8.00 malam
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaludin memaklumkan, Sultan Perak dijangka akan membuat keputusan berhubung dengan permohonan beliau untuk membubarkan Dun Perak besok.
Beliau berkata, Sultan Perak meminta tempoh untuk membuat keputusan permohoan itu untuk membolehkan beliau membuat rujukan terhadap beberapa perkara.
Nizar memberitahu perkara ini kepada pemberita yang menyerbu beliau selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan pimpinan PAS, Exco dan Adun Pakatan Rakyat Perak di Pejabat Perhubungan PAS Perak dekat sini.
Menurut Nizar, pertemuan itu berjalan dengan baik sekali dan beliau amat terharu dengan cara Sultan Perak mengendalikan hal ini.
"Saya amat terharu apabila di hujung pertemuan itu apabila Baginda Sultan berkata kepada saya dengan membaca satu potong ayat Al Quran," katanya.
Ayat itu yang bermaksud "Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar."
Sehingga awal malam ini keputusan masih belum dapat dicapai . Bagi pihak Kerajaan PAKATAN Rakyat sedang menunggu perkenan Tuanku Sultan Perak . Apakah Baginda perkenan untuk membubarkan DUN Perak atau menyerahkannya kepada BARISAN Nasional membentuk Kerajaan .
Apa yang boleh dilakukan oleh semua ialah mengadakan solat hajat dan memohon restu Allah agar melembutkan hati Tuanku Sultan agar perkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak sekaligus mendapatkan mandat baru dari Rakyat .
Buat masa ini Datuk Najib sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak tentu sahaja bekerja keras bagi merampas kembali kerajaan Negeri Perak .
Seharian hari kawan - kawan menghubungi saya untuk mendapatkan komen . Bagi saya hanya memulangkannya kepada Ketentuan Allah swt setelah pelbagai langkah telah diambil oleh PAKATAN Negeri Perak untuk mempertahankan kerajaannya .
قل اللهم مالك الملك تؤتي الملك من تشاء و تنزع الملك ممن تشاء و تعز من تشاء و تذل من تشاء بيدك الخير إنك على كل شئ قدير
Katakanlah : Ya Allah Ya Tuhan..... Raja yang memiliki Kerajaan ( di dunia dan di langit ) Kau mengurniakan kerajaan kepada siapa yang Kau kehendaki dan Kau menyentapnya dari siapa yang Kau kehendaki dan Kau muliakan sesiapa yang Kau kehendaki dan Kau menghina sesiapa yang Kau kehendaki . di dalam genggamanMu segala Kebaikan sesungguhnya Kau Maha Berkuasa di atas segala suatu .
Surah Aali Imraan . Ayat : 26
Apa hikmahnya di atas suasana yang penuh dramatik ini hanya Allah jua yang ketahui tetapi sebagai seorang muslim , tentunya saat begini mendorong kita bersimpuh di hadapan Allah swt . untuk mengoreksi diri .
Pada saya , sebelum kita melihat atau bertemu segala hikmah yang lain , ia adalah jawapan yang sangat praktikal bahawa perjuangan perlu bertunjangkan Aqidah . Tanpa Aqidah perjuangan , ianya serapuh biskut marie .
Harap sahabat - sahabat seperjuangan dapat bersabar atas apa yang berlaku . Segala episode malang ini berpunca dari sebuah pengkhianatan . Khianat terhadap amanah perjuangan . Khianat terhadap amanah rakyat . Khianat kepada diri sendiri sehingga hilang dan luruh segala harga diri semahal daging lembu korban .
Justeru , berkali telah ku katakan .... bahawa intima' atau penglibatan kita dengan perjuangan ini mestilah berasaskan Aqidah . Tanpa aqidah , inilah jadinya .
Apa pun , semua pihak wajar kembali kepada Allah swt , berdoa dan bermunajat agar Allah swt menunjuk jalan bagaimana mahu menyelamatkan kerajaan ini . Semoga Restu Allah swt kepada kita .