Ikuti Blog ini

Perak beri air percuma, ganjaran ke IPTA


Kerajaan Negeri Perak akan membekalkan 20 meter padu air percuma kepada penduduk miskin yang berpendapatan kurang daripada RM750 sebulan bermula Ogos ini, kata Menteri Besar Perak Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Bernama melaporkan bahawa, kerajaan negeri telah mengenal pasti seramai 15,000 penduduk miskin di negeri ini untuk menerima kemudahan itu dengan anggaran kos perbelanjaan yang ditanggung Lembaga Air Perak (LAP) sebanyak RM2 juta sebulan.

"Pemberian air percuma itu adalah sebahagian daripada sumbangan kerajaan negeri kepada penduduk miskin di Perak bagi meringankan beban mereka berikutan harga barang yang semakin meningkat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohammad Nizar yang juga pengerusi LAP berkata, bekalan air percuma itu akan diberikan kepada mereka yang mempunyai meter individu di kediaman masing-masing.

Perak kini merupakan negeri kedua selepas Selangor yang membekalkan 20 meter padu air percuma mulai 1 Jun lepas sebagai memenuhi janji dalam manifesto pilihan raya umum Mac lepas.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar berkata kerajaan negeri juga memberi ganjaran RM1,000 seorang kepada anak negeri ini yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Katanya bagi menuntut wang ganjaran itu, pelajar perlu datang sendiri berjumpa dengan Exco pendidikan, Nga Kor Ming dan perlu membawa dokumen pengenalan diri dan surat tawaran ke IPTA.

"Hanya segelintir sahaja pelajar yang datang ke pejabat ini untuk meminta bantuan melanjutkan pelajaran ke IPTA setakat ini atau mungkin mereka tidak mengetahui adanya sumbangan seperti itu," katanya.

Beliau turut memaklumkan permohonan Biasiswa Kerajaan Negeri Perak untuk mereka yang melanjutkan pengajian ke IPTA telah ditutup pada 30 Jun lepas.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .