Ikuti Blog ini

Umno lancar Tabung Azan hanya sekadar gimik politik - Nik Aziz

KOTA BHARU - Tindakan Umno melancarkan Tabung Azan bersama Utusan Malaysia kononnya bagi memperjuangkan kebebasan melaungkan azan di masjid dan surau di negara ini disifatkan sebagai gimik politik.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, usaha mereka mewujudkan Tabung Azan bagi membantu akhbar Utusan Malaysia sesuatu yang tidak rasional.

"Daripada menubuh tabung tersebut lebih baik diwujudkan tabung bagi menyelamatkan Islam kerana sekarang banyak pihak membawa Islam palsu termasuk juga dibawa Umno apabila mereka memisahkan agama dan politik," katanya.

Beliau memberitahu perkara itu pada ceramah sempena jamuan Hari Raya bersama masyarakat Cina di Dewan Perniagaan Cina di sini, malam tadi.Image

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, anggota-anggota Exco kerajaan negeri dan anggota parlimen Kota Bharu, Dato' Wan Rahim Wan Abdullah.

Majlis makan malam itu dianjurkan parlimen Kota Bharu yang dihadiri pelbagai persatuan kaum Cina termasuk Persatuan Teo Cheo, Persatuan Hailam, Persatuan Foo, Persatuan Aklak, Persatuan Murid-Murid Tua Sekolah Cina, Persatuan Perniagaan dan Perindustrian Cina.

Sebanyak 66 meja disediakan sehingga memenuhi dewan perniagaan tersebut. Lebih 5,000 orang hadir sehingga melimpah ke atas Jalan Kebun Sultan. Jalan itu terpaksa ditutup kepada lalu lintas.

Baru-baru ini Umno Bahagian Cheras melancarkan Tabung Azan bersama-sama akhbar Utusan Malaysia bagi memperjuangkan kebebasan melaungkan azan di masjid dan surau di negara ini.

Tabung itu diwujudkan untuk membantu Utusan Malaysia yang disaman anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebanyak RM30 juta sebelum ini.

ImageAnggota parlimen terbabit menyaman Utusan Malaysia berdasar kepada artikel yang ditulis pengarangnya yang disifat penuh dengan pembohongan di mana penulis mendakwa Teresa membawa penduduk di Puchong membantah azan di masjid.

Dalam artikel itu Zaini Hassan menulis Teresa pernah pergi ke sebuah masjid sebelum Subuh dan menasihatkan pengurusan surau supaya tidak melaungkan azan dengan menggunakan pembesar suara.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pada pilihan raya ke-13 kemungkinan besar kaum-kaum bukan Islam di negara ini akan berpihak kepada Pakatan Rakyat yang didokongi PAS, KeADILan dan DAP.

Menurutnya juga sepanjang 18 tahun PAS menerajui Kelantan, kaum Cina sentiasa memberi sokongan padu kepada kerajaan negeri yang mengamalkan dasar Membangun Bersama Islam.

"Ini menggambarkan kaum Cina dan India di negeri ini memahami tentang kebaikan yang ada pada agama Islam.

"Bagaimanapun malangnya saya tak pernah dijemput hadir pada program yang dianjurkan Umno, tetapi sebaliknya kaum Cina sering menjemput saya hadir pada program mereka," katanya.

Beliau juga berkata, lawatan pertama ke luar negara selepas menjawat jawatan Menteri Besar 18 tahun lalu ialah ke negara China memandangkan kehebatan dan keilmuan yang ada pada orang Cina.

Oleh itu katanya kerajaan negeri tidak mengabaikan kaum Cina dan India kerana mereka mempunyai ilmu yang tinggi dalam pelbagai bidang dan ia seharusnya dicontohi orang Melayu.

Sementara itu, Lim Guan Eng berkata, DAP konsisten menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menyekat kebebasan rakyat.Image

Menurutnya ISA hanya wajar digunakan kepada tiga keadaan sahaja iaitu seseorang itu terbukti boleh mengancam keselamatan negara, memberi ancaman kepada ekonomi dan ancaman kepada kemudahan asas rakyat.

"Saya merasa hairan bagaimana seorang menteri boleh mengatakan penahanan Teresa Kok kerana hendak melindunginya. Kalau macam itu seluruh rakyat negara ini kena tahan ISA sebab kerajaan nak bagi rakyat selamat," katanya mendapat tepukan gemuruh orang ramai.

Wan Abdul Rahim pula berkata, tidak sepatutnya Menteri Kewangan baru, Dato' Seri Najib Abdul Razak ponteng daripada menghadiri persidangan parlimen semalam kerana dewan membincangkan bajet 2009.

"Bakal Perdana Menteri semacam inikah yang diinginkan rakyat, semasa Dato' Seri Anwar Ibrahim membahaskan Belanjawan 2009 tiada seorang pun anggota kabinet berada dalam dewan.

"Habis macam mana masalah rakyat dapat diselesaikan, mereka sibuk ke hulu ke hilir bagi meraih sokongan untuk merebut jawatan dalam pertandingan Umno sekarang," kata beliau

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .