Ikuti Blog ini

Daulat Tuanku...!!



Teman tergelak besar tengok Utusan Meloya tergantung kat kedai India jual paper hari ni...Satu muka penuh dengan Kenyataan (Khas) Penuh Majlis Raja-raja mengenai kontrak sosial. Sampai ruangan kartun pun cerita pasal titah diraja ni....

Tak de lah teman nak pertikaikan semua tu. Pada teman perkara hak keistimewaan Raja-raja melayu, hak keistimewaan orang-orang melayu, hak rakyat bukan melayu dah lama selesai dah... Kalau ikut Islam lagi bagus. Hak semua makhluk (tak kiralah manusia ke? Binatang ke? Tumbuh-tumbuhan ke? Apa ke bende ke) Allah dah jelaskan di dalam Al-Quran dan Hadis. Cuma mangkok2 macam kita ni aje yang tak nak ikut....

Teman juga suka tengok apa yang DYMM Raja-raja Melayu ingin sampaikan. Faham ni betul-betul. Baca perenggan ni....orang Umno jangan dok seronok sangat....

"Kontrak Sosial ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Untuk itu Raja-raja Melayu wajar memperingatkan supaya isu berkaitan Kontrak Sosial tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar."

Ini bermakna, selagi Hak Keistimewaan Raja-raja Melayu, Hak Keistimewaan Orang Melayu dan Hak Rakyat Bukan Melayu dipelihara, tak kira siapalah yang memerintah negara samada PR atau BN...ia ok pada Raja-raja Melayu. Ini dijustifikasikan dengan perenggan sebelumnya...

“Justeru, adalah perlu Majlis Raja-Raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain. Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan, pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Kontrak Sosial."

Kontrak sosial telah selesai dan Majlis Raja-raja mengingatkan....

“Antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini."

“Gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara."

Dan jawapannya ada di bawah ini. Malang sungguh kerana Umno sanggup guna apa sahaja hatta agama untuk kepentingan politik sempit mereka. Teman petik dari Malaysian Insider....


OKT 17 — Tidak ada sesiapa yang perlu mempertikaikan kontrak sosial antara kaum yang telah mewujudkan Malaysia merdeka lebih 50 tahun lalu. Ia adalah tolak ansur yang telah diterima ramai sejak lebih setengah abad.

Oleh itu, keputusan mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 yang meminta semua pihak tidak mempertikaikan kontrak sosial adalah pengulangan pendirian wajar yang telah pun dipersetujui bersama antara kaum. Memang ia patut disokong.

Namun, apa yang dipersoalkan selama ini adalah penyalahgunaan tafsiran dan penyelewengan kontrak berkenaan yang mempunyai kaitan rapat dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung keistimewaan Melayu.

Malah, Prof Diraja Dr Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pernah membangkitkan isu itu apabila beliau menyatakan istilah "kontrak sosial" dalam konteks politik hari ini digunakan oleh ahli-ahli politik untuk kepentingan mereka.

Dalam satu forum pada Mei lalu, tokoh akademik itu menjelaskan kontrak itu sebenarnya justifikasi kepada tindakan afirmatif untuk membantu golongan miskin memperolehi peluang dalam beberapa bidang termasuk pendidikan.

Dalam hal ini, apa yang dimaksudkan oleh Majlis Raja-Raja ialah menghormati Perlembagaan kerana ia adalah persetujuan bersama bapa-bapa Merdeka dalam usaha mewujudkan sebuah negara berdaulat pada 1957.

Tetapi hari ini apabila kontrak sosial dibangkitkan di celah-celah kemelut politik, ia lebih jelas menjurus kepada permainan politik kaum. Agenda ini sering digunakan oleh Umno sebagai tulang belakang parti pemerintah Barisan Nasional untuk menolak kritikan terhadap kelemahan pentadbiran kerajaan.

Apa yang berlaku selama ini adalah parti-parti pembangkang, malah parti-parti komponen BN sendiri telah mempertikaikan penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan diskriminasi kaum oleh pimpinan Umno, dan bukannya mengkritik Perlembagaan Persekutuan.

Namun untuk mengalih pandangan rakyat, terutamanya orang Melayu, Umno sering berselinding di sebalik kontrak sosial sebagaimana yang dijelaskan oleh Ungku Aziz, agar tidak ada sesiapa yang berani mara untuk menentang "lembu suci" itu.

Inilah masalah yang sering dihadapi oleh pengkritik-pengkritik Umno, termasuk pemimpin politik Melayu dari pelbagai parti lain. Dengan bertopengkan perkauman, kepimpinan Umno telah menggunakan manipulasi politik untuk menjerat sesiapa sahaja yang menegur mereka dengan menyorong ke arah kontrak sosial.

Mesej Umno mudah sahaja — mengkritik Umno bererti mencabar kontrak sosial, dan ini membawa maksud menentang Perlembagaan Persekutuan.

Sedangkan rekod penyelewengan dan manipulasi Umno terhadap kontrak sosial dan Perlembagaan telah menjalar jauh ke dalam masyarakat sehingga menimbulkan barah perkauman; menyemai rasa benci antara kaum.

Yang tragis, ada juga pemimpin Melayu dalam Parti Keadilan Rakyat dan Pas yang terperangkap dengan politik perkauman Melayu ciptaan Umno sehinggakan slogan Ketuanan Rakyat — keadilan untuk semua kaum dan agama — seolah-olah diketepikan atas nama perpaduan Melayu.

Apakah ini bermakna Ketuanan Rakyat — sebagai alternatif kepada Ketuanan Melayu — yang dilaungkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan lenyap ditenggelami politik perkauman Umno?

Walaupun PKR, Pas dan DAP meraikan kemenangan tsunami politik Mac 8, semangat perkauman di kalangan rakyat masih menebal. Anwar seolah-olah semakin hilang pengaruh di segi membanteras ketuanan kaum kerana selain DAP, dua lagi parti sahabat Pakatan Rakyat lebih banyak berdiam diri apabila berdepan dengan isu-isu berasaskan Melayu.

Sehinggakan Pas yang melaungkan slogan Islam Untuk Semua turut merasa bersalah apabila dicabar Umno berhubung keistimewaan orang Melayu. Apakah pemimpin-pemimpin Pas sendiri tidak yakin dengan ideologi agama mereka sehingga tunduk dengan tekanan perkauman?

Jika ini berlarutan, usaha Pakatan Rakyat untuk membentuk masyarakat baru yang lebih bertolak ansur dan muhibah yang beteraskan keadilan akan berkubur begitu sahaja dibawa arus perkauman.

Kaum bukan Melayu sudah lama akur dengan pendirian Raja-Raja bahawa mereka tidak perlu "khuatir dan bimbang dengan hak-hak sah mereka tersebut telah dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan" kerana ia sememangnya telah terjamin.

Namun yang dipersoalkan ialah muslihat Umno dalam manipulasinya untuk memastikan ketegangan kaum sentiasa di tahap yang tinggi. Selagi masyarakat Malaysia syak wasangka antara satu sama lain, Umno akan tetap relevan kerana kekuatannya bergantung kepada politik kaum.

Apabila kaum-kaum di Malaysia merasakan perbezaan warna kulit dan agama bukan lagi perkara penting yang boleh memisahkan tali silaturahim mereka, ia akan menjadi berita buruk buat Umno.

Tetapi Umno tetap gagah hari ini. Dan ini bererti politik perkauman masih menjadi pilihan ramai, termasuk kalangan tertentu dari parti-parti pembangkang Melayu. Apakah Ketuanan Rakyat akan kecundang di tangan Ketuanan Melayu?



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .