Ikuti Blog ini

BUKIT GANTANG : Mohammad Nizar Pilihan Amat Tepat

Pemilihan Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai calon untuk pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang 7 April depan disifatkan sebagai pilihan terbaik.

Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Kapt (B) Usaili Alias berkata, meletakkan Mohammad Nizar sebagai calon untuk pilihan raya itu adalah langkah terbaik sebagai meluahkan perasaan rakyat terhadap pentadbiran di Perak sekarang.

“Itu adalah satu langkah bagi mewakili rakyat untuk meluahkan apa yang dimahukan dan siapa pemimpin sebenar yang mereka mahukan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, jika dilihat selama 11 bulan Pakatan Rakyat (PR) memerintah Perak, banyak pembangunan yang telah dibuat.

“Sebagai contoh, PR telah menambahkan peruntukan pembangunan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebanyak RM200,000 berbanding kerajaan dahulu hanya sebanyak RM75,000 sahaja setahun.

“Ini menunjukkan kerajaan dulu tidak prihatin kepada keperluan rakyat berbanding dengan PR yang menggunakan kebijaksanaan untuk memerintah bagi memenuhi kehendak rakyat,” katanya.

Usaili berkata, pihaknya mendapat respons yang cukup baik daripada kaum lain di negeri ini dan mereka menyokong gagasan pemerintahan PR yang sememangnya membela nasib semua rakyat tidak kira bangsa.

Ketika ditanya mengenai kebanjiran calon Bebas yang akan turut bertanding pada pilihan raya itu nanti, beliau berkata, itu adalah strategi parti lawan untuk memecahbelahkan undi PR.

“Itu adalah amalan biasa parti lawan untuk memecahbelahkan undi PR bagi menyekat peluang kemenangan kepada PR.

“Mereka cukup takut dengan kekalahan sendiri sedangkan gelombang kekalahan itu telah ada pada mereka,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Belanja, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan berkata, peletakan Mohammad Nizar sebagai calon untuk pilihan raya berkenaan adalah hak parti itu.

“Mereka boleh meletakkan sesiapa sahaja sebagai calon dan UMNO sendiri telah bersedia untuk menghadapi sesiapa sahaja calon yang akan bertanding.

“Kami mempunyai harapan untuk menang dan berdasarkan tinjauan yang dibuat penduduk akan mengundi Barisan Nasional (BN) kerana kami meletakkan calon anak tempatan,” katanya.



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .