Ikuti Blog ini

Bekas MB UMNO Khir Toyo Disyor Gantung Setahun



Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri Selangor mengesyorkan agar bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Khir Toyo digantung selama setahun kerana gagal hadiri siasatan berkaitan isu Balkis.

Syor itu dibuat oleh jawatankuasa berkenaan yang bermesyuarat hari ini dipengerusikan Speaker DUN Teng Chang Khim.

Khir gagal menghadirkan diri sebagai saksi di pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) dan dituduh kerana membuat kenyataan yang menyentuh integriti Dewan.

Sepanjang tempoh pendengaran Selcat sesi yang lalu, beberapa orang saksi telah dipanggil berhubung dengan jutaan ringgit dana negeri yang telah dibazirkan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat (Balkis), sebuah badan kebajikan yang dipengerusikan oleh isteri Dr Mohd Khir sewaktu beliau menjadi menteri besar.

Khir telah mempersoalkan kesahihan inkuiri awam dan telah menghantar surat melalui peguamnya menyatakan sebab kepada jawatankuasa berkenaan mengapa beliau dan isterinya tidak hadir.

Khir juga menghadapi tuduhan tambahan kerana menghina dewan kerana mengkritik melalui media.

Kesemua elaun dan keistimewaan yang diterima Dr Mohd Khir Toyo sebagai seorang ADUN, juga digantung.

Bagaimanapun, Teng berkata, hukuman tersebut merupakan syor yang dibuat oleh Selcat.

Syor tersebut, katanya, akan dibentang di sidang DUN Julai depan untuk dibahas dan setiap wakil rakyat termasuk Dr Mohd Khir akan diberi peluang membahaskannya.

Sementara itu, ketika dihubungi, Dr Mohd Khir berkata beliau menerima surat berhubung hukuman tersebut.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan meminta peguamnya mengkaji perkara itu sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.





Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .