Ikuti Blog ini

Pulau Pinang : Tidak boleh guna tiket kelas pertama, hotel mewah

BUKIT MERTAJAM - Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat mengambil langkah yang drastik dalam mesyuarat exco semalam, apabila bertindak menarik balik segala kemudahan yang dinikmati pegawai-pegawai tinggi sebagai salah satu langkah berjimat cermat.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mohd Fairus Khairuddin berkata, semua pegawai tertinggi kerajaan, termasuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng, hanya akan menggunakan penerbangan kelas ekonomi atau tambang murah dalam melakukan segala urusan kerajaan.

Katanya, tiada penerbangan kelas pertama atau kelas perniagaan dibenarkan, tiada penginapan di hotel empat atau lima bintang dan segala majlis tidak akan dianjurkan di hotel mewah.

Dengan penarikan balik segala kemudahan ini katanya, Ketua Menteri, anggota exco dan pegawai tinggi negeri hanya akan menggunakan penerbangan ekonomi dan menginap di bajet hotel apabila menjalankan tugas di luar Pulau Pinang.

Sebelum arahan dikeluarkan secara rasmi dalam mesyuarat mingguan exco semalam, Lim Guan Eng telah pun mengamalkan kesederhanaan sewaktu beliau mula memimpin kerajaan negeri.

Langkah yang diambil beliau ini, diperluaskan kepada semua anggota exco dan pegawai tinggi kerajaan negeri, sebagai salah satu usaha mengelakkan pembaziran wang rakyat.

Guan Eng baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata, beliau tidak pernah rasa terganggu atau tidak selesa sewaktu menjalankan tugas di luar kawasan walaupun menaiki penerbangan kelas ekonomi dan menginap di hotel sederhana.

Katanya, beliau merasakan lebih selesa mengamalkan sikap berjimat cermat kerana tidak mahu dipertanggungjawabkan sebagai pemimpin yang membazirkan wang rakyat.

Mengulas lanjut isu berkenaan Fairus menjelaskan, "Jika perlu, mereka boleh menaiki Air Asia. Arahan ini membabitkan semua pegawai tertinggi kerajaan."

Mengenai majlis anjuran kerajaan negeri, Timbalan Ketua Menteri menjelaskan, ia boleh diadakan di Dewan Serbuna atau Kompleks Sukan yang bersesuaian.

"Arahan telah dikeluarkan, tidak dibenarkan sebarang penganjuran program kerajaan negeri di hotel.

"Tidak perlu beri hadiah (kepada pemimpin kerajaan), yang penting majlis yang dianjurkan mencapai objektif. Oleh itu kita harap semua ketua jabatan kerajaan akur dengan arahan ini," tegasnya.


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .