Ikuti Blog ini

Seru Dr Haron Din, wajib wala' kepada pemimpin yang telah dipilih


SHAH ALAM: Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr. Haron Din mengingatkan para perwakilan dan ahli-ahli PAS supaya sentiasa wala' atau patuh kepada pemimpin yang dipilih mereka. Ahli sebagai pengikut wajib mematuhi setiap keputusan dan arahan yang diputuskan Presiden berdasarkan beberapa hadis Nabi yang harus dicontohi dan diikuti ahli-ahli PAS.

"Terdapat hadis Nabi bermaksud "sekiranya kamu telah melantik seorang amil, walaupun yang dilantik itu rambutnya kerinting, apabila dia mengajak kamu ke jalan Allah, maka kamu wajib taat". Konsep ini sama dan perlu dalam parti apabila Presiden membuat sesuatu gagasan, dan kemudiannya disokong Majlis Syura. Mana mungkin pengikut boleh melanggarnya? " tegas beliau ketika sesi penggulungan Muktamar Tahunan PAS Ke-55, di Stadium Malawati, Shah Alam, 7 Jun lalu.

Bagaimanapun, kata Haron setiap perkara yang berbangkit boleh dibincang dengan lebih bersopan dan beradab.

Tokoh ulama itu turut memberi penjelasan kepada sidang muktamar berkenaan isu 'musuh dalam selimut' yang diucapkan beliau pada Ijtima Jubli Perak 25 Tahun Kepimpinan Ulama yang diadakan di Markaz PAS Taman Melewar, seperti yang diminta bekas Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dalam ucapannya.

Beliau menafikan ada mengeluarkan kenyataan sedemikian, namun mengakui terdapat kenyataan berbunyi 'musuh sentiasa ada'. Dengan memberikan hujah berlandaskan Firman Allah yang bermaksud, "Wahai orang yang beriman, ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu menjadi musuh kepada kamu. Maka hendaklah kamu selalu berhati-hati."

"Adakah menjadi kesilapan kepada saya untuk turut mengingatkan para ahli berkenaan musuh ini? Jika Allah Taala sendiri mengingatkan manusia bahawa adanya musuh di kalangan yang paling rapat, apakah jaminan yang kita ada bahawa dalam perjuangan ini tiada musuh?" soal beliau.

Sementara itu, Dr Haron turut menyokong sekiranya calon-calon yang bertanding bagi pemilihan parti perlu menjalani 'bai'ah' (sumpah setia), sepertimana yang dijalani calon-calon pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen yang diamalkan selama ini.



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .