Ikuti Blog ini

LETAK JAWATAN - UNGKU AZIZ KECEWA

Profesor Diraja Ungku Aziz meletak jawatan sebagai Yang Dipertua Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) semalam kerana kecewa bahawa siasatan berhubung penyelewengan wang dalam badan koperasi itu gagal diselesaikan.

Beliau yang memegang jawatan itu sejak Angkasa ditubuhkan 37 tahun lalu, berkata peletakan jawatannya tidak mendapat sebarang desakan daripada mana-mana pihak.

“Ini seratus peratus keputusan saya. Sudah dua bulan saya fikir benda (letak jawatan) ini dan saya nampak tiada jalan lain, selain letak jawatan,” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai peletakan jawatannya itu dan keputusannya untuk menolak sebarang pencalonan Yang Dipertua pada persidangan tahunan Angkasa di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya, Sabtu ini.

Kedua-dua keputusan itu terkandung dalam kenyataan ringkas yang beliau fakskan kepada media.

Media sebelum ini melaporkan bahawa laporan mengenai dakwaan penyelewangan itu telah diserahkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada 23 Oktober dan 18 November lalu, tetapi siasatan gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan, menjelang persidangan tahunan Angkasa kali ini.

“Mereka mempunyai banyak masa,” kata Ungku Aziz merujuk kepada siasatan SKM mengenai dakwaan konspirasi Hotel Concorde pada 23 Mac lalu (seperti terkandung dalam laporan Angkasa pada 23 Oktober 2008), untuk menjatuhkan beliau selaku Yang Dipertua Angkasa.

Pergolakan dalam badan koperasi itu bermula apabila Ungku Aziz dipecat daripada jawatan itu melalui undi tidak percaya oleh sembilan daripada 14 ahli lembaga pengarah Angkasa pada 24 Mac tahun lepas.

Pemecatan itu bertahan selama 43 hari sebelum SKM memerintahkan Jawatankuasa Tertinggi Angkasa mengekalkan jawatan Ungku Aziz yang juga pengasas badan koperasi itu.

Usaha pemecatan itu dipercayai ada hubung kait dengan arahan Ungku Aziz supaya siasatan dijalankan terhadap dua ahli lembaga pengarah kanan badan itu yang didakwa melakukan penyelewangan.

Ungku Aziz berkata siasatan perlu dilakukan secara serius kerana ia melibatkan transaksi bernilai RM20 juta yang membabitkan lebih sejuta orang.

“Umpamanya orang nak pinjam duit, katakan 60 ribu ringgit untuk buat projek atau nak beli rumah. Tapi akhirnya oleh sebab pentadbiran ada penyelewangan, dia dapat barangkali RM30,000 hingga RM40,000 saja, yang lain siapa ambil duit itu.

“Bagaimana ia diagihkan di antara beberapa pihak ini,” soal Ungku Aziz.

Semalam, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Koperasi, Datuk Yidris Abdullah meminta tokoh veteran itu supaya meletak jawatan Yang Dipertua Angkasa berikutan pergolakan yang berlaku dalam badan koperasi itu sejak akhir-akhir ini.

Yidris berkata perkembangan yang berlaku itu menyebabkan anggota Angkasa berasa telah dikhianati kerana tidak dimaklumkan mengenai pindaan ke atas Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia berkuatkuasa 1 Januari tahun lalu.

Angkasa ditubuhkan pada 1971, mewakili kira-kira 5,000 koperasi yang mempunyai keanggotaan kira-kira enam juta orang dan aset bernilai kira-kira RM47 bilion.

Ditanya apakah perancangan beliau selepas ini, Ungku Aziz berkata, “Saya telah meletak jawatan dan ia adalah muktamad. Sekarang terpulang kepada SKM dan polis untuk siasat dakwaan itu.”


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .