Ikuti Blog ini

APABILA MUKHRIZ BERCAKAP TENTANG HUKUM ISLAM




Oleh: WFAUZDIN NS

NAIK terputus urat kentut saya menahan ketawa apabila menonton berita malam tadi. Terpaculnya Mukhriz Tun Mahathir di muka TV dan bercakap seperti Ketua Pemuda Pas lagaknya yang membicarakan tentang hukum `perpaduan' di dalam Islam. Saya ingatkan Mukhriz ni tahu pasal `berpadu' sahaja (seperti gambar di atas), rupa-rupanya anak Tun Mahathir ini juga boleh dianggap `ustaz' kalaupun bukan Ulamak.

Beliau memberikan `dakwah'nya untuk memperingatkan terutamanya orang-orang Pas bahawa perpaduan di dalam Islam itu WAJIB. Tidak pula beliau sebut samada perpaduan itu merangkumi semua bangsa dan agama. Masakan beliau hendak sebut begitu kerana beliau sendiri ada berkata tidak perlulah Pas hendak berbincang dengan Umno jika dibawa sekali PKR dan DAP. Mengapa takut sangat jika Pas mahu berbincang dengan Umno disertai juga oleh PKR dan DAP? Umno juga boleh menjemput sama MCA, MIC, GERAKAN dan lain-lain parti komponen mereka untuk sama-sama berbincang. Tentu ada `udang di sebalik batu' atau `kutu di sebalik serban'.

Beliau juga menganggap perpaduan itu penting dan disuruh oleh agama, ini bermaksudyang menentang perpaduan itu menyalahi agama. Wah! hebat syarah calon Ketua Pemuda Umno yang tewas ini. Mukhriz mungkin merasakan rakyat lupa siapakah tokoh pemecah belah rakyat terutamanya orang-orang Melayu dan Islam selama ini. Umno berpecah sehingga diharamkan suatu ketika dahulu di bawah siapa Presidennya? Wujudnya perpecahan Melayu yang besar sehingga tertubuhnya Parti Melayu Semangat 46 angkara siapa? Kemudian, siapakah yang menzalimi dan memfitnah tokoh politik Melayu DS Anwar Ibrahim sehinggakan beliau dipecat dari Kerajaan dan parti seterusnya mengakibatkan umat Melayu berpecah dengan lebih teruk lagi? Tahukah Mukhriz, betapa Kelantan sebuah negeri yang hampir 100 % Melayu Islam ini telah dianak tirikan ketika negeri tersebut mulai diperintah oleh Pas sehingga sekarang, dan siapakah pemimpin yang terlalu berusaha untuk merampas Kelantan? Di bawah siapakah ketika kerajaan merampas royalti minyak di Terengganu sewaktu Pas berkuasa? Bukankah Terengganu sebuah negeri Melayu yang seharusnya dibantu oleh kerajaan?

Jika Mukhriz tidak tahu atau sudah lupa siapakah tangan yang punya angkara semua itu, beliau boleh bertanya kepada ayahandanya Tun Mahathir. Mukhriz juga boleh bertanya kepada ayahandanya siapakah yang memecah-belahkan Umno sehingga terpaksa Presiden Umno ketika itu Pak Lah mengundur diri. Adakah ini diertikan dengan perpaduan pada pandangan Mukhriz? Jika inilah yang dimaksudkan dengan perpaduan, amat tepat dan bijak sekali Pas menolak untuk bersama-sama Umno bagi merealisasikan Kerajaan Perpaduan itu. Kecualilah Pas mempunyai agenda lain, Wallahu Aklam.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .