KOTA BHARU - Lebih 10,000 rakyat Kelantan bersama pemimpin dan pegawai kanan kerajaan menunaikan solat hajat bagi menyelamatkan umat Islam di Palestin, kini menjadi mangsa kezaliman rejim haram Yahudi.
Selain itu masyarakat bukan Islam yang terdiri dari kaum Cina, India dan Siam serta penganut Buddha melaungkan kata-kata Hidup Palestin di majlis Solat Hajat Perdana dan Pelancaran Tabung Cakna Palestin di Stadium Sultan Mohammad Ke IV malam tadi.
Wakil Umno dan Barisan Nasional (BN) sebaliknya tidak kelihatan biar pun dijemput hadir pada program anjuran kerajaan negeri itu.
Program bermula jam 5 petang dengan persembahan nasyid oleh kumpulan Raihan. Orang ramai mulai tiba sejak selepas Asar dan terus berasak-asak di pintu stadium menjelang waktu Maghrib.
Solat hajat diimamkan Adun Demit, Ustaz Mohamad Mustapha. Selepas solat Maghrib diadakan zikir munajab yang menyaksikan padang bola stadium di segenap ruang dipenuhi manusia, kecil, besar, tua dan muda.
Selepas solat Isya yang juga diimamkan Mohamad yang juga bekas Yang Dipertua Abim Kelantan, bacaan al Quran diperdengarkan oleh pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Ustaz Lokman Ibrahim dan terjemahannya dibaca Setiausaha Politik Menteri Besar, Haji Anual Bakri Haron.
Kemudian kumpulan Raihan mengambil tempat dengan mendendangkan tiga lagu nasyid.
Selepas itu seramai 240 pelajar-pelajar Maahad Muhammadi Lelaki mempersembahkan pentomen yang diarah seorang blogger, Syed Azidi Syed Aziz atau lebih dikenali sebagai Kickdefella yang bertajuk Mengapa Aku Dibunuh.
Wakil sekretariat NGO Kelantan, Nazri Deraman berharap perhimpunan membantah kekejaman Israel itu menjadi simbol kepada solidariti rakyat Kelantan.
Katanya kehadiran rakyat tanpa mengira agama dan bangsa menjadi kesatuan untuk menyatakan rasa simpati rakyat negeri ini terhadap mangsa keganasan tentera Yahudi di Gaza.
Wakil kaum Cina, Chia Chua Lai, wakil kaum India, Thuraman a/l Arjunan dan wakil kaum Siam, Chan Ko En a/l Eh Rong melaungkan teriak Hidup Palestin yang bergema di dalam stadium selepas menyampaikan ucapan mengutuk keganasan Yahudi.
Wakil penganut Buddha, We Choi Lin juga melahirkan rasa sedih terhadap apa yang berlaku ke atas umat Islam di Palestin sekarang angkara keganasan tentera Yahudi.
"Saya meminta Israel menghentikan keganasan dan perang sehingga menyebabkan sudah ramai rakyat Palestin yang tidak berdosa menjadi korban.
"Keserakahan manusia seperti dilakukan tentera Yahudi menyebabkan kehidupan manusia di muka bumi menjadi tidak tenteram," katanya.
Di akhir ucapannya beliau melaungkan perkataan 'Hidup Palestin, Hidup Islam'. Menjelang jam 12 malam orang ramai yang berada di padang basah kuyup ekoran hujan lebat.
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, timbalannnya, Dato' Ahmad Yakob, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Aiseri Alias, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd Fairuz Khairuddin, Ketua Penerangan KeADIlan, Tian Chua dan wakil Hamas, Najis Suris al Ghaza.