Ikuti Blog ini

Presiden PAS harap PM laksana ikrar sebelum berundur


" Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pembangkang memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekiranya beliau bersungguh-sungguh mahu melaksanakan perubahan demi menyelamatkan negara.

Tuan Guru Abdul Hadi .... harap PM tunai ikrar sebelum berundur “Saya berharap Perdana Menteri dapat melaksanakan ikrar sebelum berundur, nak memulih kehakiman, nak memulihkan BPR (Badan Penceah Rasuah), memulihkan banyak perkara lagi.

“Mudah-mudahan beliau meninggalkan peninggalan yang baik sebelum mengundurkan diri,” kata Ahli Parlimen Marang itu ketika menyertai sesi perbahasan Bajet 2009 di Dewan Rakyat hari ini. Kenyataan Abdul Hadi itu mendapat disambut ahli-ahli Parlimen pembangkang yang lain. Abdul Hadi berkata, sekiranya negara bersedia melakukan perubahan-perubahan ini, negara akan berada dalam keadaan selamat.

“Sekiranya kita masih lagi berkeras, tidak mahu mengakui kesilapan, kesalahan dan tak sanggup nak kembali ke pangkal jalan, maka kita akan menerima akibatnya,” katanya.

Beliau berkata, krisis keyakinan yang timbul di kalangan rakyat pada masa ini patut diselesaikan.

“Maka pendidikan, pelajaran dan penerangan perlu memainkan peranan dalam mengubati krisis keyakinan. Antara yang menimbulkan krisis keyakinan adalah tidak percaya kepada pentadbiran kerana banyaknya rasuah, tak percaya kepada badan kehakiman kerana berlakunya keraguan yang tidak senonoh, tak percaya kepada BPR kerana tindakan-tinadakan yang tidak berkesan dalam mengatasi rasuah,” katanya.

Katanya, undang-undang yang sudah tidak sesuai digunakan pada masa ini seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu dipinda kepada undang-undang lebih baik.

“Undang-undang zaman penjajah kita masih gunakan lagi. Ini perlu diubah dan dipinda kepada undang-undang yang lebih adil, yang baik. Bukan bermakna kita minta hapuskan ISA, tiada undang-undang… ada undang-undang. Buat undang-undang lain yang adil, yang sesuai dengan perkembangan masa yang kita sudah merdeka. Undang-undang yang menimbulkan rasa kasih sayang, yang menimbulkan rasa tanggungjawab antara kerajaan dan rakyat dan antara satu sama lain,” katanya.

Kit Siang persoal gelaran Bapa Demokrasi Malaysia untuk Pak Lah Sebelum itu Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyambung perbahasan Bajet 2009 dengan mempertikaikan gelaran “Bapa Demokrasi Malaysia” yang diberi Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu berkata, beliau ‘hairan’ gelaran tersebut diberikan kepada Perdana Menteri sedangkan baru-baru ini Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan ke atas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng dan penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin.

“Selain itu, ada lima tahanan Hindraf masih dalam tahanan ISA, tiga akhbar iaitu The Sun, Suara Keadilan dan Sin Chew Daily yang diberi surat amaran mengapa mereka tidak boleh dikenakan tindakan. Tan Sri Koh Tsu Koon, apa demokrasi ini? “Selain itu, bolehkah Perdana Menteri melakukan reformasi khasnya keyakinan kepada pasukan polis dan rasuah dalam lima bulan walhal dalam lima tahun, beliau tidak dapat melakukannya.

“Siapa percaya? Saya percaya tiada yang percaya dan beliau tidak mendapat jaminan bahawa beliau akan mendapat sokongan sepenuhnya” katanya dalam sesi perbahasan Dewan Rakyat di Parlimen di sini.

Selain itu, Lim turut mencadangkan penubuhan suruhanjaya diraja untuk menyiasat segala dakwaan ke atas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk pembunuhan wanita Mongolia, Altantuyaa Shaaribuu dan mesej SMS antara Najib dan peguam kepada penganalisis politik, Abdul Razak baginda yang kini sedang dibicarakan atas kes tersebut.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .