Ikuti Blog ini

TG Nik Aziz Ulas Pasal Lilin.



Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui perbuatan memegang lilin di majlis memperingati kematian orang bukan Islam adalah “sesuatu yang meragukan” tetapi berpendapat perbuatan itu tidak haram di sisi Islam.

Beliau mengulas tindakan Menteri Besar Rakyat Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin yang memegang lilin dalam majlis memperingati kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada seorang anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Menteri Besar Kelantan itu juga menegaskan perbuatan itu tidak bercanggah dengan agama jika umat Islam dapat membezakan antara adat resam dan budaya dengan agama sesuatu kaum.

“Tapi saya, selalu (apabila) orang (beragama) Hindu jemput saya pergi ke majlis dia, Cina jemput pergi majlis dia, saya akan tanya ini agama ke atau adat resam.

“Saya kata kalau agama saya tak boleh pergi tapi kalau adat resam saya boleh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan 2009 di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, di sini, Khamis.

Sebelum itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa dalam laporan akhbar mempertahankan tindakan Mohd Nizar dengan menyatakan ia tidak menyalahi ajaran Islam manakala Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula mahukan ulama Pas mengeluarkan satu fatwa berhubung tindakan Mohd Nizar itu.

Nik Abdul Aziz berkata, lilin ini sudah menjadi budaya kepada orang Melayu di mana anak-anak turut menggunakan lilin sewaktu menyambut hari jadi dan ia sudah menjadi perkara biasa dalam masyarakat sekarang.

“Jadi lilin digunakan sebagai satu simbolik untuk masalah umur,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya pandangannya mengenai tindakan seorang model yang rela dirotan selepas didapati bersalah kerana minum arak oleh Mahkamah Majistret Kuantan kelmarin, Nik Aziz berkata tindakan itu wajar kerana menunjukkan pesalah terbabit sudah insaf.

Menurutnya, jika model itu boleh menerima hukuman sebat, maknanya dia sudah terlepas hukuman di akhirat dan ini bertepatan dengan langkah Pas mahu melaksanakan hukum hudud.




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .