dan penyokongnya pula sia - sia. Sementara penentangnya pula adalah hebat dan berwibawa.

9. Bahkan kerjasama yang disertai PAS bersama Pakatan Rakyat adalah kerana Islam dan ianya dilandaskan di atas konsep Tahaaluf Siasi [kerjasama politik] untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional guna menamatkan siri penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, kezaliman, penindasan yang dilakukan oleh Barisan Nasional sejak lebih 50 tahun yang lalu.

10. Tanpa perlu membuang masa lagi, saya mengundang UMNO meninggalkan Barisan Nasional dan meninggalkan segala perbuatan mungkar demi masa depan agama, rakyat dan negara. Ayuh kita bersatu dan bersama dengan Pakatan Rakyat untuk membina masa depan dan peradaban baru yang lebih dinamis, jauh dari pengaruh mungkar yang dimurkai oleh Allah swt. Pengusaha yang gigih untuk menamatkan siri keangkuhan kuasa dan sombong dengan dosa yang dilakukan oleh mereka adalah pejuang sementara Penentang usaha inilah pengkhianat Islam !



Mufti Perlis kecewa 'keangkuhan' PAS

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menyatakan kekecewaannya terhadap sikap PAS yang disifatkannya "terlalu angkuh" untuk menerima ajakan Umno untuk duduk semeja.

Katanya, PAS tetap menolaknya walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri tampil membuat pelawaan itu secara terbuka.

"(Saya) kecewa dengan PAS terlalu angkuh nak terima ajakan Umno hendak duduk semeja. Najib sudah jelaskan jemputan (secara) terbuka.

"PAS parti besar, (mereka) tidak patut tenggelam dalam nostalgia dan emosi lama," katanya.

Melalui SMS kepada Malaysiakini daripada Arab Saudi semalam, Mufti termuda di Malaysia itu juga berkata golongan ulama bersedia menjadi pemudahcara dalam program pertemuan kedua-dua parti Melayu terbesar itu.

Utusan Malaysia semalam melaporkan di muka depan, Dr Juanda menyifatkan pihak yang menentang penyatuan antara Umno dan PAS sebagai pengkhianat Islam dan boleh dianggap pendukung fikrah Khawarij yang amat bencikan kesatuan.

Beliau dilaporkan berkata, penyatuan kedua-dua parti itu sebenarnya wajib, khususnya untuk kekuatan Islam.

Menjelaskan lanjut kepada Malaysiakini pada hari yang sama, Dr Juanda menjelaskan gesaan penyatuan yang diutarakannya bukanlah bermaksud kedua-duanya perlu bergabung sebagai satu parti.

Sebaliknya, menurut Juanda, ia merupakan penyatuan dalam erti kata kerjasama dalam urusan kepentingan Islam dan negara, antaranya dengan kurang memaki sesama sendiri dan kurang politiking.

Najib pada 30 April lalu ini berkata, walaupun PAS enggan menyertai Umno dan BN, parti Islam itu patut keluar Pakatan rakyat kerana rakan mereka DAP tidak pernah memperjuangkan Islam.

Kenyataan yang dianggap sebagai pelawaan itu bagaimanapun ditolak keras pelbagai pemimpin kanan PAS, termasuk oleh Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.-mk

Orang yang melihat PAS dari luar cepat untuk menyatakan PAS angkuh, sedangkan penderitaan yang dilalui PAS sekian lama hasil dari kezaliman UMNO yang mengaku Islam tidak pernahkah diambilkira.

Banyak kezaliman UMNO yang jika ingin didedahkan disini, maka ruangan blog GB ini tidak mempunyai ruang cukup untuknya, namun kenyataan Ahli Parlimen Jerai boleh menjawab tuduhan Mufti Perlis tersebut:

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyifatkan tindakan Umno yang mempelawa PAS keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) dan duduk bersama dengan BN sebagai tindakan tersepit dan terdesak.

Pengarah Pilihan raya DPPP, Mohd Firdaus Jaafar berkata, Umno kini ibarat ‘orang hampir lemas yang cuba berpaut pada apa sahaja’ sedangkan mereka selama ini yang memburukkan PAS di mata masyarakat dengan pelbagai tuduhan hodoh dan menghinakan.

Selama ini, katanya mereka sombong dengan menganggap mereka sahaja parti terbaik untuk kaum Melayu dan PAS adalah sebuah parti yang sesat serta tidak mempunyai masa depan.


Beliau yang juga ahli Parlimen Jerai menambah, perlu dingat bahawa selama puluhan tahun Umno hidup dengan membuli dan mengganyang musuh politik mereka.

Menurutnya, PAS dan lain-lain parti pembangkang tidak pernah diberikan hak dalam pentas demokrasi yang sebenar.


Bahkan, ujarnya hampir setiap hari media massa milik mereka memburukkan pemimpin PAS dan PR.

Selain itu, katanya hampir seluruh jentera kerajaan dipergunakan semaksima mungkin dalam memastikan pembangkang khususnya PAS terus jatuh terduduk dalam setiap pilihan raya umum dan kecil.

“Apakah dalam keadaan demikian, Umno masih terhegeh-hegeh mencari simpati PAS?” soalnya.

Tegasnya, DPPP mengingatkan bahawa PAS telah melalui pelbagai mehnah dan tribulasi sepanjang jalan perjuangan mereka dalam pentas politik di Malaysia, bukan sekadar ugutan dan fitnah, bahkan pemimpin PAS pernah dikenakan ISA, dipenjara, bahkan dibunuh.

Ini semua, jelasnya dilakukan oleh pemimpin Umno yang kononnya mahu memperjuangkan bangsa Melayu.


Beliau menambah, masih segar dalam ingatan bagaimana tindakan Umno terhadap kerajaan Terengganu yang majoritinya bangsa melayu pada tahun 1999-2004 apabila dinafikan royalti petroleum hanya kerana mereka diperintah oleh PAS.

Begitu juga, ujarnya nasib yang sama diterima oleh Kerajaan PAS Kelantan yang sehingga ke hari ini terpaksa memperjuangkan hak untuk mendapatkan royalti petroleum di mahkamah.

Menurutnya lagi, sejarah juga membuktikan bahawa PAS tidak pernah mengkhianati hak orang melayu sebaliknya Umnolah yang menjadi petualang dalam menghakis hak keistimewaan orang melayu.

“Apakah kita lupa bahawa biasiswa telah digantikan dengan PTPTN, bagaimana bantuan sekolah agama rakyat ditarik?” tanya beliau.

Beliau turut mempersoalkan ke mana perginya saham bumiputera yang bernilai 52 bilion.

Ini, katanya semua berlaku kerana Umno sememangnya tidak pernah memikirkan bagaimana mahu membantu orang melayu sebaliknya menyalahgunakan kuasa yang di amanahkan dengan mengaut keuntungan peribadi.

Tambahnya tindakan mempelawa PAS ini menjelaskan kepada semua bahawa sebenarnya sokongan orang Melayu kepada Umno sudah semakin terhakis.

“PAS pula dilihat sebagai pengganti yang sesuai bagi orang Melayu, lebih-lebih lagi dengan budaya politik kotor dan keji yang mereka amalkan seperti video lucah seperti yang dipaparkan sekarang,” katanya.

Tegasnya, orang Melayu sudah semakin meluat dengan politik ‘Machiavelli’ Umno sehingga sanggup mengenepikan syariat Islam.

DPPP juga, katanya melihat tindakan Presiden Umno yang mempelawa PAS keluar daripada PR dan bersama dengan BN sebagai helah politik semata-mata demi untuk menimbulkan rasa kurang senang dikalangan rakan-rakan di dalam PR.

“Dan ini juga merupakan jalan terakhir untuk menyelamatkan sisa-sisa riwayat Umno yang semakin menghampiri penghujungnya.

“PAS tidak sesekali akan terpedaya dengan umpan Umno sehinggalah akhirnya Pakatan Rakyat memenangi PRU ke 13,” tegasnya. -GB

Prof Aziz Bari: Mufti Perlis naif, jahil sejarah politik!

NONEPensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Abdul Aziz Bari hari ini membidas Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berhubung kenyataannya yang menyifatkan pihak yang menentang penyatuan antara Umno dan PAS sebagai pengkhianat Islam.

Abdul Aziz beranggapan kenyataan tokoh agama itu sebagai "naif dan menandakan kejahilannya dalam sejarah politik Malaysia" khususnya berhubung kerjasama kedua-dua parti itu pada awal 1970-an sehingga melahirkan BN pada 1974.

"PAS ditendang oleh Umno pada 1977 dan Kelantan dirampas melalui darurat. Kerjasama atau gabungan Umno-PAS merugikan umat Islam.

"Ia melemahkan mekanisme semak dan imbang serta persaingan sihat demi kepentingan orang Melayu dan Islam.

"Melemahkan mekanisme itu, baik dalam parti-parti yang ada yakni Umno, PAS atau PKR akan merugikan umat Islam," katanya.

Abdul Aziz yang juga seorang pengamat politik berkata ketiadaan semak dan imbang menyebabkan pelaksanaan Islam dan kebajikan Melayu terbantut.

"Ia menyebabkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa merebak," kata Abdul Aziz dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

NONEBeliau mengulas kenyataan Dr Juanda yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia semalam yang menyifatkan pihak yang menentang penyatuan kedua-dua parti itu sebagai pengkhianat Islam dan boleh dianggap pendukung fikrah Khawarij yang amat bencikan kesatuan.

Menurut mufti Perlis itu, penyatuan kedua-dua parti berkenaan sebenarnya wajib, khususnya untuk kekuatan Islam. Malah al-Quran sendiri melalui ayat 13 surah Asy-Syura memerintahkan supaya umat Islam bersatu padu dan Islam perlu ditegakkan.

Bagaimanapun tokoh agama muda itu menjelaskan gesaan penyatuan Umno dan PAS yang diutarakannya semalam bukanlah bermaksud kedua-duanya perlu bergabung sebagai satu parti.

Sebaliknya penyatuan tersebut dalam erti kata bekerjasama dalam urusan kepentingan Islam dan negara.

"Duduk semeja, kurang maki (sesama lain), kurang politiking, tumpu pada kepentingan rakyat dan negara. Penyatuan tak semestinya (melalui) satu parti," katanya.

islam hadari pas and umno 051004Mengulas lanjut, Abdul Aziz turut menyifatkan "satu jenayah" bagi menggagalkan pembentukan sistem dua parti yang kini sedang berjalan.

Dakwanya, Umno dan beberapa tokoh tertentu dalam PAS, tidak selesa dengan pembentukan sistem dua parti yang akan menyemarakkan wacana politik yang berasaskan dasar dan program, bukan agenda ras, politik skandal yang didakwanya cuba dibawa oleh Umno sekarang.

Sehubungan itu beliau meminta Juanda mempelajari sistem politik yang ada sebelum membuat sebarang kenyataan.

Gambar Mangsa & Maklumat Susulan Serangan Tentera AS di Rumah Persembunyian Osama


Gambar yang diperolehi oleh Reuters ini telah diambil lebih kurang sejam selepas serangan AS di persembunyian Osama bin Laden di Abbottabad, Pakistan yang menunjukkan mayat tiga lelaki yang telah terbunuh berlumuran darah dan TIDAK BERSENJATA.

Gambar-gambar yang telah diambil oleh Pegawai Keselamatan Pakistan yang memasuki halaman kediaman ini selepas serangan pada awal pagi Isnin, menunjukkan dua lelaki berpakaian tradisi Pakistan dan seorang lagi berbaju-T, dengan darah mengalir dari telinga, hidung dan mulut mereka.

Pegawai Keselamatan itu, yang tidak mahu dikenali, telah menjual gambar-gambar itu kepada Reuters.

Tiada seorang pun daripada lelaki ini yang kelihatan seperti Bin Laden. Presiden Barack Obama memutuskan untuk tidak mengeluarkan gambar-gambar jasad Osama kerana ia mungkin menyebabkan meningkatnya serangan keganasan dan akan menjadi alat propaganda al Qaeda.

“Adalah penting bagi kami untuk memastikan setiap gambar terperinci seseorang yang ditembak mati di kepala tidak disebarkan sebagai satu tindakan yang boleh mengapi-apikan keganasan baru ataupun sebagai alat propaganda,” Obama memberitahu di dalam program CBS "60 Minutes."

Berdasarkan tarikh dan masa pada gambar-gambar yang diambil, gambar paling awal ialah 2 Mei, 2:30 a.m., kira-kira sejam selepas serbuan di mana Bin Laden telah dibunuh.

Gambar-gambar lain berikutnya di antara 5:21 a.m. dan 6:43 a.m. menunjukkan keadaan di luar rumah yang berselerak dan terdapat bangkai helikopter Amerika Syarikat yang ditinggalkan.

Reuters amat yakin dengan ketulenan imej-imej tersebut kerana terdapat butiran di dalam gambar yang menunjukkan sebuah helikopter rosak kesan dari serangan, sepadan dengan gambar-gambar yang dikeluarkan pada Isnin lepas.

Tentera AS kehilangan sebuah helikopter di dalam serbuan itu disebabkan oleh satu masalah teknikal dan kemudian menghancurkannya.

Gambar-gambar yang diambil juga berturutan dan semuanya mempunyai saiz dan pixel yang sama, menunjukkan semuanya tidak diusik. Masa dan tarikh di dalam gambar-gambar turut sepadan dengan keadaan cahaya kawasan tersebut.

Gambar-gambar yang diambil tidak menunjukkan sebarang senjata pada lelaki-lelaki yang terbunuh itu, tetapi gambar-gambar itu diambil secara dekat dan kemungkinan tangan dan senjata lelaki itu tidak kelihatan.



Satu foto menunjukkan kabel komputer dan seolah-olah pistol plastik mainan hijau-jingga berada di bawah bahu kanan seorang daripada lelaki yang terbunuh itu. Di bawah kepalanya berlumuran darah.


Foto ini menunjukkan seorang lagi lelaki dengan darah yang keluar dari hidungnya melalui pipi kanannya dan satu tompokan besar darah di dadanya.


Foto lelaki ketiga, yang berbaju-T, dibelakang kepalanya penuh dengan takungan darah dipercayai kesan dari kecederaan kepala.

Kerajaan AS mengakui pada Selasa lalu bahawa Bin Laden tidak bersenjata ketika ditembak mati dan ini telah menimbulkan tuduhan Washington telah mencabuli undang-undang antarabangsa. Keadaan-keadaan tepat bagaimana kematiannya tidak jelas dan dapat memarakkan kontroversi, terutama sekali di dalam dunia Islam.

Pakistan turut merasa malu, akhbar utama Islamabad berkata, bagaimana lelaki paling dikehendaki di dunia mampu hidup selama bertahun-tahun di dalam bandar yang turut menempatkan pasukan tentera di Abbottabad, hanya di utara ibu kota.

Pakistan turut menyalahkan unit perisikan di seluruh dunia kerana gagal mengesan Bin Laden, ketika Washington menuduh bahawa sekutunya itu telah memberikan perlindungan kepada pemimpin al Qaeda, dan Islamabad bersungguh-sungguh menafikannya. - Reuters

Amerika Selewengkan Banyak Fakta Mengenai Pembunuhan Osama

London - Rumah Putih memang terpaksa mengubah cerita tentang penyerbuan yang menewaskan Osama bin Laden di Abbottabad, Pakistan, demikian harian yang terbit di Inggeris, Guardian, melaporkan.

Media ini mencatat, banyak fakta yang bertentangan tentang operasi penyerbuan itu, dan tentang Osama bin Laden sendiri.

Kini, rumah persembunyian Osama dijaga ketat anggota polis Pakistan. Namun, banyak jejak Osama di sana yang sudah dihapuskan.

Setidak-tidaknya, para tentera Amerika yang telah menjelajahi bangunan tiga lantai itu membawa serta harddisk komputer dan dokumen berharga- termasuk juga tubuh Bin Laden yang berlumuran darah, yang kemudian dikubur di laut.

Keesokan harinya, intelijen Pakistan - marah kerana tidak menerima maklumat tentang penyerbuan itu. Mereka datang mengangkut perabot dan barang-barang lain. Tapi itu tidak mungkin untuk menghapus setiap jejak drama yang menjadi akhir perburuan tersebut.

Apa saja fakta yang diubah mengenai penyerbuan itu? Berikut data-data dari Guardian:

* "Ini adalah perak!" Yasser, kanak-kanak 12 tahun, menyatakan. Apa yang dipegangnya hanyalah potongan dari sebuah batang exhaust kereta biasa. Gambaran AS bahawa Osama tinggal di rumah mewah ikut mempengaruhi orang awam Pakistan, bahawa pimpinan Al Qaeda itu bergelimang kekayaan di akhir hayatnya. Seorang intelijen yang berkeliaran di dekatnya kelihatan gugup, sebelum menyambar anak dengan tangan dan membawanya pergi.

* Beberapa jam setelah kematian Bin Laden, para pejabat AS memberitahu bahawa Osama melawan dan kerananya dia ditembak oleh pasukan khusus AL Amerika Syarikat yang menyerbu lantai kedua dan tiga dari tempat persembunyiannya. Fakta itu ternyata tidak benar. Bin Laden tidak bersenjata, ditembak di kepala dan dada.

* Perincian lain menyebutkan ia menggunakan salah seorang isterinya sebagai teman hidup. Faktanya, isterinya telah terluka di kaki sambil bergegas ke arah pasukan khusus sebelum ia terbunuh.

* Disebut-sebut, rumah persembunyian Osama bin Laden adalah sebuah bangunan dekat markas tentara Pakistan berharga sewa jutaan dolar AS. Faktanya, rumah bertembok tinggi itu jauh dari gambaran itu; setidaknya terlihat dari cat bangunan yang terkelupas dan tak terjaga, serta tak ada satupun AC di lantai-lantainya.

* Berbagai perincian, bagaimanapun, tetap kabur. Para pejabat Amerika mengubah versi awal mereka untuk mengungkapkan bahawa seorang perempuan yang terbunuh dalam serangan terhadap kompleks itu bukan isteri Bin Laden.

Hal ini juga tidak jelas bagaimana Bin Laden, yang terlantar dalam ruangan di lantai tiga yang ditandai dengan kaca jendela hancur, melawan ketika tentera AS menerobos ke kamarnya. -republika

Bazar Tok Guru bakal beroperasi tidak lama lagi

KOTA BHARU, 5 Mei: Sejak pendaftaran untuk kemasukan dibuka bermula 30 April lalu, kompleks pasar baru Bazar Tok Guru di Jalan Sultan Ibrahim kini sudah menerima kira-kira 150 tempahan peniaga.

Mereka adalah termasuk sebahagian daripada 415 peniaga dari pasar Arked Uda dan pasar lama Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) yang ditawarkan berpindah dengan kaedah sewa-beli ke kompleks bangunan tiga tingkat itu.

Bazar Tok Guru atau lebih dikenali BTG di kalangan kakitangan pengurusan projek ini, bakal dibuka tidak lama lagi. Bazar yang bermoto, 'Pusat Jualan Produk Klate' ini bakal menjadi mercu tanda baru perniagaan di Kelantan.

(Gambar: Mercu tanda perniagaan baru di Kota Bharu yang kini sangat dibimbangi lawan politik kerajaan negeri. Ekoran itu pelbagai isu dibangkitkan)

"Nampaknya, semua projek kebajikan yang dibuat kerajaan negeri untuk rakyat dijadikan isu oleh Umno melalui media mereka. Nampak sangat ia ditakuti oleh Umno," tulis Wan Nik Yusof Ngah, Setiausaha Politik MB Kelantan dalam tulisannya di Harakah.

Antara projek untuk rakyat yang dibuat kerajaan negeri adalah Bazar Tok Guru dan Ladang Rakyat. Jika kedua-dua projek ini tidak dijadikan isu, Umno tidak ada harapan dalam pilihan raya umum nanti.

Bazar Tok Guru dijanjikan oleh Tuan Guru Nik Aziz menjelang pilihan raya umum 2008 lalu. Ia diimpikan beliau sebagai anugerah kepada para peniaga yang menjadi nadi pembangunan Kelantan. Bangunan ini bakal menjadi mercu tanda perniagaan baru di Kelantan yang terkenal dengan kegemaran untuk berniaga di kalangan rakyatnya itu.

Bazar ini akan menjadi tapak baru peniaga kecil di Kelantan selepas Arked Uda dan Pasar Lama MPKB sudah tidak sesuai lagi untuk dijadikan tapak perniagaan yang baik.

Selepas tiga tahun berjanji, Bazar Tok Guru akan dilancarkan tidak lama lagi. Jika ia berjaya dengan baik, maka tindakan Umno yang pernah merobohkan secara kekerasan Pasar Lambak di hadapan Bangunan Umno Kelantan pada tahun 1987 lalu bakal menjadi satu titik hitam penting yang tidak akan dilupakan oleh rakyat Kelantan.

Pihak pengurusan bazar iaitu Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) menyediakan sejumlah 451 lot kedai kepada peniaga yang sebelum ini berniaga di Arked Uda dan bangunan MPKB di samping lain-lain peniaga kecil negeri ini.

368 daripadanya adalah di tingkat bawah, 50 di tingkat satu manakala 33 unit lagi akan dibuang untuk memperbesar laluan.

Peniaga di sini juga akan ditempatkan mengikut kategori perniagaan masing-masing. Ia dibuat demikian agar urusniaga tidak tertumpu kepada tingkat bawah sahaja tetapi mengikut keperluan pengguna.

Di aras bawah diperuntukkan kepada kategori peniagaan pakaian, beg dan kasut manakala jenis perniagaan di aras satu pula adalah kedai jahit.

Untuk emas dan pertukangan pula ditempatkan di kedua-dua aras.

Bagaimanapun, difahamkan pendaftaran yang dibuat PMBK 30 April dan 2 Mei lalu, yang dibuat secara 'First come first serve' mengundang rasa tidak puas hati pihak persatuan peniaga dari kedua-dua pasar lama itu.

Dua hari lepas, selepas para peniaga mula mendaftar untuk masuk, pihak persatuan didakwa membuat pengumuman di pasar lama MPKB mengarahkan peniaga hadir ke Bazar Tok Guru bagi membuat bantahan.

Mereka didakwa mahu sistem pengundian dibuat dan mahu membatalkan mereka yang telah mendaftar awal dengan PMBK pada dua tarikh tersebut.

Bagaimanapun, tinjauan Harakahdaily pada pagi semalam mendapati hanya beberapa individu dilihat hadir namun tidak dapat berbuat apa-apa ekoran kehadiran dua kereta peronda polis (gambar) yang berkawal sejak awal pagi.

Kaunter pendaftaran PMBK yang sepatutnya dibuka juga kelihatan tutup. Difahamkan ianya ditutup atas faktor keselamatan.

PMBK telah menawarkan harga RM63,000 bagi ruang tingkat bawah premis baru di Bazar ini walaupun harga asalnya adalah RM98,000.

Kini terpulang kepada peniaga Arked Uda dan Pasar Lama Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) untuk menduduki premis baru itu.

Harga ini adalah adalah berdasarkan konsep sewa-beli dan beberapa tawaran menarik kepada 415 peniaga di dua kawasan perniagaan yang bakal ditutup itu. Ia termasuklah percuma sewa selama dua tahun untuk tingkat bawah.

Isu Bazar Tok Guru menjadi sejata baru Umno Kelantan menyerang kepimpinan kerajaan negeri itu. Antara dakwaan ruang niaga yang disediakan sempit dan mahal.

Sedangkan saiz lot tersebut telah dipersetujui wakil peniaga melalui beberapa siri pertemuan yang diadakan. PMBK pula bersetuju dengan sais itu kerana ia dibuat untuk peniaga kecil, maka saisnya tentulah mengikut kemampuan mereka. Jika sais yang besar dibuat, bilangannya tidak mencukupi untuk memasukkan semua peniaga yang ada di samping harganya tentu lebih mahal.

Difahamkan juga, wakil persatuan seperti 'menyembunyi' fakta yang dipersetujui kepada peniaga dan ingin bermain politik.

Untuk rekod, satu lot kedai di tingkat bawah ditawarkan pada harga RM63,000 dengan sewa percuma selama dua tahun.

Peniaga ditawarkan pinjaman tanpa interes oleh PMBK dengan tempoh pembayaran balik 18 tahun. Selepas itu, lot-lot kedai itu akan menjadi milik mereka. Ini bermakna, harganya kekal RM63,000 walaupun bayaran balik adalah selama 18 tahun.

Jika pinjaman diambil dari bank-bank komersial, harganya sekitar RM40,000 sahaja manakala harga selebihnya adalah keuntungan untuk pihak bank.

(Gambar: Para peniaga mula mendaftarkan perniagaan mereka di Bazar Tok Guru apabila kaunter jualan mula dibuka oleh PMBK.)

Namun begitu, kerana telah diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu, ia telah ditentang oleh sesetengah pihak yang berkepentingan dan diperalatkan Umno dalam persatuan peniaga sendiri.

Umno sangat bimbang dengan projek ini. Jika ia berjalan dengan baik habislah Umno. Ini kerana, menjadi titik sejarah kejatuhan Umno di Kelantan 1990 lalu adalah kerana kebangkitan peniaga kecil Kelantan menentang Umno.

Kerajaan negeri Kelantan melalui Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) ketika itu telah bertembung dengan para peniaga Melayu. Kemuncaknya adalah apabila Pasar Lambak yang terletak di depan bangunan Umno Kelantan telah dirobohkan dengan kekerasan.

Pasar Lambak dirobohkan kerana pemandangannya yang buruk yang mencacatkan majlis perasmian bangunan Umno Kelantan oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad ketika itu.

Ekoran itulah, Umno tidak akan membiarkan Bazar Tok Guru berjalan lancar. Ada sahaja isu yang dibangkitkan sehingga Tuan Guru Nik Aziz amat sedih sekali mengingat isu ini. -Hrkh

Sultan Muhammad V bertemu jodoh

bbpm tengku faris 120408 tengku faris

Kelantan bakal menerima Raja Perempuan setelah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, memberi gambaran bahawa baginda bakal berkahwin.

Dalam satu sidang akhbar khas di Istana Negeri, Kubang Kerian, petang semalam bagi mengumumkan mengenai pelancaran Yayasan Kelantan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Sabtu ini, Sultan Muhammad ditanya sama ada baginda akan berkahwin dan sambil tersenyum, menjawab: "Insya-Allah saya berdoa, Insya-Allah Tuhan akan makbul."

Sultan Muhammad, 42, yang mudah membahasakan diri baginda sebagai "saya" atau "kita", berharap berkat doa pemimpin dan pembesar negeri serta sahabat, perkahwinan baginda akan menjadi kenyataan.

"Jadi saya fikir Insya-Allah dengan berkat doa Tok Guru, datuk-datuk, sahabat-sahabat, Insya-Allah berjaya," titah baginda.

Sultan Muhammad, yang dimasyhurkan pada 13 Sept tahun lalu, bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu.

Baginda, yang terkenal dengan sifat mendekati rakyat dengan berkopiah dan berjubah, adalah putera sulung Sultan Ismail Petra.

Baginda dan bekas isteri, Tengku Zubaidah Tengku Norudin, tidak dikurniakan cahaya mata.

- Bernama

Hati-hati Terhadap Fitnah & Sumpah


TERKINI & PANAS !! - Siapakah sebenarnya Datuk Shazryl Eskay Abdullah?

Nama Datuk Shazryl Eskay Abdullah tiba-tiba melonjak selepas lelaki yang mengaku sebagai Datuk T (sebut Datuk Temberang) ini menayangkan video lucah lelaki mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ramai pembaca yang menghantar email meminta ReJaM© menyiasat siapakah Eskay ini?

Rata-rata pengirim yang menghantar email kepada ReJaM© mempersoalkan kredibiliti Eskay yang begitu berani mempermainkan nama Allah dengan bersumpah di sebuah masjid baru-baru ini semata-mata untuk meyakinkan masyarakat bahawa pelaku di dalam video seks yang penuh kepincangan itu adalah Anwar Ibrahim.

Ramai pembaca yang mempersoalkan mengapakah Eskay ini "pelat" mengucap syahadah, malah tersilap ketika memegang Al-Quran secara terbalik serta tidak fasih melafazkan kalimah "bismillah" semasa upacara sumpah laknat baru-baru ini.

Pada awalnya ReJaM© tidak mahu mendedahkan keperibadian Eskay. Namun setelah menyedari impak sumpah Eskay ini sudah sampai ke tahap mengelirukan malah memecah belahkan masyarakat, maka mulai hari ini satu persatu tembelang Eskay akan didedahkan hasil pendedahan orang yang sangat rapat dengan beliau.

Siapakah Eskay?

1) Eskay asalnya beragama Hindu. Bapa beliau berbangsa India dan ibu berbangsa Siam. Beliau anak ke-3 dari 4 adik beradik dengan seorang abang, dan seorang kakak, serta seorang adik. Nama abang Eskay adalah Chandran.

2) Tujuan Eskay memeluk Islam adalah untuk membolehkan beliau mendapat status 'Melayu/bumiputera' bagi mempermudahkannya dalam urusan perniagaan dengan kerajaan. Namun begitu Eskay tidak mengamalkan cara hidup Islam dan sering bergelumang dgn maksiat.

3) Eskay bercita-cita tinggi dan juga berminat dengan politik. Beliau pernah cuba merasuah pegawai JPN bagi menukar status bangsanya dari 'India' kepada 'Melayu/bumiputera' semata-mata kerana ingin memudahkan urusan perniagaannya. Eskay juga didakwa berminat untuk menjadi ahli UMNO tetapi gagal kerana status bangsanya.

4) Eskay mempunyai tabiat kuat minum dan suka mabuk. Tempat beliau berhibur adalah di salah sebuah bar di Hotel Armada PJ. Ketika mabuk, tabiat Eskay akan minum dengan gelas yang kacanya bukan dari jenis lutsinar supaya orang lain tak nampak apa yang diminumnya.

5) Eskay juga pernah mengadakan hubungan sulit dengan setiausaha peribadinya bernama Farah Hida. Farah Hida akan sentiasa menemani Eskay ke mana-mana beliau pergi termasuk lawatan-lawatan kerja ke luar negara. Eskay juga akan seringkali ke Hotel Armada PJ sekiranya ingin menjalankan aktiviti seksual.

6) Menurut orang yang rapat dengan Eskay, beliau kini sudah putus dengan Farah Hida dan mempunyai teman wanita yang baru dan tinggal bersekedudukan bersama-samanya di sebuah kondominium di Ampang.

7) Isteri Eskay pula kini tinggal di Sungai Petani bersama ibu bapanya. Difahamkan mereka masih suami isteri namun tidak lagi tinggal sebumbung.

Inikah orang yang mahu dipercayai sumpahnya? Orang seperti ini yang mahu dipercayai kesaksiannya? Beliau juga telah melakukan beberapa penipuan dan penyelewengan di dalam perniagaan, nantikan pendedahannya...

ReJaM© "Nantikan pendedahan seterusnya beserta dokumen dan bukti-bukti lain..."

Najib jangan jadi talibarut Amerika!

http://buletinonline.net/images/stories/berita47/najibtalibarut.gifKUALA TERENGGANU - Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan penuh sedar dan sengaja telah dua kali mengeluarkan kenyataan yang menghina umat Islam seluruh dunia.

Sebelum ini, ketika membuat lawatan ke Turki, Najib telah meminta masyarakat antarabangsa memulau Ikhwanul Muslimin daripada penyusunan kuasa di Mesir kerana katanya Ikhwanul Muslimin menjadi punca keganasan.

Bahkan, lebih terus lagi, Najib mengatakan Ulamak terkemuka dunia, Sheikh Yusof al Qardawi adalah penyokong keganasan.

Pengerusi Asian Federation of Muslim Youth (AFMY), Dato' Ustaz Abu Bakar Chik berkata, Najib sekali lagi menghina umat Islam apabila beliau menuduh as Syahid Osama bin Laden, yang dibunuh tentera Amerika adalah menjadi punca keganasan antarabangsa.

"Najib dengan penuh sedar dan sengaja menghina umat Islam apabila beliau menuduh as syahid Osama bin Laden menjadi punca keganasan antarabangsa,

"sebelum ini beliau telah meminta masyarakat antarabangsa memulau Ikhwanul Muslimin daripada penyusunan kuasa di Mesir kerana katanya Ikhwanul Muslimin menjadi punca keganasan bahkan beliau mengatakan Sheikh Yusof al Qardawi adalah penyokong keganasan,"ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewaat petang semalam, Rabu 4 Mei.

Menurutnya, krisis keamanan dan keselamatan dunia yang berlaku pada hari ini adalah disebabkan oleh dasar Barat dan inperialisme mereka yang mahu menguasai dunia lain.

Barat juga, kata beliau, bersekongkol dengan 'konspirasi Yahudi' dan pelobi-pelobi Kristian untuk menghancurkan bangsa dan agama lain didunia ini, terutamanya Islam.

"Sehingga hari ini krisis keamanan dan keselamatan dunia adalah disebabkan oleh dasar Barat dan inperialisme mereka yang mahu menguasai dunia lain yang mereka anggap menentang kepentingan Barat,

"Konspirasi Yahudi untuk menghancurkan umat Islam telah bersepakai dengan konspirasi pelobi-pelobi Kristian dan dalam usaha mereka meneruskan rancangan perang salib ke atas umat Islam,"jelasnya.

Oleh sebab itulah, beliau yang juga Ahli Jawatankusa PAS Pusat berkata, perjanjian Balfore (1948) yang telah berjaya membawa Yahudi ke Palestin dan membentuk negara haram Israel yang dipimpin oleh Zionis di bawah naungan Amerika Syarikat dan sekutu-kutunya.

Menurutnya lagi, melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), telah dilantik beberapa negara yang mempunyai kuasa 'veto' iaitu, Amerika Syarikat, Great Britain, Rusia dan Perancis untuk meneruskan 'konspirasi Zionis'.

Katanya, AS dan sekutu-kutunya kini menggunakan North Atlantic Treaty Organisation (NATO) melancarkan 'imperialisme baru', dengan menggunakan seluruh kekuatan ketenteraan telah menyerang dan menguasai Afganistan serta Iraq.

Oleh itu, katanya, pendirian Najib yang menuduh secara melulu, tokoh-tokoh yang menentang kezaliman dan kepentingan Barat, menggambarkan sikap beliau yang menentang usaha-usaha menegakkan keadilah sejagat berasaskan ajaran Islam.

Justeru, beliau menyeru umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia, agar berdiri teguh dibelakang gerakan Islam diseluruh dunai bagi menumbangkan kerajaan-kerajaan zalim, yang menjadi tali barut kepada 'Brat dan Zionis'.

"Kita (saya) menyeru kepada umat Islam agar berdiri teguh dibelakang gerakan Islam diseluruh dunai bagi menumbangkan kerajaan-kerajaan zalim yang menghina umat Islam dan menjadi tali barut kepada zionis dan pelobi-pelobi Kristian sedunia.

"AS dan Yahudi adalah kuasa-kuasa durjana yang menguasai polisi Order Baru Dunia (New World Order) dan proses globalisasi yang sedang berjalan hari ini,"tegasnya.

Beliau turut mengajak semua semua bangsa dan agama, memperjuangkan Order Dunia Yang Adil (Just World Order) berteraskan kedamaian sejagat yang dimajukan oleh Islam. -BO

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .