Ikuti Blog ini

Kelantan bentang 'Bajet Berimbang' utamakan golongan dhaif

KOTA BHARU - Ketika ekonomi dunia merudum dengan kejatuhan luar biasa institusi kewangan di peringkat global, kerajaan Kelantan masih mampu membentang anggaran belanjawan 2009 yang bertema 'Bajet Berimbang'.

Bajet tersebut memberi tumpuan kepada penjanaan ekonomi secara berterusan untuk semua rakyat, pembinaan ihsan berteraskan Islam dan pembelaan golongan dhaif.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan negeri memantapkan lagi dasar berjimat cermat dengan perbelanjaan berhemah.

Selain itu, mengembeling usaha untuk meningkatkan hasil melalui pemantapan jentera kutipan hasil dan penguatkuasaan yang tegas dan berkesan, memantapkan jentera pentadbiran, meneruskan pendekatan pentadbiran menyeluruh.Image

"Meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri yang stabil dan berdaya maju dengan memberi tumpuan kepada program-program kesejahteraan dan kemakmuran rakyat serta meningkat penyertaan rakyat dalam program-program peningkatan kualiti hidup.

"Dalam bajet 2009 kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM26.50 juta bagi menyediakan kemudahan infrastruktur asas kepada rakyat," katanya pada pembentangan Bajet 2009, di persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di sini, semalam.

Teks ucapan belanjawan itu dibaca Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Dato' Husam yang mengambil masa hampir sejam.

Beberapa jalan dan jambatan baru akan dibina termasuk dari Panchor ke Pengkalan Datu di Kota Bharu, Jalan Telaga Bata ke Kelaboran di Tumpat, Jalan Bendang Nyior ke Bukit Mas (Tanah Merah) dan jambatan Sungai Sat, Machang.

Menurutnya peruntukan tersebut termasuk menyiapkan pembinaan jambatan melintasi landasan keretapi di Pasir Mas yang dijangka siap akhir tahun hadapan.

Bagi sektor pertanian kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2.05 juta bagi meningkatkan prasana pertanian.

Kata Menteri Besar, pada 2009 dijangka seluas 700 hektar kawasan tanah terbiar dipulihkan. Manakala pengeluaran padi tahun ini dianggarkan sebanyak 285,000 tan metrik iaitu melebihi tahap sara diri sebanyak 121 peratus.

"Kerajaan negeri juga bersyukur kerana pembinaan Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Rantau Panjang yang menelan belanja lebih RM8.8 juta telah siap 95 peratus.

Image"Masjid ini bercirikan reka bentuk asimilasi budaya bercampur antara Cina, India dan Melayu yang merupakan satu-satunya masjid seumpama itu di Kelantan," katanya.

Kata beliau beberapa kompleks Islam baru akan dibina iaitu di Gua Musang, Machang, Pasir Puteh dan Bachok dengan mendapat peruntukan awal sebanyak RM8 juta.

Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM40 juta kepada Yayasan Islam Kelantan bagi melaksanakan program-program pendidikan, di samping RM1 juta bagi program pembangunan.

Menurutnya kerajaan negeri menyediakan sumbangan tahunan kepada Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan iaitu sebanyak RM1.96 juta.

Bagi program keagamaan lain iaitu Ihya Ramadan sebanyak RM150,000, Tahfiz al Quran (RM150,000), ujian tilawah al Quran (RM120,000), pembangunan Islam jajahan (RM100,000), sambutan Hari Hudud (RM30,000), kecemerlangan solat (RM1 juta) dan skuad amru (RM80,000).

Di samping itu program Kembara Bermotosikal sebanyak RM30,000 dan majlis bersama ulama, guru pondok dan ketua madrasah sebanyak RM300,000.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri terus menyediakan peruntukan bagi membela rakyat miskin iaitu sebanyak RM1.2 juta, penempatan semula penduduk (RM200,000), bantuan bekalan air dan elektrik (RM800,000), pesakit kronik (RM300,000) dan orang kurang upaya (RM600,000).

"Kerajaan negeri juga menyediakan sebanyak RM3 juta bagi melaksanakan program perumahan rakyat bagi kos rendah dan mampu milik. Bagi tempoh Rancangan Malaysia ke Sembilan kerajaan negeri merancang membina rumah awam kos rendah dengan peruntukan sebanyak RM22 juta," ujarnya.

Oleh itu Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, anggaran hasil bagi tahun hadapan sebanyak RM339.98 juta, manakala perbelanjaan mengurus sebanyak RM360.62 juta.

Katanya, defisit bagi tahun 2009 akan berkurangan menjadi RM20.28 juta berbanding defisit tahun 2008 sebanyak RM23.73 juta.

Hasil tanah menjadi penyumbang terbesar iaitu sebanyak RM116.97 juta atau 34.4 peratus, hasil perhutanan (RM94.97 juta atau 27.93 peratus.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .