Ikuti Blog ini

Muzakarah: Umno diseru masuk PAS



Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman menyeru orang-orang Umno supaya masuk ke dalam PAS dan meninggalkan Umno yang jelas telah hilang halatuju dalam memperjuangkan Islam serta bangsa Melayu.

"Kalau nak muzakarah dengan Umno ini kita tidak bersetuju tetapi dalam masa yang sama kita menyeru mereka supaya masuk ke dalam PAS, kerana kita pernah ditipu dulu.

"Isu muzakarah ini sudah lama dari zaman Dato' Asri dulu yang menjadi masalahnya sekarang ini mengapa mereka mahu bermuzakarah setelah mereka berada di dalam keadaan tersepit dan lemah," kata Ustaz Ghani.

Beliau turut mempertikaikan tindakan Umno yang tidak mahu bermuzakarah pada tahun 2004 ketika pada kedudukan yang cukup selesa pada masa itu dan hanya menganggap PAS sebagai parti nyamuk sahaja.

"Ini hanya sekadar sandiwara daripada Umno, bila mana kerajaan Umno Selangor kalah mereka ajak PAS berbincang kerana mereka mengakui PAS sebagai parti penentu.

"Ianya mesti dibincangkan oleh peringkat tertinggi PAS Pusat tetapi kalau sekadar untuk bertemu sesiapa pun boleh bertemu, itu tidak menjadi halangan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek menyarankan supaya pemimpin Umno berubah sikap seperti boros berbelanja dan menekan Pakatan Rakyat kerana ini yang menyebabkan rakyat merubah sokongan mereka.

"Ketua Menteri Melaka jangan berlagak untuk menjadi juara dalam isu muzakarah ini kerana beliau tidak layak disebabkan kezaliman yang dilakukannya ke atas PASTI di Melaka, kontraktor dan klinik panel dahulu," tambah Ustaz Kamaruddin.

"Perkara begini sudah lama dibuat di dalam PAS dan keadaan sekarang ini mengambarkan kepada kita bahawa Umno sudah semakin tenat," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Dewan Muslimat PAS Melaka, Kintan Man berkata, Umno sengaja mencipta isu ini kerana ingin menutup pelbagai isu yang melanda negara seperti pembunuhan Altantuya, tuduhan liwat ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim dan sebagainya.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .