Ikuti Blog ini

Lagi pengakuan ikhlas pemimpin umno...Tun Daim Zainuddin.


KUALA LUMPUR, 16 Sept: 80 peratus dari golongan muda tidak menyokong Barisan Nasional (BN), kata bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Para siswazah menganggur, kebanyakannya Melayu, akhirnya terlibat dengan politik dan mereka menyertai PAS akibat rasa marah kepada kerajaan kerana tidak mempunyai pekerjaan, kata bekas Bendahari Umno itu di dalam temubual dengan China Press Ahad lalu.

Menurut beliau, keadaan sedemikian berlaku kerana kerajaan tidak memupuk bakat yang sepatutnya untuk kehendak pasaran.

Dalam temubual tersebut yang disiarkan oleh The Sun Online Ahad lalu, Daim berkata, universiti-universiti tidak menawarkan kursus-kursus yang menepati dengan kehendak industri mengakibatkan banyak siswazah tidak mempunyai pekerjaan disebabkan apa yang mereka pelajari tidak memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.

Beliau berkata, bukan sahaja golongan muda yang menentang kerajaan, malah kira-kira sejuta dari tiga juta ahli Umno juga tidak mengundi parti itu.

Menurut beliau, ramai ahli Umno yang hilang keyakinan kepada parti itu dan para pemimpinnya.

"Politik wang rasuah adalah masalah terbesar yang dihadapi oleh parti itu," katanya.

Di luar Umno pula, Daim percaya, perpecahan di dalam MCA akan menjejaskan kerjasama dan reformasi di dalam BN.

Rakyat, katanya, tidak menghormati mana-mana parti yang berpecah.

Manakala perubahan di dalam BN pula, katanya, terlalu perlahan untuk memenuhi kehendak rakyat.

"Rakyat mahu melihat perubahan, sama ada di dalam BN atau Pakatan Rakyat (PR), siapa yang lebih dahulu berjaya melaksanakan reformasi akan memenangi sokongan mereka," katanya.

Mengenai kemelut Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ), Daim berkata: "Kerajaan mesti menghukum kesemua yang melanggar undang-undang, hanya dengan cara itu ia boleh mengembalikan keyakinan umum".

Pada masa lalu, katanya, rakyat tidak melihat mereka yang menyalahgunakan kuasa dihukum.

Mengulas mengenai PR, beliau menyifatkan pakatan itu mengecewakan rakyat.

Rakyat, katanya, menaruh harapan yang tinggi kepada PR tetapi kerajaan negeri-negeri yang dikuasai PR terus memainkan peranan sebagai pembangkang.

"Jangan buang masa melemparkan tuduhan kepada BN, kamu adalah pakatan yang memerintah (di negeri-negeri yang dikuasai PR), kamu sepatutnya memfokuskan kepada usaha untuk menunaikan janji-janji pilihan raya kamu"

Beliau berkata, rakyat mula melihat bahawa PR tidak boleh melakukan dengan lebih baik berbanding BN, walaupun diberi peluang.

Itulah kekecewaan terbesar rakyat, katanya.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .