Ikuti Blog ini
3,000 KAUM INDIA SERTAI PAS DI PERAK ,Rabu, April 07, 2010 at 7.4.10,
Menurutnya, persatuan yang dipimpinnya itu mempunyai keahlian seramai 3,000 orang dan akan menyertai DKPP dalam masa terdekat ini.
Susannathan, 50, tinggal di kawasan Buntung sebelum ini adalah Pengerusi PSM Buntung dan bekas Ketua Bahagian PPP Ipoh Barat yang dikatakan mirip kepada Murugiah.
“Saya sudah tidak mahu kepada parti lain yang saya sudah kenal sikap dan hati budi mereka,” tegasnya lagi.
Beliau hadir menyerahkan borang itu bersama tiga rakannya iaitu Ramakrisnan, Balakrishnan dan seorang wanita.
Menurut Misbahul, Susannathan bersama tiga rakannya yang lain telah berkunjung ke Pejabat PAS negeri untuk menyerahkan sendiri borang menyertai DKPP.
“Beliau bersama rakan-rakannya telah hilang kepercayaan kepada Umno/BN sejak sekian lama, hari ini beliau mengisytiharkan untuk bersama PAS bagi memperjuangkan nasib kaum India yang tertindas,” jelasnya.
Untuk rekod, Persatuan Kebajikan Masyarakat India yang diterajuinya ditubuhkan pada 27 April 2007.
Walaupun persatuan itu baru tiga tahun ditubuhkan tetapi setiap hari ada sahaja ahli baru yang menyertainya.
Persatuan itu ditubuhkan atas dasar memperjuangkan nasib kaum India terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Susannathan bersama rakan-rakannya dalam Persatuan Kebajikan Masyarakat India akan menyokong PAS dalam perjuangan menegakkan keadilan.
Beliau dapat merasai bahawa perjuangan PAS walaupun atas dasar agama tetapi tidak mengabaikan kebajikan kaum lain, dan ianya dibuktikan apabila Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menerajui kerajaan PR di negeri ini.
“Nasib kaum India di Perak diberi perhatian yang serius oleh Kerajaan Pakatan Rakyat,” jelasnya.
ditulis oleh: perakkume
Polis Perak Keluar Notis Minta Ngeh Beri Keterangan , at 7.4.10,

Siapakah mereka ini,2 keping gambar diambil dalam bangunan dewan negeri di depan pintu masuk Dewan Negeri Perak pada 31 Mac. Mungkin ianya boleh menjawab tuduhan Dato' ngeh.
IPOH: Polis telah mengeluarkan notis meminta Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham tampil memberi keterangan berhubung siasatan mengenai dakwaannya terdapat pegawai dan anggota polis ditempatkan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa berlangsungnya persidangan DUN, minggu lepas.
Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, notis kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan itu dikeluarkan hari ini dan beliau diberi tempoh dua hari sehingga Khamis ini untuk hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.
Beliau berkata, polis memulakan siasatan pada 1 April lepas setelah menerima dua laporan polis daripada orang awam berhubung dakwaan Ngeh itu.
Polis telah merakamkan keterangan daripada lima individu termasuk pengadu dan wakil media, katanya dan menurutnya siasatan dibuat mengikut Seksyen (1)(a) Akta Hasutan 1948.
"Langkah seterusnya, kita memanggil Yang Berhormat (Ngeh) untuk beri keterangan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Dialog Cegah Jenayah Ketua Polis Perak Bersama Penduduk Kampung di Buntung di sini semalam.
Ngeh mengeluarkan kenyataan itu semasa menyuarakan bantahan dengan kehadiran ramai anggota dan pegawai polis di Bangunan Perak Darul Ridzuan semasa sidang DUN berlangsung pada 30 Mac lepas.
Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM
Karpal diarah keluar Dewan, gantung 10 hari , at 7.4.10,
Karpal Singh (DAP-Gelugor) hari ini digantung daripada Dewan Rakyat selama 10 hari berikutan tindakannya menyalahkan speaker yang didakwanya tidak mengikut keputusan yang dibuat sebelum ini.
Drama bermula apabila Tian Chua (PKR-Batu) bangun untuk meminta penjelasan daripada speaker berhubung notisnya untuk merujuk Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) ke jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen.
Pandikar kemudiannya mengarahkan Tian supaya duduk, namun Karpal pula menghidupkan mikrofonnya dan berkata speaker telah melanggar keputusan yang pernah dibuatnya sendiri sebelum ini.
Karpal mengulangi kata-katanya itu sebanyak enam kali dan juga menggelarkan speaker dengan sebagai 'diktator'.
Pandikar memintanya mengulangi gelaran itu yang dipatuhi Karpal.
Tindakan itu membawa padah apabila Pandikar mengarahkannya keluar dewan.
Pandikar juga memutuskan Karpal digantung daripada parlimen bagi tempoh 10 hari.
Tindakan itu kemudiannya menerima bantahan daripada wakil-wakil pembangkang.
Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) kemudiannya bangkit dan berkata keputusan speaker itu tidak adil.
Pandikar kemudiannya berkata, beliau akan berlaku adil dan memutuskan untuk membuka undian secara belah bahagi ke atas usul yang dibawa oleh Tian.
Usul itu bagaimanapun ditolak apabila hanya 56 ahli parlimen menyokong usul berkenaan, berbanding 82 yang menentang.-M'kini
MCA Pulau Konvensyen BN Petanda BN Sedang Menuju Kehancuran , at 7.4.10,
Konvensyen BN, wakil MCA bertindak keluar dewanUsaha Barisan Nasional untuk merampas Selangor dari Pakatan Rakyat dengan agenda konvensyennya di Shah Alam, hari ini menerima tamparan apabila 15 perwakilan MCA Kapar bertindak meninggalkan majlis itu.
Ketua MCA Kapar, Datuk Song Kee Chai yang dihubungi melalui telefon berkata antara punca tidak puas hati mereka ialah kerana MCA dianak-tirikan pada konvensyen berkenaan.
Antaranya, hanya lagu BN dan Umno dinyanyikan sedangkan lagu parti komponen lain tidak diendahkan.
“Konvesyen itu dianjurkan oleh BN, jadi menyanyikan lagu Umno tidak mencerminkan semangat BN dan juga 1Malaysia,” kata Song lagi.
Selain itu, katanya, hanya tetamu dan pemimpin utama dari Umno yang dijemput duduk di pentas utama. Mereka termasuk Datuk Mohd Zin, Datuk Seri Noh Omar, Shafei Abdullah dan seorang lagi.
Tiada tetamu ataupun pemimpin parti komponen lain yang dijemput ke pentas utama.
Menurut Song apa yang menghangatkan lagi suasana ialah ketika ucapannya, Noh Omar yang juga timbalan pengerusi perhubungan Umno Selangor berkata orang Melayu telah banyak berkorban demi rakan-rakan bukan Melayu.
Menurut Noh, rakyat bukan Melayu sepatutnya berterima-kasih kerana diberikan kerakyatan.
Noh Omar juga memetik ucapan daripada presiden keempat MCA, Tun Tan Siew Sin dan presiden kelima MIC, Tun VT Sambathan pada zaman era tahun 1960an yang memuji Umno kerana memberikan kerakyatan kepada bukan Melayu.
Song berkata bahagiannya menganggap ucapan Noh itu satu penghinaan kepada masyarakat Cina dan India di negara ini.
Di sebalik memulaukan sebahagian besar aktiviti konvensyen itu, Song dan ahli-ahlinya akan kembali petang ini untuk menghadiri pelancaran kempen 'BN Mampu Berubah, Sayangi Selangor Yakini BN dan Selangor Take Over Plan (STOP) PRU 13.
Sementara itu, setiausaha agung MIC, S Murugesan juga melahirkan rasa kurang senang kerana tiada pemimpinnya diletakkan di pentas utama.
"Nampaknya mereka seperti tidak menghormati kami,” katanya.
Bagaimanapun katanya, aduan sudah disampaikan oleh pengerusi penganjur, Mohd Zin yang berjanji memperbetulkan keadaan.
"Mereka telah meletakkan kerusi tambahan di pentas dan berjanji kepada saya bahawa lagu Umno tidak akan dinyanyikan pada sessi petang apabila Perdana Menteri, Najib Razak tiba.
"Jadi buat masa ini, saya tiada masalah,” katanya. -GB-
Hulu Selangor : Ceramah atas lori, Polis tutup suis Mikrofon! , at 7.4.10,
Aktiviti Pentas Pemuda-Siapa Pengkhianat Negara berlangsung dengan jayanya semalam walaupun sepanjang aktiviti berlangsung 'pentas' kami sentiasa dibayangi oleh segerombolan Polis yang diketuai oleh Ketua Polis Balai Bukit Sentosa.
Seawal jam 8.00 malam lagi para petugas dari Dewan Pemuda PAS Kawasan Hulu Selangor dengan dibantu oleh PAS Zon Bukit Beruntung dan Angkatan Muda Keadilan Cabang Hulu Selangor telah bertungkus-lumus membuat persiapan akhir sambil ditemani oleh beberapa orang SB yang memerhatikan dari jauh.
Kali ini agak kelakar namun penuh klasik apabila pentas yang disediakan adalah berupa sebuah lori 1 tan. Selain 3 buah kerusi, turut dimuatkan diatas lori tersebut adalah sebuah rostrum yang sangat mudah.
Ceramah bermula seawal jam 9.15 malam apabila Sdr Sany Hamzan selaku Pengerusi majlis yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyampaikan ucapan alu-aluan yang penuh sinis dan mendalam. Diikuti ceramah oleh penceramah pertama Al-Fadhil Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. Antara isi kandungan ceramah beliau banyak tertumpu kepada kejayaan-kejayaan negeri-negeri dibawah Kerajaan Pakatan Rakyat terutama di Kedah dan Pulau Pinang. Beberapa petikan ayat-ayat Al-Quran serta hadis-hadis juga pastinya turut dirakamkan didalam ceramah beliau.
Ketika inilah pihak Polis diketuai oleh Ketua Polis Balai Bukit Sentosa telah mula cuba mengepung pentas ceramah. Dengan memberikan hanya 20 minit lagi, pihak polis memberikan amaran akan menyerbu pentas sekiranya ianya tidak ditamatkan.
Alhamdulillah, hasil perbincangan antara pihak pemuda PAS dan AMK, pihak Polis bersetuju memberikan sedikit lagi masa bagi kami meneruskan ceramah.
Ceramah yang disampaikan oleh Ketua AMK Pusat, Sdr Shamsul Iskandar seperti biasa sangat mencuit hati dan padat berisi sindiran dan peringatan. Ketika ini suasana agak lebih panas apabila pihak polis semakin ramai disekeliling kawasan ceramah termasuk SB-SB yang berpakaian biasa. Seolah-olah serbuan akan dibuat bla-bila masa. Pihak Unit Amal dan Skuad AMK telah mula memenuhi sekeliling 'pentas' ceramah.
YB Anthony Loke memulakan ceramahnya dengan sedikit gurauan yang penuh bermakna apabila beliau berkata walaupun PR memerintah Selangor dan berceramah di Bukit Beruntung, tetapi dia tak menyangka pada malam ini dia akan berceramah dari atas sebiji lori! Itulah antara bukti betapa PR tidak langsung mahu menyalahgunakan harta benda kerajaan dan pandai membezakan yang mana satu hak parti dan mana satu hak rakyat/kerajaan.
Kehadiran YB Yaakob Sapari pula benar-benar diluar jangkaan dan menambah lagi kehangatan dan lebih pelik apabila beliau turut sama duduk diatas lori iaitu 'pentas' utama.
Didalam ceramah YB Anthony, sempat beliau menyindir UMNO apabila UMNO beria-ria menuduh DAP anti Melayu,anti Islam sedangkan dalam masa yang sama UMNO sendiri terbukti Pro-Israel! Malangnya ceramah beliau hanya sempat berlangsung sekitar 45 minit apabila pihak Polis telah bertindak menutup suis bekalan elektrik daripada gerai makan berhampiran.
Diluar jangkaan penganjur, orang ramai yang hampir 500 orang yang sedari duduk telah bertindak berdiri dan memenuhi ruang berhampiran 'pentas lori' tersebut untuk mendengar lebih jelas apabila tanpa mempedulikan mikrofon yang telah tidak berfungsi, YB Anthony meneruskan ucapan dengan lebih bersemangat!
Ceramah malam tadi diakhiri dengan laungan Takbir dan Reformasi daripada semua pimpinan dan rakyat yang hadir. Pimpinan sempat mengambil gambar kenangan diatas lori tersebut.
Semoga gelombang di Bukit Beruntung ini akan terus tali-menali, rangkai-berangkai ke seluruh pelusuk Hulu Selangor sehinggalah dimalam pengumuman kemenangan Calon PR pada malam 25 April ini nanti, InsyaAllah. Allahuakbar!
Pendedahan Anwar Tentang APCO: Najib dan Khairy Perlu Disiasat , at 7.4.10,
Polis Diraja Malaysia (PDRM) didesak supaya segera menyiasat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan juga Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung pendedahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen bersabit perkaitan Apco Worldwide Sdn Bhd dengan pimpinan Zionis Israel."Keterlibatan kedua individu ini secara langsung ataupun tidak memberikan impak yang sangat besar buat negara, dalam konteks keselamatan khususnya.
"Apatahlagi pembuktian konkrit di Parlimen mengenai perkaitan tokoh Zionis di dalam Apco yang dilantik sebagai perunding komunikasi Malaysia langsung tidak dinafikan secara imperikal oleh mana-mana pihak daripada kerajaan Malaysia khususnya Umno,"tegas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Mohd Akin dalam kenyataan medianya.
Menurut beliau, Najib sebagai pemimpin negara seharusnya sedar akan risiko yang diambil dengan membenarkan Apco terlibat untuk menasihati beliau dalam hal ehwal komunikasi dan ‘image building’, pun begitu kelihatan obsesi ke atas slogan 1Malaysia hanya mencetus polemik yang berpanjangan apabila wujud ‘acuan Zionis’ di dalam gagasan yang sedang disiulkan saban waktu oleh beliau.
Beliau berkata, hubungan baik Khairy dengan Omar Mustapha, Pengarah Ethos & Company yang dahulunya merupakan Penasihat kepada Najib sewaktu menjawat Timbalan Perdana Menteri boleh memberi petunjuk mengapa Khairy bermatian mempertahankan Ethos dan Omar yang bertanggungjawab menghubungkan kerajaan Malaysia dan Apco.
"AMK percaya bahawa hubungan baik sama sekali tidak boleh diguna pakai untuk menghalalkan susupan masuk puak Zionis di dalam pentadbiran negara," kata Shamsul.
Beliau yang mewakili AMK mengulangi gesaan Ketua Pembangkang betapa wujud keperluan untuk sebuah Suruhanjaya Diraja dibentuk untuk menyiasat keterlibatan ini, demi menjamin keselamatan negara tidak digolok gadai demi melampiaskan nawaitu politik UMNO semata. -erapakatan
Kerajaan Pusat Mesti Pulangkan Semula Hak Rakyat Terengganu , at 7.4.10,
KUALA TERENGGANU - PAS menggesa kerajaan negeri Terengganu mengambil tanggungjawab yang serius, menuntut semula hak pembayaran royalti petroleum dari kerajaan pusat.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata tindakan tersebut adalah perjuangan menuntut dan memastikan keadilan bagi semua.
Sehubungan itu, beliau berkata, Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) perlu membahas dan memutuskan satu resolusi mendesak kerajaan pusat memulangkan semula hak rakyat Terengganu.
“Ini suatu perjuangan untuk keadilan bagi semua (rakyat) dan kita (PAS) mempunyai suatu harapan yang besar supaya kerajaan negeri Terengganu mengambil suatu tanggungjawab yang serius,
“agar suatu perbahasan dapat diadakan dan diputuskan satu resolusi untuk mendesak kerajaan pusat supaya memulang balik (royalti) hak rakyat negeri Terengganu,” tegasnya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri Terengganu, Selasa 6 April.
Usul Dr. Syed Azman
Kenyataan beliau adalah berikutan satu usul yang dikemukakan oleh Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkaitan isu terbabit, dalam sesi pagi Persidangan DUN.
Pemberian royalti wujud di negeri Terengganu dan negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak, kata Ustaz Abdul Hadi, adalah hasil dari satu persefahaman yang dilakukan di zaman almarhum Tun Abdul Razak.
Persefahaman tersebut, jelasnya, ditandatangani oleh semua Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri dari Perlis hingga ke Sabah.
“Apabila mereka (kerajaan pusat) bersetuju dengan perbincangan itu untuk menggubal Akta Petroleum dan menubuhkan Syarikat Petronas.
“Apabila negeri-negeri bersedia menyerahkan sekiranya ada hasil petroleum di daratan yang pada asalnya menjadi milik negeri.
“Persetujuan telah dibuat sekiranya ada hasil di darat atau di laut semuanya diserahkan kepada Petronas dan Petronas hendaklah menyerahkan royalti sebanyak lima peratus dari hasil jualan kepada mana-mana negeri yang ada hasil petroleum,” jelasnya.
Rampasan Royalti Satu Keputusan Politik
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang mendakwa bayaran royalti petroleum Terengganu ‘dirampas’ melalui satu keputusan politik pada Perhimpunan Agung Umno tahu 2000.
Bahkan, katanya sewaktu pemerintahan PAS Terengganu royalti masih dibayar pada bulan Mac tahun 2000.
“Di Terengganu, ianya berlangsung (bayaran royalti) sejak itu (perjanjian) hingga tahun 2000 apabila, kami (PAS) mengambil-alih pemerintahan di negeri Terengganu dan pada bulan Mac tahun 2000 masih dibayar royalti ini.
“Tiba-tiba dalam Perhimpunan Agung Umno tahun 2000, mereka (pemimpin Umno) telah memutuskan melalui Mesyuarat Agung Umno itu satu keputusan politik untuk ‘merampas’ royalti ini dari negeri Terengganu,” ujarnya.
Pencabulan Undang-undang
Katanya, ini merupakan suatu pencabulan terhadap perjanjian yang telah dibuat serta pencabulan juga terhadap semangat federalisma.
Apa yang menarik, kata Dato’ Seri Abdul Hadi kenyataan ini disokong oleh bekas Ketua Hakim Negera, Tun Salleh Abas, disokong oleh bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah dan disokong juga oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam.
“Ini suatu perkembangan yang sangat menarik dan usul ini dibawa pada hari ini (Persidangan Dun) bukan di atas sentimen parti tetapi atas nama kewajipan seluruh rakyat negeri Terengganu tanpa mengira fahaman politik, tanpa mengira anutan mereka,” tegasnya.
Hadir sama pada sidang media tersebut Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Adun Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut, Adun Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah, Adun Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, Adun Bukit Tunggal, Dr Alias Razak dan Adun Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli.**BO**
Bukti Nyata SPR Alat Kepada UMNO BN , at 7.4.10,
Selepas bertindak sebagai badan pemantau bebas dalam sembilan pilihan raya kecil sejak 2008, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan untuk tidak lagi mengiktiraf Badan Pemantau Pilihan Raya Bebas Malaysia (Mafrel) bagi memantau pilihan raya kecil Hulu Selangor.SPR memutuskan untuk tidak lagi melantik Mafrel atas alasan ia telah melanggar syarat pelantikan — gagal mengemukakan laporan kerja pemantauan yang dilakukan semasa kesemua sembilan pilihan raya kecil sejak Ogos 2008.
Mafrel merupakan satu-satunya badan pemantau tempatan yang telah diiktiraf SPR untuk memantau perjalanan pilihan raya khususnya sejak enam tahun lalu.
“Kami tidak lagi melantik Mafrel sebagai badan pemantau bebas bagi SPR ketika pilihan raya kecil di Hulu Selangor,” kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Difahamkan Mafrel kemungkinan hilang pengiktirafan SPR selepas ini, tetapi boleh terus bertindak sebagai antara salah satu badan bukan kerajaan pilihan raya.
Penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor diadakan 17 April ini manakala hari pengundian pula dijadual 25 April.
Lazimnya pelantikan SPR membolehkan Mafrel diberi ‘lesen’ untuk memantau perjalanan pilihan raya bermula dari hari penamaan calon sehingga hari pengundian.
Sehubungan jelas Wan Ahmad, apa sahaja kenyataan yang dikeluarkan Mafrel adalah atas kapasitinya sebagai pertubuhan bukan kerajaan dan tiada kaitan dengan SPR.
“Itu kenyataan-kenyataan Mafrel (mengecam pengumuman kerajaan BN di Hulu Selangor), itu tiada kaitan dengan SPR,” katanya.
Menurut Wan Ahmad, keputusan untuk tidak melantik lagi Mafrel tiada kaitan dengan kenyataan Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar kelmarin, yang mendakwa Mafrel tidak layak memantau pilihan raya kecil Hulu Selangor.
Noh mendakwa Mafrel bukan satu badan berwibawa kerana mengeluarkan kenyataan sebelah pihak semata-mata.
“Ini kerana kami telah membuat keputusan itu lebih awal lagi,” katanya.
Wan Ahmad berkata, SPR telah berulang kali meminta Mafrel supaya mengemukakan laporan kepada SPR selepas berakhirnya setiap pilihan raya kecil tetapi tidak diambil berat.
“Kita telah memberi peringatan demi peringatan kepada Mafrel supaya menghantar laporan tetapi sejak sembilan pilihan raya kecil, bermula dari Permatang Pauh tiada laporan yang diterima SPR,” katanya.
“Itu syarat pelantikan Mafrel oleh SPR, menghantar laporan pemantauan... sejak pilihan raya kecil Permatang Pauh (pada Ogos 2008) sehingga pilihan raya kecil Bagan Pinang tahun lalu, Mafrel tidak menghantar laporan walaupun diminta berbuat demikian,” tambah Wan Ahmad dengan menyifatkan Mafrel telah “mereka melanggar syarat pelantikan.”
Terdahulu dalam kenyataannya kepada The Malaysian Insider, Pengerusi Mafrel Syed Ibrahim Syed Noh menegaskan tiada mana-mana pihak sama ada SPR ataupun ahli politilk termasuk Noh berhak untuk menghalang daripada membuat pemantauan perjalanan pilihan raya.
Bagaimanapun Syed Ibrahim berkeyakinan kerjasama baik sedia terjalin antara pihaknya dengan SPR akan berterusan untuk melihat perjalanan pilihan raya bebas dan adil bagi semua.
“Apa yang dikatakan oleh Datuk Noh adalah hak beliau dan kami pun ada hak untuk memberikan pandangan,” kata beliau.
Semalam Noh menggesa SPR supaya mengkaji semula peranan Mafrel sebagai pemantau bebas pilihan raya atas alasan ia menjadi alat kepada parti pembangkang kerana didakwa tidak bersikap bebas dalam menyatakan pandangannya dan tidak layak dilihat sebagai sebuah badan yang benar-benar menyalankan peranannya.
Noh berkata Mafrel sepatutnya menegur kedua-dua sekali, bukan hanya BN kerana Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dari Pakatan Rakyat juga mengagihkan geran tanah kepada penduduk tetapi tidak ditegur.
Beliau mempertikaikan kredibiliti Mafrel yang menyelar tindakan kerajaan pusat meluluskan projek perumahan dan sekolah kepada penduduk di Hulu Selangor yang didakwanya menyalahi peraturan pilihan raya.
Jelas Syed Ibrahim, Mafrel telah menjalankan peranannya sejak 2001 termasuk pilihan raya negeri Sarawak pada 2006 dan siri pilihan raya kecil.
“Kami memantau dari luar dan dari dalam lingkungan hari pilihan raya. SPR mengiktiraf kami dan meminta kami memantau pada hari pengundian.
“Jadi kami membuat kerja sepanjang masa dan dari dalam ketika hari pengundian. Apa yang tidak betul kami tegur dan laporkan dan apa yang baik kami kata baik,” katanya.
Oleh itu tegas beliau, Mafrel tidak terikat dengan mana-mana pihak. -MI***GB***
Apa kelasss ! guna nama PAS, setakat RM21 ribu jer ? , at 7.4.10,
Mengapa memilih untuk ketawa ? Jawapnya..kerana Ahli Parlimen Bebas Kulim-Bandar Baharu itu telah memilih untuk semua rakyat mentertawakan dan diketawakan ! Maka jalan yang dipilihnya..itu memang patut kita 'ketawa'kan. Lebih-lebih lagi bila ada rakan blogger menulis dengan bahasa dibawah, "..guna nama PAS untuk sedut duit..? "
Jika benar memang 'memalukan..' ! Apapun kita nanti jua 'jawapan' balas beliau dalam 1-2 hari ini. Taktik gerilyanya yang menjadi modus operandi, serang..serang, kemudian lari..! mungkin tidak akan beliau guna dalam isu ini, dia kena jawap. Isu lain..lantaklah ! Baca seterusnya di sini.
Kisah Benar: Pelajar UIA bermimpi bertemu Rasulullah SAW . ,Selasa, April 06, 2010 at 6.4.10,

Sesuatu yang berharga utk dikongsi bersama...
Luangkan masa kalian untuk membaca.. ambil peringatan dari Baginda Nabi
sempena keputeraannya tahun ini.. tunjukkan kecintaan pada Rasulullah
s.a.w...
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani...
Ya Allah..lancar jari ini menaipkan sebuah pengalaman yg amat berharga
dr seorang insan yg dipilih Allah utk berjumpa Nabi Muhammad s.a.w.
melalui mimpi hari Khamis, 16 Rejab 1427H bersamaan 10 0gos 2006.
Nama yg dipilih oleh ayah beliau adalah Syamimi yg bermaksud
'kesayanganku', jua gelaran Nabi pada puteri kesayangan Baginda,
Fatimah. Ketika khilaf memilih nama itu, ayah beliau mengharapkan
mudah2an suatu hari nanti anaknya akan menjadi salah seorang mutiara
kesayangan Rasulullah s.a.w. Alhamdulillah, doanya makbul selepas 23
tahun kelahiran anak sulungnya daripada 8 adik-beradik.
Al-Quran 30 juzuk terpelihara kemas dalam hatinya. Beliau menghabiskan
masa 3 tahun utk menghafal 30 juzuk Kalamullah ketika berada di negeri
kelahirannya. Beliau hafal sendiri utk memenuhi harapan ibu ayah yang
mengharapkan ada dalam kalangan anak mereka menjadi seorang hafiz atau
hafizah. Sebagai anak sulung, beliau mengambil tanggungjawab ini utk
menjadi contoh kpd adik2 yg lain. Setiap hari beliau hafal 2 mukasurat
Al-Quran dan tasmi' dgn ustaz di sebelah rumahnya. Sekarang beliau
pelajar tahun 4 jurusan Undang-Undang Syariah di universiti ini.
Akak ni memang diuji dengan sakit yg tak tahu apa punca sejak lebih
setahun yg lalu. Sakitnya rasa seperti ditikam-tikam dengan pisau di
bahagian belakang tubuhnya, tambahan pula kaki yang sakit di bahagian
lutut sejak 8 tahun lalu tidak pernah sembuh. Pernah satu ketika,
selepas makan, beliau muntah bersama segumpal rambut dari kerongkongnya.
Penderitaannya hanya Allah dan dia sendiri yang tahu. Sudah lama beliau
tidak terdaya ke kelas kerana sakit itu membuatkan dia tidak dapat
berdiri atau berjalan. Hilang selera makannya hingga badannya susut
hampir 13 kg. Beliau hanya menggagahkan diri untuk pergi berwudhu' 2
hingga 3 kali sehari. Wudhu' itu dijaga sebaik mungkin untuk ibadah
sepanjang hari.
Hari2 yang dilaluinya dipenuhi dgn membaca Al-Quran dan qiamullail
sebagai pendinding daripada gangguan yg terus2an menyakiti diri.
Diceritakan makhluk2 halus itu akan mengganggunya terutama pada waktu
sebelum Subuh, Zuhur dan Maghrib. Beliau telah banyak berubat di merata
tempat, berjumpa doktor2 pakar, malah ulama' yg faqih dalam ilmu
perubatan islam serta akhir sekali bertemu sorang lecturer di sini. Tapi
beliau hanya mampu bertahan. Pesan ustaznya, setiap kali beliau sakit,
banyakkan baca Surah Al-Baqarah.
Pagi Khamis itu, beliau berniat utk hadir kuliyah sebab sudah terlalu
lama tidak mampu ke kelas. Beliau bangun kira2 jam 4.30 pagi utk solat.
Berbekalkan sedikit kekuatan yg digagahkan, beliau ke bilik air utk
berwudhu' dgn memapah dinding dan segala apa yg mampu membantu beliau
untuk berdiri. Habis berwudhu', beliau jatuh tersungkur, rasa seperti
ada yg menolak keras dari belakang. Tika itu beliau sudah tidak mampu
berdiri, justeru beliau merangkak ke bilik. Sampai saja di bilik, beliau
ketuk pintu dan rebah di depan bilik tersebut. Disebabkan sakit yg
mungkin dah tak tertanggung, dengan spontan beliau niatkan, "Ya Allah,
kiranya mati itu baik untukku, aku redha, tapi kiranya Engkau ingin aku
terus hidup, aku ingin dengar kata-kata semangat drpd Rasulullah s.a.w.
sendiri.."
Kemudian beliau pengsan. Sahabat2 sebilik mengangkat beliau ke dalam
biliknya dan di baringkan di sana . Waktu itu, sahabat2nya telah pun
'forward message' pd rakan2 yg lain agar dibacakan surah Yasin kerana
beliau nampak sudah nazak. Malah mereka telah sedia dgn nombor2 ahli
keluarganya utk dihubungi kiranya ada apa2 berlaku dengan izin Allah.
Kira2 jam 11 pagi itulah, ketika tertidur dgn tenang dalam waktu
qoilullah, beliau bermimpi. Beliau sedang terbaring dalam keadaan
memakai telekung dgn tangannya diqiam seperti dalam solat di suatu
tempat asing yang sangat cantik. Beliau terbaring di sebelah mimbar dan
kelihatan banyak tiang di sekitarnya.
Tiba-tiba datang seorang Hamba Allah dgn wajah yang bercahaya dari arah
depan dan berdiri hampir sekali, kira2 2 meter dari beliau. Wajahnya
SubhanaLlah..indah sekali, tak dapat nak digambarkan. Beliau tertanya2,
siapakah orang ini? cantik sekali kejadiannya dan hati beliau rasa
sangat tenang dgn hanya melihat wajahnya. Dirasakan seluruh kesengsaraan
yg ditanggung selama ini lenyap begitu sahaja. Kemudian, Hamba Allah itu
mengatakan, "Assalamu'alaikum, ana Rasulullah.." Subhanallah..baginda
Nabi rupanya! Nabi memakai jubah putih dan kain serban berwarna hijau di
atas bahu baginda. Beliau nampak dgn jelas mata Baginda Nabi, janggut
Baginda, rambut Baginda, kain serban di atas bahu Baginda dan tubuh
Baginda. Kemudian Nabi katakan "Enti fil masjidi" (kamu sekarang berada
di masjidku, Masjid Nabawi).. Allahuakbar!
Kemudian Baginda Nabi s.a.w. berkata: QalAllahuta' ala; "InnaAllahama'
assobirin" (sesungguhnya Allah bersama orang2 yg sabar). Ketika
mendengar suara Nabi mengalunkan Kalamullah, terasa bergema suara merdu
Nabi di seluruh alam. Sememangnya Baginda sebaik-baik kejadian dan
diciptakan dgn penuh kesempurnaan. Nabi katakan (dalam lughahl arab, tp
diterjemahkan di sini) ; "Ya Syamimi, dengan berkat kesabaran enti, dgn
sakit yg enti tanggung selama ini, dan dgn berkat Al-Quran yg enti
pelihara di dlm hati, maka Allah bukakan hijab utk enti nampak ana.."
Ketika Nabi menyebut Ya Syamimi, terlintas di hatinya "Ya Allah..Baginda
kenal ummatnya!". Ya Rasulullah... Ketika itu, beliau dapat merasakan
baiknya Allah, memberikan nikmat yg begitu besar buat dirinya.
Kemudian Nabi katakan lagi; "Sampaikan salamku buat sahabat2
seperjuangan Islam. InsyaAllah, kita semua akan berjumpa nanti.." Nabi
s.a.w. kemudian melafazkan; "Ummati.. ummati..ummati..." dan beliau
nampak jelas Nabi menangis saat itu. Beberapa titisan airmata Baginda yg
suci mengalir utk ummat Baginda! Kemudian Baginda Nabi melangkah pergi.
Beliau merintih, "Jangan pergi Ya Rasulullah.." tetapi Baginda tetap
pergi. Subhanallah, walaupun kita tak pernah bersua dgn Nabi yg mulia,
Baginda kenal dan sentiasa ingat akan ummatnya. Beliau sendiri tidak
pasti, apakah Baginda menangis kerana rindu kepada ummatnya, atau
mungkin saja baginda sedih dgn ummat akhir zaman ini? wallahua'lam...
Sedar daripada tidur yg amat indah pengisiannya itu, beliau masih
dikelilingi oleh rakan2 yg turut terdengar rintihan beliau dalam
tidurnya "Jangan pergi Ya Rasululah..." Beliau kemudian menceritakan kpd
para sahabat tentang mimpinya sekaligus menyampaikan salam Rasulullah
buat ummat Baginda. Semua yg mendengar menangis lantaran rindu pada
Nabi. Rasa malu pada Nabi krn kita jarang2 ingat pada Baginda sedangkan
kita amat terhutang budi padanya. Lebih2 lagi kita sedar bahawa hanya
syafaat Bagindalah yg dikejar di akhirat kelak.
Ya Allah..ketika itu, tiada kata yg lebih tinggi drpd kalimah
Alhamdulillah utk di rafa'kan pada Allah atas ni'mat yg begitu besar yg
Allah berikan pada dirinya. Rasa tak layak dirinya menerima anugerah dgn
ujian yg hanya sedikit berbanding insan2 yg lebih berat diuji oleh
Allah. Kiranya ada kalimah pujian yg lebih tinggi dr Hamdalah, pasti
akan beliau sebutkan buat Allah Yang Maha Kaya. Semuanya terangkum dalam
Rahmat-Nya yg melimpah ruah. Rasa sakit masih menular di tubuhnya. Cuma
kali ini dia bertekad tidak akan menangis lagi utk kesakitan ini.
Usai solat Zuhur, rasa sakit yg ditanggung makin hebat. Tak pernah
beliau merasakan sakit yg sebegitu rupa. Terasa panas seluruh badan dan
seluruh tubuhnya rasa ditikam pada setiap penjuru. Kalau dulu, beliau
akan menangis dalam menghadapi kesakitan, namun pada waktu itu beliau
pujuk diri utk tidak menangis. "Apa sangatlah sakit yg aku tanggung ini
berbanding nikmat yg Allah telah bagi utk melihat Baginda Nabi s.a.w.."
Kemudian beliau tidur. Beliau terus rasakan berada di tempat tinggi,
tempat yg biasa hadir sepanjang beliau menerima gangguan. Beliau katakan
"Ya Allah, apa lagi yg hendak Engkau berikan buat hambamu yg hina ni,
rasa malu sangat dengan-Mu Ya Allah..." Kemudian dgn izin Allah, datang
empat orang yg berpakaian serba hijau. Salah seorang daripadanya
mengatakan; "Assalamu'alaikum Ya Syamimi..Rasulullah s.a.w. sampaikan
salam buatmu. Kami utusan Rasululah..Nahnu khulafa' ar-rasyidin. Ana Abu
Bakr, ini Ummar Al-Khattab, Uthman bin 'affan dan Ali.."
Subhanallah..Saidina Abu Bakr memperkenal dirinya dan ketiga2 sahabat yg
mulia. Beliau nampak sendiri, Saidina Abu Bakr yg amat lembut
perwatakannya, Saidina Ummar dgn wajah tegasnya, Saidina Uthman yg
cantik sekali dan Saidina 'Ali yg agak kecil orangnya.
Para Sahabat mengatakan; "Kami diutuskan oleh baginda Nabi utk membantu
enti.." Kemudian keempat2 mereka membacakan ayat 102 surah Al-Baqarah yg
bermaksud:
"Dan mereka mengikuti apa yg dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa
kerajaan Sulaiman. Sulaiman itu tidak kafir tetapi syaitan-syaitan
itulah yg kafir, mereka mengajarkan sihir pada manusia dan apa yg
diturunkan pada 2 malaikat di negeri Babylon iaitu Harut dan Marut.
Padahal keduanya tidak mengajarkan sesuatu kepada seseorang sebelum
mengatakan 'sesungguhnya kami hanyalah cubaan (bagimu) sebab itu
janganlah kafir.' Maka mereka mempelajari dari keduanya (malaikat itu)
apa yang (dapat) memisahkan antara seorang (suami) denagn isterinya.
Mereka tidak akan dapat mencelakakan seseorang dgn sihirnya kecuali
dengan izin Allah. Mereka mempelajari sesuatu yang mencelakakan, dan
tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan sungguh, mereka sudah tahu,
barang siapa membeli (menggunakan sihir) itu, nescaya tidak akan
mendapat keuntungan di akhirat. Dan sungguh, sangatlah buruk perbuatan
mereka yang menjual dirinya dgn sihir, sekiranya mereka tahu.."
Selesai membaca ayat itu, para sahabat Nabi menghembus pada makhluk2
yang sedang mengganggu beliau dan mereka semua hancur terbakar.
Subhanallah..waktu itu terus terasa seolah2 tubuhnya yg sakit dahulu
ditukarkan Allah s.w.t. dgn tubuh yg baru. Hilang segala kesakitan yg
setahun lebih ditanggung beliau dgn sabar. Saidina Abu Bakr mengatakan;
"Inilah ganjaran besar dari Allah buat orang-orang yang sabar.."
Kemudian, para sahabat Nabi yg mulia pun pergi meninggalkannya.
Selesai mimpi indah yg kedua ini, beliau bangun dr tidur dan terus
duduk. Rakan2 sebilik pelik, kenapa beliau dapat bangun dan duduk dgn
mudah . Kemudian sahabat2nya itu menyuruh beliau bangun berdiri dan
alhamduliLlah..dgn mudah beliau bangun berdiri dan berjalan d sekitar
bilik. "Ya Allah, penyakit ana dah sembuh.." Semua sahabat yang ada di
situ bergembira dan menangis. Kemudian beliau segera ke bilik air untuk
berwudhu'. Dengan tubuh yang 'baru', beliau sujud syukur pada Allah
s.w.t. "Ya Allah, kiranya di beri tempoh sujud 100 tahun pun belum dapat
diriku menjadi hamba-Mu yg bersyukur atas nikmat yg telah Engkau
berikan.."
Beliau berpesan pada kami; "Adik-adik, wajarlah para sahabat Nabi yang
mulia sanggup mati demi mempertahankan Baginda. Akak yang diberi rezeki
melihat Nabi tak sampai pun 5 minit dah rasa tak sanggup berpisah
dengannya. Kalau boleh, nak duduk je di bilik untuk beribadah pada Allah
dan mengenang wajah Nabi yg mulia. Tapi menyedari banyak lagi taklifan
dan tanggungjawab kita atas muka bumi Allah ini, maka hidup mesti
diteruskan. Sekarang ini hati akak tenang sangat..kalau boleh, nak je
akak pinjamkan hati ni walau hanya sesaat agar adik2 dapat merasakan
betapa beningnya hati ini. Tapi itu tak mungkin kan , mungkin ini
bahagian akak, bahagian kalian? Hanya Pemiliknya Yang Maha Tahu. Akhir
sekali akak ingin katakan, tak rugi kita bersabar..."
Keperibadiannya indah. Cerminan al-Quran katanya 'Aisyah ra. Dari semua
aspek kehidupan, diperagakannya hanyalah kesyumulan. Allah mengajar
manusia berkehidupan di muka bumi ini melalui baginda. Menuruti
sunnahnya adalah pahala. Kasih sayangnya tiada bertepi, dari yang kecil
hingga yang tua, dari hamba hingga ke bangsawan, dari dulu sampai
sekarang, hingga ke akhirnya.. Dialah peribadi unggul sepanjang zaman.
Mencintainya suatu kemuliaan...
Pernah suatu ketika Rasulullah berkumpul didalam satu majlis bersama
para sahabat. Tiba-tiba bergenang air mata baginda s.a.w. Para sahabat
gelosah melihat sesuatu yang tidakmereka senangi di wajah Rasulullah
saw. Bila ditanya oleh Saidina Abu Bakar ra, baginda mengatakan bahawa
terlalu merindui ikhwannya.. Saidina Abu Bakar sekali lagi bertanya
Rasulullah saw, "bukankah kami ini ikhwanmu?" Rasulullah menjawab,
"Tidak, kamu semua adalah sahabatku.. ikhwanku adalah umatku yang belum
pernah melihat aku tetapi mereka beriman dan sangat mencintaiku... Aku
sangat rindu bertemu dengan mereka.."
Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai
orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah
salam penghormatan kepadanya (al-Ahzab:56)
p/s: sungguh...berderaian air mataku mengalir..daku rindu akan
dirimu..Ya Rasulullah!
(kisah ini dinukilkan oleh sahabat Syamimi hasil pengalaman benar yang
telah dilalui..pernah disebarkan melalui e-mel & blog sebelum ini..)
sesungguhnya,ana sangat bersyukur kerana dilahirkan didunia ini sbgai
ummat nabi Muhammad S.A.W...
banyakkan lah berselawat dan mendengar zikir..insyaAllah kita semua akan
mendapt syafaatnya di Akhirat kelak..wallahu'alam..(*_*)
-Sumber-http://www.ar- rifke.com/ 2010/04/kisah- benar-pelajar- uia-bermimpi. html
Portal KDN sahkan APCO terlibat , at 6.4.10,
KUALA LUMPUR, 6 April: Lawatan firma perundingan antarabangsa APCO Worldwide (APCO) ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 28 Oktober tahun lalu, seperti yang dilaporkan oleh laman iKDN, portal rasmi kementerian (gambar atas) tersebut seolah-olah memberi satu jawapan berhubung sejauhmana firma yang dikatakan pro Zionis-Israel itu berperanan dalam urusan keselamatan dalam negara.
Munurut portal rasmi kerajaan itu, http://www.ikdn.org, KDN telahpun mengadakan pertemuan dengan beberapa perunding antarabangsa paling lewat pada 23 Oktober tahun lalu.
Pertemuan itu, menurut portal KDN, adalah pertemuan kali yang kedua dari empat pertemuan seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.Jelas sumber itu lagi, persetujuan KDN melantik APCO merupakan aktiviti kesinambungan dari program 'Supporting The Goverment Of Malaysia: Building Intergrated Goverment Communication' anjuran Jabatan Perdana Menteri (JPM) sendiri.
Lebih mengejutkan, portal tersebut mendedahkah, dua siri pertemuan tersebut dipengerusikan sendiri oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam. (gambar)
Pemakluman rasmi itu sekaligus mengesahkan dakwaan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sebelum ini, bahawa perlantikan APCO boleh mengakibatkan keselamatan dalam negeri terdedah pada firma pro Zionis-Israel tersebut.
18 Mac lalu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dalam jawapan lisannya kepada Dewan Rakyat memberitahu, inisiatif kerajaan melantik APCO menguruskan perkhidmatan komunikasi menyeluruh dalam kerajaan supaya kerajaan mampu meningkatkan lagi kapasiti perkhidmatannya dalam bidang komunikasi.
Jawapan Nazri itu adalah mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.-Hrkh.
Usul Membahaskan Royalti Ditolak Sidang DUN Terengganu , at 6.4.10,
ADUN Batu Burok mengemukakan usul membahaskan isu royalti pada Sidang DUN 6 April, 2010, Usul tersebut ditolak dengan alasan isu royalti sedang dalam perundingan.
Sah Dato Zaid Ibrahim Calon PKR Hulu Selangor? , at 6.4.10,
BEKAS Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim, 59 yang disebut-sebut akan diturunkan PKR untuk mempertahankan kerusi P94 Hulu Selangor sudah hampir pasti akan dicalonkan PKR.
Zaid (foto), yang meninggalkan Umno kerana tidak bersetuju dengan beberapa pendekatan Umno yang tidak berubah dari paradigma konservetifnya dipilih berdasarkan populariti beliau sebagai salah seorang pemimpin PKR di peringkat nasional.
Beliau adalah antara lima calon yang disenarai pendekkan PKR sebelum ini.
Zaid adalah pemimpin PKR yang juga menjadi penyelaras parti-parti dalam Pakatan Rakyat.
Zaid lahir di kampung Cat, Bachok Bachok, Kelantan. Menyertai Umno sejak belasan tahun dan aktif dalam parti itu 1986 ketika berusia 40 tahun. Berkelulusan dalam bidang undang-undang dan menubuhkan firma guaman terkenal Zaid & Co.
Jawatan tertinggi beliau dalam Umno ialah selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan. Pernah menjadi Ketua Umno Bahagian Kota Bharu.
Jawatan tertinggi yang pernah dipegang dalam kerajaan ialah selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri semasa Abdullah Baawi menjadi Perdana Menteri. Zaid mengambil keputusan melepaskan jawatan dan tidak terus berada dalam kabinet Najib apabila Abdullah tidak menjadi PM.
Seorang yang berprinsip dan tidak tunduk kepada tekanan daripada terus memperjuangkan nasib rakyat bawahan. Beliau mempunyai seorang isteri dan tiga orang anak.
Pemilihan Zaid sebagai calon PKR diyakini akan memberi tentangan sengit kepada UBN sama ada parti itu meletakkan wakil MIC atau Umno dalam pilihan raya 25 April nanti.
Semalam PKR telah mengadakan mesyuarat biro politik dan dipercayai telah memutuskan Zaid Ibrahim sebagai calon. Pengumuman Zaid sebagai calon akan dilakukan Penasihat PKR, Anwar Ibrahim Khamis atau Jumaat ini. - www.msomelayu.blogspot.com
Hulu Selangor : PAS kesal Najib ugut dan perdaya Peneroka di Pentas Felda , at 6.4.10,

Beliau yang juga Pengerusi BN mengingatkan para peneroka di Hulu Selangor bahawa BN hanya akan memberikan bantuan dan memacu kepada perubahan jika mereka memberikan kemenangan besar kepada BN dalam Pilihanraya kecil parlimen disitu. Ya! bantuan hanya diberikan jika BN menang. Beliau lupa bahawa BN telah menang besar di kesemua tiga DUN dalam Parlimen Hulu Selangor pada 2008, tapi hari ini baru nak buat ikrar pembangunan dengan nada mengugut.
Ugutan yang berbentuk janji yang ditabur diseluruh negara, sama seperti Timbalannya Muhyiddin yang turut turun berkempen minggu lepas. Sehingga ke hari ini BN gagal memberikan jawapan berhubung isu 4 orang guru yang terpaksa tinggal didalam bilik kecil dibawah kelas tempat mereka mengajar sejak tiga tahun lalu di Ulu Baram.
BN menang di Parlimen Baram pada 2008, namun nasib guru-guru ini tidak berubah. Janji perubahan dan memacu pembangunan hanya tinggal sebagai slogan Pilihanraya. Inilah juga yang akan berlaku kepada Hulu Selangor jika BN kembali disitu. Pengundi juga harus ingat bahawa, jika BN menang sekalipun, mereka hanya mampu memberikan janji kosong kerana Kerajaan negeri masih dalam tangan Pakatan.
Peneroka Felda sentiasa menjadi sasaran Najib, sedangkan hakikatnya beliau hanya menumpang kejayaan Felda yang diwariskan oleh Ayahnya, Tun Razak.
Najib memberi peringatan serius kepada warga Felda di Hulu Selangor bahawa 25 haribulan (hari pengundian) mereka kena undi BN. Hanya dengan memberikan bantuan dan kepercayaan kepada BN barulah Yayasan Kelana Ehsan akan diarahkan untuk membantu mereka. Ini jelas, gula-gula politik Najib.
PAS mengingatkan peneroka Felda agar tidak terpedaya dengan projek perumahan RM 32 juta yang turut diumumkan Najib. Projek yang terletak di kawasan Felda Soeharto seluas 14 hektar yang melibatkan pembinaan sebanyak 250 unit rumah bakal dijual kepada para peneroka dengan harga RM42,000 bagi rumah kos rendah dan RM75,000 bagi rumah kos sederhana rendah.
PAS harap peneroka memahami hak mereka. Rumah ini akan dijual kepada peneroka, bukan diberikan secara percuma. Ya! bukan percuma, kena beli pakai duit peneroka sendiri. Najib mengakui bahawa mana-mana peneroka yang mahu membelinya boleh memohon pinjaman dari mana-mana institusi kewangan (Bank) atau membuat perjanjian sewa beli dengan Felda. Harus diingat bahawa harga RM 42 ribu dan RM 75 ribu ini adalah harga pokok, belum dicampur dengan kadar faedah. Dengan mengambil kira tempoh pinjaman selama 20-30 tahun, nilainya adalah sekitar RM 100 ribu-RM 120 ribu.
Tanpa mengundi BN, para peneroka masih boleh membeli rumah itu atau rumah lain yang lebih baik, kerana rumah yang bakal dibina itu bukan diberikan percuma, masih ada pilihan.
PAS juga mengingatkan para peneroka agar tidak lupa kes 25000 peneroka, yang ditindas oleh Felda. Sehingga kini Felda masih gagal memulangkan RM 425 juta duit peneroka terbabit yang disimpan dalam Tabung Tanam Semula, walaupun mahkamah telah keluarkan arahan. PAS mahu peneroka bertanya kepada Felda, ke manakah duit itu telah pergi hingga mereka tidak mampu mengembalikannya kepada peneroka yang menuntutnya?
Jika wang tabung pun boleh lesap, inikan pula projek perumahan yang baru dipecah tanah. Peneroka juga jangan lupa bahawa banyak lagi projek perumahan yang masih terbengkalai diseluruh negara, dan perkara yang sama tidak mustahil akan berlaku, walaupun ketika itu peneroka sudah dikehendaki membayar duit pinjaman Bank. Di mana Felda mahu cari duit RM 32 juta untuk selesaikan projek berkenaan sedangkan hutang RM 425 juta belum mereka selesaikan?
PAS yakin, peneroka yang bijak akan menolak BN. Fikir-fikirkanlah sebelum anda menyesal dikemudian hari.
PAS mengingatkan Perdana Menteri agar sedar kedudukannya dan tidak mengunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk turun berkempen di Hulu Selangor. Gaji beliau semasa turun memecah tanah pada sabtu lepas di Felda Soeharto adalah dibayar dari duit rakyat bukan duit BN. Beliau perlu hormati tarikh sebenar dan tidak berkempen mengunakan jentera Kerajaan sebelum hari penamaan calon. Kalau mahu berkempen gunalah jentera BN sepenuhnya, jika tidak rakyat dengan jelas sudah melihat bahawa jentera BN begitu lemah sehingga terdesak meminjam jentera Kerajaan yang digajikan dengan duit rakyat.
PAS menyeru agar seluruh jentera Pakatan terus mengasak BN di Hulu Selangor dan seluruh negara. Pastikan gambar-gambar jentera Kerajaan yang BN gunakan diambil dan disebarkan untuk perhatian rakyat.
Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat












