Ikuti Blog ini

Ikatan kukuh Pakatan Rakyat bermula di Perak - Nizar


Image


KUALA KRAI - Pakatan Rakyat biar pun baru diwujudkan namun kini sudah menjadi satu ikatan yang kukuh.


Ini dapat dibuktikan apabila Pakatan berjaya mentadbir kerajaan di Perak. Sedangkan sebelum ini PAS sukar menjalinkan kerjasama dengan DAP memandangkan perbezaan ideologi.


Namun segala halangan tersebut berjaya diketepikan selepas pilihan raya umum tahun lepas.


"Inilah kelebihan tahaluf siasi yang diamalkan PAS bagi menjalinkan hubungan dengan pemimpin bukan Islam," kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin.


Beliau berkata, Perak menjadi perintis untuk membuktikan kemampuan Pakatan Rakyat mengurus sebuah kerajaan yang mana komposisi antara kaum hampir setara.


Ketika merasmikan mesyuarat agung PAS Kuala Krai di Markaz Sungai Durian, semalam katanya tanpa pendekatan tersebut PAS tentunya tidak mampu berada dalam kerajaan di Perak.


Sebelum itu ketika merasmikan mesyuarat agung PAS Pengkalan Chepa katanya, PAS di Perak melalui perubahan yang ketara walau pun lebih 10 bulan menerajui kerajaan negeri.


Menurutnya dalam tempoh tersebut rakyat sudah dapat menerima kehadiran PAS termasuk masyarakat Cina dan India.


Image

"Ini terbukti kemenangan PAS di Bukit Gantang pada pilihan raya kecil yang diadakan baru-baru ini. Sokongan padu masyarakat bukan Islam telah menambah majoriti diperolehi PAS pada pilihan raya tersebut.


"Kalau ke Perak tuan-tuan akan dapat melihat rakan-rakan kita dari dari kaum Tionghua dan India memakai baju bergambar Tok Guru. Mereka kini tidak segan lagi menyokong Pakatan Rakyat," ujar beliau ketika ditemui pemberita selepas itu.


Ditanya ada kawasan yang mencalonnya bertanding jawatan Naib Presiden PAS katanya beliau belum dapat memberi jawapan lagi.


Kata beliau tumpuannya sekarang menyelesai beberapa kes yang dibawa ke mahkamah mengenai krisis yang berlaku di Perak.


Beliau juga berharap pertandingan yang akan berlaku pada muktamar Jun depan tidak menjadi halangan dalam usaha memperkasakan hubungan persaudaraan Islam.


Nizar yang juga anggota parlimen Bukit Gantang berharap peristiwa rampasan kuasa yang pernah berlaku di Kelantan dan terbaru di Perak perlu dijadikan sebagai pengajaran kerana musuh tidak akan berdiam diri bagi menawan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.


Sementara itu, Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa, Dato' Mohd Amar Abdullah berkata, cawangan-cawangan PAS hendaklah bekerja keras dan kerap mengadakan aktiviti bagi merapatkan hubungan dengan masyarakat setempat.


"PAS kawasan tidak akan berjaya sekiranya cawangan berdiam diri dan kita tidak boleh beranggapan PAS kawasan maju selagi cawangan berada di tahap lama serta kurang kegiatan," katanya.


Pada mesyuarat itu, dua usul tanpa bahas diluluskan iaitu Cawangan Kedai Lalat yang mendesak kerajaan Malaysia mengadakan peraturan mana-mana wakil rakyat yang bertukar parti mestilah meletakkan jawatan terlebih dahulu.


Usul PAS Cawangan Pulau Belachan pula mendesak kerajaan negeri melantik ahli lembaga pengarah dan pegawai-pegawai syarikat milik kerajaan negeri mempunyai latar belakang pendidikan, kemahiran dan berpengalaman dalam bidang berkaitan.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .