Ikuti Blog ini

Siapa PM tidak penting, Islam mesti berkuasa


Hulu Terengganu – Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang menegaskan, dasar Islam yang jelas dibawa PAS meletakkan matlamatnya, Islam mesti menguasai pemerintahan Negara, tanpa mengira siapa yang bakal meneraju kepimpinan sebagai Perdana Menteri

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvokensyen Kali Ke Enam, Kolej Universiti Darul Quran Islamiah (KUDQI) di Dewan Utama Kolej tersebut, Kubang Lembek, Manir, hari ini.

“Kita (PAS) tidak kira siapa kerana yang penting Islam menguasai negara. Anwar ke, siapa ke…itu tidak penting. Cumanya, dasar PAS Islam mesti menguasai pemerintahan ini,” tegas Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang ketika mengulas isu pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat.

Beliau enggan mengulas panjang dan berkata persoalan tersebut mesti menunggu masa dan tarikh 16 September 2008 akan datang, apabila beliau diminta mengulas lanjut kenyataan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa tarikh 16 September 2008 bakal mengubah senario politik Negara.

“Itu kena tunggu 16 September dan saya pun belum dapat senarai yang dikatakan mereka (Ahli Parlimen) akan masuk Pakatan Rakyat,” jelasnya.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali dan Timbalannya, Dato’ Ustaz Harun Taib selaku penasihat dan pengerusi kolej berkenaan yang ditubuhkan sejak enam tahun lalu.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .